“Apa
yang engkau tahu tentang DAP?”
“DAP
adalah sebuah parti serpihan PAP (Singapura). Apabila Singapura berpisah dari
Malaysia pada 1965, DAP ditubuhkan di Malaysia. Parti ini ada kaitan dengan
idealisme komunis yang dibawa dari tanah besar China. Buktinya majoriti ahli
DAP adalah kaum Cina.”
Ini
adalah antara dialog tipikal yang biasa kedengaran apabila orang-orang Melayu
bercakap tentang DAP atau Parti Tindakan Demokratik yang ditubuhkan secara
rasmi pada tahun 1966.
Dalam
dialog ringkas tersebut, terdapat dua perkara penting:
Fakta
asas atau maklumat yang paling umum tentang parti DAP sudah salah, yang masih
menunjukkan bahawa wujud satu persepsi negatif terhadap DAP telah ditanam dan
dibentuk ke dalam pemikiran masyarakat Melayu khususnya oleh UMNO dan Barisan
Nasional.
Pengetahuan
umum masyarakat Malaysia, termasuk orang Melayu, yang masih banyak menerima
maklumat daripada propaganda yang menyamar sebagi berita dalam media massa
kawalan UMNO-BN serta menerima hujah kedai kopi untuk memahami politik.
Memetik
ungkapan terkenal perintis laman jaringan sosial Facebook, Mark Zuckerberg “By
giving people the power to share, we’re making the world more transparent.”
(Terjemahan: Dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk berkongsi, kita
menjadikan dunia lebih telus)
DAP
sebagai sebuah parti politik yang sah mahu terlibat dalam dunia serba telus
ini. Kewujudannya adalah berprinsipkan demokrasi sosial yang mementingkan
keadilan dan hak serta peluang saksama untuk semua tanpa mengira kaum dan
agama.
Setahun
selepas penubuhannya, DAP mengumumkan Deklarasi Setapak 1967 yang menggariskan
prinsip perjuangannya yang mengimpikan Malaysia milik kita bersama yang
berteraskan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk.
Mengapa
perlu wujud Deklarasi Setapak
Deklarasi
Setapak dibuat sewaktu Perang Vietnam berada di kemuncaknya. Parti Komunis
Malaya yang telah diusir ke dalam hutan sejak 1960 mendapat semangat baru
dengan bantuan Parti Komunis China yang sedang kegilaan Revolusi Kebudayaan di
bumi China.
Penyokong-penyokong
komunis pada masa itu mengkritik DAP kerana DAP menolak komunisme, dengan
menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menetapkan sistem negara yang
berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Suasana
politik Malaysia pada 1967 begitu panas dengan isu-isu politik termasuk soal
perkauman yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. Pada tahun 1967 juga,
sasterawan Abdullah Hussain menulis sebuah novel bertajuk Interlok.
Ini
merupakan satu sejarah penting yang dirakam dalam waktu yang begitu meruncing
pada ketika itu. DAP mengambil langkah cepat dan tepat untuk menjelaskan
pendirian mereka dalam arus politik perdana di Malaysia.
DAP
bukanlah sebuah parti yang bersimpati kepada komunisme, tidak berkongsi idea
atau ideologi dengan mana-mana parti komunis dan menolak sebarang usaha yang
memperjuangkan kewujudan sebuah negara komunis atau republik.
Dengan
Deklarasi Setapak 1967, DAP dengan jelas menjarak dan memisahkan perjuangan
politik mereka dengan apa jua elemen komunis yang pro kepada kegiatan subversif
atau yang menggunakan kekerasan.
Antara
yang disebut dengan cukup jelas:
“Kami
menyarankan semula bahawa DAP sanggup dipimpin oleh perspektif dan hasrat
Malaysia yang tulen. Kami tidak boleh membiarkan diri kami dibias dari haluan
asal sama ada oleh reaksioner dan kumpulan haluan kiri, atau pun oleh sayap
kiri yang anti-Malaysia dan yang didorong oleh orang asing. Kami juga tidak
boleh membiarkan diri kami dimanipulasikan oleh kedua-dua kumpulan yang
tersebut.”
Latar
belakang kelahiran deklarasi
Selepas
pemecatan Singapura dari Malaysia (setelah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman
ditekan oleh kumpulan ultra Melayu dalam UMNO), parti PAP secara automatik
menjadi sebuah parti negara asing. Pada ketika itu, ahli-ahli dan aktivis parti
harus memilih sama ada mahu menjadi warga Singapura atau Malaysia.
Sebilangan
tokoh-tokoh politik muda pada masa itu yang bergiat di Semenanjung seperti C.V.
