Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Tuesday, June 7, 2016

Penumpang MH01 Sangka Akan Mati Ketika Pesawat Hadapi Gegaran Udara


Tuesday, 7June 2016

PUTRAJAYA: Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH01, yang mengalami gegaran udara semasa dalam perjalanan dari London ke Kuala Lumpur pada Ahad, menyangka beliau akan menemui ajal semasa gegaran menakutkan itu berlaku.

Wanita warga Singapura berusia dalam lingkungan 50-an itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, berkata gegaran udara itu berlaku kira-kira lima minit dalam masa tiga jam sebelum pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

"Saya duduk di bahagian dek atas. Pesawat itu seakan-akan terhentak ke bawah sebelum melambung semula ke atas. Ketika itu, anak kapal hendak mengedarkan makanan kepada penumpang...saya lihat bungkusan makanan bertaburan daripada troli makanan.

"Saya juga nampak seorang pramugari terhantuk kepalanya sebelum terjatuh dan luka di lutut," katanya sambil memberitahu juruterbang turut membuat pengumuman meminta semua penumpang memakai tali pinggang keselamatan semasa insiden itu.

Mary, yang tidak cedara dalam kejadian itu, ditemui semasa menemani temannya seorang warga Malaysia mendapatkan rawatan kerana kecederaan di tulang pinggul di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Putrajaya.

Beliau yang merancang bercuti beberapa hari di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Singapura, tidak menyangka akan menghabiskan masanya di Hospital Putrajaya selepas tiba dari London.

Setakat 10.30 malam Ahad, lima penumpang MH01 yang cedara telah dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

MAB dalam kenyataannya pada Ahad berkata beberapa penumpang dan anak kapalnya cedera ringan apabila pesawat MH01 itu, yang dalam penerbangan dari London menuju ke Kuala Lumpur, mengalami gegaran udara teruk ketika berada di ruang udara Teluk Bengal.

Pesawat jenis Airbus A380 itu bagaimanapun, selamat mendarat bersama 378 penumpang dan anak kapal di KLIA pada 6 petang Ahad.

Sejumlah kecil penumpang dan anak kapal yang cedera diberi rawatan oleh pegawai perubatan sejurus pesawat itu mendarat di KLIA.

Kenyataan itu menyebut MAB telah membantu kesemua penumpang dan anak kapal serta memohon maaf di atas sebarang kesulitan berikutan keadaan cuaca yang di luar kawalan.

- BERNAMA

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.