Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terlibat dalam
melindungi kerugian berbilion-bilion ringgit oleh Bank Negara kira-kira 20
tahun lalu, kata penulis Malaysia-today Raja Petra Kamarudin (RPK) dalam
pendedahannya terbaru bertajuk “When the shoe fits“, 4 Jun.
Kerugian Bank Negara itu pernah dibangkitkan di
Parlimen pada tahun 1993, ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan menggantikan
Tun Daim Zainuddin yang meletak jawatan pada 15 Mac 1991.
RPK berkata demikian ketika menjawab dakwaan
bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Rosli Yaakop tiga hari lalu, dalam satu
forum bertajuk “Bank Negara Forex Scandal: When Government Becomes Speculator”,
anjuran Penang Institute yang menuduh 4 individu tanpa tidak menyebut nama
Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Kewangan ketika itu sebagai punca kerugian
berjumlah RM30 bilion yang dialami oleh Bank Negara pada tahun 1993.
Menurut RPK, Rosli Yaakop adalah pemimpin PAS
dari Negeri Sembilan, sudah tentu mempunyai agenda tersendiri apabila tidak
mendedahkan perkara itu pada tahun 1999 apabila beliau meletakkan jawatan dari
Bank Negara.
Kenyataan RPK disokong oleh satu rencana yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah.
Ahmad Lutfi dalam rencananya bertajuk “Kerugian
Bank Negara : Siapa pula kaki judi ?” memetik kata-kata Ketua Pembangkang, Lim
Kit Siang di Parlimen, Selasa, 27 April 1993 yang menyebut, “Selaku Menteri
Kewangan, Anwar Ibrahim mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya
kerana kerugian pertukaran asing Bank Negara ini.
Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz berbagai
kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan jumlah
kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap liquiditi,
penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit dan kerugian
hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”
Kata-kata Lim Kit Siang itu dirakamkan dalam buku Ahmad Lutfi bertajuk “PAS zaman Anwar : Memo untuk bakal PM”, Penerbitan Pemuda, 1993.
Kata-kata Lim Kit Siang
itu dirakamkan dalam buku Ahmad Lutfi bertajuk “PAS zaman Anwar : Memo untuk
bakal PM”, Penerbitan Pemuda, 1993.
Berikut rencana penuh
Ahmad Lutfi Othman
Kerugian Bank Negara :
Siapa pula kaki judi ?
Sebaik sahaja mengetahui
Bank Negara mengalami kerugian RM9,300 juta akibat urusniaga pertukaran asing,
pada pertengahan April 1993, saya, ketika itu sebagai Pengarang Kumpulan
Harakah bergegas meminta wartawan kanan, Rashidi Hassan menghubungi Presiden Semangat
46, Tengku Razaleigh Hamzah bagi mendapatkan komen lanjut. Bagi saya kerugian
begitu besar tidak boleh didiamkan. Rakyat perlu mengetahui apa yang berlaku
sebenarnya. Dan tentunya sebagai bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh boleh
memberi penjelasan dalam masalah yang agak sukar difahami oleh rakyat biasa.
Sebenarnya pihak media
tempatan tidak langsung menyentuh kerugian ini selama hampir dua minggu selepas
Laporan Bank Negara dikeluarkan. Hanya selepas media asing melaporkannya maka
barulah terdapat berita mengenainya di akhbar tempatan. Itupun sekadar
memaklumkan dan tidak menjelaskan kenapa berlaku peristiwa yang sungguh
merugikan rakyat itu. Difahamkan akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris diarahkan
supaya mengecilkan perkara ini. Terlalu banyak pekung yang hendak ditutup
akhirnya bau busuk dapat dihidu di segenap ceruk.
Seperti biasa Rashidi akan
menghubungi terus Ketua Penerangan S46, Ahmad Shabery Cheek, yang sentiasa
berada di rumah Tengku Razaleigh.
“Beritahu Shabery
kenyataan Ku Li itu kita akan jadikan lead Harakah”, pesan saya secara bergurau
kepada Rashidi.
Namun begitu, setelah
menyemak sepintas lalu berita-berita yang ada untuk keluaran Isnin, 19 April
1993, tidak ada berita yang sesuai. Berita dari Kelantan agak menarik, tentang
kenyataan Tuan Guru Menteri Besar yang menyifatkan usaha UMNO menurunkan Sultan
Ismail Petra dari takhta Kesultanan Kelantan dan digantikan dengan Tengku
Ibrahim Petra adalah satu rancangan untuk menzahirkan raja politik di negara
ini. Bagi muka belakang, saya pilih analisis perkembangan terbaru UMNO,
kemungkinan Ghafar Baba tarik diri dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden
UMNO, dengan memberi laluan kepada Musa Hitam.
“Lutfi…..Shabery kata,
okey. Dia sedang bincang dengan Ku Li dan akan faxkan ke sini pada sebelah
petang nanti. Muka depannya?” Rashidi nampaknya gembira.
Saya sendiri gembira bila
mendapat tahu Tengku Razaleigh sudi memberikan komen. Peranan Harakah menjadi
lebih penting dalam mengetengahkan isu ini kerana semua akhbar utama menggelapkannya,
seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Jumlah RM9,300 juta bukan nilai
yang boleh dipandang ringan!
Tengku Razaleigh, melalui
kenyataannya kepada Harakah, berkata kerugian yang ditanggung oleh kerajaan
adalah lebih besar jika dibandingkan dengan kerugian terkumpul yang melibatkan
skandal BMF, Manimco dan koperasi pengambil deposit : “Bahkan jumlah RM9.3
bilion itu hampir sama dengan seluruh anggaran perbelanjaan pembangunan negara
bagi tahun 1993. Malah negara tidak pernah menanggung kerugian sebanyak itu.”
“Kalau di negara-negara
lain, Menteri yang bermaruah sudah meletakkan jawatannya kerana kerugian,”
tegas Tengku Razaleigh.
Beliau kesal dengan sikap
Menteri Kewangan yang berdiam diri dan tidak mahu menjelaskan pokok pangkal
sebenar skandal ini kepada rakyat. Saya memilih tajuk “Anwar Perlu Ambil
Tanggungjawab” untuk lead Harakah minggu itu
Untuk keluaran
Harakah berikutnya, saya sendiri menghubungi Shabery bagi mendapatkan komen
Tengku Razaleigh selanjutnya. Ini berikutan kenyataan balas Gabenor Bank Negara
yang merumuskan :
“Sebenarnya lebih
kukuh nilai ringgit, lebih banyak Bank Negara menanggung kerugian kerana rizab
kita dalam ringgit akan jatuh.” Tan Sri Jaffar Hussien juga berkata, kerugian
RM9.3 bilion itu adalah dari segi nilaian atas kertas dan bukannya kerugian
mata wang nyata. Kerugian itu, katanya, berpunca dari kedudukan nilai ringgit,
kos pengendalian inflasi yang tinggi dan pergerakan turun naik kadar pertukaran
mata wang yang meluas.
