Saya ada terbaca tulisan terbaru Tun Mahathir yang
menyentuh tentang hutang kerajaan yang bertajuk "Najib Pinjam Lagi".
Walaupun siri tulisan Tun kali ini adalah ulangan
dan kitar semula daripada tulisan beliau sebelum ini dan telah pun saya jawab,
saya berazam selagi Tun menulis walaupun berulang-ulang tulisannya itu saya
tetap akan menjawab tulisan Tun supaya tidak ramai rakyat Malaysia akan percaya
bulat-bulat dengan apa yang Tun tulis.
1. Najib isytihar pinjaman sebanyak 55 billion
Ringgit dari sebuah syarikat di masa lawatannya ke China.
Betul. Malaysia akan meminjam daripada China
melalui Export-Import (EXIM) Bank sejumlah RM55 billion. Pinjaman mudah ini
jika mengikut rekod pinjaman-pinjaman China melalui EXIM Bank kepada negara
lain akan dikenakan kadar faedah sebanyak 2-3% untuk tempoh masa 20 tahun di
mana untuk 7 tahun pertama Malaysia tidak perlu membayar apa-apa kepada EXIM
Bank. [1] [2]
Pinjaman daripada negara luar yang mengambil masa
berdekad dengan kadar faedah yang rendah dan tempoh 5-7 tahun pertama tanpa
perlu membayar apa-apa adalah perkara biasa.
Di zaman Tun Mahathir sebagai PM, pada tahun 1994,
kerajaan Malaysia meminjam 50.3 billion Yen atau RM1.17 billion (RM1 = 43.10
Yen) daripada kerajaan Jepun melalui Japanese International Cooperation Agency
(JICA) untuk membiayai sebahagian kos membina KLIA. [3]
Pinjaman bernilai 50.3 billion Yen ini adalah
untuk tempoh 25 tahun dengan kadar faedah yang dikenakan sejumlah 3% dan 7
tahun pertama kerajaan Malaysia tidak perlu membayar apa-apa kepada kerajaan
Jepun.
Pinjaman ini masih lagi ditanggung oleh kerajaan
melalui KLIA Berhad iaitu agensi yang meminjam daripada Official Development
Assistance (ODA) di bawah kerajaan Jepun sehingga sekarang seperti tercatat di
dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015. [4]
Setakat 31 Disember 2015, kerajaan Malaysia masih
menanggung RM320 juta hutang untuk pembinaan KLIA kepada kerajaan Jepun.
Ini tidak termasuk pinjaman lain daripada kerajaan
luar untuk pelbagai projek-projek pembangunan seperti Projek Empangan Beris,
Projek Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak, Projek Penyaluran Air Mentah
Pahang-Selangor dan pelbagai lagi projek yang mana Tun Mahathir mendapatkan
bantuan kerajaan luar negara seperti tercatat dalam Penyata Kewangan Kerajaan
Persekutuan.
Hutang-hutang puluhan tahun ini masih lagi
ditanggung oleh pembayar cukai sekarang.
Hutang Kerajaan Persekutuan Daripada Kerajaan
Luar: Jabatan Akauntan Negara
Pinjaman RM55 billion daripada China sekarang
sememangnya besar berbanding pinjaman RM1.17 billion daripada Jepun pada tahun
1994.
Tetapi perbandingan dengan angka mutlak adalah
tidak adil kerana sepatutnya apa-apa perbandingan angka kewangan dan ekonomi
diambil kira secara relatif dan dalam kes ini jumlah pinjaman perlulah
mengambil kira saiz ekonomi Malaysia.
Pada tahun 1994 ekonomi Malaysia hanya bersaiz
RM195 billion manakala pada tahun 2015 ekonomi Malaysia bersaiz RM1.15 trillion.
Adalah logik pinjaman untuk projek pembangunan
dari luar akan menjadi semakin besar dari segi jumlah pinjaman mutlak kerana
faktor inflasi tetapi tidak wajar sama sekali kita mengabaikan ekonomi negara
yang sudah berkembang hampir 10 kali ganda sejak 20 tahun dahulu.
2. Pinjaman ini adalah untuk membangunkan landasan
keretapi letrik di Pantai Timur.
Betul.