Devan Nair, Dr. Chen Man Hin, Lim Kit Siang, Goh Hock Guan, John Fernandez,
Mohd Nor Jetty dan Daeng Ibrahim telah memilih untuk berjuang di Malaysia pasca
1965.
Hanya
Devan Nair yang dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang pertama pada 1966
kemudian memilih untuk kembali aktif di Singapura. Bagi tokoh-tokoh lain,
mereka memilih dan mengutamakan negara berbanding parti. Ini menjadi simbol
sebagai demokrat tulen dengan semangat patriotisme.
Mereka
menubuhkan DAP bukan untuk menyambung perjuangan PAP. Yang diambil sebagai
prinsip adalah dasar-dasar demokrasi yang menolak perkauman serta mengajak
perpaduan tanpa memisah-misahkan rakyat mengikut warna kulit.
Mengapa
tokoh-tokoh DAP tidak memilih UMNO, MCA atau MIC, atau di barisan kiri seperti
Parti Rakyat atau Parti Buruh?
Jawapannya
cukup mudah iaitu, parti-parti yang membentuk gabungan pemerintah Perikatan itu
adalah parti yang berasaskan kaum. Maka, itu tidak selari dengan agenda
integrasi nasional. Begitu juga parti-parti kiri yang terlalu mirip kepada
agenda komunisme, terutamanya Parti Buruh yang ditubuhkan pada awal 1950-an
sudah diresapi elemen komunis sejak pertengahan 1960-an.
Maka
munculah DAP yang mana dimensinya adalah parti berbilang kaum yang berteraskan
ideologi demokrasi sosial, atau pada masa itu menggunakan istilah sosialisme
demokratik, iaitu agenda sosialis yang bersifat sederhana yang memilih jalan
Parlimen sebagai penentu kuasa rakyat, dan bukan melalui revolusi atau
keganasan.
Apa
beza DAP dan PAP
Jelasnya,
memang wujud rentetan peristiwa sejarah DAP yang mempunyai kaitan dengan PAP di
Singapura tetapi ia tidak mempunyai kesinambungan dari aspek perjuangannya.
Dasar
PAP Singapura tidak diterima di Malaysia tetapi dasar DAP bersesuaian dengan
politik dan Perlembagaan Persekutuan. Jika tidak, sudah tentu Pendaftar
Pertubuhan tidak akan meluluskan penubuhan DAP di Malaysia.
Inilah
titik pemisah di antara PAP dan DAP. Malah, orientasi politik PAP untuk
mengekalkan kuasa lebih menyamai orientasi politik UMNO di mana kedua-dua parti
ini mewujud dan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tujuan
politik.
Kalau
dibandingkan hari ini, dari segi kawalan politik dan kongkongan kebebasan
bersuara, UMNO-BN adalah lebih rapat dengan PAP berbanding DAP yang
memperjuangkan kebebasan dan hak-hak demokrasi dalam erti kata yang sebenar.
Nuansa
di antara PAP dan DAP ini harus dapat dibezakan oleh mereka yang matang dalam
melihat makna di sebalik peristiwa yang telah berlaku. Menelan bulat-bulat
“berita” yang sebenarnya propaganda pemerintah hanya akan melumpuhkan minda
rakyat.
Amanah
dalam Deklarasi Setapak
Dasar-dasar
asas DAP telah ditekan dalam Deklarasi Setapak 1967, antaranya:
“Jika
kami hendak memperbetulkan prinsip pembangunan negara di sebuah masyarakat
berbilang kaum, maka perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk
mengelakkan daripada berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti.
Usaha yang sedemikian mesti ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali, atas
dasar keinginan dan boleh dilakukan.”
Paling
utama dalam pembinaan semua negara ialah merapatkan jurang perbezaan di antara
yang kaya dan miskin. Ketidakadilan sosial akan menjadi senjata pemusnah umat,
iaitu kemiskinan yang berlaku kerana tempias korupsi, salah guna kuasa, penyelewengan,
kronisme, menjual agama dan maruah bangsa serta merosakkan keamanan melalui
perkauman dan politik ekstrem.
“DAP
akan terus memperjuangkan penerimaan, penyebaran, dan pembangunan bahasa
kebangsaan, kami tidak akan menerima polisi bahasa dan pendidikan yang
beranggapan bahawa kedudukan dan penyebaran bahasa kebangsaan hanya akan
terjamin selepas budaya dua kaum utama di negara ini – iaitu kaum Cina dan
India — dimusnahkan sama sekali.”
Secara
jelas, DAP bukan sekadar mempertahankan status Bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan, malah DAP turut tidak mahu bahasa-bahasa lain diketepikan, sama ada
sebagai bahasa pengucapan atau pembelajaran.
