Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, August 9, 2014

MB Selangor : Anwar Tolak Keputusan Majlis Syura Ulama PAS

AIDCNews – 8/8/14 – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
“PAS tidak membuat keputusan bagi mewakili PKR. Sebagai sekutu dalam Pakatan Rakyat, kita mengormati pandangan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, petang Jumaat, lapor Mstar.
Anwar berkata Majlis Syura Ulama PAS bukan merupakan Majlis Syura Pakatan, maka PKR tidak terikat dengan keputusan yang dibuat badan itu.
“Majlis Syura Ulama PAS bukan Majlis Syura Pakatan,” katanya.
Majlis Syura Ulama dalam satu kenyataan yang ditandatangani Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din, memutuskan untuk mengekalkan Khalid sebagai MB Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah.
“Keputusan ini dibuat berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mesti mendahului kepentingan individu dan parti.
“Maka selagi (Khalid) tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk mengekalkan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” demikian menurut kenyataan itu.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS di Kota Bharu pada Selasa.
Anwar dilaporkan The Malaysian Insider berkata keputusan Majlis Syura PAS yang mahu mengekalkan Khalid disebabkan kurangnya fakta sebenar berkaitan menteri besar Selangor itu.
“Saya fikir ada isu yang kita perlu perjelaskan kepada mereka (Majlis Syura) yang mereka tidak ketahui sebelum ini.
“Khalid bukan saja seorang pemimpin PKR dan menteri besar tetapi juga seorang rakan. Saya tidak mahu memanjangkan isu ini luar daripada etika,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keengganan peletakan jawatan Khalid sama seperti yang dilakukannya pada 1998, Anwar berkata isu Langkah Kajang bukan sesuatu yang baru dan pernah dibincangkan sejak 15 Januari lalu.
Katanya, walaupun Khalid tidak memberi sokongan kepada Langkah Kajang namun beliau adalah pengarah piliham raya kecil Kajang tempoh hari.
“Banyak pertemuan di antara pemimpin PR dan Khalid. Saya tidak rasa sesuai menyamakan peralihan 1998 dengan isu yang dibangkitkan sekarang.
“Saya dapat menjelaskan proses peralihan MB melalui pelbagai mesyuarat, rundingan dan nasihat sejak enam bukan lalu,” katanya.
Anwar berkata isu MB Selangor akan dibincangkan esok oleh Majlis Pimpinan Pusat namun tidak pasti sama ada satu keputusan akan diberikan kepada Khalid.
The Malaysian Insider turut melaporkan PKR telah meminta semua wakil rakyatnya di Selangor untuk bersumpah memberikan sokongan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor.
Arahan yang dikeluarkan beberapa jam selepas Khalid dipanggil semalam menghadiri perbicaraan Lembaga Disiplin hari ini untuk menjelaskan keengganan beliau meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor.
The Malaysian Insider ditunjukkan satu salinan akuan berkanun yang dihantar kepada sekurang-kurangnya 12 daripada 14 wakil rakyat PKR di Selangor
Kenyataan bersumpah itu mengesahkan wakil rakyat berkenaan hilang kepercayaan kepada Khalid sebagai menteri besar dan berikrar menyokong Dr Wan Azizah untuk mengambil alih tugas itu.
Satu sumber PKR berkata, wakil rakyat perlu menandatangani beberapa borang dan menyerahkannya kepada Anwar selewat-lewatnya jam 10 pagi hari ini.
Tidak diketahui apakah semua wakil rakyat PKR menandatangani akuan berkanun itu menjelang mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan pada Ahad ini.

“Langkah ini bertujuan memantapkan lagi sokongan kepada Dr Wan Azizah di Selangor. Beliau disokong pucuk pimpinan, kini sokongan perlu datang daripada wakil rakyat Selangor,” kata sumber dalaman parti.

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.