Semalam, terdapat dua
posting blog menarik yang bertajuk "Jutaan Ringgit Dalam Akaun Rosmah -
Mana datangnya? EKSKLUSIF!" dan "Pendakwaan mengejutkan oleh Sarawak
Report".
Selama enam tahun atau
lebih, Clare Rewcastle Brown telah menggunakan Sarawak Report menyerang Abdul
Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya, dengan hanya satu
objektif: untuk menjatuhkan Barisan Nasional Sarawak dan menyerahkan negeri itu
kepada PKR.
Matlamatnya hanya satu dan
'kuda' yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak baru sebaik PKR mengambil alih
kerajaan negeri ialah Baru Bian yang telah mengadakan lawatan beberapa kali ke
London untuk berjumpa Clare.
Pada suatu ketika, ketua
umum PKR, Anwar Ibrahim, membuat keputusan untuk membatalkan rancangan
menjadikan Baru Bian sebagai ketua PKR Sarawak dan menggantikannya dengan calon
Islam. Clare marah dengan keputusan itu. Dia menghentikan operasi Sarawak
Report serta-merta dan menelefon Anwar bagi membantah keputusannya. Jika Anwar
tidak menaikkan Baru Bian sebagai Ketua PKR Sarawak mengikut rancangan asal,
maka Sarawak Report akan terus ditutup dan Clare tidak akan membantu PKR
menjatuhkan Taib.
Anwar mengalah dan
beberapa hari kemudian, Sarawak Report kembali beroperasi.
Tun Dr Mahathir Mohamad
melihat Sarawak Report sebagai kenderaan yang sesuai untuk digunakan dalam misi
menjatuhkan Perdana Menteri, jadi dia bertemu dengan Clare untuk membincangkan
kemungkinan Sarawak Report bekerjasama dengan pakatan anti-Najib.
Kemungkinan sentiasa ada,
sudah tentu, tetapi semuanya bergantung pada isu wang. Sarawak Report juga
dibiayai oleh pihak yang mahu menyingkirkan Taib dan mahu PKR mengambil alih
Sarawak. Untuk melakukan perkara yang sama dalam kempen menggulingkan Najib,
pembiayaan yang lebih besar amat ditagih.
Selama ini, Sarawak Report
melakukan serangan sehala dengan menyerang Taib dan keluarganya tetapi Taib
tidak melawan. Sebaliknya, dalam siri serangan Najib, penyokong Najib tidak
akan membenarkan Clare terus menyerang Perdana Menteri dan keluarganya tanpa
sebarang tindak balas.
Para penyiasat kini sedang
menyiasat jumlah wang yang diterima Clare dan Sarawak Report untuk beberapa
tahun ini dan siapa pembiayanya (walaupun identiti pembiaya itu lebih-kurang
sudah diketahui). Penyiasat tahu Clare memperolehi wang dari luar UK tetapi apa
yang mereka mahu tahu adalah berapa banyak daripada wang itu tidak
diisytiharkan dan telah disembunyikan dari pengetahuan pengutip cukai UK.
Penyiasat juga sedang
menyiasat bagaimana Clare yang bermula sebagai seorang wartawan telah menjalani
gaya hidup yang berbeza selepas dia mula menyerang Taib dan kini, selepas dia
mula menyerang Najib, gaya hidupnya mirip dengan gaya hidup sasaran
serangannya. Tidak syak lagi bahawa Clare menerima wang dan ada seseorang yang
membelanjakan wang yang banyak untuk membiayai serangan ke atas Najib, kata
para penyiasat.
Penyiasat mahu membuktikan
Clare adalah seorang mata duitan dan motivasi utamanya adalah wang, bukan mencari
kebenaran. Malah, kata para penyiasat, Clare yang kononnya sentiasa mencari
kebenaran, sanggup menggunakan taktik penipuan dan dokumen palsu bagi menyerang
sasarannya.
Apa pun, semoga berjaya
kepada penyiasat kerana saya yakin orang yang licik seperti Clare tahu cara
menutup jejak langkah dan tidak akan meninggalkan sebarang bukti. Lagipun,
kerjanya selama ini adalah menyiasat orang lain jadi dia mesti tahu apa
kesilapan yang sering dibuat orang, yang juga bermaksud dia tahu apa yang perlu
dilakukan untuk mengelakkan diri daripada ditangkap.
Pasukan penyiasat
bagaimanapun berkata ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk membuktikan dakwaan
itu. Mereka merujuk kepada pangsapuri mewah bernilai jutaan paun yang
didiaminya yang tidak mungkin dapat dimiliki orang biasa kecuali mereka yang
berada dalam kategori jutawan.
Setelah jumlah hartanya
dikenal pasti, tindakan undang-undang akan difailkan terhadap Clare. Para
penyiasat mengatakan peguam sudah pun meneliti perkara ini dan mereka merancang
untuk mengambil tindakan ke atasnya. Mereka tidak akan mendedahkan strategi tetapi
penyiasat percaya Clare telah melampaui batas dalam pendedahan terbarunya
mengenai akaun bank Rosmah.
Nampaknya saman juga
mungkin akan difailkan terhadap Affin Bank Berhad kerana bekerjasama dengan
Clare mendedahkan butiran perbankan peribadi pemegang akaun mereka. Jika mereka
memutuskan untuk mendakwa pihak dari Affin Bank yang terlibat dalam koloborasi
ini dengan pendakwaan jenayah, pesalah yang terlibat mungkin sanggup membuat
perjanjian agar tidak dipenjarakan dengan mendedahkan pihak berkaitan yang
turut terlibat dan segala urusan dengan Clare, yang akan mengukuhkan lagi kes
terhadap pengasas Sarawak Report itu.
Sementara itu, pihak polis
Thai telah meminta polis Malaysia beberapa nama rakyat Malaysia yang boleh
membantu mereka dalam siasatan terhadap Xavier Andre Justo. Pembantu Dr
Mahathir, Sufi Yusuf dikatakan adalah antara lima rakyat Malaysia yang didakwa
terlibat dalam jenayah mencuri data dan jenayah pemalsuan emel. Hmm ... adakah
Sufi akan menyambut Hari Raya di Kuala Lumpur atau di Bangkok tahun ini?
Selain itu, polis Thailand
juga sedang menyiasat aliran wang kepada Justo. Polis mahu tahu berapa banyak
yang dibayar dan bagaimana ia dibayar, melalui wang tunai atau pemindahan
elektronik. Mereka mahu tahu siapa lagi yang membayar kepada Justo selain RM15
juta yang diterimanya dan sudah diketahui umum. Sekiranya wang tunai diseludup
ke Thailand untuk membayar Justo, ia akan menjadi satu lagi kes jenayah kerana
menyeludup wang tunai ke Thailand tanpa mengisytiharkannya adalah menyalahi undang-undang
negara itu.
Plot semakin rancak dan
kita mungkin di ambang melihat perkembangan yang lebih menarik dalam isu 1MDB
ini. Ya, cerita ini masih belum berakhir. Sebaliknya ia baru bermula.
Dijangkakan ia akan menjadi lebih panas dalam tempoh beberapa minggu akan
datang.
- Oleh Raja Petra
Kamarudin
No comments :
Post a Comment