Sejak
dahulu hingga sekarang, DAP terus berjuang untuk mengekalkan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, walau pun pertistiwa-peristiwa tertentu dan
tekanan-tekanan politik telah menyebabkan kelembapan dalam menterjemahkan dasar
itu sebagai amalan.
Dengan
maksud, walau pun masih ramai kalangan pemimpin dan ahli DAP dilihat kurang
mahir berbahasa Malaysia, usaha gigih untuk mengamalkannya tidak pernah
diabaikan. Dan usaha ini tentunya akan berjaya dengan sokongan rakyat Malaysia
pelbagai kaum.
Secara
ringkasnya, kesemua dasar-dasar DAP ini merupakan aspirasi rakyat yang
diamanahkan kepada DAP. Sebagai sebuah parti politik yang universal dasarnya,
inilah amanah yang wajib dipegang dan dilaksanakan.
Malah,
sejak kebelakangan ini, sudah muncul dialog yang lain pula di kalangan orang
Melayu.
“DAP
bukan parti perkauman. Walau pun majoriti ahlinya masih dari satu kaum, mereka
tidak memperjuangkan untuk satu kaum. Ia adalah parti demokratik bukan
perkauman yang berjuang untuk semua kaum.
“Lihat
sahaja pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP.
Tidak ada Melayu yang dipinggirkan. Semua kaum dibela. Sedangkan UMNO jelas
parti untuk satu kaum sahaja. Dan orang Melayu rakyat biasa hanya melopong
melihat keluarga dan kroni pemimpin besar meraih kekayaan negara dan wang rakyat.”
– Roketkini.com
Bahagian
Kedua: Ekonomi dan pendidikan
“Bro,
deklarasi tu apa?”
“Erm,
lebih kurang perisytiharan la, tau?”
“Oh,
kalau aku kata aku isytiharkan…maknanya aku mendeklarasikan sesuatu la?”
“Ya,
tapi…tak juga, kurang tepat dan kurang sesuai. Deklarasi ni lebih kurang satu
pernyataan yang jelas, tepat, padu tapi secara ringkas…dalam bentuk kesimpulan
la, faham?”
“Habis
tu, isytihar tu apa pulak?”
“Isytihar
tu lebih membawa makna pegumuman atau pemakluman, biasanya dibuat secara formal
dan protokol, ia lebih ringkas dari deklarasi. Kalau nak umum hari perayaan,
kita dengar mereka kata perisytiharan atau deklarasi?”
“Oh…macam
tu”
Hanya
mimpi DAP?
Selepas
manuskrip Deklarasi Setapak ini dilawat kembali untuk melihat isi dan
harapannya, maka munculah soalan seperti di atas. Adalah penting soalan yang
dirasakan ‘bodoh’ oleh yang bertanya tentang perkataan, istilah dan konsep itu
ditanyakan kembali. Bagi yang ditanya, ia baik untuk mengingatkan kembali
tentang apa mereka perkatakan.
Rupa-rupanya
masih wujud lagi rasa malu untuk bertanya di kalangan masyarakat kita, bimbang
soalannya dianggap sebagai soalan bodoh. Ya, memang sifat kebodohan itu lebih
baik disimpan daripada dipertontonkan di khalayak, namun jika ingin tahu, maka
perlu ketepikan sifat ‘bodoh’ untuk mengelak dari mendapat kebodohan percuma.
Kerana
sifat ingin tahulah maka generasi baru pasca Merdeka perlu melawat kembali isi
kandungan Deklarasi Setapak yang berlaku pada 1967.
Kita
ingin tahu sejauh mana DAP sebagai parti demokrasi sosial bermimpi dan mahu
mengejar mimpi-mimpinya melalui asas perjuangan yang digariskan oleh deklarasi
tersebut. Adakah mimpi itu menyimpang dari aspirasi rakyat Malaysia atau
Perlembagaan Persekutuan? Atau adakah mimpi itu hanya racau DAP untuk
semata-mata memeluk kuasa?
Dalam
Deklarasi Setapak ini ditekankan tentang apa yang kurang, apa yang silap dan
bagaimana seharusnya kelemahan dan kesilapan ini diperbetulkan agar dasar kita
berada dalam landasan yang tepat demi mengejar mimpi yang sempurna. Oleh kerana
ingin tahu, maka kita selak kembali tinta sejarah.
