Kadir Jasin menulis berkenaan lawatan kerja YAB PM
ke China dan melahirkan rasa kebimbangan beliau dan kenalan beliau tentang
bahaya apabila Malaysia terlalu bergantung kepada China.
Kadir juga berkata bahawa ramai rakyat Malaysia
risau tentang kebergantungan negara kita kepada China.
Kadir menuduh bahawa PM menggadaikan masa depan
negara dan cucu cicit kita kepada China semata-mata kerana mahu menimbus RM50
billion hutang 1MDB.
1MDB menjual 100% aset kuasa (Edra) kepada China
General Nuclear Power Corporation dan 60% ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd
(Bandar Malaysia) kepada sebuah konsortium yang dibentuk oleh syarikat tempatan
Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan syarikat China Railway Engineering
Corporation (CREC) di mana baki 40% ekuiti masih dimiliki 1MDB.
Kadir menyatakan bahawa 1MDB menjual Edra dalam
keadaan terdesak dan menanggung kerugian apabila terpaksa menjual Edra dengan
harga lelong berjumlah RM9.2 billion lebih rendah RM3 billion daripada harga
belian.
Malangnya Kadir tidak memaklumkan kepada pembaca
beliau bahawa dengan penjualan Edra kepada CGN, 1MDB berjaya mengurangkan
hutang sejumlah RM14.2 billion yang mana RM7.43 billion adalah hutang yang
diwarisi daripada aset-aset penjanakuasa tersebut dan RM6.76 billion adalah
hutang yang dibuat untuk membeli aset-aset penjanakuasa tersebut.
Penjualan Edra kepada CGN: Laporan PAC 1MDB
Kadir juga gagal memaklumkan kepada pembaca beliau
bahawa RM9.2 billion hasil jualan yang diterima daripada CGN juga telah
digunakan untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB lain dan berbaki RM2.32
billion.
Hasil Penjualan Edra: Laporan PAC 1MDB
Sejak daripada itu 1MDB telah pun menyelesaikansegala hutang bank dan hutang jangka pendek berjumlah RM7.25 billion.
Penjualan ekuiti Bandar Malaysia sebanyak 60%
kepada konsortium IWH — CREC tidak sepatutnya
menjadi isu kerana CREC hanya mempunyai pegangan sebanyak 40% di dalam
konsortium tersebut dan 60% selebihnya dimiliki IWH yang juga dimiliki oleh
Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Credence Resources Sdn Bhd dengan
nisbah pemilikan 40:60.
Struktur Pemilikan Ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd
Secara ringkas CREC hanya akan memiliki 24%
daripada keseluruhan ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd melalui pemilikan 40% ekuiti
di dalam Konsortium IWH-CREC dan selebihnya dimiliki 1MDB (40%) dan IWH (36%)
di mana melalui pegangan ekuiti di dalam IWH, KPRJ yang juga syarikat milik
penuh kerajaan negeri Johor memiliki 14.4% dan Credence Resources milik Lim
Kang Hoo memiliki 21.6% daripada ekuiti Bandar Malaysia.
Tidak timbul isu kerajaan menggadaikan tanah
kepada China untuk menanggung hutang 1MDB seperti yang digambarkan Kadir Jasin
di dalam tulisan beliau.
Jika kerajaan ingin menggadaikan masa depan negara
dan cucu cicit kita bukankah sepatutnya lebih mudah kerajaan menjual 100%
ekuiti Bandar Malaysia kepada CREC?
Kadir mahu dana-dana dan syarikat-syarikat
tempatan terlibat di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dan TRX tetapi
apakah jaminan bahawa jika dana dan syarikat tempatan terlibat dalam projek
Bandar Malaysia dan TRX, kerajaan tidak akan dituduh cuba bail-out 1MDB melalui
KWSP, KWAP, PNB, LTH, LTAT dan lain lain?
Sedangkan pembelian sebidang tanah TRX oleh Tabung
Haji juga ramai yang menuduh ianya sebagai bail-out apatah lagi jika dana-dana
berkaitan kerajaan yang lain terlibat dengan projek pembangunan Bandar Malaysia
secara penuh.
Adakah menarik pelaburan dari China sekarang
digelar sebagai menjual masa depan negara dan masa depan cucu cicit kita semua?
Sehingga 30 Jun 2016, pelabur-pelabur asing
memiliki RM1.575 trillion pelaburan di dalam Malaysia melalui pelaburan
langsung, pelaburan portfolio dan derivatif kewangan.
Daripada jumlah pelaburan asing tersebut RM598
billion adalah kedudukan pelaburan langsung liabiliti Malaysia yang bermaksud
RM598 billion adalah jumlah stok pelaburan langsung pelabur-pelabur dari luar
negara di dalam Malaysia.
