Tuesday, May 7, 2013

Taksub pemimpin punca BN kalah di Kelantan


Taksub pemimpin punca BN kalah di Kelantan
Ahmad Atory 


Kota Bharu: Ketaksuban rakyat Kelantan terhadap pemimpin antara faktor utama menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata budaya politik di Kelantan menepati jangkaan yang PAS sekali lagi memperoleh kemenangan dalam PRU-13 walaupun sebahagian rakyat sudah boleh menerima BN.

“Ini dipanggil nilai budaya politik ‘subjek’ iaitu rakyat berpegang kepada pemimpin yang terlalu dipercayai (taksub), jadi kekalahan BN sudah boleh dijangka.

Dulu BN pernah menang di Kelantan kerana ketika itu, belum ada pemimpin yang dipuja. Jika ada tok guru pun, ia tidak 'sehebat' Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dipuja seperti sekarang,” Prof Dr Ahmad Atory Hussain, Penganalisis politik USM

“Dulu BN pernah menang di Kelantan kerana ketika itu, belum ada pemimpin yang dipuja. Jika ada tok guru pun, ia tidak ‘sehebat’ Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dipuja seperti sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Undi kerana Nik Aziz

Ahmad berkata, faktor itu juga dibuktikan melalui kajiannya apabila ramai pengundi Kelantan yang tinggal di luar termasuk Lembah Klang, Johor dan Sabah, balik mengundi semata-mata kerana Nik Aziz dan bukan disebabkan berminat dengan PAS.

Beliau tidak menganggap faktor calon penyumbang utama kepada kekalahan BN di Kelantan.
“Calon ok, program (yang dijalankan BN) berjalan lancar, jalan raya, air semua ada, malah Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) sendiri pun warak juga, cuma dia bukan lulusan (Universiti) Al-Azhar,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa yang menang majoriti 974 undi di Parlimen Ketereh mengalahkan calon PKR berkata, berbanding UMNO, PAS menangani pengundi luar dengan baik dan cukup kemas.

PAS guna sistem kader

Beliau berkata, PAS konsisten dengan menggunakan sistem kader sehingga golongan berkenaan komited terus mempertahankan PAS di Kelantan.

“Ini bukan bermakna pengundi luar tidak menyokong kita, malah saya sendiri mendapat sokongan baik daripada pengundi luar yang tinggal di Lembah Klang dan sebagainya, tetapi kita akui ada masalah dalam cara menguruskan mereka,” katanya yang kembali merampas Parlimen Ketereh selepas tewas pada 2008.

Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata pengundi luar kebanyakannya tidak didedahkan dengan situasi sebenar yang berlaku di Kelantan kerana hanya pulang sekali sekala.

Katanya, golongan itu juga diberi maklumat salah dan persepsi kurang baik mengenai program membabitkan Gelombang Merah dan anjuran UMNO daripada parti lawan.

“Kita perlu muhasabah diri dengan apa yang berlaku dan perlu sediakan barisan pelapis untuk membimbing pemimpin berkualiti,” katanya menewaskan calon PAS dengan majoriti tipis 169 undi.




No comments:

Post a Comment