Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, January 28, 2013

Projek IC. Karier Politik Anwar Terjejas ~ Kata NGO



Suruhajaya Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan bahawa pendatang asing tanpa izin di Sabah diberi kerwarganegaraan akan menjejaskan karier politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata ketua pegawai eksekutif , Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, walaupun ramai pihak mengaitkan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad dengan 'Projek IC' yang membolehkan pendatang asing itu mengundi, namun Anwar, ketika itu adalah pemimpin nombor dua negara.

Malah, menurut Wan Saiful, Anwar adalah pemimpin yang berperanan besar dalam membawa Umno ke Sabah bagi menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).

"Kita tidak dapat menafikan bahawa ada kemungkinan Anwar akan terpalit sedikit. Sebagai orang nombor dua dalam kerajaan ketika itu, sebagai salah seorang yang memainkan peranan besar untuk bawa Umno ke Sabah, beliau ada kaitan.

"Dia pernah menjadi orang kedua dalam Umno. Dan banyak juga tuduhan mengatakan Anwar antara yang paling terkehadapan dalam membawa Umno ke Sabah untuk menggantikan Usno dahulu," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Ditanya sekiranya Anwar menafikan penglibatan beliau dalam 'Projek IC' itu, Wan Saiful berkata, penafian pasti akan berlaku.

Bagaimanapun, katanya, jika suruhanjaya diraja itu berjaya membuktikan pembabitan Anwar dalam isu berkenaan, kredibilitinya sebagai Ketua Pembangkang pasti terjejas.

"Tentulah sesiapa saja yang dituduh akan menafikan. Saya rasa penafian pasti akan berlaku. Yang penting RCI perlu menjalankan siasatan untuk melihat semua kemungkinan.

"Kita tidak boleh nilai sekarang. Yang penting, sekiranya RCI mengatakan Anwar terlibat, kredibilitinya akan terjejas," katanya sambil menambah kesan kepada Anwar adalah lebih serius berbanding Dr Mahathir.

Menurut Wan Saiful, Anwar kini juga masih aktif dalam arena politik sedangkan Mahathir telahpun bersara.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan terma rujukan  lapan perkara bagi RCI yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.

Sabah berdepan dengan masalah kebanjiran pendatang asing yang serius apabila populasi rakyatnya meningkat secara mendadak secara ketara bagi tempoh beberapa dekad ini.

Wan Saiful juga berkata, Najib terpaksa mengumumkan suruhanjaya itu untuk mengembalikan keyakinan rakyat di Sabah dan pada masa yang sama memberi peluang kepada perdana menteri untuk keluar dari bayang-bayang Mahathir dengan tindakan lalu yang mungkin menjejaskan Umno.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.