Persatuan
putar belit fakta PPPM, cuba politikkan isu kelas bahasa Malaysia
Kempen
tandatangan yang dilakukan Dong Zong iaitu Gabungan Persatuan Pengelola Sekolah
Cina Malaysia untuk membantah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025, adalah tindakan yang menjijikkan. Ia juga memperlihatkan betapa
'bebalnya' gabungan ini yang tidak dapat melihat kebaikan pada beberapa usaha
dalam PPPM.
Dong
Zong mendakwa PPPM mempunyai agenda tersirat untuk menghapuskan pendidikan
vernakular Cina. Hal ini disandarkan penelahannya yang dipersepsikan sebagai
memiliki unsur yang menidakkan fenomena kepelbagaian bahasa dalam sistem
pendidikan negara.
Dalam
pada itu, Dong Zong mencemuh PPPM sebagai menganjurkan asimilasi kaum, melalui
pelaksanaan dasar untuk mewujudkan persekolahan satu aliran sahaja.
Sebenarnya
semua tuduhan Dong Zong tak berasas. Ia tidak dibicarakan dalam PPPM. Hanya
penelahan Dong Zong yang disarati prasangka dan konsepsi salah itu mengherotkan
fahamannya bahawa semua ini wujud sebagai agenda tersembunyi dalam PPPM.
Usaha
memperbaiki tahap pengetahuan dan penguasaan bahasa Malaysia untuk murid tahap
dua iaitu Darjah Empat sehingga Darjah Enam, dengan menambah masa pembelajaran
dari 180 minit ke 270 minit seminggu bukan sahaja ditolak, malah ia
diputarbelitkan sehingga menimbulkan tentangan daripada kaum Cina, bahawa ia
akan menjejaskan sifat sekolah vernakular Cina.
Kelas
pemulihan pelajar lemah
Dalam
hal ini, jumlah peningkatan masa yang dihebohkan Dong Zong kepada khalayak
ialah 570 minit seminggu. Jumlah ini mencampurkan 270 minit untuk kelas biasa
dalam waktu pendidikan, dengan kelas pemulihan maksimum 300 minit yang
dilakukan di luar waktu pendidikan.
Kelas
pemulihan ini adalah untuk murid tahap dua di sekolah jenis kebangsaan misalnya
Darjah Empat, yang didapati lemah dalam bahasa Malaysia. Ia diadakan sebagai
langkah pembaikan dan tidak mengambil lebih daripada tiga bulan dalam sesi
persekolahan sepanjang tahun.
Pada
kebiasaannya, kelas begini antara seorang guru dengan lima murid pada kadar
maksimum diadakan minimum 120 minit dan maksimum 300 minit seminggu. Ia
sebenarnya membabitkan murid yang langsung tidak boleh membaca dan menulis
dalam bahasa Malaysia.
Tiada
penjelasan lanjut
Justeru,
bukan sahaja tidak tepat untuk Dong Zong menonjolkan jumlah 570 minit sebagai
membabitkan semua murid, ia amat mengelirukan dengan tiada penjelasan baik
tentang jumlah maksimum 300 minit yang dikenakan kepada sebilangan murid
sahaja.
Niat
murni kerajaan memberi pemulihan kepada murid Cina bukan sahaja tidak dihargai,
malah diselewengkan sehingga menimbulkan rasa tegang antara kaum Cina dengan
kerajaan.
Sehubungan
itu, ke mana perginya rasa tanggungjawab Dong Zong kepada kaum Cina selaku
pelindung dalam bidang pendidikan? Sepatutnya dua kelas ini diterima untuk
kebaikan murid Cina yang lemah dalam bahasa Malaysia, agar tidak keciciran
apabila berada di sekolah menengah. Ini kerana bahasa Malaysia bahasa pengantar
utama.
Sebaliknya
Dong Zong bukan sahaja gagal menghargainya, malah mempolitikkannya dengan
meminta parti pembangkang mengecam PPPM. Dalam hal ini, Dong Zong sama sekali
tidak tahu kegunaan 270 dan 300 minit seminggu ini, apatah lagi memanfaatkannya
untuk kebaikan kaum Cina.
Oleh
sebab maklumat yang diherotkan ini, kaum Cina bukan sahaja melenting tetapi
menyokong Dong Zong untuk membantah PPPM. Ini dilakukan bukan sahaja dengan
menandatangani bantahan PPPM, malah diiringi cemuhan terhadap kerajaan.
Penjelasan
mengenai jumlah masa ini, sama ada 270 minit atau 300 minit ini perlu diberi
oleh kerajaan kepada kaum Cina agar mereka memahami tujuan baiknya. Sebagai
kelompok yang pragmatik, mereka pasti dapat menilai kebaikan usaha ini.
Dengan
ini, kaum Cina tidak boleh menyokong Dong Zong dalam hal ini. Jangan turunkan
tandatangan untuk membantah PPPM. Sebaliknya, PPPM perlu disokong sepenuhnya
oleh semua pihak. PPPM memenuhi semua aspek pendidikan untuk semua pihak.
Teo Kok Seong
Penulis ialah
Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Berita Harian