AIDCNews – 8/8/14 – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim menolak keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
“PAS tidak
membuat keputusan bagi mewakili PKR. Sebagai sekutu dalam Pakatan Rakyat, kita
mengormati pandangan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu
Pejabat PKR, petang Jumaat, lapor Mstar.
Anwar berkata Majlis Syura Ulama PAS bukan merupakan
Majlis Syura Pakatan, maka PKR tidak terikat dengan keputusan yang dibuat badan
itu.
“Majlis Syura Ulama PAS bukan Majlis Syura Pakatan,”
katanya.
Majlis Syura Ulama dalam satu kenyataan yang
ditandatangani Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya,
Datuk Dr Haron Din, memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai MB Selangor
selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.
“Keputusan ini dibuat berasaskan hukum syarak dan
melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan
parti.
“Maka selagi (Khalid) tidak disabitkan sebarang pelanggaran
terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura
Ulama PAS memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,”
demikian menurut kenyataan itu.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Syura
Ulama PAS di Kota Bharu pada Selasa.
Anwar
dilaporkan The Malaysian
Insider berkata keputusan Majlis Syura PAS yang mahu
mengekalkan Khalid disebabkan kurangnya fakta sebenar berkaitan menteri besar
Selangor itu.
“Saya fikir ada isu yang kita perlu perjelaskan kepada
mereka (Majlis Syura) yang mereka tidak ketahui sebelum ini.
“Khalid bukan saja seorang pemimpin PKR dan menteri
besar tetapi juga seorang rakan. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini luar
daripada etika,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keengganan peletakan jawatan
Khalid sama seperti yang dilakukannya pada 1998, Anwar berkata isu Langkah
Kajang bukan sesuatu yang baru dan pernah dibincangkan sejak 15 Januari lalu.
Katanya, walaupun Khalid tidak memberi sokongan kepada
Langkah Kajang namun beliau adalah pengarah piliham raya kecil Kajang tempoh
hari.
“Banyak pertemuan di antara pemimpin PR dan Khalid.
Saya tidak rasa sesuai menyamakan peralihan 1998 dengan isu yang dibangkitkan
sekarang.
“Saya dapat menjelaskan proses peralihan MB melalui
pelbagai mesyuarat, rundingan dan nasihat sejak enam bukan lalu,” katanya.
Anwar berkata isu MB Selangor akan dibincangkan esok
oleh Majlis Pimpinan Pusat namun tidak pasti sama ada satu keputusan akan
diberikan kepada Khalid.
The Malaysian
Insider turut melaporkan PKR telah meminta semua wakil
rakyatnya di Selangor untuk bersumpah memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.
Arahan yang dikeluarkan beberapa jam selepas Khalid
dipanggil semalam menghadiri perbicaraan Lembaga Disiplin hari ini untuk
menjelaskan keengganan beliau meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor.
The Malaysian Insider ditunjukkan satu salinan akuan
berkanun yang dihantar kepada sekurang-kurangnya 12 daripada 14 wakil rakyat
PKR di Selangor
Kenyataan bersumpah itu mengesahkan wakil rakyat
berkenaan hilang kepercayaan kepada Khalid sebagai menteri besar dan berikrar
menyokong Dr Wan Azizah untuk mengambil alih tugas itu.
Satu sumber PKR berkata, wakil rakyat perlu
menandatangani beberapa borang dan menyerahkannya kepada Anwar selewat-lewatnya
jam 10 pagi hari ini.
Tidak diketahui apakah semua wakil rakyat PKR
menandatangani akuan berkanun itu menjelang mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat
(PR) yang dijadualkan pada Ahad ini.
“Langkah ini bertujuan memantapkan lagi sokongan
kepada Dr Wan Azizah di Selangor. Beliau disokong pucuk pimpinan, kini sokongan
perlu datang daripada wakil rakyat Selangor,” kata sumber dalaman parti.
No comments:
Post a Comment