KUALA
LUMPUR 18 Jan. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) berhasrat untuk membeli aset komersial bernilai 1.61 bilion
pound sterling (RM8.8 bilion) dalam kawasan Fasa 2 projek pembangunan Battersea
Power Station di London.
Kedua-dua
organisasi tersebut telah memeterai terma perjanjian dengan Battersea Phase 2
Holding Company iaitu anak syarikat milik penuh Battersea Project Holding Co.
Ltd. yang mana dimiliki seimbang oleh SP Setia Berhad dan Sime Darby Property
Berhad sebanyak 40 peratus manakala bakinya dimiliki oleh KWSP bagi meneroka
potensi penjualan berkenaan.
Menurut SP Setia, aset komersial berkenaan akan dijual kepada syarikat usahasama yang akan ditubuhkan oleh PNB dan KWSP. “Setelah selesai sepenuhnya, urus niaga ini adalah sejajar dengan pelan perniagaan kami kerana ia akan meningkatkan pulangan pelaburan sekali gus membolehkan SP Setia memanfaatkan peluang sebagai pemaju hartanah di samping terus memainkan peranan penting dalam keseluruhan pembangunan projek.
“Urus
niaga yang dirancang ini juga menunjukkan komitmen secara langsung oleh
pemegang saham institusi utama dalam pembangunan projek Battersea Power
Station,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Projek
Battersea Power Station di London berkeluasan 17 hektar dan merangkumi 3.5 juta
kaki persegi ruang komersial campuran serta sebanyak 4,364 kediaman baharu.
Fasa
1 projek itu atau dikenali sebagai Circus West Village merangkumi 12 blok
kediaman dan 100,000 kaki persegi restoran berkualiti tinggi, kedai, pejabat
dan kemudahan riadah telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembeli tahun
lalu.
Terma
perjanjian yang termeterai itu adalah tidak terikat dan termasuk tempoh
eksklusif yang berakhir 30 April 2018 untuk menyelesaikan sepenuhnya cadangan
transaksi berkenaan.
Mengulas
lanjut, SP Setia berkata, minat yang ditunjukkan oleh PNB dan KWSP untuk
menjadi pemegang aset jangka panjang bagi projek Battersea Power Station adalah
tepat pada masanya.
Hal
ini kerana, sambutan menggalakkan yang diterima termasuk prajualan kediaman
yang berada pada kadar 90 peratus dan sebanyak 470,000 kaki persegi ruang
pejabat yang disewa oleh Apple bermakna projek tersebut mampu memberi
keuntungan tinggi.
“Pembelian
aset komersial oleh PNB dan KWSP ini juga membolehkan SP Setia untuk menumpukan
kepada meningkatkan keuntungan dan pulangan pelaburan projek daripada fasa-fasa
lain projek tersebut dengan keseluruhan projek dijangka siap menjelang tahun
2028.
“Pegangan
dalam Battersea Project Holding Co. Ltd. juga kekal tidak berubah antara Sime
Darby Property, SP Setia dan KWSP dengan kami terus komited serta positif
dengan prospek jangka panjang projek Battersea Power Station,” ujarnya.
Dalam
kenyataan berasingan, Sime Darby Property berkata, cadangan urus niaga tersebut
adalah untuk menyusun semula pemilikan hartanah komersial Battersea Power
Station di bawah PNB dan KWSP yang juga merupakan pelabur jangka panjang
manakala Sime Darby Property dan SP Setia merupakan pemaju hartanah utama.
Katanya,
cadangan urusniaga itu sememangnya akan melonjakkan pulangan pelaburan kepada
Sime Darby Property dan SP Setia sebagai rakan pembangunan projek lebih awal
daripada yang dijangkakan.
No comments:
Post a Comment