Friday, January 12, 2018

Projek Terowong Dasar Laut 'Fantasi' Guan Eng : SPRM Serbu KOMTAR Sekali Lagi!!!





Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah merakam keterangan 12 saksi penting di 12 lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hari ini, berhubung kes projek pembinaan terowong dasar laut di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata 12 saksi itu membabitkan beberapa pegawai agensi kerajaan negeri, termasuk pengurus sebuah syarikat pemaju yang dilantik melaksanakan projek mega berkenaan.




Projek terowong dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, Seberang Perai Utara dianggar membabitkan kos RM6.3 bilion dan dijadualkan siap pada 2027.

Beliau berkata, antara agensi kerajaan yang terbabit adalah Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Perancangan Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

"Setakat ini tiada tangkapan lain dibuat dan pasukan penyiasat kini dalam proses merakam percakapan saksi untuk memperoleh lebih maklumat berhubung projek terbabit.

"Saya tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lagi dan kita juga ada memperoleh maklumat baru melalui rakaman percakapan serta bukti yang diperoleh dalam proses siasatan ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


 


Difahamkan SPRM menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) antara jam 9 pagi hingga tengah hari tadi bagi mengambil dokumen tambahan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Selasa lalu, SPRM turut menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan di KOMTAR dan tiga pejabat syarikat yang terbabit dalam pembinaan terowong dasar laut termasuk menahan dua individu berpangkat Datuk.

Sementara itu, sumber SPRM berkata, semua dokumen berkaitan projek terowong dasar laut perlu dikaji dengan teliti berikutan perjanjian itu dilihat amat meragukan dan nilai kajian kebolehlaksanaan didapati tidak mencecah jumlah RM305 juta seperti yang diumumkan kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, adalah dipercayai nilai kajian itu berkemungkinan tidak selari dengan nilai pertukaran tanah yang dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik untuk membuat kajian kebolehlaksanaan itu.

"Dikhuatiri kemungkinan kerajaan negeri telah membuat bayaran jauh berbeza dengan nilai kajian itu yang sebenar.

"Perkara utama yang sedang dilihat adalah berkaitan pertukaran tanah yang sudah ditetapkan dalam perjanjian itu dan SPRM mahu melihat bagaimana ia sebenarnya dilaksanakan serta sama ada ia mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pembayaran dilakukan secara pertukaran tanah dan tanah tebus guna itu adalah bernilai tinggi untuk dibangunkan.

"JKR telah menetapkan nilai untuk sesuatu kajian tetapi apabila pembayaran yang dibuat adalah jauh lebih tinggi dari nilai sebenarnya, maka wujud kesangsian elemen penyelewengan," katanya.


Sumber : Berita Harian


No comments:

Post a Comment