Friday, 7 August 2015
Kenyataan keras Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin yang bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan pegawai-pegawai SPRM.
Tujuh orang pegawai SPRM telah ditahan untuk diambil keterangan berhubung kes pembocoran maklumat 1MDB dan kertas pendakwaan bocor terhadap Perdana Menteri.
Agak menarik kerana sumpah yang dibuat oleh Bahri Mohamad Zin yang sekarang ini mendapat sokongan besar daripada para pemimpin PKR dan DAP, tidak lebih daripada sekadar melambangkan keegoan besar Suruhanjaya tersebut.
Terdapat banyak kes melibatkan SPRM yang tidak diselesaikan sehingga kini. Antara tahun 2008-2013, terdapat banyak laporan tentang skandal dan salah laku melibatkan kewangan dan salahguna kuasa di kalangan para pemimpin Pakatan Rakyat, terutama sekali di Kedah, Perak, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Namun tidak ada satu pun, kes tersebut diselesaikan dan diumumkan. Individu yang didakwa pula, langsung tidak dibawa ke muka pengadilan. Sebaliknya SPRM pula terpaksa kalut menepis serangan daripada DAP dan PKR ekoran kematian Teoh Beng Hock, saksi penting mereka dalam skandal dan penyelewengan Ean Yong Hian Wah yang pada itu merupakan ADUN Seri Kembangan.
Begitu juga dengan isu-isu pembalakan haram, pengeluaran mineral dan pencerobohan tanah kerajaan secara haram di Kedah, Perak dan Kelantan, juga tiada sebarang tindakan daripada SPRM.
Kerap kali SPRM hanya memaparkan kejayaan mereka 'menangkap' anggota-anggota polis yang terlibat dengan kegiatan rasuah secara kecil-kecilan tetapi apabila melibatkan sindiket dan operasi perjudian haram, serta pelacuran dan sebagainya. Tiada seorang pun taukeh-taukeh besar yang mendalangi operasi pembalakan secara haram berjaya ditarik keluar dan dipaparkan oleh SPRM menerusi media terutama sekali televisyen dan media cetak.
Terlalu banyak kes melibatkan integriti SPRM sendiri.
Justeru apabila Bahri Mohamad Zin melatah sebegitu rupa, banyak persepsi negatif sekarang ini sedang berlegar-legar di kalangan rakyat awam. Yang pasti, orang ramai mempersoalkan tentang keegoan SPRM yang seolah-olah langsung tidak boleh disentuh, ditegur mahupun undang-undang dikuatkuasakan ke atas mereka kerana mereka adalah SPRM.
Kalau PDRM yang anggota-anggota dan pegawai-pegawainya ditangkap oleh SPRM atau diambil keterangan berhubung salahlaku dan rasuah, tidak melatah atau mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa, mengapa pula SPRM tiba-tiba jadi terlalu ego dan besar kepala?
Bukankah lebih baik sekiranya SPRM menyatakan kesanggupan mereka untuk membenarkan anggota-anggota dan pegawai-pegawai mereka disiasat bagi membuktikan bahawa SPRM lebih bersih daripada sangkaan-sangkaan awam selama ini?
Bukankah lebih baik sekiraya SPRM bersikap lebih profesional dan menyatakan bahawa mereka terbuka kepada sebarang siasatan memandangkan selama ini tiada sesiapa pun yang menyiasat ke atas SPRM, selain tidak akan para pegawainya yang telah melakukan kesalahan, bukanya mengamuk dengan membuat solat hajat agar mereka bebas bermaharajalela dan menjual nama Allah Taala?
sengal berita
No comments :
Post a Comment