Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, April 16, 2018

Perjuangan sukar PAS pertahan kerusi tunggalnya di Perak




NAIB Presiden PAS Idris Ahmad akan berdepan dengan pertandingan paling sengit sepanjang kerjaya politiknya untuk mempertahankan satu-satunya kerusi milik Parlimen partinya di Perak daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).


Idris menang kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan majoriti nipis 986 undi pada 2013 ketika PAS sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR.


Kini, risiko sangat tinggi untuk parti Islam itu kehilangan kerusi berkenaan selepas ia memutuskan hubungan dengan sekutunya dan mengambil keputusan untuk bersendirian.


Pemimpin PH tempatan juga bimbang persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyebabkan sejumlah besar masyarakat Cina ke daerah berjiran Taiping.


Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, lebih 80% pengundi Cina mengundi pembangkang.


Walaupun sukar, Idris bersedia melawan musuh jika parti mencalonkannya semula pada PRU14.


“Parti yang memutuskan tetapi jika mereka tanya di mana saya hendak bertanding, saya akan pilih Bukit Gantang,” kata Idris kepada The Malaysian Insight.


PRU terbaik parti Islam yang berusia hampir tujuh dekad itu di Perak ialah pada 2008, ketika ia menang dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat.




Dengan komposisi kaum 68% Melayu, 23% Cina dan 9% Indian, Bukit Gantang mempunyai 78,951 pengundi setakat 2017.


Perkampungan Melayu luar bandar mendominasi landskapnya. Masyarakat Cina kebanyakannya bertumpu di pinggir bandar di Simpang Baru dan perkampungan nelayan Kuala Sepetang sementara kaum India bertaburan di seluruh kawasan itu.


Pertandingan sengit


Penduduk tempatan yang ditemui di Bukit Gantang mengakui kehadiran PAS di perkampungan Melayu.


Ketua Cabang PKR Bukit Gantang Chua Yee Ling mengakui keadaan itu tetapi berkata sukar untuk PAS menang lagi di situ tanpa sokongan besar daripada pengundi bukan Islam seperti pada 2008 dan 2013.


Pengundi Cina seperti Woo, seorang pemandu lori berkata rakan-rakannya tidak akan mengundi PAS sekali lagi pada PRU14.


Pertandingan utama ialah antara BN dan PH sementara PAS hanya pengacau.


BN akan mendapat kelebihan yang tidak adil berbanding PH jika SPR berjaya dengan cadangannya untuk memindahkan dua daerah mengundi majoriti Cina; Pengkalan Aor dan Simpang Baru ke Taiping, kata Chua.


Dua daerah mengundi itu mempunyai 8,910 pengundi. Langkah kontroversi itu akan menukar Taiping kepada kerusi majoriti Cina yang lebih besar dengan jumlah pengundi Cina yang tidak seimbang.


Namun, Chua berkata PH berharap untuk memenangi Bukit Gantang dengan meletakkan calon daripada Bersatu, parti serpihan Umno untuk menawan penyokong Umno yang tidak berpuas hati.


Amanah akan cuba menarik ahli PAS.


Perak Bersatu belum memberi respons kepada soalan The Malaysian Insight berkenaan calon parti itu di Bukit Gantang.


Terdapat tiga kerusi DUN dalam Parlimen Bukit Gantang. PKR menang di Changkat Jering dan Kuala Sepetang sementara Umno memenangi Trong pada 2008.


Pada 2013, PKR kekal di Kuala Sepetang sementara Nizar Jamaluddin menang Changkat Jering. Trong kekal menjadi deposit tetap Umno.


Sentuhan peribadi


Di pihak BN, Idris mungkin bakal menentang Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal atau Adun Kamunting yang juga exco Perak Zahir Abdul Khalid.

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Dato' Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dijangka bertanding di kerusi Bukit Gantang pada PRU14.

     Gambar Facebook, 26 Mac, 2018.

Kedua-duanya bersaing untuk bertanding di kerusi Parlimen itu untuk kali pertama.

Di sebalik semua itu, Dato' Syed Hussin Hafiz percaya khidmat sosial yang disediakan bahagiannya sejak 2014 akan membantunya memenangi hati pengundinya di luar bandar.


“Saya ada 1,000 wanita di akar umbi. Kami pergi ke setiap kampung, kenal pasti mereka yang memerlukan dan membantu menyelesaikan masalah; membaiki bumbung bocor, sediakan makanan untuk orang miskin, bantu mereka mohon bantuan kebajikan, BR1M,” katanya.


Seorang lelaki yang bekerja di Johor berjaya mendapatkan bantuan untuk membaiki rumah ibunya yang sudah tua menerusi laman Facebook Umno bahagian itu.


“Pengundi saya boleh berkomunikasi dengan saya bila-bila masa saja,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.


Pengundi sukar buat pilihan


Man, 38, seorang penjaja di tepi jalan di Kampung Kepala Bukit, berkata beliau belum buat keputusan hendak undi siapa, tetapi pada masa ini pro kepada Umno.


“Saya sokong Umno kerana mereka dalam kerajaan tetapi saya kecewa kerana tidak dapat BR1M.


“Ada banyak lagi orang susah. Saya harap siapa pun yang kami undi, mereka akan jaga rakyat. Contohnya, bukan sekadar bantu bumbung bocor tetapi beri rumah kepada golongan yang memerlukan,” katanya.


Pemilik kedai runcit Mat, 60, dari Kampung Bukit Gantang berkata sukar untuk meneka siapa akan menang kerana ada banyak penyokong PH dalam PAS, dan penyokong Umno juga berpecah.


“Saya dulu sokong Umno sehinggalah hunjung 1980-an. Sukar untuk kata siapa akan menang kali ini. PAS tidak boleh menang. Ia antara PH dan Umno,” katanya.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.