Teringat
pula dengan lirik lagu kumpulan karya Peter Pan dari Indonesia, nyanyian Ariel
(yang malangnya kini digelar Ariel Peterporn):
…Biarlah
kubertanya pada bintang-bintang
Tentang
arti kita….Dalam mimpi yang sempurna
Petikan
lirik lagu Mimpi yang Sempurna
Reformasi
ekonomi untuk meruntuh tembok perkauman
Ciri-ciri
utama sebuah negara yang makmur adalah dengan wujudnya agihan ekonomi yang adil
dan ditunjangi dengan matlamat pendidikan yang bagus, jelas dan praktis. Dalam
mengagih sumber kekayaan negara kepada rakyatnya, negara memerlukan satu dasar
dan mekanisme yang baik untuk menyalurkan kembali sumber dan hasil perusahaan
negara.
Dengan
kewujudan Dasar Ekonomi Baru 1971 ciptaan kerajaan Barisan Nasional (yang
diperkenalkan selepas Deklarasi Setapak 1967), seolah-olah sengaja
memperolokkan pandangan yang telah dibuat dalam Deklarasi Setapak, contohnya:
Seperti
Malaysia, lain-lain negara sedang membangun juga menghadapi masalah jurang
sosial, ekonomi dan budaya di antara kawasan bandar dan luar bandar mereka.
Bagaimana pun, masalah di Malaysia menjadi lebih serius kerana pembahagian
kelas di negara kita sering wujud bersama-sama dengan pembahagian perkauman.
Ini
menunjukkan bahawa pada sekitar tahun 1960-an lagi, sudah ada bijak pandai kita
yang telah menjangkakan akan berlakunya penyimpangan dasar kerajaan dalam
melaksanakan agenda nasional khususnya dalam aspek ekonomi dan sosial.
Sejak
berakhirnya zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, jurang ekonomi dan amalan
dasar yang salah telah mula berlaku dan ia semakin menyimpang dari landasan
sebenar seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan janji
yang terisi di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan yang dibuat oleh Tunku pada
1957.
Di
mulut ahli-ahli Barisan Nasional (dan sebelum itu Perikatan yang dianggotai
oleh UMNO, MCA dan MIC) berbuih bercakap soal integrasi nasional, malah pada
1970 diadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang bercita-cita mahu membentuk
satu identiti bangsa yang baru dan satu, kononnya. Namun semua ini hanyalah
retorik, malah ia adalah satu proses menerapkan hegemoni perkauman dan
ketidakadilan sosial dan ekonomi.
Usaha
itu sudah dihidu lebih awal lagi dalam Deklarasi Setapak:
(1)
Kaum petani di kawasan luar bandar kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu,
manakala golongan pertengahan di bandar dan kelas-kelas profesional
kebanyakannya terdiri daripada kaum bukan Melayu.
(2)
Fakta ini telah secara berkesannya dipergunakan pada masa-masa lalu dan masih
lagi dipergunakan pada masa kini oleh ahli-ahli politik yang berfikiran
perkauman dengan memainkan sentimen Melayu yang dikongkong oleh perasaan tidak
selamat dan mundur demi meneruskan dominasi politik mereka yang telah dilakukan
atas nama Melayu.
Tapi
sebenarnya dilakukan untuk kelas sosial minoriti yang mereka wakili — satu
kelas sosial yang keji, memikirkan kepentingan diri sendiri — iaitu kelas
“kamrad-feudal”, dan rakan-rakan mereka, termasuklah pucuk pimpinan Perikatan.
Perenggan
(1) telah menjelaskan realiti demografi sosio-ekonomi masayarakat zaman itu.
Dan seterusnya pada perenggan (2) menunjukkan bahawa ia cukup konsisten dengan
idea Perikatan yang memanipulasi senario ini dengan dasar pecah perintahnya
mengikut kaum.
Jadi,
apa yang DAP tawarkan sebagai langkah merawat kembali penyakit sistem yang
korup ini? Ubatnya telah dijelaskan dengan bahasa paling mudah yang boleh
difahami oleh semua rakyat walau pun berlainan latar belakang budaya dan
pendidikan, iaitu;
Sekali
lagi, berkaitan dengan pembangunan ekonomi kawasan luar bandar, tugas utama
seharusnya untuk mempertingkatkan pendapatan per kapita para petani Melayu,
cara yang dipilih hendaklah merupakan reformasi tanah yang radikal demi
menghapuskan penindasan kejam oleh pemilik tanah dan orang tengah.
Kata
kunci di sini ialah ‘reformasi tanah’. Ia idea yang telah difikirkan pada
sekitar tahun 1960-an lagi. DAP telah sedikit-sebanyak mendahului zaman dengan
idea reformasi.
Kita
dapat melihat dengan jelas pada hari ini bagaimana pimpinan UMNO dan BN
mengambil kesempatan itu dengan dan bersengkongkol bersama taikun-taikun Cina,
Melayu dan India dengan ‘merompak’ tanah-tanah rakyat dengan cara yang sah di
sisi undang-undang (yang mereka gubal di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di
mana mereka juga menguasai majoriti).
