Rayani
Air yang memulakan penerbangan sulungnya pagi ini ke Langkawi dan
Kota Bharu merupakan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di
Malaysia.
Menerima lesen perkhidmatan udara dan sijil pengendali udara dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Rayani Air menggunakan dua pesawat lama Boeing 737-400 bagi laluan Kota Bharu, Kuching, Langkawi dan Kota Kinabalu.
Rayani Air menetapkan sasaran 10 tahun untuk mewujudkan rangkaian bagi memanfaatkan pasaran umrah dan haji.
Pengarah
Urusannya, Jaafar Zamhari berkata, untuk permulaan, syarikat
penerbangan itu yang baharu sahaja mendapat kelulusan daripada
Jabatan Penerbangan Awam untuk beroperasi, mengambil 'langkah kecil'
untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah undang-undang Islam
dalam operasi mereka sebelum melaksanakan lebih banyak rancangan
dalam beberapa tahun akan datang.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam memperkemaskan langkah kami dari semasa ke semasa dan hasrat utama kami adalah memanfaatkan pasaran (umrah dan haji)," katanya kepada pemberita selepas tiba dengan penerbangan sulung Rayani Air dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di Langkawi, hari ini.
Katanya Rayani Air telah memperoleh dua buah pesawat Boeing 737-400 untuk menawarkan perkhidmatan di KLIA2 di Kuala Lumpur dan Kota Baharu (Kelantan) dengan LIA sebagai hab operasi mereka, sebelum Kuching dan Kota Kinabalu pada tahun depan.