Ketika dihubungi,
Shabery memberitahu Tengku Razaleigh agak sibuk hari itu, ada mesyuarat penting
dan menziarahi jenazah. Saya meminta Shabery sendiri memberi komentar.
“Nak jadikan tajuk
muka depan lagi?” Saya tahu Shabery sebenarnya bergurau bila bertanya begitu.
“Kalau kenyataan
Tengku, insya-Allah saya akan usahakan untuk tajuk utama. Tapi kalau you yang
buat komen, kita akan pertimbangkan,” balas saya, juga bergurau. Bagaimanapun
yang lebih penting bukan lagi tokoh yang memberi komen tetapi kekuatan hujah
itu sendiri.
Masyarakat pembaca
harus didedahkan dengan sejelas-jelasnya melalui Harakah, maklumlah Utusan
Malaysia dan Berita Harian sudah di bawah takluk Menteri Kewangan.
Kenyataan Shabery
dengan tajuk “Wang Rakyat Diperjudikan” saya pilih tajuk utama Harakah, 23
April.
Shabery mengakui
bahawa kenaikan nilai ringgit boleh menjejaskan jumlah rizab negara tetapi
sukar diterima akal kalau hanya beberapa peratus kenaikan ringgit berbanding
dolar Amerika boleh mengeringkan langsung rizab negara. Serentak dengan itu,
Shabery mengingatkan Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim supaya “jangan
berselindung di sebalik istilah-istilah ekonomi yang mengelirukan.”
“Anwar mesti
mengakui punca terbesar kerugian adalah akibat permainan spekulasi mata wang
asing yang gagal. Jelas, kerugian ini bukanlah atas kertas sahaja tetapi
kerugian nyata yang ditanggung oleh rakyat jelata. Umat Islam terperanjat
bagaimana Menteri Kewangan yang banyak bercakap tentang Islam boleh merestui
permainan spekulasi seperti ini. Sedangkan secara jelas ia memperjudikan wang
rakyat sebegitu banyak. Bahkan kami hairan kenapa beliau boleh merestui
pendekatan Bank Negara yang amat merbahaya ini dan tidak mahu berterus-terang
apabila ia menemui kegagalan,” tegas Shabery.
Shabery juga
mempersoalkan alasan Gabenor Bank Negara : “Apakah semakin kukuh ekonomi
bermakna semakin kering rizab kita. Kenapa pula Singapura dan Brunei yang
berkembang ekonominya dan kukuh mata wangnya tidak mengalami kerugian teruk
sepertimana yang dialami oleh Bank Negara. Apakah Kementerian Kewangan Malaysia
ingin memperkenalkan teori baru ekonomi, iaitu semakin berkembang ekonomi
bertambah susutlah rizab, dan tidak mustahil ia terus bankrap. Apakah ini juga
bermakna semasa ringgit kita jatuh dahulu, rizab kita melambung naik lebih
seratus peratus?”
Untuk Harakah
berikutnya, ramai teman-teman bertanya : “Minggu ini nak lanyak Anwar lagi?
Cukuplah…Nanti
kerana isu itu pula Anwar boleh jatuh.
Masalahnya bukan
pasal hendak menjatuhkan Anwar dan menaikkan orang lain. Ini soal kebenaran.
Kalau Anwar berada di pihak yang benar, Anwar tidak perlu melatah kepada akhbar
sekecil Harakah. Di bawah Anwar sudah tersedia akhbar-akhbar besar, begitu juga
TV3, apa yang ditakutkannya. Kalau Harakah buat kesilapan, Anwar boleh tegur.
Bagi keluaran
Harakah 26 April, kami memilih isu kerugian Bank Negara juga. Saya memberitahu
teman-teman di Harakah : “Kalau ada isu besar yang kita tangani, kita mesti
buat sungguh-sungguh, sehingga pihak bertanggungjawab memberi reaksi. Jangan
asal tangkap muat sahaja.”
Kebetulan pula
Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr. Syed Hussin Ali memberi reaksi yang sama
dalam isu ini. Tanpa ragu-ragu lagi ia dipilih untuk menghiasi tajuk depan
Harakah iaitu “Bank Negara Kalah Judi”, dengan tajuk kecilnya “PM didesak
lucutkan jawatan Menteri Kewangan”.
Saya sendiri
menghubungi Dr. Syed Hussin bagi mendapatkan maklumat lanjut berdasarkan
kenyataan yang difaxkan ke Harakah.
Agak lama juga Dr.
Syed Hussin menjelaskan, melalui telefon, dan hati saya berdetik : “Patutlah
ramai orang tidak faham isu ini.”
Menurut Dr. Syed
Hussin, Bank Negara seharusnya prudent (berhati-hati) dalam setiap kegiatannya
dan semestinya sama sekali tidak terbabit dengan perjudian simpanan asing yang
boleh membawa risiko kerugian yang cukup besar. Beliau menyamakan istilah
spekulasi dengan perjudian.
Tindakan Bank
Negara, menurutnya, akan menjejaskan kestabilan kewangan dalam jangka panjang
kerana wang simpanan luar adalah sandaran atau jaminan kepada wang ringgit yang
beredar dalam negara. Jika nilai sandaran itu jatuh, ia boleh menjejaskan
kestabilan ringgit.
Dr. Syed Hussin
berpendapat Bank Negara, yang di bawah kawalan Kementerian Kewangan, sepatutnya
mengawasi semua kegiatan bank dalam negeri supaya tidak terlibat dalam
spekulasi / perjudian secara besar-besaran. Malangnya Bank Negara yang
bertindak sebagai pengawas itu sendiri terlibat dalam spekulasi / perjudian :
“Jadi, siapakah pula
yang akan mengawasi pengawas. Kami harapkan pagar yang menyelamatkan padi,
rupanya pagar yang makan padi. Aneh sekali bagaimana Anwar yang dahulunya terkenal
sebagai pejuang Islam melibatkan dirinya dengan judi besar-besaran seumpama
ini”.