3. Kerajaan Najib telah pun pinjam 42 billion
Ringgit untuk 1MDB. Kerana tidak membayar faedah dan pokok, hutang ini
meningkat kepada lebih 53 billion Ringgit. Tidak ternampak sedikit pun
pelaburan yang memberi keuntungan yang boleh diguna untuk bayar hutang. Sudah
tentu jika tidak dibayar faedah hutang ini akan meningkat lagi.
Tidak betul. Tun sepatutnya lebih peka dengan
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh 1MDB. 1MDB telah berjaya melangsaikan
hutang-hutang jangka pendek dan banknya selepas menjual syarikat kuasa EDRA
kepada China General Nuclear awal tahun ini. [5]
1MDB sudah pun mengurangkan hutang lebih RM14
billion dan juga membayar balik sepenuhnya kemudahan kredit (standby credit)
berjumlah RM950 juta yang diberi oleh kerajaan. [6]
Hutang yang masih tinggal adalah hutang dalam
bentuk bon dan sukuk jangka masa panjang yang masih dibayar 1MDB setiap tahun
tanpa gagal.
Hari ini juga 1MDB baru sahaja membayar faedah
berjumlah USD52.4 juta ke atas sukuk bernilai USD1.75 billion jadi tidak timbul
isu 1MDB tidak mampu membiayai hutang dalam bentuk bon dan sukuk jangka masa
panjang.
4. Najib juga merancang untuk mengadakan keretapi
kelajuan tinggi antara Singapura dan Kuala Lumpur. Untuk projek ini Najib perlu
hutang lebih kurang 50 billion Ringgit lagi.
Betul.
5. Jumlah semua melebihi 160 billion.
Tolak angka kasar hutang 1MDB yang tidak tepat,
betul jumlah pinjaman projek ECRL, HSR dan 1MDB melebihi RM100 billion.
Saya tak faham apa isunya di sini kerana hutang
keseluruhan kerajaan persekutuan adalah berjumlah RM643 billion setakat suku
ketiga 2016 atau 52.2% daripada saiz ekonomi Malaysia [7]
Kerajaan Malaysia belum pernah gagal membayar
hutang kepada pemiutang dan tidak pernah menyembunyikan jumlah hutang sebenar
yang ditanggung mereka.
6. Kita
tidak diberi maklumat tentang pelaburan 1MDB selain dari kerugian membeli stesen
janakuasa dan menjualnya kepada syarikat China dengan kerugian yang besar.
Saya tak mahu ulas panjang tentang
"kerugian" penjualan EDRA kepada China. Jika dicampur dividen
daripada EDRA kepada 1MDB sejumlah RM2 billion, 1MDB secara asasnya tidak
untung dan tidak rugi di atas urusniaga pembelian aset-aset penjanakuasa.
Harga belian RM12.1 billion, harga jualan RM9.83
billion campur dengan dividen lebih kurang RM2 billion, pelaburan 1MDB di dalam
EDRA boleh dikatakan pulang modal.
Bacaan lanjut boleh didapati di laman web 1MDB.
[8]
7. Tetapi
berkenaan pinjaman sebanyak 55 billion untuk landasan keretapi, kita boleh
ramal ke mana akan perginya wang 55 billion ini.
8. Kalau
benar kos landasan Pantai Timur ialah 55 billion, yang akan dapat keuntungan
ialah kontraktor asing yang tentu akan membangun projek ini.
9. Mereka
akan membawa masuk segala bahan teknologi, pekerja dari negara mereka. Projek
ini akan ambil masa sekurang-kurangnya 7 tahun, mungkin lebih. Pekerja mereka,
seramai puluhan ribu mestilah di tempat di sini, khusus di Kelantan, Terengganu
dan Pahang.
10. Kos
semua ini akan diperolehi hampir semuanya oleh kontraktor luar negeri. Jadi
wang yang dipinjam dari syarikat negara China akan kembali ke sana.
11. Di
masa yang sama bayaran hutang sebanyak 55 billion dengan faedah akan kembali ke
negara itu juga. Mungkin pembayaran akan ambil masa 30 tahun atau lebih. Jumlah
bayaran bersama dengan faedah selama 30 tahun akan meningkat kepada 90 billion
Ringgit.
