Rakyat
Malaysia sudah menerima perbalahan antara PAS dengan DAP sebagai satu ‘cara
hidup’ iaitu akan tetap berlarutan selama-lamanya. Satu ketika PAS akan mengalah, tetapi satu
ketika lain akan membuat U-turn, tetapi tidak mustahil akan berbalah semula
atas isu yang sama. Semua ini bergantung
kepada perkembangan politik semasa.
Pendek kata, perkahwinan PAS dengan DAP sentiasa dihiasi dengan dugaan
dan cabaran tetapi akhirnya, PAS sebagai isteri tetap akan tunduk juga kepada
kehendak suami yang chauvinis.
Dalam
perbalahan mengenai isu dalam negeri-negeri jajahan PAS pula, PAS negeri
seringkali terpaksa berhadapan dengan DAP Pusat secara bersendirian kerana PAS
Pusat enggan menawarkan sokongan kepada PAS negeri, bagi mengelakkan masalah
besar dalam perkahwinan mereka.
Dan
inilah yang berlaku terhadap YAB Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah
beberapa kali. Sebelum ini, beliau telah
terpaksa bertekak dengan DAP kerana isu melarang gambar wanita tidak bertudung
dipaparkan di papan tanda negeri itu, kemudiannya isu menutup pusat hiburan di
bulan Ramadhan dan kini isu garispanduan bagi aktiviti hiburan di tempat awam
di Kedah.
Seperti
juga isu-isu lain, PAS Pusat nampaknya langsung tidak cuba untuk membela Azizan
dalam isu terkini ini. Malah, kita tidak
hairan jika PAS Pusat mengarahkan agar Azizan akur sahaja dengan kehendak
DAP. Ini kerana mengenali Azizan, beliau
tidak akan semudah itu tunduk kepada DAP jika tidak kerana arahan dari
kepimpinan PAS sendiri.
Setiausaha
Publisiti DAP, Teo Nie Ching menempelak garispanduan yang dikenakan Azizan
sebagai tidak masuk akal, tidak boleh diterima dan tidak bijak. Sementara exco Kedah, Tan Chow Kang dari PKR
pula bertanya sinis sama ada Azizan inginkan kaum Cina di Kedah mendengar
lagu-lagu komunis sahaja.
Garispanduan
itu, yang dilaporkan oleh China Press and Nanyang Siang Pau mengharamkan wanita
dewasa dari menyertai persembahan hiburan untuk orang awam. Selain itu, garispanduan tersebut juga
mengharamkan persembahan muzik langsung, dan hanya boleh diadakan dengan menggunakan
rakaman awal (minus one). Persembahan
pula hanya dibenarkan untuk lagu-lagu berunsur agama dengan semua yang terlibat
berpakaian sopan.
Kelab
Penyokong PAS juga tidak ketinggalan mengkritik Azizan dalam hal ini dan
menganggap ia sebagai satu tindakan yang tidak peka dan tidak toleran terhadap
agama dan budaya lain, serta ‘pentingkan diri sendiri’.
Apa
yang menyakitkan lagi hati DAP ialah garispanduan ini dikeluarkan hanya
beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina.
Dengan garispanduan ini, tentunya perayaan Tahun Baru Cina di Kedah akan
menjadi muram dan hambar.
Tindakan
kerajaan negeri Kedah ini memperlihatkan kekeliruan, kalaupun tidak hipokrasi
yang kronik di dalam PAS. Bukan kita
tidak tahu bahawa dalam isu hiburan, PAS Kedah hanya berada beberapa langkah
saja di belakang Selangor dalam perlumbaan membuka pusat-pusat hiburan
baru. Pusat Karaoke tumbuh tanpa
kawalan, bagai cendawan sejak PAS memerintah Kedah, sehinggakan ada yang
bersebelahan sahaja dengan surau atau masjid.
Rungutan mengenai moral anak-anak muda Kedah yang semakin buruk bagai
sudah menjadi satu fenomena di kalangan ‘orang-orang lama’ Kedah, terutama di
bandar Alor Setar.
Seperti
yang kita sedia maklum, pusat-pusat hiburan yang menawarkan hiburan secara
tertutup beroperasi secara berterusan sementara hiburan berbentuk persembahan
di tempat awam dan di atas pentas pula, adalah bersifat sekali-sekala. Berdasarkan faktor inilah maka garispanduan
yang diperkenalkan oleh kerajaan Kedah itu dilihat sebagai usaha untuk menunjuk-nunjuk
alim dan bukannya usaha ikhlas untuk memelihara nilai-nilai moral rakyat
Kedah.
Tidak
mustahil, usaha menunjuk-nunjuk alim ini adalah respon kepada hujan kritikan
yang tidak henti-henti menimpa Azizan kerana gagal melaksanakan pentadbiran
Islam sebenar mengikut kacamata PAS.
Azizan
tidak ada pilihan selain terpaksa menghadapi seluruh parti DAP dan masyarakat
Cina Kedah sekali lagi, secara berseorangan.
Jika beliau boleh mengelak dari isu balak dengan hanya bersikap angkuh
atau mengelak dari isu-isu yang timbul di dalam Laporan Audit dengan mengambil
sikap tak tahu, nampaknya, beliau tidak mungkin dapat mengelak isu ini dengan
hanya berdiam diri.
Ini
kerana, apabila ia melibatkan kepentingan DAP secara langsung, maka PAS Pusat
akan memastikan Azizan tidak senang duduk selagi tidak menanganinya dengan baik
tanpa menyinggung DAP.
Hakikatnya,
sehingga kini, masyarakat Cina masih keliru mengenai siapa dan apakah PAS
sebenarnya dan kekeliruan itu membuatkan mereka semakin ragu-ragu untuk memberi
undi kepada DAP. Apakah benar PAS sudah
terbuka? Atau PAS hanya menyembunyikan
ektremismenya untuk sementara? Apakah
DAP mampu mengekang pemikiran jumud dan ekstrem PAS mengenai agama? Sampai bila DAP mampu mengawal PAS? Dan apakah jaminan yang PAS tidak akan
bangkit dengan lebih bersemangat sehingga mengatasi kelicikan DAP jika PR
menang PRU kali ini?
Soalan
yang sama juga mungkin perlu ditanya oleh Azizan kepada dirinya sendiri dan
juga kepada kepimpinan PAS. Ketahuilah
oleh PAS bahawa rakyat keseluruhan juga turut menantikan jawapannya.
No comments:
Post a Comment