Kementerian
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak
RM144.36 juta bagi pembangunan luar bandar di Kelantan tahun ini.
Menterinya
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia menunjukkan peningkatan
sebanyak RM33.56 juta berbanding RM110.8 juta pada tahun lepas,
sekali gus menepis tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan
Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) menganaktirikan Kelantan.
“BN
sentiasa membela rakyat tak kira negeri itu diperintah oleh parti
mana sekalipun dan rakyat perlu terus memberi sokongan kepada BN
untuk terus memerintah agar nasib mereka terbela,” katanya pada
sidang akhbar selepas merasmikan Jambatan Sungai Pergau yang
menghubungkan Kampung Biak dan Kampung Kandek di Dabong di sini, hari
ini.
Hadir
sama Timbalan Menteri KKLW Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Dabong merangkap Ketua UMNO Bahagian Kuala
Krai Datuk Ramzi Ab Rahman dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan
Selatan (Kesedar) merangkap ADUN Kuala Balah Datuk Abdul Aziz
Derashid.
Mengulas
lanjut, Ismail Sabri berkata antara projek pembangunan luar bandar
yang telah dan sedang dilaksanakan di Kelantan khususnya di Kuala
Krai, meliputi pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Taman
Melati dan Kampung Gatal dengan kos RM3.9 juta.
Selain
itu, beliau berkata projek lain termasuk pembinaan jambatan baharu
Kampung Pemberian (RM30 juta), pembinaan jalan dari simpang Ladang
Serasa di Gua Musang ke Kampung Lulut (RM49 juta) dan Dewan Terbuka
Jelawang (RM3.9 juta).
“Bagi
projek pembinaan jambatan Sungai Pergau ini pula, ia melibatkan kos
sebanyak RM28 juta yang memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk
Kampung Biak dan kawasan sekitarnya yang sebelum ini dihubungkan
menerusi jalan air sahaja.
“Jambatan
berkenaan sepanjang 320 meter akan memudahkan penduduk yang
rata-ratanya bekerja sebagai penoreh getah untuk membawa keluar hasil
pertanian mereka ke bandar Kuala Krai, Jeli atau Tanah Merah tanpa
perlu menggunakan khidmat orang tengah, sekali gus meningkatkan hasil
pendapatan penduduk,” katanya.
Sementara
itu, Ramzi dalam ucapannya berkata pembinaan jambatan itu mengakhiri
penantian lebih 50 tahun penduduk di Kampung Biak dan kawasan
sekitarnya untuk akses kepada jalan perhubungan darat.
“Sebelum
ini, penduduk termasuk guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Dabong yang tinggal di Kampung Biak menggunakan perahu untuk
menyeberangi Sungai Pergau untuk ke Kampung Kandek.
“Penduduk
berdepan pelbagai masalah, antaranya tidak dapat menggunakan bot jika
air sungai kering dan ketika musim tengkujuh, air sungai akan menjadi
deras dan berbahaya,” katanya.
No comments:
Post a Comment