Ahmad Atory
Kota Bharu: Ketaksuban rakyat Kelantan terhadap pemimpin
antara faktor utama menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri
ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM),
Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata budaya politik di Kelantan menepati
jangkaan yang PAS sekali lagi memperoleh kemenangan dalam PRU-13 walaupun
sebahagian rakyat sudah boleh menerima BN.
“Ini dipanggil nilai budaya politik ‘subjek’ iaitu rakyat
berpegang kepada pemimpin yang terlalu dipercayai (taksub), jadi kekalahan BN
sudah boleh dijangka.
Dulu BN pernah menang di Kelantan kerana ketika itu, belum
ada pemimpin yang dipuja. Jika ada tok guru pun, ia tidak 'sehebat' Datuk Nik
Aziz Nik Mat yang dipuja seperti sekarang,” Prof Dr Ahmad Atory Hussain,
Penganalisis politik USM
“Dulu BN pernah menang di Kelantan kerana ketika itu, belum
ada pemimpin yang dipuja. Jika ada tok guru pun, ia tidak ‘sehebat’ Datuk Nik
Aziz Nik Mat yang dipuja seperti sekarang,” katanya ketika dihubungi di sini,
semalam.
Undi kerana Nik Aziz
Ahmad berkata, faktor itu juga dibuktikan melalui kajiannya
apabila ramai pengundi Kelantan yang tinggal di luar termasuk Lembah Klang,
Johor dan Sabah, balik mengundi semata-mata kerana Nik Aziz dan bukan
disebabkan berminat dengan PAS.
Beliau tidak menganggap faktor calon penyumbang utama kepada
kekalahan BN di Kelantan.
“Calon ok, program (yang dijalankan BN) berjalan lancar,
jalan raya, air semua ada, malah Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) sendiri
pun warak juga, cuma dia bukan lulusan (Universiti) Al-Azhar,” katanya.
Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa yang menang majoriti 974
undi di Parlimen Ketereh mengalahkan calon PKR berkata, berbanding UMNO, PAS
menangani pengundi luar dengan baik dan cukup kemas.
PAS guna sistem kader
Beliau berkata, PAS konsisten dengan menggunakan sistem kader
sehingga golongan berkenaan komited terus mempertahankan PAS di Kelantan.
“Ini bukan bermakna pengundi luar tidak menyokong kita, malah
saya sendiri mendapat sokongan baik daripada pengundi luar yang tinggal di
Lembah Klang dan sebagainya, tetapi kita akui ada masalah dalam cara
menguruskan mereka,” katanya yang kembali merampas Parlimen Ketereh selepas
tewas pada 2008.
Setiausaha BN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad, berkata
pengundi luar kebanyakannya tidak didedahkan dengan situasi sebenar yang
berlaku di Kelantan kerana hanya pulang sekali sekala.
Katanya, golongan itu juga diberi maklumat salah dan persepsi
kurang baik mengenai program membabitkan Gelombang Merah dan anjuran UMNO
daripada parti lawan.
“Kita perlu muhasabah diri dengan apa yang berlaku dan perlu
sediakan barisan pelapis untuk membimbing pemimpin berkualiti,” katanya
menewaskan calon PAS dengan majoriti tipis 169 undi.
No comments :
Post a Comment