Contoh
paling ketara ialah di Tasik Utara, Johor dan Baling, Kedah sekitar tahun
1970-an di mana rakyat bangkit bersama para mahasiswa prihatin. Kita dapat
lihat bagaimana sistem dimanipulasi oleh elit politik BN untuk merampas tanah
dan menindas hak rakyat.
Mereformasikan
sistem hak milik, kaedah dan dasar pembangunan tanah, sama ada untuk perumahan,
pertanian, bandar baru atau perindustrian pasti akan dapat membantu masalah
perampasan dan pemerasan terhadap pemilik tanah dan sebagainya.
Jika
reformasi ini berjaya dilaksanakan, sudah pasti pendapatan, kualiti hidup,
kesihatan dan pendidikan masyarakat luar bandar akan lebih baik dan meningkat.
Semua ini boleh dicapai kerana mereka berupaya untuk memajukan tanahnya tanpa
ada gangguan politik dalam kegiatan ekonomi mereka.
Mengajar
manusia menjadi bijak dan tahu berdikari bukanlah menjadi agenda BN. Pimpinan
mereka mahu rakyat sentiasa bergantung kepada kuasa politik yang sedia ada.
Reformasi
pendidikan untuk menghapuskan kejahilan
Dengan
adanya dasar yang baik dalam aspek ekonomi, aspek pendidikan yang baik
merupakan pra-syarat bagi melahirkan manusia yang waras dan bermoral. Masalah
moral bukan sekadar isu agama, budaya atau status kaya-miskin, sebaliknya ia
adalah masalah pengetahuan, iaitu pendidikan yang baik dan lengkap.
Kurang
berpelajaran adalah punca kejahilan, dan kejahilan akan membawa segala macam
penyakit moral. Oleh itu, satu dasar pendidikan yang jelas dan praktis harus
menjadi agenda rakyat.
Ini
turut dititipkan dalam Deklarasi Setapak:
Kami
mengesahkan pendapat bahawa polisi pendidikan Kerajaan Perikatan mempunyai
kesan negatif yang membatalkan jaminan perlembagaan ke atas kebebasan
penggunaan lain-lain bahasa di negara ini, dan kami menganggapnya sebagai salah
satu dari objektif kami untuk menyelaraskan kembali jaminan perlembagaan dengan
polisi pendidikan.
Isu
asas dalam konteks pendidikan ini ialah bagaimana menerusi citra dan semangat
yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan, daulah seharusnya boleh membuka
ruang yang luas untuk anak watan mempelajari dan memahami sesuatu, sesuai
dengan ruang sosial mereka, iaitu bahasa pertuturan seharian.
Secara
konsepnya, Bahasa Melayu telah diterima sebagai Bahasa Kebangsaan tanpa wujud
apa-apa pertikaian lagi. Tetapi dilema masyarakat kita ialah kerajaan telah
menggunakan hal ini sebagai satu perisai untuk menghalalkan kecuaian mereka
dalam membangunkan sistem pendidikan yang adil dan saksama kepada semua
bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Cina, Tamil dan bahasa-bahasa pribumi Sarawak
dan Sabah.
Dalam
konteks politik Perikatan dan BN, bahasa telah digunakan sebagai alat untuk
memisahkan semangat perpaduan antara kaum. Mereka menggunakan perbezaan bahasa
dan budaya ini sebagai alasan untuk menghalalkan tidak-tanduk politik mereka.
Sungguh
pun pelajar-pelajar kita bijak dan mampu lulus dengan cemerlang dalam
peperiksaan, belum mereka tidak bersifat rasis. Buktinya cukup banyak untuk
disenaraikan, termasuk suara-suara perkauman yang dituturkan oleh orang-orang
profesional sewaktu perhimpunan agung UMNO.
Justeru,
adakah kita harus menyalahkan bulat-bulat para pelajar ini? Sudah jelas, ada
kepincangan dalam pelaksanaan dasar pendidikan kita. Hal ini harus diperhalusi
dan diubati jika kita mahu masyarakat keluar dari kejahilan dan berpindah masuk
ke alam celik dan waras.
Pilihan
buat kita
Kerja
membangunkan tamadun dan kemanusiaan bukanlah suatu usaha yang mudah apatah
lagi untuk direbuti. Peranannya hanya mampu dipikul oleh mereka yang
benar-benar ikhlas dan yakin dengan idea dan harapan.