12.
Kemudian datang keperluan membeli “rolling stock” iaitu gerabak-gerabak
elektrik yang akan menelan belanja berbillion lagi. Sekali lagi wang berbillion
akan mengalir keluar negeri.
13.
Pekerja luar yang dibayar gaji di sini akan hantar separuh balik ke
negara mereka. Sekali lagi wang kita akan mengalir keluar negeri.
Kemana RM55 billion akan pergi?
Ke 620KM landasan keretapi yang akan dibina.
Bukan kontraktor China sahaja yang akan mendapat
manfaat daripada projek ECRL, tetapi syarikat-syarikat tempatan seperti MMC,
Gamuda, Ahmad Zaki Resources, UEM Group, MRCB, YTL Corp, IJM dan WCT adalah
yang dijangka akan mendapat manfaat daripada pakej-pakej kerja yang akan
ditawarkan dibawah projek ini. [9]
Kontraktor-kontraktor tempatan yang mendapat pakej
kerja projek ECRL juga akan memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan
terutamanya dalam bidang profesional seperti jurutera-jurutera tempatan.
Menteri Abdul Rahman Dahlan sudah pun mengesahkan
bahawa RM55 billion kos projek ECRL ini adalah termasuk rolling stock dan
bukannya berasingan seperti didakwa Tun. [10]
Tahun lepas terdapat 2.135 juta pekerja asing di
Malaysia menurut data yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU)
Tambahan beberapa ribu pekerja dari China bukanlah
suatu angka yang menakutkan berbanding jumlah pekerja asing sedia ada di dalam
Malaysia.
Malah sebelum China membawa masuk berpuluh ribu
pekerja mereka untuk projek ECRL, aliran keluar wang daripada Malaysia ke luar
negara dalam bentuk kiriman wang oleh pekerja asing ke negara mereka telah pun
mencecah RM34 billion tahun lepas sahaja [12]
Aliran keluar wang disebabkan kiriman wang pekerja
asing di Malaysia ke negara asal mereka sentiasa meningkat setiap tahun
disebabkan pertambahan pekerja asing di Malaysia dan juga kenaikan gaji.
Jika benar pun berpuluh ribu pekerja China akan
datang ke Malaysia dan mengirim wang ke negara asal mereka, saya tak nampak apa
isunya kerana lebih 2 juta pekerja asing sedia ada sudahpun mengirim berpuluh
billion Ringgit ke luar negara sebagai kiriman kepada keluarga mereka.
Dari segi pendapatan pelaburan pula, syarikat
Malaysia yang melabur di luar negara akan menerima pendapatan dari operasi
mereka di luar negara dan membawa pulang wang tersebut begitu juga sebaliknya
syarikat luar negara yang melabur di dalam Malaysia akan menjana pendapatan di
dalam Malaysia dan membawa keluar wang tersebut dari Malaysia ke negara mereka.
Di dalam akaun semasa dalam imbangan pembayaran
ada tercatat jumlah pendapatan pelaburan oleh syarikat Malaysia yang melabur di
luar negara dan juga jumlah pendapatan pelaburan oleh syarikat luar negara yang
melabur di dalam Malaysia:
Akaun Semasa, Imbangan Pembayaran: Jabatan
Perangkaan Negara
Kredit (dalam kotak biru) bagi pendapatan
pelaburan bermaksud pendapatan pelaburan syarikat Malaysia dari luar negara dan
debit (dalam kotak merah) adalah pendapatan pelaburan syarikat luar negara yang
melabur di dalam Malaysia.
Pendapatan pelaburan bersih (kredit tolak debit)
Malaysia sentiasa dalam keadaan defisit sejak berdekad yang lalu dengan erti
kata yang lain syarikat-syarikat asing yang melabur di Malaysia membawa keluar
lebih banyak pendapatan dari Malaysia ke negara asal masing-masing berbanding
syarikat-syarikat Malaysia yang membawa pulang pendapatan dari luar negara
balik ke Malaysia:
Ini juga bermaksud lebih banyak wang pendapatan
pelaburan mengalir keluar lebih daripada wang pendapatan mengalir masuk.
