Tetapi
lain pula ceritanya dengan projek terowong dasar laut Pulau Pinang
ini yang dengan jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau
Pinang memiliki kemampuan untuk membiayai mega projek ini berbanding
mengutamakan rakyatnya sendiri.
Skandal
Terbesar Tahun 2014?
Laporan
Malaymail Online bertarikh 4 Oktober 2013 menyatakan bahawa Kerajaan
Negeri Pulau Pinang meluluskan projek Terowong Dasar Laut (PTDL)
dengan kos keseluruhan projek ini yang dianggarkan bernilai RM6.3
bilion dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang
dengan pembayaran tunai serta pembiayaan melalui pemindahan 110 ekar
tanah pinggir laut di Gurney Drive dengan harga RM1,300 kaki persegi
atau nilai keseluruhannya sebanyak RM6.3 bilion kepada pemegang
konsesi projek ini.
Menurut
Malaysian Gazette bertarikh 6 November 2013, Kerajaan Negeri Pulau
Pinang telah melantik Consortium Zenith Sdn. Bhd. untuk melaksanakan
projek ini dan konsortium ini pula telah menjalin kerjasama
strategik antara Zenith Construction Sdn. Bhd. dan China Railway
Construction Co. Ltd. (CRCC), bersama Beijing Urban Construction
Group, Sri Tinggi Sdn. Bhd. dan Juteras Sdn. Bhd.
Projek yang
dijangka mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan ini terdiri
daripada 4.2 km jalan pintas dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr
Lim Chong Eu, jalan pintas sepanjang 4.6 km antara Lebuhraya Tun Dr
Lim Chong Eu dan Bandar Baru Air Itam, laluan berkembar sepanjang 12
km dari jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang serta laluan sepanjang
6.5 kilometer dari Pulau Pinang ke Butterworth (laluan terowong
dasar laut).
Rakyat
Pulau Pinang pula akan dibebankan dengan kutipan tol apabila
kerajaan Negeri Pulau Pinang membenarkan syarikat Consortium Zenith
BUCG Sdn Bhd untuk mengutip tol selama 30 tahun. Laporan
Bernama bertarikh 19 Mac 2013 pula melaporkan bahawa syarikat
konsortium ini boleh menjana untung sebanyak RM 0.27 bilion menerusi
hasil kutipan tol ini.
Pembinaan jalan raya adalah
sepanjang 27.3
km tetapi hakikatnya 20.8 km daripada jalan raya berkenaan merupakan
jalan pintasan biasa dan laluan berkembar.
Jika
kita membuat andaian mengenai anggaran kasar pembinaan jalan-jalan
biasa ini iaitu kita mengandaikan bahawa kos pembinaan setiap
kilometer akan menelan sebanyak RM80 juta maka kos totalnya adalah
dianggarkan sebanyak RM1.664 bilion.
Manakala bakinya
sebanyak RM4.63 bilion pula dianggarkan akan digunakan untuk membina
6.5 km terowong dasar laut tersebut.
Maka, diandaikan
bahawa anggaran
untuk membina setiapkilometer terowong dasar laut ini adalah
sebanyak RM713 juta yang sekaligus menjadikan antara projek
yang paling termahal di Malaysia.
Malah,
projek pembinaan terowong SMART yang melibatkan 9.7 km laluan
terowong air ribut dan 4 km laluan jalan raya pun hanya menelan kos
sebanyak RM1.88 bilion sahaja.
Utamakan
Rakyat, Bukannya Kapitalis
Adalah
dianggarkan bahawa harga tanah di Gurney Drive pada masa kini adalah
RM1,650 kaki persegi yang menyaksikan peningkatan 25% dalam masa
tidak sampai dua tahun.
Sekiranya pembinaan terowong
dasar laut ini disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2025, dan
dianggarkan berlakunya peningkatan kadar 10% harga tanah di Gurney
Drive maka
110 ekar tanah yang diberikan kepada syarikat Consortium Zenith BUCG
ini akan bernilai kira-kira RM19.77 bilion pada tahun 2025.
Ini sememangnya munasabah jika melihat kepada harga hartanah di
Pulau Pinang semenjak 12 tahun yang lalu dan pada masa kini.
Sebuah
kerajaan negeri yang beretika dan memiliki tanggungjawab moral
sepatutnya menggunakan tanah tersebut sebagai cagaran untuk
menerbitkan bon yang disokong oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan
RM6.3 bilion dan pada masa yang sama memberikan projek kepada
syarikat pembinaan yang dipilih secara tender terbuka untuk membina
terowong dasar laut tersebut.
Bagi memastikan setiap rakyat
Pulau Pinang menikmati keuntungan hasil daripada projek ini,
kerajaan negeri yang perlu mengutip tol atau menjual tanah 110 ekar
itu pada tahun 2025 yang pastinya akan bernilai lebih tinggi
daripada kos untuk menebus bon tersebut.