Memilih
antara mana-mana parti untuk dijadikan kerajaan bukan lagi soal kepartian
semata-mata, sebaliknya ia menjadi kewajipan bagi setiap insan yang tidak mahu
dirinya dianiaya baik secara sedar mahu pun secara tersembunyi.
Kita
tidak akan pernah merasa cukup selagi kita jahil. Semua parti terutamanya UMNO
boleh saja beretorika dengan ungkapan seperti ini tetapi apa yang telah UMNO-BN
buat setelah diberi peluang oleh rakyat untuk memerintah selama 54 tahun ini?
Mengapa
masih ramai pemimpin politik menjadi semakin rasis dan semakin ekstrem
pandangan agama? Apakah abad ke-21 ini tidak mampu untuk menarik keluar
masyarakat daripada perangkap perkauman?
Ya,
memang banyak bangunan dan jalan raya dibina oleh UMNO-BN, namun itu memang
tanggungjawab mana-mana kerajaan di dunia ini.
Yang
perlu ditanya dan dijawab adalah sampai bila air mata rakyat mengalir melimpah
melihat hak dan kebebasan diri, keluarga dan masyarakat terus dirompak oleh
pimpinan UMNO-BN.
“Aku
tak pernah dengar pemimpin DAP, baik Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Dr. Chen Man
Hin atau siapa-siapa yang ada bercakap tentang idealisme bangsa kita,” keluh
seorang kawan.
“Maksud
kau apa? Aku tak faham, idealisme yang macam mana tu?” aku bertanya kembali.
“Macam
Mahathir, dia ada bercakap tentang negara maju, wawasan 2020. Anwar ada
bercakap tentang masyarakat madani, masyarakat sivil dan sekarang Najib
bercakap pasal konsep 1Malaysia. Dari DAP aku cuma dengar Malaysian Malaysia
aje, isi dan matlamatnya apa?” yang bertanya tadi, menyoal semula.
Amat
jelas ungkapan saudara kita ini, persepsi ramai tentang DAP terbina dari
‘mimpi-mimpi’ ciptaan UMNO. Aku diam sejenak, memandang kembali ke bola matanya
yang memang ingin tahu.
“Berfikir
secara idealisme atau berfikir tentang sesuatu yang ideal, belum tentu dapat
dilakukan secara betul,” spontan jawapan aku, bagai tersedar dari bermenung.
“Maksud
kau?” soalnya kembali kepada aku.
“Tiada
mimpi yang tak sempurna. Semua orang nak atau bercita-cita untuk sesuatu yang
ideal. Ada yang sengaja mahu jadi dan dilihat idealis, cakap pun mahu retorik
yang ideal, biasalah tu, tak ada salah pun.
“Tapi
politik bukan semata-mata soal idea, cita-cita yang sempurna atau gaya kerja,
pelaksanaannya pun bukan soal ideal atau tak, tapi soal perlu atau tidak
pelaksanaan itu dilihat atau digambarkan secara ideal atau sebaliknya ”.
Aku
cuba menerangkan sambil menguji kefahaman aku sendiri. Inilah ruang
perbincangan yang boleh menjadi baju uji untuk mengenal isi dalam bahasa yang
aku sendiri fahami.
“Oh,
maksud kau, perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata, macam tu ?” cepat-cepat
dia cuba menangkap maksud kata-kata aku.
“Itu
anggapan kau, aku tak kisah. Tapi politik ni juga soal proses, soal pembinaan
watak, soal pembudayaan, soal membentuk persepsi, kita ni suka sangat dengan
slogan, tak salah, tapi lama-kelamaan, politik kita jadi politik slogan aje,”
aku memendekkan perbualan.
Mahu
dilihat ideal yang sudah pun ideal
Dalam
konteks kenegaraan, kewarganegaraan dan politik sekali pun, bukan sahaja kita
mahu sedar bahawa entiti kita ini adalah unik dan indah, sebaliknya kita juga
mahu ia dilihat sedemikian juga. Maksudnya kita mahu imej dan identiti keunikan
atau keindahan itu dapat dilihat dan dipamerkan kepada warga dunia.
Keinginan
ini adalah lumrah, malah tiada dosa jika mempunyai perasaan sedemikian. Dalam
ungkapan Deklarasi Setapak 1967 turut dinyatakan dengan jelas keinginan itu,
bunyinya:
Sementara
kita melihat di sekeliling dunia, terutama sekali di sekitar rantau Asia, kita
akan memahami dan berterima kasih kerana negara kita merupakan negara yang
kecil secara bandingan, dengan populasi lebih kurang 9 juta orang sahaja.
Menyedari
entiti kita secara objektif sudah tentu akan mengundang perasaan ingin bersaing
antara jiran-jiran kita.
