Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, February 15, 2018

Kenyataan Akhbar Menteri Luar Negeri Mengenai Penyertaan Delegas Ke WUF Ke 9 Di KLi



KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
YB DATO’ SRI ANIFAH AMAN MENGENAI PENYERTAAN DELEGASI ISRAEL KE FORUM BANDAR SEDUNIA KE-9 DI KUALA LUMPUR
7 - 13 FEBRUARI 2018

Terdapat percubaan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menagih keuntungan politik daripada penyertaan Israel dalam Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9), yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari 2018.

2. Kementerian Luar Negeri ingin menjelaskan bahawa penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melalui agensinya Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur WUF9.

3. Surat jemputan kepada Israel, yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif UN-Habitat, adalah selaras dengan Host Country Agreement yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia. Artikel III dari Perjanjian tersebut diantaranya menyatakan, bahawa penyertaan dalam Forum itu dibuka antara lainnya kepada keseluruh keanggotaan PBB dan mana-mana Agensi Khususnya (Specialized Agencies). Host Country Agreement ini adalah syarat bagi mana-mana persidangan PBB untuk diadakan di luar mana-mana ibu pejabat PBB yang sedia ada.

4. Adalah ditekankan bahawa tidak seperti surat jemputan kepada negara-negara yang lain, surat jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh mana-mana pegawai Malaysia. Oleh itu, tohmahan bahawa Malaysia secara senyap-senyap mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran Forum ini adalah tidak timbul sama sekali. Pendirian Malaysia terhadap Israel tetap tidak berubah. Apa jua penyataan sebaliknya hanya sekadar membuktikan niat jahat dan berbahaya.

5. Harus diingat bahawa pelbagai pihak telah menekankan bahawa WUF9 telah dikelolakan dengan jayanya. Forum ini telah berjaya meningkatkan profil Malaysia dan mempamerkan pencapaian Malaysia mempromosi, menyuara dan melaksanakan New Urban Agenda. Ia juga menyaksikan penyertaan lebih daripada 25,000 orang, dengan 69 negara diwakili di peringkat Menteri. Semua rakyat Malaysia harus bangga dengan kejayaan negara menganjurkan Forum yang berprestij dan penting ini.



DATO’ SRI ANIFAH AMAN
Menteri Luar Negeri
15 Februari 2018




No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.