“Kami mempunyai
maklumat bahawa pada tahun 1991 Bank Negara menugaskan seorang pegawainya
menjalankan kegiatan spekulasi dengan menggunakan simpanan luar. Khabarnya keuntungan
kira-kira satu bilion diperolehi. Digalakkan oleh kejayaan ini, pegawai
tersebut diberikan kebebasan untuk meneruskan kegiatan judi ini dalam tahun
1992. Kami percaya banyak simpanan luar digunakan untuk membeli wang paun.
Dalam tahun 1992 nilai paun turun dengan teruk sekali. Ini sebabnya kerugian
yang kita tanggung begitu besar. Sekiranya yang dibeli ialah wang Amerika,
kerugian mungkin tidak sebesar itu, sebab dalam tahun 1992 nilai wang Amerika
turun kira-kira lima peratus saja, berbanding wang Malaysia. Kami mendapat tahu
bahawa akibat kerugian ini pegawai berkenaan telah dipindahkan jawatan serta
tugasnya. Ini tidak memadai. Sepatutnya kerajaan hendaklah mengambil
tanggungjawab penuh dan meminta supaya Menteri Kewangan meletakkan jawatan, sekiranya
beliau sendiri tidak hendak berbuat demikian secara sukarela. Bukankah Menteri
Kewangan memperlihatkan kecuaian dan ketidakcekapannya?” tegas Dr. Syed Hussin.
Beliau seterusnya
berkata jumlah RM9.3 bilion yang lesap itu bukan kecil. Untuk memahami betapa
besarnya, boleh kita bayangkan apa yang boleh kita buat dengannya. Misalnya,
kita boleh mendirikan 18 buah universiti dengan harga RM500 juta sebuah, atau
45 buah hospital berharga RM200 juta sebuah, atau 180 buah sekolah berharga
RM50 juta sebuah ataupun 372,000 buah rumah berharga RM25,000 sebuah. Sekiranya
hendak digunakan untuk membayar bonus kepada 800,000 kakitangan kerajaan,
sebagaimana yang dituntut oleh CEUPACS, maka tiap-tiap seorang pekerja boleh
diberikan RM12,000.
Bayangan yang dibuat
oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, yang menganggarkan kerugian Bank Negara
boleh mencapai RM16,000 juta. Ketika berceramah di Kuching, pada 29 Mei 1993
lebih menarik :
“Jika seseorang itu
memenangi loteri yang menawarkan hadiah RM2 juta sehari, untuk mendapat wang
sebanyak RM16 bilion, dia perlu menang loteri tersebut setiap hari selama 8,000
hari berturut-turut ataupun selama 22 tahun!”
Mengenai dakwaan
Gabenor Bank Negara bahawa kerugian itu cuma atas kertas sahaja, Dr. Syed
Hussin berkata, “Entahlah, kalau-kalau kerana wang selalunya dibuat dari
kertas.”
Di Parlimen, Selasa,
27 April 1993, Kit Siang menegaskan : “Selaku Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim
mesti menerima tanggungjawab persendirian sepenuhnya kerana kerugian pertukaran
asing Bank Negara ini. Rakyat berhak mengetahui sebab dan saiz berbagai
kerugian pertukaran asing yang dialami oleh Bank Negara, berkenaan jumlah
kerugian yang disebabkan oleh pembendungan inflasi dalam menyerap liquiditi,
penilaian semula pegangan mata wang asing dan kenaikan nilai ringgit dan
kerugian hasil daripada perniagaan dan spekulasi mata wang asing.”
Walaupun Anwar
menafikan dakwaan bahawa Bank Negara telah terlibat dalam aktiviti spekulasi
dalam pasaran pertukaran asing kenyataan itu ditolak oleh Kit Siang. Pada 1989,
dilaporkan Bank Negara telahpun dikritik oleh pegawai kewangan Barat kerana
spekulasi dalam mata wang yen dan dollar Amerika pada masa Kumpulan Tujuh
negara industri cuba menstabilkan pasaran mata wang.
Pada April 1991,
Reuter menyifatkan Bank Negara sebagai “suatu kuasa dominasi di kancah
pertukaran asing untuk beberapa tahun” dan malah menuduh beberapa pengendali
pertukaran asing sebagai “penjahat pasaran”.
Laporan tersebut
memetik kenyataan peniaga di London sebagai berkata, “Bank Negara selama ini
adalah pemain pasaran yang terbesar, meniagakan jumlah pertukaran asing yang
jauh melebihi mana-mana pemain dalam pasaran”.
Mengenai dakwaan Tan
Sri Jaffar Hussien bahawa semua kerugian pertukaran asing Bank Negara hanyalah
“kerugian di atas kertas”, Kit Siang mempersoalkan “Adakah beliau berkata semua
keuntungan pertukaran asing yang diperolehi oleh Bank Negara pada Jun 1985
adalah juga “kerugian di atas kertas” sahaja?”
Seterusnya Kit Siang
berhujah : “Jika Bank Negara telah mengalami kerugian di antara RM6.9 bilion
dan RM9.7 bilion kerana aktiviti spekulasi dalam pasaran pertukaran asing, maka
rakyat Malaysia berhak menuntut penjelasan yang sepenuhnya, kerana nyata sekali
Bank Negara telah melampaui bidang kuasanya sebagai bank pusat dalam kegagalan
bertindak dengan cermat sebagaimana yang dikehendaki.”
Bank Negara
mengalami kerugian pertukaran asing yang besar semasa krisis mata wang dalam
mekanisme kadar pertukaran Eropah susulan penolakan Masstricht Treaty on
European Monetary Union dalam pungutan suara Denmark pada 2 Jun 1992, yang
memaksa penggantungan pound sterling dari Exchange Rate Mechanism (ERM) of the
European Monetary System (EMS).
Akibatnya ringgit
mencatatkan kenaikan nilai yang paling besar berbanding dengan pound sterling,
iaitu sebanyak 29.1 peratus. Adalah dilaporkan bahawa Bank of England telah
membelanjakan berbilion-bilion paun untuk mempertahankan paun British pada masa
itu.
“Yang ini
sememangnya boleh difahami tetapi mengapa Bank Negara juga mahu selamatkan
pound sterling?” tegas Kit Siang, disambut tepukan bergemuruh Ahli-ahli
Parlimen.