Pendapatan Pelaburan Bersih Malaysia: EPU
Jika dibandingkan dengan saiz ekonomi negara,
peratusan defisit pendapatan pelaburan Malaysia adalah lebih tinggi pada zaman
Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri berbanding di bawah zaman Dato' Sri Najib:
Defisit Pendapatan Pelaburan Malaysia
Kebergantungan Malaysia kepada pelabur asing lebih
tinggi 20-30 tahun lepas berbanding pada masa sekarang.
Jika tidak ada apa-apa yang berlaku setelah
beratus billion wang mengalir keluar sejak berpuluh-puluh tahun dulu, kenapa
sekarang isu ini ditimbulkan oleh Tun?
14.
Sepatutnya bayaran balik semua ini, hutang, kontrak, alatan untuk
landasan dan gerabak elektrik datang dari keuntungan operasi keretapi pantai
timur. Bolehkah kita dapat cukup pendapatan menjual tiket keretapi atau muatan
barangan antara pantai barat dengan pantai timur?
15. Kata
orang Kelantan lebih murah dan lebih cepat jika penerbangan low cost diguna
untuk berjalan antara Pantai Timur dengan bandar-bandar di Pantai Barat.
16. Jika
tiket keretapi Pantai Timur dijual dengan harga yang tinggi mungkin ramai yang
akan pilih penerbangan.
17. Jika
harga tiket rendah keuntungan mungkin tidak diperolehi.
18. Jadi
hutang dan kos serta kerugian perlu ditanggung oleh Kerajaan dari dana campuran
atau consolidated Fund.
Pendapatan melalui jualan tiket penumpang dan
muatan barangan sepatutnya hanya untuk menampung kos operasi ECRL dan bukannya
keseluruhan kos termasuk kos kewangan, pembinaan dan kos modal seperti yang
disebut Tun.
Kos kewangan akan dibiayai oleh kerajaan melalui
kumpulan wang disatukan (consolidated fund) seperti mana projek-projek lain.
Limpahan ekonomi daripada projek ECRL akan menjana
pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai, dan melalui pendapatan cukai inilah
kerajaan akan menampung kos pembiayaan pinjaman ini.
Lupakah Tun Mahathir tentang LRT STAR dan PUTRA
yang terpaksa diambiloleh kerajaan persekutuan melalui Syarikat Prasarana
Negara Berhad (Prasarana) kerana menanggung beban hutang berjumlah RM5.5
billion pada tahun 2001?
Lupakah Tun bagaimana kerajaan persekutuan
meminjamkan pinjaman mudah berjumlah RM300 juta kepada KL Monorail akibat
kerugian beratus juta Ringgit?
Privatization in Malaysia: Regulation, Rent-Seeking
and Policy Failure
19.
Tetapi hari ini Kerajaan tidak ada duit. Lagi pun nilai Ringgit jatuh
teruk – bermakna lebih banyak Ringgit diperlukan untuk membayar hutang dengan
Dolar Amerika atau Yuan. Dari manakah duit ini akan datang. Hutang lagi atau
naikkan cukai dalam negeri dan GST. Dan ini akan membebankan rakyat dengan kos sara
hidup yang melambung tinggi.
Jika kerajaan tidak ada duit seperti didakwa Tun
bagaimana kerajaan boleh membayar gaji kakitangan kerajaan berjumlah RM70
billion tahun lepas? Bagaimana kerajaan membayar pencen pesara kakitangan awam
berjumlah RM18.8 billion pada 2015? Bagaimana kerajaan menampung subsidi yuran
universiti awam, perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan dan pelbagai lagi
perbelanjaan-perbelanjaan mengurus yang lain? [13]
Hutang luar negara kerajaan dihadkan kepada hanya
RM35 billion pada suatu masa sahaja seperti tertakluk di bawah Akta PinjamanLuar Negeri (1963):
Laporan Kewangan Sektor Awam: Perbendaharaan
Negara
Ini konsisten dengan kenyataan menteri bahawa
pinjaman daripada EXIM Bank China adalah dalam Ringgit dan juga Yuan sesuai
dengan undang-undang negara.
