
Samada
wujud kaitan langsung atau tidak, nampaknya kumpulan penjenayah siber
‘Anonymous Malaysia’ bersekonggol dengan pemimpin pembangkang yang mahu
menimbulkan huru-hara di Malaysia menjelang hari Kemerdekaan negara 31 Ogos
ini.
Penjenayah
siber ini memuat naik video mahu mengancam Kerajaan Malaysia dan mengisytihar
perang terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasmi kumpulan itu, pada 4
Ogos lalu.
Dalam
video terbabit, kumpulan itu mengisytiharkan perang internet terhadap Kerajaan
Malaysia dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan
menjangkakan serangan akan berlaku pada 29 hingga 30 Ogos ini, bermula 6 petang
hingga 5 petang keesokannya.
Kumpulan
itu memberi amaran, serangan dibuat selaras dengan demonstrasi Bersih 4.0 yang
dijangkakan berlaku pada tarikh sama.
Pada
tarikh itu, kumpulan tersebut menamakan beberapa laman web yang akan dijadikan
sasaran serangan termasuk portal rasmi Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia selain 150 portal web yang terpilih.
Sementara
itu, semua organisasi di bawah Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII)
digesa agar memperkukuh sistem pertahanan siber komputer masing-masing
menggunakan perisian terkini dan 'patch' keselamatan bagi melindungi daripada
digodam oleh penjenayah siber.
Menteri
Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata
tindakan itu merupakan langkah untuk menaik taraf sistem komputer di setiap
organisasi daripada serangan siber oleh sekumpulan penjenayah yang dikenali
sebagai 'Anonymous'.
"Sebagai
kementerian yang bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber negara selamat
dan terhindar daripada pelbagai ancaman atau serangan siber, MOSTI melalui
CyberSecurity Malaysia dan MIMOS Berhad (MIMOS) terus berusaha dan secara
proaktif dalam menangani isu-isu berkaitan keselamatan siber," katanya
dalam kenyataan Selasa.
Dalam
konteks siber, CyberSecurity Malaysia memberi perkhidmatan teknikal kepada 10
sektor CNII yang terdiri daripada sektor pertahanan dan keselamatan; perbankan
dan kewangan; maklumat dan komunikasi; tenaga, air, pengangkutan, kesihatan,
makanan dan pertanian serta perkhidmatan kerajaan dan perkhidmatan kecemasan
sebagaimana termaktub dalam Dasar Keselamatan Siber Negara (NCSP).
"MIMOS
sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan ICT negara turut membangunkan
teknologi keselamatan lebih maju dalam usaha melindungi infrastruktur IT di
dalam sesebuah organisasi daripada serangan dalaman dan luaran serta bertujuan
menjejak pergerakan dokumen atau maklumat yang dibocorkan," katanya.
Madius
turut menekankan kepada pentadbir rangkaian komputer agar mempunyai kemahiran
dan kecekapan dalam mengendali sesebuah insiden ancaman siber yang dihadapi
oleh organisasi mereka.
"Kepakaran
boleh diperoleh melalui program-program latihan kepakaran yang ditawarkan oleh
CyberSecurity Malaysia seperti latihan kepakaran dalam bidang forensik digital
dan latihan kepakaran tindak balas keselamatan siber," katanya.
Orang
ramai juga diminta untuk melaporkan insiden serangan siber kepada pihak
berkuasa berkaitan atau Pusat Bantuan Cyber999 menerusi alamat email:
cyber999@cybersecurity.my.