“Mengapa Bank Negara
juga menukar berbilion-bilion atau berpuluh-puluh bilion ringgit kepada pound
sterling untuk membantu mempertahankan pound British? Adakah kerajaan Malaysia
sudah mengubah sikapnya dari dasar “Buy British Last” kepada Defend British
First” – “Safe British First” dengan ringgit-ringgit wang rakyat Malaysia. Saya
tidak percaya bahawa serbuan Bank Negara memberi pound yang merugikan tersebut
semasa krisis mata wang sterling adalah kerana Perdana Menteri kita mahu
selamatkan John Mayor – Mahathir to rescue John Mayor – dan paun British.
Tetapi kerana Bank Negara berharap mengaut keuntungan yang besar dengan
mengambil pendirian membeli untuk jangka panjang mengharapkan pound pulih
kedudukannya dengan sokongan kerajaan British,” hujah Kit Siang.
Tambahnya lagi,
dengan tiadanya penjelasan yang memuaskan dan yang dapat diterima oleh kerugian
pertukaran asing Bank Negara, keyakinan awam ke atas Bank Negara dan kerajaan
akan terjejas.
“Yang Berhormat
Menteri Kewangan telah menyatakan sokongan beliau kepada prinsip akauntabiliti,
pertanggungjawaban dan transparensi pegawai-pegawai sektor awam. Dan ini adalah
satu kes ujian sama ada beliau benar-benar berkepercayaan dalam prinsip-prinsp
ini, dengan meminta kabinet menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk
menyiasat kerugian pertukaran asing Bank Negara,” tegas Kit Siang.
Dalam jawapan
balasnya, Anwar mempersoalkan jumlah kerugian yang diberikan oleh Kit Siang,
Anwar mendakwa Kit Siang mengira dua kali. Mengenai pertanyaan Kit Siang bahawa
kenapa bila rugi dikatakan rugi atas kertas, tetapi bila untung, memang
sebenarnya untung, Anwar berkata :
“Bila untung, untung
itu dipulihkan sebagai cash dipindahkan ke dalam negara, dibayar kepada
kerajaan. Sebab itu untung ini in cash terms. Rugi yang disebut oleh Gabenor
Bank Negara sebagai paper loss itu, rugi masih atas kemerosotan nilai yang
masih dirizab.”
Anwar seterusnya
memberi contoh : “Umpamanya kalau Ahli Yang Berhormat dari Tanjong ada US$1
juta, mungkin lebih, disimpan di New York, rugi itu in ringgit terms, sebab
nilai ringgit bertambah. Jadi, US$1 juta masih kekal US$1 juta, tetapi apabila
dari segi ringgit sudah merosot lapan peratus atau sembilan peratus, tengok
kepada tempohnya. Ini basic economic, saya hendak beri kuliah sedikit. “
Dalam jawapannya
itu, Anwar sempat juga menyerang Harakah : “Saya tahu, Harakah pun banyak isu,
saya sekarang popular kerana front page headline, every week, every issue.
Bagaimanapun jawapan
panjang lebar Anwar itu memerangkap dirinya. Esoknya, tepat jam 3.38 petang Lim
Kit Siang – setelah merakamkan penghargaan kepada jawapan Anwar – berkata :
“Saya juga mesti
mencatatkan kehampaan saya yang amat sangat dengan kenyataan beliau (Anwar)
yang bukan merupakan jawapan kepada ucapan saya. Kita boleh sebut ia sebagai
non-reply….. Yang Berhormat Menteri Kewangan bersungguh-sungguh mengelakkan
diri dari memberi jawapan sehingga habis tempoh 30 minit yang diperuntukkan
untuk beliau. Kenyataan itu…..hanya memperkukuhkan kesangsian bahawa kerajaan
mempunyai banyak perkara yang terpaksa disembunyikan atau dengan izin swept
under the carpet…..Hakikat yang sebenarnya ialah beliau (Anwar) telah
membangkitkan lebih banyak soalan daripada menjawab.”
Selanjutnya Kit Siang
membidas gaya Anwar yang tidak bersedia membaca teks ucapan yang disediakan
supaya dapat gambaran beliau membuat pembentangan dengan spontan bagi
mempamerkan kehebatannya dalam perkara tersebut.
“Tetapi malang
sekali, terdapat kesilapan-kesilapan dalam perhubungan dengan pihak dan
akibatnya ialah, pemberitaan yang panjang lebar kepada ucapan Yang Berhormat
Menteri di Parlimen kelmarin sebagaimana yang tersiar dalam sebuah akhbar
tempatan – yang ada disebut berkait rapat dengan beliau – amat berbeza dengan
ucapan spontan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan yang
disampaikan di Dewan Rakyat,” ujar Kit Siang.
“Saya tidak ada
bantahan jika Yang Berhormat Menteri ingin memberi ucapan spontan yang telah
disediakan terlebih dahulu tetapi dengan syarat beliau dapat membuat
pengubahsuaian berdasarkan apa yang telah saya katakan sebelum beliau berucap.
Malang sekali Yang Berhormat Menteri tidak dapat berbuat demikian dan inilah
sebabnya beliau terpaksa membuat kenyataan dan andaian dan tuduhan yang tidak
akan beliau lakukan sekiranya beliau mengikuti dan memahami ucapan saya
terlebih dahulu. Misalnya, dalam ucapan Yang Berhormat Menteri, beliau mengejek
saya kerana meminta butir-butir terperinci rizab Bank Negara dalam berbagai
mata wang asing dengan mengatakan bahawa ia bukanlah “skim kutu kampung” untuk
diketahui umum. Sebenarnya saya tidak pernah meminta butir-butir terperinci
komposisi rizab asing Bank Negara. Apa yang saya minta ialah butir-butir
terperinci kerugian pertukaran asing. Saya berharap Yang Berhormat Menteri
faham bahawa terdapat perbezaan di antara dua jenis butiran ini,” tambah Kit
Siang.
Mengenai tuduhan
Anwar bahawa beliau menghitung dua kali mengenai jumlah kerugian lain-lain
rizab Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion, Kit Siang berkata :
“Saya tidak dapat
memahami logik Yang Berhormat Menteri Kewangan dan saya akan berasa amat
terkejut jika Gabenor Bank Negara masih menegaskan bahawa lain-lain rizab pada
tahun lalu ialah RM9.3 bilion dan bukan RM10.1 bilion.”
Seterusnya Kit Siang
merumuskan : “Malah seorang murid sekolah pun dapat memerhati bahawa lain-lain
rizab Bank Negara telah kerugian RM10.1 bilion.”
Dalam hal ini Dr.
