Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah marah pada majoriti warga UMNO yang tampil bersuara kecewa dan mengecam tindakannya mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.
Kata Mahathir, kerana UMNO kini 'pekak', 'bisu' dan 'buta', maka beliau mengambil keputusan untuk keluar parti dan sanggup bersama DAP yang beliau 'ludah' dulu. Jika syaitan pun mahu Najib dijatuhkan, mungkin Mahathir sanggup bersama syaitan agaknya?
Pada pandangan penulis, UMNO sejak dari lahirnya dulu tidak pernah 'pekak', 'bisu' atau 'buta' hinggalah kini. Jika UMNO itu seperti yang didakwa Mahathir, sudah pasti Allah akan jatuhkan UMNO dan gantikan dengan parti lain.
Apa yang ada dalam UMNO ialah budi bahasa, adab dan sopan, bersesuaian dengan budaya Melayu yang tebal dalam diri seluruh warga UMNO. Walaupun berselisih faham dan tidak bersetuju, budaya Melayu cukup terkenal dengan muafakat dan menyelesaikan masalah dengan cara yang halus berhemah.
Lebih utama lagi, merujuk pada cara menegur yang dianjurkan Rasulullah SAW dan berdasarkan Al-Quran, teguran yang dibuat itu perlulah dilakukan dengan cara yang sabar, bijaksana dan berhemah. Jika menegur isteri, tidak sama caranya menegur anak.
UMNO tidak pekak di zaman Najib kerana UMNO tahu apa yang diperkatakan Mahathir terhadap Presidennya. Parti kami juga tidak buta kerana ia melihat apa yang dilakukan Mahahthir terhadapnya, dan UMNO juga tidak pekak kerana ia tahu bahawa Mahathir kini bukan lagi ahlinya.
Mungkin pada pandangan Mahathir, UMNO itu 'cacat' kerana tidak mengikut kehendak dan perancangannya. Kerana enggan mengikut 'skrip' dan 'plot' yang beliau sediakan sebelum meletak jawatan dulu, maka mungkin itulah yang mencetus kemarahan Mahathir.
Mahathir dulu mencatur supaya Pak Lah menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Caturnya, beliau hanya mahu Pak Lah menjadi Perdana Menteri selama sepenggal dan jawatan itu perlu diberi pada Najib. Oleh kerana Pak Lah enggan, maka Mahathir 'mengamuk' jatuhkan Pak Lah.
Setelah Najib naik menjadi Perdana Menteri, tiba-tiba pula anak Mahathir gagal meraih sebarang jawatan utama dalam kepimpinan UMNO Pusat. Bertanding Naib Presiden pun kalah. Mungkin ketika itulah Mahathir mula risau tentang 'skrip' dan 'plot'nya yang terganggu.
Mungkin disaat ini, Mahathir menjangkakan Mukhriz menjadi Naib Presiden, dan pada pemilihan agung UMNO nanti maka Mukhriz akan merebut jawatan Timbalan Presiden di bawah Najib.
Namun mungkin memandangkan Najib 'degil' dan tak mahu ikut 'master plan' Mahathir, maka beliau terpaksa ubah sikit 'plot'nya. Muhyiddin terpaksa dipergunakan wataknya untuk memberi 'amaran keras' kepada Najib kerana 'derhaka' pada Mahathir.
Malangnya, Muhyiddin pula diberi 'kad merah' dari kabinet, dan 'digantung perlawanan' menyebabkan beliau tidak boleh memain peranan dalam 'padang'. Apatah lagi beliau sudah diganti oleh 'pemain lain', ia mungkin membuat Mahathir hilang keruan di bangku warga emas 'stadium'...
Kini sudah hampir di peringkat klimaksnya. Rela berperanan sebagai pengkhianat parti, beliau sanggup bersekongkol dengan mereka-mereka yang pernah digelarnya sebagai 'syaitan', pernah beliau 'kurung', pernah beliau hina dan 'kahak hijaukan' di khalayak umum.
Dan Mahathir marah bila orang UMNO kecam tindakannya? Siapa yang pekak, bisu dan buta sebenarnya? Anaknya gagal menjadi ketua di Kedah, tidak pula dia 'tibai' seperti yang diucap ketika berkempen dulu, tapi beliau 'tibai' pula individu yang beri peluang pada anaknya itu?
Mahathir perlu tahu bahawa Najib bukanlah seorang 'boneka'. Seorang Presiden bukan seorang 'puppet' dan jika beliau perlu ikut telunjuk Mahathir, maka beliau boleh dianggap seorang ketua yang lemah. Mahathir mahu Presiden UMNO dilihat 'lemah' dan 'boneka'?
Kenapa marahkan UMNO yang setia pada Presiden? Mahathir menuduh Najib dengan menggunakan fakta-fakta palsu dan rekaan dari Sarawak Report, bagaimana kami hendak percaya pada tuduhan Mahathir itu?
Takkanlah kerana menolak untuk percaya pada sumber tidak benar itu layak dianggap 'pekak', 'bisu' dan 'buta'? Atau Mahathir sebenarnya yang sudah 'tuli', 'bisu' dan 'buta' kerana percaya pada tuduhan-tuduhan rekayasa itu?
Penulis mengharapkan Mahathir terimalah kekalahan kali ini dengan hati yang terbuka...