Maka
dalam konteks yang baru ini, DAP berharap kerajaan Singapura dan Malaysia
akhirnya akan menyedari bahawa adalah lebih bijak supaya menghentikan
perkelahiran sesama mereka, dan membina perhubungan baru yang berasaskan sikap
saling mempercayai, berkeyakinan dan bekerjasama untuk memastikan bahawa
pembangunan demokratik ekonomi, kemakmuran, pertahanan dan kewujudan mereka
akan sama-sama terus terjamin.
Realiti
sejarah yang dirakam pada 1967 ini tidak akan dapat memadam keinginan parti DAP
bersama-sama dengan parti-parti yang lain. Barangkali, bunyi cita-cita ideal
DAP ini tidaklah seindah slogan yang molek-molek berbanding parti-parti lain.
Namun, jauh di kalbu ahli-ahli DAP, telah cuba memahami dan berterima kasih
atas hasrat kecil yang murni ini.
Bagaimana
idealisme melalui proses politik – pengalaman DAP
Ketika
di zaman awal negara ini dibina atas dasar-dasar bersama demi mengisi harga
sebuah kemerdekaan, bibit-bibit penyelewengan semakin lama semakin terjadi
dengan ketara, ia dilakukan oleh Perikatan selaku gabungan parti yang paling
berkuasa.
Jika
kita memahami apakah sebab utama Dato Onn Jaafar begitu bimbang dengan slogan
‘Hidup Melayu’ yang dibawa oleh UMNO, barangkali hal ini dapat memberi sedikit
gambaran tentang tahap kesediaan bangsa kita untuk berdiri di atas kaki sendiri
ketika itu.
Idea
Dato’ Onn Jaafar ini barangkali sudah cukup ideal baginya demi membekalkan
warga kita dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi sebelum mampu mengurus
negara sendiri. Namun, hal ini sudah menjadi sejarah dan majoriti rakyat pada
masa itu mahukan tanahair kita segera mencapai kemerdekaan.
Dan
secara kebetulan juga, dalam Deklarasi Setapak ini ada diungkapkan:
Fakta
kedua yang kita mesti hadapi adalah bahawa payung pertahanan Britain yang telah
kita nikmati secara penuh yakin selama ini, kini bearada dalam proses
pengecutan, dan sedang menuju ke tahap pengunduran secara total. Satu fakta
yang ngeri adalah pada pertengahan tahun 1970-an nanti, Britain akan
mengundurkan tenteranya secara total dari Malaysia dan Singapura.
Ini
mendedahkan bahawa, kerja-kerja untuk mengisi ruang kemerdekaan masih bergerak
perlahan, zaman itu ancaman komunis masih tinggi, ketegangan antara Malaysia
dan Indonesia termasuk Singapura masih longgar dan tidak stabil.
Ini
ditambah pula dengan kadar celik huruf dikalangan masyarakat kita yang masih
lagi rendah, taraf pendidikan juga belum menyeluruh kepada rakyat dan agihan
ekonomi juga masih terpisah-pisah dari kelas ekonomi. Dan, ketika itu jugalah
kita harus berdikari tanpa naungan empayar British lagi, yang mana ketika itu
mereka boleh bertindak sebagai ‘guides’.
Namun,
seperti juga dilema yang dialami oleh Dato Onn di zaman 1940-50an dahulu,
ketika itu ombak penentangan terhadap Inggeris sudah menjadi politik kebencian,
maka rasional pun luput dari waras akal kita. Dan majoriti kita mahukan British
keluar, dan keluarlah mereka.
Kebimbangan
ini dirasionalkan apabila, selepas British keluar, negara kita dipimpin oleh
segelintir golongan manusia elit yang terdiri dari golongan atasan sahaja.
Risiko penyelewengan menjadi bertambah tinggi.
Ahli
Parlimen Perikatan yang tidak berjawatan telah melaung-laungkan kata-kata yang
anti-Britain di Parlimen, manakala kerajaan Perikatan sendiri dengan jelasnya
telah bertindak tanpa berfikir secara mendalam, dan menolak keutamaan yang
dinikmati oleh negara-negara Komanwel.
Namun
dalam realiti ini juga, mainan politik hipokrit sudah mula disemai ke dalam
budaya politik kita.
Kebodohan
kerajaan Perikatan ini telah membawa akibat yang buruk, yang dicerminkan di dalam
Kertas Putih Pertahanan Britain baru-baru ini. Kita terpaksa menyaksikan satu
adegan yang memalukan di mana dua orang pemimpin kerajaan Perikatan telah
bertandang ke London untuk merayu kepada orang yang baru dihina dan disumpah
oleh mereka supaya diteruskan kehadiran tentera Britain di negara ini.