Jomo juga bersetuju dengan hujah Kit Siang. Dalam huraiannya kepada Harakah Dr
Jomo mencatatkan :
“Perhatian umum di
negara kita setakat ini lebih tertumpu kepada pengurangan sebanyak RM9.3 bilion
dalam lain-lain rizab Bank Negara antara akhir tahun 1991 dan akhir tahun 1992.
Namun, kalau diambil kira jumlah RM800 juta yang dipindahkan ke dalam lain-lain
rizab sebenarnya berkurangan sebanyak RM10.1 bilion dalam tahun 1992. Bank
Negara juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.7 bilion lagi untuk
tanggungan-tanggungan kontijen – maksudnya, kerugian-kerugian yang dijangka
berlaku akibat tindakan pada tahun 1992, sungguhpun masih belum berlaku.
Misalnya, sekiranya bank tersebut membeli mata wang tertentu untuk masa depan
dan berlakunya penurunan besar nilai mata wang tersebut berbanding ringgit.
Oleh itu tidaklah salah kalau dikatakan kerugian sebenar ialah RM12.8 bilion pada
tahun 1992, sungguhpun setengah daripada kerugian itu masih belum pasti,
ataupun apa yang dikatakan kerugian atas kertas.”
Dr. Jomo membuat
beberapa anggaran tentang jenis kerugian yang ditanggung, iaitu selain
spekulasi tukaran asing, antaranya ialah kos menyerap dan akibat kenaikan nilai
ringgit. Untuk membendung inflasi, Bank Negara telah menyerap kecairan yang
berlebihan.
Kecairan berlebihan
ini muncul terutamanya kerana kemasukan modal jangka pendek dari luar negeri
akibat kadar faedah Malaysia yang agak tinggi, terutamanya pada awal 1992. Pada
1992 saja, Bank Negara telah menyerap RM17.1 bilion daripada sistem bank dan
RM6.7 bilion deposit-deposit lain. Kalau dijumlahkan dengan deposit-deposit
sebelumnya, pada akhir 1992, Bank Negara mempunyai deposit bernilai RM40.6
bilion.
Menurut keterangan
Bank Negara, deposit ini nampaknya dismpan oleh Bank Negara di bank-bank
Amerika Syarikat pada kadar faedah 2.5 peratus setahun sedangkan ia perlu
membayar kira-kira lapan peratus setahun kepada bank-bank dan lain-lain di
Malaysia dan dengan demikian, menanggung kos perbezaannya sebanyak 5.5 peratus.
Lain-lain dokumen Bank Negara menunjukkan kebanyakan daripada langkah menyerap
itu hanya berlaku mulai suku kedua tahun 1992 yang bererti, deposit-deposit
yang dipegang oleh Bank Negara tidak pun sampai setahun penuh.
Lagi pula, sesiapa
biasa dengan pasaran tukaran asing akan mendapati bahawa margin sebanyak 5.5
peratus itu pada ketika itu amat besar. Sungguhpun dengan andaian maksimum
demikian, kos maksimum seluruh operasi itu tidak mungkin melebihi RM2.2 bilion
(iaitu RM0.055 x 40.6 bilion).
Dr. Jomo menjelaskan
: “Seperti telah dijelaskan oleh Menteri Kewangan dan juga Gabenor Bank Negara,
pengukuhan nilai ringgit pada 1992 mengakibatkan penurunan nilai rizab bank
bila dihitung dalam wang ringgit. Laporan itu juga memberitahu ringgit kukuh
sebanyak 5.6 peratus berbanding dengan longgokan komposit mata wang asing, yang
mencerminkan rakan dagang lama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kerugian
yang berlaku ke atas nilai deposit oleh kerana kenaikan nilai ringgit pada 1992
sepatutnya tidak lebih daripada RM2.3 (iaitu RM0.056 x 40.6 bilion), andaikata
semua deposit itu telah ditukar menjadi tukaran asing (kemungkinan besar tidak
semuanya ditukar). Ini bermakna langkah menyerap dan kenaikan nilai ringgit
hanya boleh menyebabkan kerugian kurang dari RM4.5 bilion, bererti sejumlah
RM8.3 bilion lagi masih belum dipertanggungjawabkan.”
Kit Siang juga
menolak hujah Anwar bahawa oleh kerana kedudukan ekonomi negara kukuh, maka
kita tidak harus khuatir akan kerugian pertukaran asing Bank Negara :
“Sekarang ini
pasaran saham amat bullish dan meningkat dengan banyak kaunter yang berkaitan
dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengepalai senarai saham yang amat aktif.
Dan terdapat desas-desus bahawa pasaran saham yang hangat dan meningkat ini
adalah berkaitan dengan tabung kempen dana war chess lebih kurang RM200 juta
seorang pemimpin UMNO untuk pemilihan parti. Dan tentulah ia mencatat rekod.
Tetapi adakah ini bererti kita harus menutup mata kita terhadap apa yang tidak
sihat dan salah dalam pasaran saham.”
Mengulas suatu
jawapan yang diberikan oleh Anwar, Kit Siang berkata :
“Imaginasi yang
karut ini tidak boleh diterima langsung disebabkan ia adalah serupa dengan
membandingkan seekor ayam dengan seekor itik. Yang Berhormat Menteri tidak
memahami bahawa rizab asing adalah disebabkan oleh imbangan bayaran yang
positif akibat pertumbuhan ekonomi negara sedangkan kenaikan atau kejatuhan
lain-lain rizab adalah bergantung kepada prestasi Bank Negara. Kedua-dua ini
tidak ada kaitan langsung.”
Ketua Pembangkang
itu kemudiannya menasihatkan Anwar supaya mendapat pendidikan dalam bidang
ekonomi antarabangsa daripada Setiausaha Parlimen ataupun Timbalan Menteri :
“Tetapi Setiausaha
Parlimen (Kementerian Kewangan) yang merupakan seorang ahli ekonomi yang
terlatih dan rujuklah kepada rencananya dalam Berita Harian, 24 April 1993.
Dalam rencana ini, beliau telah menghiraukan dengan tepatnya bahawa tambahan
dalam rizab bergantung kepada sama ada kita mempunyai pertimbangan bayaran yang
positif yang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi.”
