Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, October 27, 2016

Bahaya Terlalu Bergantung Kepada DAP



Kadir Jasin menulis berkenaan lawatan kerja YAB PM ke China dan melahirkan rasa kebimbangan beliau dan kenalan beliau tentang bahaya apabila Malaysia terlalu bergantung kepada China.

Kadir juga berkata bahawa ramai rakyat Malaysia risau tentang kebergantungan negara kita kepada China.

Kadir menuduh bahawa PM menggadaikan masa depan negara dan cucu cicit kita kepada China semata-mata kerana mahu menimbus RM50 billion hutang 1MDB.

1MDB menjual 100% aset kuasa (Edra) kepada China General Nuclear Power Corporation dan 60% ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (Bandar Malaysia) kepada sebuah konsortium yang dibentuk oleh syarikat tempatan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan syarikat China Railway Engineering Corporation (CREC) di mana baki 40% ekuiti masih dimiliki 1MDB.

Kadir menyatakan bahawa 1MDB menjual Edra dalam keadaan terdesak dan menanggung kerugian apabila terpaksa menjual Edra dengan harga lelong berjumlah RM9.2 billion lebih rendah RM3 billion daripada harga belian.

Malangnya Kadir tidak memaklumkan kepada pembaca beliau bahawa dengan penjualan Edra kepada CGN, 1MDB berjaya mengurangkan hutang sejumlah RM14.2 billion yang mana RM7.43 billion adalah hutang yang diwarisi daripada aset-aset penjanakuasa tersebut dan RM6.76 billion adalah hutang yang dibuat untuk membeli aset-aset penjanakuasa tersebut.

Penjualan Edra kepada CGN: Laporan PAC 1MDB

Kadir juga gagal memaklumkan kepada pembaca beliau bahawa RM9.2 billion hasil jualan yang diterima daripada CGN juga telah digunakan untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB lain dan berbaki RM2.32 billion.


 
Hasil Penjualan Edra: Laporan PAC 1MDB



Penjualan ekuiti Bandar Malaysia sebanyak 60% kepada konsortium IWHCREC tidak sepatutnya menjadi isu kerana CREC hanya mempunyai pegangan sebanyak 40% di dalam konsortium tersebut dan 60% selebihnya dimiliki IWH yang juga dimiliki oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Credence Resources Sdn Bhd dengan nisbah pemilikan 40:60.


Struktur Pemilikan Ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd


Secara ringkas CREC hanya akan memiliki 24% daripada keseluruhan ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd melalui pemilikan 40% ekuiti di dalam Konsortium IWH-CREC dan selebihnya dimiliki 1MDB (40%) dan IWH (36%) di mana melalui pegangan ekuiti di dalam IWH, KPRJ yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor memiliki 14.4% dan Credence Resources milik Lim Kang Hoo memiliki 21.6% daripada ekuiti Bandar Malaysia.

Tidak timbul isu kerajaan menggadaikan tanah kepada China untuk menanggung hutang 1MDB seperti yang digambarkan Kadir Jasin di dalam tulisan beliau.

Jika kerajaan ingin menggadaikan masa depan negara dan cucu cicit kita bukankah sepatutnya lebih mudah kerajaan menjual 100% ekuiti Bandar Malaysia kepada CREC?

Kadir mahu dana-dana dan syarikat-syarikat tempatan terlibat di dalam projek pembangunan Bandar Malaysia dan TRX tetapi apakah jaminan bahawa jika dana dan syarikat tempatan terlibat dalam projek Bandar Malaysia dan TRX, kerajaan tidak akan dituduh cuba bail-out 1MDB melalui KWSP, KWAP, PNB, LTH, LTAT dan lain lain?

Sedangkan pembelian sebidang tanah TRX oleh Tabung Haji juga ramai yang menuduh ianya sebagai bail-out apatah lagi jika dana-dana berkaitan kerajaan yang lain terlibat dengan projek pembangunan Bandar Malaysia secara penuh.

Adakah menarik pelaburan dari China sekarang digelar sebagai menjual masa depan negara dan masa depan cucu cicit kita semua?
Sehingga 30 Jun 2016, pelabur-pelabur asing memiliki RM1.575 trillion pelaburan di dalam Malaysia melalui pelaburan langsung, pelaburan portfolio dan derivatif kewangan.

Daripada jumlah pelaburan asing tersebut RM598 billion adalah kedudukan pelaburan langsung liabiliti Malaysia yang bermaksud RM598 billion adalah jumlah stok pelaburan langsung pelabur-pelabur dari luar negara di dalam Malaysia.