Kedudukan Pelaburan Antarabangsa, 2015–2016:
Jabatan Perangkaan Negara
Daripada RM598 billion kedudukan pelaburan asing
di dalam negara kita, kurang daripada 10% adalah pelaburan langsung daripada
China (termasuk Hong Kong):
Kedudukan Pelaburan Langsung Liabiliti Mengikut
Blok Negara, 2015–2016: Jabatan Perangkaan Negara
Setakat suku kedua 2016, kedudukan pelaburan
langsung China (termasuk Hong Kong) di dalam Malaysia adalah RM49.56 billion
atau lebih kurang 8.3% daripada keseluruhan pelaburan asing di dalam Malaysia.
Berbanding pelaburan asing daripada Singapura yang
bernilai RM127 billion, Jepun RM75 billion, Belanda RM49 billion, USA RM46
billion yang mewakili hampir 50% daripada kedudukan pelaburan asing di
Malaysia, mengapa hanya pelaburan dari China sahaja yang dikira sebagai menjual
masa depan dan cucu cicit negara?
Aliran Bersih FDI di Malaysia Mengikut Rantau
2012–2015: Jabatan Perangkaan Negara
Malah aliran bersih pelaburan langsung asing dari
negara-negara lain lebih tinggi daripada aliran bersih pelaburan langsung asing
dari China tahun lepas seperti Singapura, Jepun, Belanda, UAE, USA tetapi tiada
siapa yang menuduh PM dan kerajaan Malaysia menjual masa depan negara dan cucu
cicit kepada negara-negara tersebut.
Hanya China yang menjadi perhatian Kadir kerana
China melabur di dalam Malaysia dengan membeli ekuiti di dalam Edra dan Bandar
Malaysia yang berkaitan dengan 1MDB.
Selain daripada sumber pelaburan China juga
merupakan rakan dagangan (eksport-import) utama Malaysia.
Malaysia Total Exports and Imports: MATRADE
Sehingga Ogos tahun ini nilai dagangan antara
Malaysia adalah sejumlah RM149.33 billion.
Malaysia menjual barangan kepada China dan
Malaysia juga membeli barangan daripada China di dalam perdagangan eksport dan
import setiap bulan.
Tak tahulah bagaimana ini dikatakan sebagai
menjual masa depan negara kerana Malaysia memang sebuah negara terbuka yang dan
mempunyai sektor perdagangan yang amat pesat dengan kebanyakan negara-negara
asing bukan China sahaja.
Lawatan YAB PM ke China sepatutnya disambut baik
oleh rakyat Malaysia kerana ianya dapat mengukuhkan lagi hubungan pelaburan dan
perdagangan antara kedua-dua buah negara.
Lawatan ini tidak bermaksud Malaysia akan
mengabaikan negara yang lain kerana banyak lagi negara-negara lain yang
mempunyai kepentingan yang lebih besar dari segi pelaburan dan perdagangan di
dalam Malaysia.
Berbanding parti politik DAP yang sering
memburuk-burukkan nama negara, menegangkan hubungan antara kaum dan pelbagai
perkara negatif yang dibawa mereka, pelaburan dan perdagangan di antara
Malaysia dengan China membawa banyak manfaat kepada rakyat seperti peluang
pekerjaan kepada rakyat dan pembangunan ekonomi negara.
Tidak perlulah Kadir Jasin membandingkan sebuah
parti politik pembangkang dengan negara rakan dagangan dan pelaburan Malaysia.
Soal kedaulatan negara berkaitan isu tuntutan
sempadan Laut China Selatan memang perlu diberi perhatian oleh kerajaan tetapi
ianya tidak berkaitan dengan isu pelaburan, perdagangan, 1MDB atau Bandar
Malaysia seperti yang cuba dikaitkan pihak-pihak tertentu termasuk Kadir
sendiri.
Hujah-hujah di dalam tulisan Kadir Jasin sejak
kebelakangan ini persis hujah-hujah yang dibangkitkan DAP.
Najib jual negara, Malaysia bakal muflis, kerajaan
ketiadaan wang dan sebagainya adalah hujah-hujah yang sering diulang-ulang DAP
yang kini dibangkitkan oleh Kadir Jasin dan sekutunya di dalam PPBM.
Malaysia tidak terlalu bergantung kepada China
seperti yang digambarkan mereka dan tidak ada apa bahayanya bergantung kepada
China sebagai rakan dagangan dan pelaburan penting negara kita.
Kepada Kadir Jasin, sebenarnya lebih bahaya bila
anda terlalu bergantung kepada hujah-hujah DAP untuk menyerang pentadbiran
negara dan UMNO.
Rakyat boleh menilai dan membezakan antara China
sebuah negara dan DAP sebuah parti dikuasai kaum cina.
Rujukan:
1. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
Ke Atas 1MDB
2. Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia Suku
Kedua 2016: Jabatan Perangkaan Negara
3. Statistik Pelaburan Langsung Asing di Malaysia
2015: Jabatan Perangkaan Negara
4. Malaysia's Trade Statistics: MATRADE
No comments :
Post a Comment