Anwar yang tidak
pernah terlatih dalam bidang ekonomi tentunya mendapat pengajaran yang bermakna
dalam isu, apatah lagi bila Kit Siang menegaskan :
“Adakah amat mengejutkan
bahawa Yang Berhormat Menteri Kewangan nampaknya tidak memahami ekonomi
antarabangsa yang asas ini sehingga saya bimbang bahawa Yang Berhormat Menteri
sedang teraba-raba dalam kegelapan dan Malaysia memang mujur kerana tiada
bencana kewangan besar yang berlaku sehingga kini. Yang Berhormat Menteri
sepatutnya berhenti daripada mengelirukan orang ramai dengan mengatakan
kerugian dalam rizab-rizab lain sebanyak RM10.1 bilion oleh Bank Negara tidak
penting disebabkan ia boleh dioffset oleh lebihan sebanyak RM16.5 bilion dalam
rizab asing.”
Bukan sahaja ini
adalah salah dalam ertikata ekonomi asas tetapi perbandingan secara selektif
adalah amat salah dalam ertikata perakaunan sehingga mana-mana pelajar
perakaunan tidak membuat kesilapan sedemikian rupa. Tidak hairanlah mengapa
Gabenor Bank Negara dan juga seorang chartered accountant kelihatan begitu
muram apabila Yang Berhormat Menteri membuat perbandingan ini dalam Parlimen
semalam. Namun ini mencerminkan dengan buruknya penasihat-penasihat ekonomi dan
perakaunannya sehingga tidak dapat mengajar dan membuatkannya (Anwar) memahami
asas-asas dengan baik dan jelas.
“Ingin saya
mencadangkan, demi kepentingan negara, agar beliau menukar penasihat-penasihat
ekonomi dan perakaunannya. Saya juga berharap Yang Berhormat Menteri akan
memberi penjelasan awam yang penuh dengan merujuk kepada semua perkara teknikal
yang dibangkitkan secara bertanggungjawab dan janganlah ghairah berpolemik
politik,” tegas Kit Siang menutup ucapannya mengenai kerugian Bank Negara.
Dalam ucapan
penggulungannya, pada 10 Mei 1993, Anwar mengulangi tuduhannya kepada
pembangkang kerana terus mengira dua kali. Katanya, pelbagai pihak cuba membuat
serkap jarang untuk menambah kekeliruan. Beliau tetap mempertahankan
kemerosotan lain-lain rizab bernilai RM9.3 bilion dan bukannya RM10.1 bilion.
Seterusnya Anwar menyifatkan kemerosotan itu berpunca dari gabungan beberapa
faktor, antaranya ialah pengukuhan ringgit, kos mengawal inflasi turun naik
mata wang antarabangsa dan lain-lain.
“Kita harus sedar
bahawa kenaikan nilai ringgit, antara faktor yang menyebabkan kemerosotan nilai
lain-lain rizab, telah membawa manfaat kepada rakyat dan negara amnya,” tegas
Anwar.
Dari jawapannya itu,
Anwar seolah-olah menegaskan Bank Negara akan terus berspekulasi dengan
hujahnya :
“Ada yang
berpendapat Bank Negara perlu mengambil sikap konservatif. Pandangan ini gagal
melihat realiti sebenar. Bank Negara dan mana-mana bank pusat tidak perlu
mengambil risiko untuk berdagang jika dasar pasif atau berdiam diri tidak
mempunyai risikonya. Realitinya ialah berdagang dan tidak berdagang adalah dua
pilihan yang membawa risiko masing-masing. Dengan berdagang, risikonya ialah
ramalan dan unjuran yang dibuat dalam gerakan mata wang tidak tepat, justeru
itu mengalami kerugian. Tetapi tidak berdagang juga bermakna menghadapi risiko
kerugian akibat turun naik nilai antarabangsa mata wang dalam pegangan.”
Menyedari sebahagian
jawapan Anwar itu ditujukan kepada tulisan Dr. Jomo, yang disiarkan dalam
Harakah 10 Mei 1993, saya segera menghubungi Dr. Jomo, melalui telefon. Dr.
Jomo menghabiskan masa lebih satu jam untuk memberi penjelasan dan beberapa
contoh bagi memudahkan saya untuk memahaminya.
“Dasar Bank Negara,
seperti yang ditegaskan oleh Anwar, salah dari segi Islam. Kita tidak
dibenarkan berspekulasi. Kita tidak boleh membeli buah semasa pohon baru
berbunga. Apa hujah Anwar membolehkan kita berspekulasi sebegitu rupa? Amat
janggal apabila Bank Negara mengambil sikap untuk lebih berspekulasi dalam
tukaran asing lebih daripada bank-bank perdagangan lain,” jelas Dr. Jomo.
Beliau mengulangi
hujah yang pernah dikemukakan oleh Dr. Syed Hussin Ali : “Oleh kerana bank
pusat pada pokoknya ialah mengawas, soalan yang timbul ialah siapakah yang akan
mengawasi pengawas ini bila polisi-polisi yang tidak bijak dibiarkan berlaku.”
Yang lebih dikesali
oleh Dr. Jomo ialah jawapan Anwar itu menggambarkan tidak bersedia untuk
mengaku kesilapan yang telah dilakukan, sebaliknya bertegas untuk meneruskan
dasar yang silap itu. Mungkin ia terpaksa dilakukan untuk mendapatkan semula
kerugian yang dialami tetapi yang pasti, menurut Dr. Jomo, ia tidak ada
jaminan.
“Tapi harus diingat
bahawa kita mungkin juga akan ditimpa kerugian yang lebih besar lagi,”
tegasnya.
Walaupun Dr. Jomo
mengakui bahawa dasar berspekulasi sebelum tahun 1992 sedikit sebanyak membawa
keuntungan kepada Bank Negara tetapi “Kerugian ini telah menghapuskan semua
keuntungan itu kerana kerugian ini jauh lebih besar daripada keuntungan
sebelumnya”.
Dalam kenyataan
selepas itu, Dr. Jomo menegaskan : “Hanya kaki judi akan terus bertaruh dengan
harapan menebus balik kerugiannya setakat tertentu. Dan barangkali kerugiannya
akan terus bertambah walaupun mungkin terdapat ‘kemenangan’ sementara.”
Dalam tulisannya Dr.
Jomo berhujah konservatisme dalam soal-soal begini (spekulasi tukaran asing)
bermakna kebijaksanaan dan tanggungjawab, bukannya menentang kemajuan :
“Memang diketahui
Bank Negara tidak terlibat dengan begitu mendalam dengan perdagangan tukaran
asing sebelum berlaku perubahan dalam Kementerian Kewangan dalam pucuk pimpinan
bank itu sendiri pada pertengahan 1980-an.”
Rasanya Anwar
menujukan ucapan kepada Dr. Jomo bila beliau berkata : “Pihak tertentu
menganggap bahawa berlaku perubahan besar dalam dasar pengurusan rizab sejak
pertengahan tahun 80-an. Mungkin mereka yang berpendapat sedemikian terlalu
ghairah untuk mempertahankan dasar sebelum pertengahan 80-an. Kenyataannya
ialah Bank Negara meneruskan dasar yang sama iaitu meneruskan dasar berhemat.
Bank Negara sebelum pertengahan 80-an tidak perlu berdagang dengan jumlah yang
besar kerana jumlah rizab ketika itu adalah rendah, bahkan jauh lebih rendah
dari hutang luar negara.”
Dalam jawapannya
kepada saya, Dr. Jomo menasihatkan supaya lebih baik ditekankan soal pucuk
pimpinan Bank Negara, dan bukannya lebih tertumpu kepada Menteri Kewangan
ketika itu, Tengku Razaleigh. Sekiranya Tengku Razaleigh dibabitkan perbahasan
mengenai isu penting ini tidak dapat dijalankan secara matang dan objektif.
Dr. Jomo memberitahu
Bank Negara di bawah pimpinan Tun Ismail Ali dan Tan Sri Abdul Aziz Taha tidak
pernah merestu spekulasi besar-besaran. Bagaimanapun apabila Tun Daim mengambil
alih Kementerian Kewangan hal ini berubah. Tetapi ia tidak bermakna Anwar perlu
meneruskan dasar Daim. Menurut Dr. Jomo, Anwar ada pilihan, sama ada
melangsungkan dasar Daim ataupun mengambil sikap yang lebih bijaksana.
“Anwar sepatutnya
tidak terikat dengan Daim dan boleh kembali mengikut apa yang telah dilakukan
oleh Tun Ismail,” tegas Dr. Jomo.
Menjawab dakwaan
Anwar bahawa pembangkang membuat kiraan dua kali bagi menentukan kemerosotan
lain-lain rizab, Dr. Jomo berkata :
“Anwar sendiri
keliru dan kemudiannya mengelirukan Dewan Rakyat. Dari segi ini seolah-olah
menunjukkan Anwar tidak boleh memahami matematik sekolah rendah!”
Dr. Jomo kemudiannya
membuat sedikit pembetulan terhadap tulisannya di Harakah. Katanya :
“Saya telah
menganggarkan kos menyerap wang asing yang masuk ke Malaysia, supaya tidak
menyebabkan inflasi, tidak boleh melebihi RM2.2 ribu juta, sedangkan pengukuhan
nilai ringgit boleh menyebabkan “kerugian atas kertas” sebanyak RM2.3 ribu
juta. Maka, saya telah membuat kesimpulan bahawa baki kerugian sebanyak RM12.8
ribu juta – iaitu sekurang-kurangnya RM8.3 ribu juta – pasti disebabkan
kerugian urus niaga mata wang asing. Saya juga telah mengatakan bahawa perubahan
dalam cara kira-kira Bank Negara boleh menyembunyikan jumlah kerugian bank
pusat itu pada tahun 1992, yang mungkin melebihi RM12.8 ribu juta, yang
dianggarkan mengikut laporan rasminya. Nampaknya saya salah dari beberapa segi,
dan oleh itu, patut memohon maaf dan memberi penjelasan.”
Jomo seterusnya
mengemukakan hujah majalah Far Eastern Economic Review, 13 Mei 1993 yang
menegaskan mata wang asing yang diserap itu telah digunakan untuk membeli
sterling British, yang mendatangkan kadar bunga lebih tinggi daripada kadar
bunga di Malaysia.
Maka, Bank Negara
tidak mengalami kos menyerap – seperti digambarkan oleh pihak berkuasa – tetapi
sebaliknya, telah menikmati untung sementara daripada kelebihan kadar bunga
berkenaan, walaupun akhirnya kerugian lebih tinggi kerana nilai mata wang
sterling itu telah jatuh.
Menurut Review,
sumber-sumber yang rapat dengan Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa lebih
daripada 80 peratus dari jumlah kerugian RM12.8 ribu juta itu hilang di London,
hampir semuanya akibat urus niaga mata wang asing yang melibatkan sterling. Ini
bermakna sekurang-kurangnya RM10.2 ribu juta kehilangan akibat kejatuhan
sterling yang mesti melibatkan pembelian sterling sekurang-kurang RM45 ribu
juta! Kalaulah diuruskan secara bijaksana, mata wang asing yang dibeli oleh
sebuah bank pusat sepatutnya mencerminkan rakan perdagangannya, tetapi hanya
4.0 peratus dari jumlah eksport Malaysia dan 3.4 peratus dari importnya pada
1992 melibatkan Britain.
Menurut majalah itu
lagi, perubahan cara kira-kira Bank Negara disediakan bagi tahun 1992 telah
menyebabkan pihak Ketua Audit Negara menolak kira-kira itu pada mulanya dan
walaupun diterima kemudian, Ketua Audit Negara telah menasihatkan bank pusat
supaya jangan terus berspekulasi dalam mata wang asing pada masa hadapan.
Dalam pada itu
jawapan Anwar tentunya tidak dapat memuaskan sesiapa sahaja, apatah lagi Lim
Kit Siang. Ketika membahaskan anggaran perbelanjaan tambahan 1992 dan 1993
sebanyak RM5.6 bilion, pada 17 Mei 1993, Ketua Pembangkang itu jelas tidak lupa
isu kerugian pertukaran asing.
“Apabila kerajaan
minta Parlimen meluluskan anggaran perbelanjaan tambahan kepada apa yang
diluluskan dalam belanjawan tahunan, kerajaan hendaklah memuaskan Parlimen dan
negara bahawa ia telah berhati-hati dalam menguruskan wang perbelanjaan
kerajaan, bahawa tiadanya pemborosan dan pembaziran, bahawa rasuah,
amalan-amalan curang dan segala bentuk salah guna kuasa telah disekat, bahawa
tahap kecekapan dan kompetet yang tinggi telah dipelihara, dan paling penting
lagi, bahawa kerajaan telah mematuhi prinsip tanggungjawab, akauntabiliti dan
transparensi.”
Maka dalam keadaan
sedemikian, katanya, adalah lumrah untuk mengkaji permintaan kerajaan untuk
anggaran perbelanjaan tambahan berjumlah RM5.6 bilion ini dalam ertikata
kerugian pertukaran asing Bank Negara yang berjumlah RM10.1 bilion hingga
RM12.8 bilion. Ini kerana kerajaan tidak perlu menanggung anggaran perbelanjaan
tambahan sebanyak RM5.6 bilion sekiranya Bank Negara tidak mengalami kerugian
yang begitu besar.
Beliau juga
menghujahkan kembali kenyataan Anwar bahawa jika sekiranya Bank Negara
menyimpan rizab wang asingnya dalam pasaran antarabangsa secara “selamat” dan
tidak memperdagangkannya, “Kita masih akan rugi besar disebabkan ringgit kita
adalah kukuh”.
Kit Siang
menjelaskan, Bank Negara sepatutnya rugi kira-kira RM3.2 bilion dalam mata wang
asing akibat usahanya untuk memerangi inflasi dengan meresap pengaliran masuk
wang asing dan juga disebabkan naiknya nilai ringgit serta penilaian semula
pegangan mata wang asing. Akan tetapi ini tidak dapat menjelaskan kerugian
pertukaran mata wang asing Bank Negara sebanyak RM10.1 bilion hingga RM12.8
bilion.
“Kerugian pertukaran
mata wang asing boleh berjumlah RM16 bilion sekiranya kita mengambil kira satu
lagi perkara – penilaian semula pegangan emas Bank Negara pada tahun lalu. Ini
adalah kali pertama Bank Negara dalam sejarah 33 tahunnya menilai semula
pegangan emasnya dan adalah dianggarkan keuntungan kira-kira RM3 bilion dapat
diperolehi akibat penilaian semula emas. Namun demikian, tiada angka mengenai
penilaian semula pegangan emas kelihatan dalam kunci kira-kira Akaun Bank
Negara untuk tahun 1992 dan sekiranya RM3 bilion ini juga telah hilang, ini
akan bermakna bahawa jumlah kerugian pertukaran mata wang asing Bank Negara
adalah dalam lingkungan RM16 bilion,” jelasnya.
Oleh kerana Anwar
gagal untuk memberi penjelasan yang memuaskan kepada Parlimen di atas kerugian
pertukaran asing itu, Kit Siang menegaskan, Jawatankuasa Akaun Parlimen harus
menjalankan satu siasatan khas mengenainya dan membentangkan laporan siasatan
itu kepada Dewan Rakyat untuk perbahasan. Jawatankuasa Akaun Parlimen mempunyai
kuasa untuk menyaman Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaffar Hussien dan Penasihat
Bank Negara yang bertanggungjawab dalam urusan dan spekulasi pertukaran asing
Bank Negara untuk memberi satu penjelasan yang penuh kepada kerugian itu.
Dalam siasatannya,
Jawatankuasa Akaun Parlimen harus juga meminta perangkaan tentang kerugian
pertukaran asing terkini yang dialami oleh Bank Negara dan kedudukan keuntungan
dan kerugian tahunan urusan dan spekulasi pertukaran asing Bank Negara sejak
pertengahan tahun 1980-an apabila Bank Negara pertama kali menjadi peserta
aktif dalam pasaran pertukaran asing antarabangsa.
Satu ulasan yang
menarik mengenai isu ini ialah artikel yang diterbitkan di dalam Dewan
Masyarakat, Jun 1993 juga menegaskan kesangsiannya terhadap kenaikan nilai
ringgit yang dikatakan punca utama kerugian Bank Negara. Saya menyifatkan
menarik kerana ia diterbitkan oleh sebuah agensi kerajaan.
Dan bagi mereka yang
agak sangsi dengan pendirian Dr. Jomo, apatah lagi Lim Kit Siang boleh
memerhatikan hujah, (tapi perhatikan bagaimana kiraan dibuat) penulis artikel
“Kerugian Atas Kertas Atau Kegagalan Spekulasi?”, Nawi Abdullah :
“Sepanjang tahun
1992 purata kenaikan nilai ringgit meningkat sebanyak 4.6 peratus. Ini
bermakna, Malaysia akan mengalami kerugian sebanyak 4.6 peratus daripada nilai
pertukaran asing akibat daripada kenaikan tersebut. Dengan kenaikan tersebut,
Malaysia akan hanya mengalami kerugian sebanyak RM462.43 juta (RM10,053 juta
[rizab 1991] x 4.6 peratus). Katakan belanja untuk membendung inflasi ialah
sebanyak 4.8 peratus maka belanja untuk mengawal inflasi ialah sebanyak
RM482.544 juta (4.8 peratus daripada RM10,053 juta). Begitu juga, akibat
daripada kemasukan nilai dolar AS, terdapat perbezaaan margin keuntungan yang
negatif sebanyak 5.5 peratus yang terpaksa ditanggung oleh Bank Negara. Jadi
kerugian akibat daripada margin ini ialah sebanyak RM552.91 juta (RM10,053 juta
x 5.5 peratus)”.
“Daripada fakta ini
menunjukkan negara hanya akan mengalami kurangan dalam rizab asing sebanyak
RM1,497.884 akibat kerugian daripada kenaikan ringgit dan mengawal inflasi
serta margin kerugian. Ini terjadi akibat daripada pegangan dollar AS kerana
kemasukan pelaburan asing yang meningkat dalam bentuk dolar bagi tahun 1992……Ada
ahli ekonomi yang berpendapat bahawa kerugian itu disebabkan oleh kegagalan
permainan spekulasi mata wang asing. Kunci kira-kira yang ditunjukkan oleh Bank
Negara menunjukkan rizab yang merosot daripada RM10,043 juta. Pada tahun 1991
kepada RM752 juta pada akhir tahun kewangan 1992. Ini bermakna negara mengalami
kejatuhan sebanyak 92.5 peratus daripada pertukaran asing negara dalam masa
cuma satu tahun!”
Seterusnya tulisan
Dewan Masyarakat itu bersetuju bahawa Bank Negara telah mendedahkan
kedudukannya kepada risiko yang tinggi akibat terlalu aktif berspekulasi atau
berjudi!
Ketika saya menyusun
kembali tulisan ini, saya terpandang ruangan Inside, Sunday Star, halaman
pertama, 27 Jun 1993 yang menonjolkan amaran Perdana Menteri, Dr. Mahathir
Mohamad tentang kegiatan spekulasi di Bursa Saham Kuala Lumpur, di halaman
ketiga.
Ya, apa yang
dicatatkan dalam ruangan itu, sebagai ringkasan kenyataan PM mengenai
spekulasi? Okey, saya catatkan, khusus buat Anwar : “Gambling on shares. The
Prime Minister said some people will get their fingers burnt if they gambled in
the stock market”.
Walaupun hutang
naik, M'sia takkan muflis - Wee. Lihat Di Sini
No comments :
Post a Comment