Dengan cara begini,
kerajaan negeri akan dapat memastikan negerinya menjana keuntungan
melalui harga tanah pada tahun 2025 dan harga bon serta pada masa
yang sama menjana keuntungan daripada hasil kutipan tol. Keuntungan
ini akan dapat disalurkan untuk menjaga kepentingan rakyat Pulau
Pinang termasuk dalam soal pengangkutan awam serta penjagaan
kesihatan dan bukannya memberikan terus hak kutipan tol tersebut
kepada syarikat swasta.
RM305
juta hanya untuk kertas kerja?
Kerajaan
Negeri Pulau Pinang telah memberikan Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd
sebanyak 9 ekar tanah di Seri Tanjung Pinang 1 (STP1) yang bernilai
RM305 juta untuk membiayai kos kajian kebolehlaksanaan dan reka
bentuk terperinci projek terowong dasar laut Pulau Pinang termasuk
perincian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Secara logiknya, bukankah
kajian ini sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu sebelum
menyerahkan projek ini kepada Consortium Zenith BUCG ini?
Mereka
yang berfikir secara waras pun akan sedar bahawa kemungkinan untuk
pemaju projek ini memberikan laporan kajian yang benar-benar bebas
adalah sifar kerana ianya melibatkan keuntungan besar yang bakal
diperolehi melalui pampasan 110 ekar tanah yang diberikan oleh
kerajaan negeri serta kebenaran untuk mengutip tol selama 30
tahun.
Malah selain dakwaan bahawa hingga kini tidak ada
sebarang tanda-tanda kajian kebolehlaksanaan sedang dan telah
dilaksanakan di kawasan melibatkan projek terowong ini, wujud
pula persoalan
penting yang gagal dijawab oleh kerajaan negeri DAP Pulau Pinang
iaitu bagaimana sekiranya laporan kajian kebolehlaksanaan serta EIA
menunjukkan projek ini sebagai tidak berdaya maju serta mengundang
malapetaka alam sekitar?
Misteri
Disebalik Tender Terbuka?
Memetik
tulisan Ong Eu Soon dalam The Ant Daily bertarikh 25 Ogos 2014 yang
mendedahkan bahawa tidak
wujud tender terbuka dalam pemberian projek terowong dasar laut ini
sebaliknya ia adalah apa yang dikenali sebagai Request for Proposal
(RFP) sahaja.
Menurutnya,
China Railway Construction Ltd (CRCL) bersama IJM Corporation Bhd
membida tender terbuka itu tetapi hanya mencadangkan pembinaan jalan
raya sepanjang 4.2 km antara Gurney Drive dan Lebuhraya Tun Dr Lim
Chong Eu.
Sementara itu, VST Cemerlang bersama-sama
dengan China State Corporation turut mengemukakan cadangan empat
projek pembinaan dan diikuti oleh kontraktor pembinaan iaitu WCT
Berhad bersama syarikat gergasi pembinaan Korea, Daewoo Engineering
and Construction membida projek jalan raya berkembar Teluk Bahang
dan Tanjung Bungah dan projek pintasan pantai Gurney
Drive.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah meminta Consortium
Zenith BUCG yang merupakan syarikat khas (SPV) untuk menjadi
kontraktor utama projek ini dan bergabung dengan syarikat-syarikat
kontraktor lain.
Maka, ini
sudah terang lagi bersuluh bahawa keseluruhan proses ini bukanlah
proses tender terbuka sebaliknya RFP kerana kesemua pembida ini
tidak bertanding atas terma dan syarat yang sama.
Malah
menurut Ong Eu Soon lagi dalam kenyataannya yang dipetik daripada
The Malaysian Insider bertarikh 6 Oktober 2013 yang mempersoalkan
kewajaran kerajaan negeri dalam menganugerahkan projek ini
kepada Consortium
Zenith BUCG yang menurutnya hanya
didaftarkan pada Julai
2012 sedangkan tarikh
tutup untuk mengemukakan kertas cadangan untuk projek jalan dan
terowong ini ialah pada Jun 2012.
Bagaimana
mungkin Consortium Zenith BUCG ini boleh dianugerahkan tender
tersebut apabila ketika itu (Jun 2012) syarikat berkenaan tidak
berdaftar lagi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia?
Sekiranya
projek terowong ini telah dianugerahkan kepada Consortium Zenith
BUCG melalui tender terbuka maka adalah menjadi tanggungjawab moral
kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mendedahkan nama
syarikat-syarikat yang telah membida tender tersebut, jumlah pembida
dan harga tawaran yang kalah dalam pembidaan projek ini.
Garis
panduan “Open Tender” oleh Bank Dunia juga menyeru supaya semua
tawaran perlu dibuka untuk penelitian orang awam tetapi memandangkan
keseluruhan isu pemberian tender ini dirahsiakan oleh kerajaan
negeri Pulau Pinang dan orang
awam terutamanya rakyat Pulau Pinang tidak mengetahui siapa
pembidanya serta tawarannya maka ini secara langsung menjurus kepada
apa yang dipanggil sebagai ‘managed tender’.
