BALU
kepada arwah Ibrahim Libya, Solehah Husain.
BALING:
Dipaksa mengaku suami sendiri sebagai 'rasul', selain mengakui status dirinya
sebagai pengikut ajaran sesat Ibrahim Libya.
Itu
antara fakta palsu yang didakwa cuba ditanamkan dalam minda Solehah Husain, 65,
yang juga balu kepada arwah Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud,
sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dua
bulan tujuh hari tempoh Solehah ditahan selepas tragedi berdarah pada 19
November 1985 di Kampung Memali, di sini, yang mengorbankan nyawa 14 penduduk
kampung termasuk suaminya dan empat anggota polis.
"Walaupun
sudah lebih tiga dekad tragedi Memali, tuduhan menyertai ajaran sesat dan
mengadakan revolusi untuk menjatuhkan kerajaan masih terngiang-ngiang di
telinga saya.
"Sepanjang
dua bulan tujuh hari ditahan secara salah melalui ISA pelbagai fakta palsu cuba
disumbat ke dalam mulut saya...apa yang dibuat ke atas diri saya, sudah pasti
dilalui rakan sekampung yang turut ditahan dan dipaksa mengaku sesuatu yang
sebenarnya palsu bagi menghalalkan tragedi berdarah Memali," katanya.
Solehah
adalah antara saksi tragedi Memali yang bukan sahaja menyaksikan sendiri 14
penduduk kampung maut ditembak, manakala berpuluh lagi cedera ketika melindungi
Ibrahim, seorang guru agama yang juga pemimpin PAS, yang turut terkorban.
Justeru,
Solehah bersama ramai lagi saksi tragedi Memali menunggu-nunggu Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) Tragedi Memali ditubuhkan, demi merungkai kejadian di
sebalik tragedi itu.
Ditanya
mengenai pengalaman dalam tahanan, Solehah berkata bukan sahaja dipaksa mengaku
suaminya sebagai rasul, pihak berkuasa turut mereka kalimah syahadah dengan
meletakkan nama Ibrahim Libya menggantikan tempat Nabi Muhammad SAW sebagai
rasul.
"Biarpun
cuba diseksa mental, saya hanya berkata yang benar...saya tak salahkan polis
yang berada dalam penjara terbabit, kerana mungkin mereka terpaksa melakukannya
sebab arahan pihak atasan," katanya.
Solehah
pada masa sama menafikan dakwaan penduduk mempunyai senjata api ketika tragedi
itu kerana semua senapang patah yang dimiliki penduduk untuk menjaga kebun dari
binatang seperti tupai, sudah pun diserahkan kepada pihak berkuasa lima bulan
sebelum kejadian.
"Penduduk
yang mempunyai senapang patah diminta menyerahkan senjata masing-masing kerana
lesen dibatalkan, maka semuanya akur tanpa ada rasa syak.
"Selepas
diserahkan kepada polis, penduduk kampung buat kerja seperti biasa dan pada
hari kejadian, penduduk hanya menggunakan parang, buluh yang dijadikan pagar
dan kayu sebagai senjata pertahanan kerana pihak berkuasa cuba merampas hak
kami," katanya.
Solehah
berkata, ia sesuatu yang memeritkan apabila lebih 30 tahun terpaksa memendam
kenangan pahit menyaksikan suami dan rakan sekampung maut dalam kejadian itu,
selain ramai lagi ditahan seperti pengganas.
"Kami
keluarga mangsa tragedi Memali hidup atas keperitan dan dipalit tuduhan ajaran
sesat...penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja suatu langkah yang perlu
dilakukan sesiapa sahaja yang memimpin kerajaan.
"Kami
mahu mereka yang bersalah merasai apa yang kami rasa apabila diperlakukan
seperti penjenayah sehingga mencemar maruah kami sekeluarga dan penduduk
kampung," katanya.
No comments:
Post a Comment