Sungguh
pun selepas itu kita berjaya mengharungi Konfrontasi dengan Indonesia,
mengharungi ancaman subversif gerila komunis yang ketika itu juga kerajaan
turut mengaitkan DAP dengan perjuangan komunis dan di samping itu juga negara
kita meneruskan agenda pembangunan negara. Ya, dalam tempoh itu kita berjaya
mengharungi.
Namun
akibat buruknya tetap ada iaitu peninggalan akta drakonian penjajahan British
yang diperkenalkan semasa zaman darurat dahulu terus dikekal dan digunakan oleh
kerajaan Perikatan dan kini Barisan Nasional. Inilah sisa-sisa politik gelap
yang telah menyelubungi kita hingga zaman pemerintahan Najib Razak.
Inilah
antara babak-babak awal pengalaman DAP dalam menggapai cita-cita yang ideal
untuk bangsa Malaysia. Idealisme dan demokrasi yang kita impikan ini, telah
melalui liku-liku realistik dan yang sangat mencabar, bukan sahaja tahap
kesabaran kita tetapi kematangan kita.
Idealisme
mendewasa bersama rakyat
Jati
diri, identiti, entiti atau apa jua perkataan buat bangsa kita, kini kita semua
sudah sampai di satu titik persimpangan. Pilihan yang terbaik harus dibuat,
bangsa kita telah dihantui dengan pelbagai stigma dan pemesongan mahupun
penggelapan fakta, ada yang datang dari luar malah tidak kurang juga yang
datang atau dicipta oleh segelintir elit-elit politik kita terhadap bangsanya
sendiri.
Politik
Perikatan selama ini adalah politik pembahagian dan perpecahan kaum. Kami
menganggap ini sebagai tugas utama rakyat Malaysia yang mengharapkkan kewujudan
Malaysia diteruskan untuk menentang politik pembahagian dan perpecahan dengan
politik integrasi di semua peringkat yang kreatif dan dinamik – politik,
ekonomi dan budaya.
Bangsa
ini adalah bangsa yang berketurunan Melayu, bangsa berketurunan Cina, bangsa
berketurunan India dan bangsa-bangsa peribumi Sabah dan Sarawak. Sungguh pun
bangsa kita masih kecil berbanding bangsa dengan tamadun yang lebih besar, kita
tidak akan berpaling dari menjadi dewasa dan matang dalam membangunkan negara,
tamadun dan nusa.
Tidak
semestinya selalu benar bahawa negara-negara kecil tidak dapat berdikari dalam
perebutan kuasa antarabangsa, sama ada dalam bidang ketenteraan mahu pun
politik. Ada beberapa buah negara kecil telah menjadi terkenal di dalam sejarah
dunia dengan membuktikan bahawa walau pun saiz geografikal dan populasi mereka
terhad, tetapi mereka masih berupaya untuk terus hidup dan maju.
Peluang
yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihanraya 2008 yang lalu, seperti di
Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak telah membuktikan bahawa kita mampu
berubah, kita mampu maju tanpa hidup dengan budaya rasuah dan salahguna kuasa.
Kaum-kaum
di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini boleh hidup berdikari dan mampu bersaing di
atas lantai yang sama rata tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang telah
tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kejayaan
mereka itu adalah hasil daripada tiga syarat utama untuk kehidupan; pertama,
perasaan perpaduan, identiti dan kerukunan nasional yang kuat; kedua, rakyat
yang berkemahiran dan berdedikasi; dan ketiga, disiplin sosial dan ekonomi.
Ini
telah dicatatkan pada tahun 1967 lagi, dan baru hari inilah ia berjaya ditunjuk
dan diterjemahkan bentuk dan ideanya. Tanpa dukungan dan kepercayaan rakyat
Malaysia, tidak mungkin tinta sejarah yang tercatat itu mampu dibuktikan.
Inilah
tugas suci yang kreatif dan membina dalam pembinaan negara yang kami dalam DAP
berdedikasi untuk memikulnya.
Oleh
itu, pada pilihanraya yang akan datang ini, Pakatan Rakyat merayu kepada
seluruh rakyat agar teguh, berani dan tampil melakukan perubahan, perubahan
inilah yang akan melahirkan satu bangsa yang kita idamkan iaitu Bangsa
Malaysia.
Jika
Dato Onn masih hidup, pasti beliau akan terpegun melihat bagaimana idealisme
ini telah melalui satu proses pengalaman yang cukup panjang dan memeritkan. Dan
belum terlambat untuk rakyat Malaysia pelbagai kaum termasuk Melayu
merealisasikan cita-cita murni ini. –
Roketkini.com