Setakat suku ketiga 2016, hutang luar kerajaan
persekutuan dalam matawang asing hanyalah berjumlah RM20.4 billion:
Hutang Luar Kerajaan Persekutuan Di Dalam Matawang
Asing: BNM
Risiko tukaran matawang asing kepada kewangan
kerajaan sangat terhad dan hanya ke atas RM20.4 billion ini sahaja.
Untuk pengetahuan anda semua, sebahagian hutang
luar kerajaan persekutuan sekarang adalah hutang warisan daripada kerajaan di
bawah pimpinan Tun Mahathir yang mana kita masih membayar hutang-hutang
tersebut sehingga hari ini.
Hutang-hutang luar tersebut dipinjam dari Jepun,
Perancis, Kanada dan Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk projek-projek
pembangunan seperti tertera di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan
2015:
Hutang Bilateral Kerajaan Persekutuan: Jabatan
Akauntan Negara
Hutang kerajaan dalam matawang Ringgit tidak akan
terkesan langsung dengan pergerakan tukaran matawang asing.
Jadi tak perlulah Tun Mahathir menakutkan rakyat Malaysia
tentang hutang luar negara kerajaan.
Tun tidak harus lupa pada tahun 1985 - 1986 semasa
Tun memimpin kerajaan, hutang kerajaan persekutuan pernah melebihi 100%
daripada saiz ekonomi negara:
Nisbah Hutang Kerajaan Persekutuan Kepada KDNK
Negara: EPU
Di bawah Dato' Sri Najib hutang kerajaan
persekutuan kekal di bawah paras 55% berbanding KDNK negara iaitu had yang
dibenarkan di bawah Akta Pinjaman Tempatan (1959) dan Akta Pendanaan Kerajaan
(1983).
Jika tidak ada apa-apa yang berlaku semasa hutang
kerajaan persekutuan melebihi saiz ekonomi negara pada 30 tahun lepas, apakah
masalahnya hutang kerajaan yang hanya berada pada paras 52.5% berbanding KDNK
negara?
20. Ya.
Memang rancangan keretapi Pantai Timur adalah projek gilang dan gemilang. Yang
tidak gilang gemilang ialah beban hutang. Rakyat Malaysia yang akan tanggung
beban ini berpuluh tahun.
Sama seperti rakyat Malaysia yang terpaksa
menanggung beban hutang pengambilalihan hutang Renong, LRT STAR dan PUTRA dan
bermacam-macam hutang dalam dan luar negara yang terpaksa ditanggung sehingga
sekarang.
Kenapa Tun lupa tentang hakikat bahawa kegagalan
projek penswastaan Tun menyebabkan hutang swasta beralih menjadi beban hutang
kerajaan?
Mungkin banyak di antara kita tidak sedar bahawa
hutang-hutang berdekad dahulu yang dikumpul Tun Mahathir masih lagi dibayar
oleh kerajaan sekarang.
Jarang kita dengar ada yang merungut mereka
terpaksa membayar hutang-hutang warisan kerajaan di bawah Tun Mahathir ini
kerana mereka tidak sedar akan fakta ini.
Yang hanya diulang-ulang adalah hutang 1MDB yang
masih dibayar 1MDB sendiri dan tidak ada satu sen pun duit rakyat digunakan
untuk membayar hutang 1MDB.
Sampai satu masa Tun Mahathir, DAP, pembangkang
yang lain perlu sedar bahawa 1MDB bukan segala-galanya yang berlaku di dalam
negara kita.
Rujukan:
[1]
Fresh loan from China's EXIM Bank to Sri Lanka
[2]
The China Africa Research Initiative
[3]
Kuala Lumpur International Airport Construction Project
[4]
Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2015
[5]
Kenyataan Media 1MDB: Pembayaran Semula Hutang
[6]
Kenyataan Media 1MDB: Pembayaran Penuh Standby Credit
[7]
Economic and Financial Developments in the Malaysian Economy in the 3rd Quarter
of 2016, BNM
[8]
Sale of EDRA, Clarification by 1MDB
[9]
Local firms to benefit from ECRL: NST
[10]
Clarification to Tun Mahathir: Abdul Rahman Dahlan
[11]
Jumlah pekerja asing di Malaysia mengikut negara asal: EPU
[12]
Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2015: BNM
[13]
Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan Mengikut Objek: BNM
No comments :
Post a Comment