Kedudukan Pelaburan Antarabangsa, 2015–2016: Jabatan Perangkaan Negara


Daripada RM598 billion kedudukan pelaburan asing di dalam negara kita, kurang daripada 10% adalah pelaburan langsung daripada China (termasuk Hong Kong):



Kedudukan Pelaburan Langsung Liabiliti Mengikut Blok Negara, 2015–2016: Jabatan Perangkaan Negara


Setakat suku kedua 2016, kedudukan pelaburan langsung China (termasuk Hong Kong) di dalam Malaysia adalah RM49.56 billion atau lebih kurang 8.3% daripada keseluruhan pelaburan asing di dalam Malaysia.

Berbanding pelaburan asing daripada Singapura yang bernilai RM127 billion, Jepun RM75 billion, Belanda RM49 billion, USA RM46 billion yang mewakili hampir 50% daripada kedudukan pelaburan asing di Malaysia, mengapa hanya pelaburan dari China sahaja yang dikira sebagai menjual masa depan dan cucu cicit negara?

 

Aliran Bersih FDI di Malaysia Mengikut Rantau 2012–2015: Jabatan Perangkaan Negara


Malah aliran bersih pelaburan langsung asing dari negara-negara lain lebih tinggi daripada aliran bersih pelaburan langsung asing dari China tahun lepas seperti Singapura, Jepun, Belanda, UAE, USA tetapi tiada siapa yang menuduh PM dan kerajaan Malaysia menjual masa depan negara dan cucu cicit kepada negara-negara tersebut.

Hanya China yang menjadi perhatian Kadir kerana China melabur di dalam Malaysia dengan membeli ekuiti di dalam Edra dan Bandar Malaysia yang berkaitan dengan 1MDB.

Selain daripada sumber pelaburan China juga merupakan rakan dagangan (eksport-import) utama Malaysia.

 

Malaysia Total Exports and Imports: MATRADE


Sehingga Ogos tahun ini nilai dagangan antara Malaysia adalah sejumlah RM149.33 billion.

Malaysia menjual barangan kepada China dan Malaysia juga membeli barangan daripada China di dalam perdagangan eksport dan import setiap bulan.

Tak tahulah bagaimana ini dikatakan sebagai menjual masa depan negara kerana Malaysia memang sebuah negara terbuka yang dan mempunyai sektor perdagangan yang amat pesat dengan kebanyakan negara-negara asing bukan China sahaja.

Lawatan YAB PM ke China sepatutnya disambut baik oleh rakyat Malaysia kerana ianya dapat mengukuhkan lagi hubungan pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua buah negara.

Lawatan ini tidak bermaksud Malaysia akan mengabaikan negara yang lain kerana banyak lagi negara-negara lain yang mempunyai kepentingan yang lebih besar dari segi pelaburan dan perdagangan di dalam Malaysia.

Berbanding parti politik DAP yang sering memburuk-burukkan nama negara, menegangkan hubungan antara kaum dan pelbagai perkara negatif yang dibawa mereka, pelaburan dan perdagangan di antara Malaysia dengan China membawa banyak manfaat kepada rakyat seperti peluang pekerjaan kepada rakyat dan pembangunan ekonomi negara.

Tidak perlulah Kadir Jasin membandingkan sebuah parti politik pembangkang dengan negara rakan dagangan dan pelaburan Malaysia.

Soal kedaulatan negara berkaitan isu tuntutan sempadan Laut China Selatan memang perlu diberi perhatian oleh kerajaan tetapi ianya tidak berkaitan dengan isu pelaburan, perdagangan, 1MDB atau Bandar Malaysia seperti yang cuba dikaitkan pihak-pihak tertentu termasuk Kadir sendiri.

Hujah-hujah di dalam tulisan Kadir Jasin sejak kebelakangan ini persis hujah-hujah yang dibangkitkan DAP.

Najib jual negara, Malaysia bakal muflis, kerajaan ketiadaan wang dan sebagainya adalah hujah-hujah yang sering diulang-ulang DAP yang kini dibangkitkan oleh Kadir Jasin dan sekutunya di dalam PPBM.
Malaysia tidak terlalu bergantung kepada China seperti yang digambarkan mereka dan tidak ada apa bahayanya bergantung kepada China sebagai rakan dagangan dan pelaburan penting negara kita.

Kepada Kadir Jasin, sebenarnya lebih bahaya bila anda terlalu bergantung kepada hujah-hujah DAP untuk menyerang pentadbiran negara dan UMNO.

Rakyat boleh menilai dan membezakan antara China sebuah negara dan DAP sebuah parti dikuasai kaum cina.

Rujukan:

1. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Ke Atas 1MDB

2. Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia Suku Kedua 2016: Jabatan Perangkaan Negara

3. Statistik Pelaburan Langsung Asing di Malaysia 2015: Jabatan Perangkaan Negara

4. Malaysia's Trade Statistics: MATRADE


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.