SM
Mohamed Idris vs Lim Guan Eng
NGO
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia
(SAM) merupakan NGO yang tertua di Pulau Pinang dan sekian lamanya
telah merealisasikan prinsip ‘semak dan imbang’ dengan kerajaan
negeri sama ada sewaktu pentadbiran Barisan Nasional mahupun ketika
ini dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat.
CAP dan SAM menentang
keras projek ini dengan alasan yang kukuh bahawanya keseluruhan
projek pembinaan jalan dan terowong dasar laut ini hanya
akan mewujudkan kesesakan lalu lintas yang lebih teruk, risiko
kemalangan dalam terowong serta kesan alam sekitar yang tidak boleh
dibayangkan.
Turut
dipersoal adalah tahap keselamatan terowong dasar laut berkenaan
serta perjanjian untuk membenarkan pemaju menebus-guna laut seluas
44 hektar sebagai bayaran pembinaan terowong dan jalanraya.
SM
Mohamed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM ini yang pernah
memainkan peranan utama dalam membatalkan projek pembangunan Bukit
Bendera pada tahun 1980-an ini menuntut agar Lim Guan Eng sebagai
Ketua Menteri Pulau Pinang mendengar rintihan rakyat dan membatalkan
projek berkenaan.
Namun, Lim Guan Eng dalam satu surat
terbuka kepada SM Mohamaed Idris yang juga Presiden CAP dan SAM yang
bertarikh 21 Mac 2013 dan disiarkan dalam Malaysiakini memilih untuk
tidak mempedulikan suara NGO ini dan menyatakan dengan jelas bahawa
SM Mohamed Idris dan NGO beliau tidak pernah menghadiri sebarang
forum mahupun dialog yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Pulau
Pinang untuk mendapatkan maklum balas orang awam mengenai projek
berkenaan serta menuduh beliau sebagai memilih kasih apabila membuat
kritikan.
Surat balasan SM Mohamad Idris kepada Ketua Menteri
Pulau Pinang bertarikh 26 Mac 2013 yang turut disiarkan di
Malaysiakini pula telah mempersoalkan
kewajaran kerajaan negeri memulakan projek mega ini tanpa
menjalankan penilaian implikasi jangka panjang kepada negeri serta
alam sekitar dan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang juga gagal dalam
memberikan bukti yang menyakinkan bahawasanya projek ini akan dapat
mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Malah
menurutnya lagi, forum dan dialog yang dianjurkan oleh kerajaan
negeri ini bukannya bersifat untuk mendapatkan pandangan awam
sebaliknya adalah menjelaskan keputusan kerajaan negeri yang mahu
untuk meneruskan projek ini.
Persoalan fundamental kini ialah
apakah perlunya sebuah projek berskala besar begini dan apakah
kajian kebolehlaksanaan dan keuntungan kos telah dijalankan sebelum
keputusan untuk menjalankan projek ini
dibuat?
Hakikatnya, kerajaan negeri menandatangai
MOU untuk pembinaan empat jalan utama dengan syarikat daripada
China sebelum memulakan
kerja perundingan melibatkan Pelan Induk Pengangkutan atau Transport
Master Plan. Malah, kerajaan negeri Pulau Pinang jelas gagal dalam
menjelaskan atas asas apa keputusan-keputusan ini dibuat.
Tindakan
Lim Guan Eng yang tidak mempedulikan suara NGO-NGO sivil ini turut
mendapat bantahan daripada ahli partinya sendiri apabila Ahli Dewan
Undangan Negeri DAP Pulau Tikus Yap Soo Huey dalam The Malaysian
Insider bertarikh 5 Mac 2014 sebagai berkata bahawa sistem
pengangkutan awam negeri yang perlu diperbaiki terlebih dahulu
sebelum melaksanakan projek pembinaan terowong dasar laut ini serta
tiadanya keperluan terowong berkenaan pada masa kini dan mungkin
hanya akan diperlukan pada tahun 2030 nanti.
Masa
Depan Pulau Pinang Di Bawah DAP
Jika
sebelum ini kerajaan negeri DAP Pulau Pinang terkenal dengan skandal
penjualan tanah negeri semata-mata untuk menguruskan ekonomi negeri
maka kini skandal projek terowong dasar laut ini pula memalit
integriti, ketelusan serta akauntabiliti kerajaan negeri pimpinan
Lim Guan Eng ini.
Mengandaikan
bahawa masalah kesesakan lalu lintas akan berakhir sepenuhnya dengan
pelaksanaan projek ini adalah sesuatu yang amat meragukan malah
persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh NGO sivil masyarakat
seperti CAP dan SAM adalah petanda
betapa projek ini cukup berbahaya dan malapetaka sedang menanti
rakyat Pulau Pinang.
Edwin Michael merupakan Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman