Mykmu - Kontroversi
mengenai National Feedlot Corporation (NFC) yang timbulkan oleh beberapa
pemimpin politik pembangkang heboh diperkatakan pelbagai pihak disusuli
dakwaan-dakwaan yang mempertikaikan projek tersebut. Sehingga kini, Kongres PKR
yang sedang berlangsung di Pulai, Johor juga sedang hangat menghentam Kerajaan
berkenaan isu ini.
Apa
sebenarnya isu NFC ini?
Pengarah
Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Lembah
Pantai, Nurul Izzah Anwar, Setiussaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Samad dan
beberapa pemimpin pembangkang lain mengecam pembelian kondominium di Bangsar
itu sebagai satu bentuk penyelewengan dana.
Menghangatkan
kontroversi NFC, Rafizi berhujah dengan menyatakan bahawa NFC hanya boleh
menggunakan wang tersebut untuk melabur di dalam hal berkaitan fidlot itu
sahaja dan tidak boleh membuat pelaburan hartanah, termasuklah membeli unit
kondominium tersebut.
Pemimpin
PKR itu juga mendakwa kondominium mewah itu dibeli dengan harga RM9.8 juta
seunit.
Memandangkan
isu tersebut semakin hangat diperkatakan, saya terpanggil untuk melawat sendiri
ke ladang NFC di sini untuk melihat dan mendapatkan jawapan mengenai isu yang
kononnya ‘sangat kontroversi’ itu.
Sepanjang
perjalanan ke Pusat Fidlot Nasional baru-baru ini, penulis membayangkan sebuah
rumah penyembelihan haiwan ternakan dan beberapa kandang lembu kosong yang
hanya memuatkan sekitar dua tiga ekor lembu sebagaimana yang digembar-gemburkan
para pemimpin pembangkang sebelum ini.
Ketika
kenderaan memasuki perkarangan Pusat Fidlot tersebut, penulis dapat melihat
sebuah kawasan berpagar yang luas dan agak jauh terpencil dari kedudukan
kampung-kampung di sekitar Gemas, Negeri Sembilan.
Disambut
oleh Pengarah NFC, Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh, kami mula bergerak ke
Pusat Penyembelihan Lembu NFC yang terletak tidak jauh dari pintu masuk pejabat
operasi syarikat tersebut.
Di
Pusat Penyembelihan Lembu itu, kami diberi penerangan oleh Pengurusnya, Mohd
Nor mengenai prosedur ketat yang perlu dipatuhi untuk memasuki kawasan
penyediaan daging NFC itu sebelum di pasarkan.
Kami
dikehendaki memakai pakaian khas, menutup rambut, memakai sarung tangan getah,
berkasut ‘Phua Chu Kang’, memakai topeng mulut dan meninggalkan barang-barang
yang tidak perlu sebelum memasuki premis operasi penyediaan daging itu.
Mengharungi
lopak kecil berkimia untuk membersihkan kasut yang baru dipakai, Mohd Nor
membawa penulis dan rakan-rakan media lain ke lokasi di mana lembu-lembu
diasingkan, dibawa masuk ke sebuah kotak besi, disembelih, dilapah kulitnya,
dipotong dua, dipotong empat, diproses dan disimpan di dalam “chiller”.
Menurut
Mohd Nor, seramai 11 pekerja di situ yang memiliki sijil menyembelih haiwan
yang diikitraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan
sembelihan tersebut berstatus halal dari segi syarak.
Kemudian,
daging-daging dan anggota lembu yang lain seperti limpa, paru-paru, lidah,
ekor, perut dan sebagainya diproses serta dipotong-potong kepada bahagian yang
lebih kecil sebelum dibungkus di dalam kotak-kotak untuk tujuan pemasaran.
Sejak
tiga tahun beroperasi, produk NFC telah berjaya dipasarkan di beberapa
hipermarket utama negara seperti Jaya Jusco, Giant, Carrefour, Cold Storage,
O’gourmet dan beberapa hotel terkemuka seperti Marriot Hotel, Shangri-La Hotel
dan The Ritz-Carlton Hotel.
Selain
memasarkan daging ke restoran kendalian anak syarikat NFC iaitu Meatworks di
Mont Kiara, produk NFC juga dipasarkan di Restoran Subway, Dome, Domino’s
Pizza, A&W, Jake’s Charboil Steaks, Al-Amar Lebanese Cuisine, Darabif,
Prima Agri-Product, penyedia makanan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan
pasar-pasar basah di seluruh negara.
Kiranya,
meskipun baru beroperasi selama tiga tahu, NFC sudah mempunyai reputasi yang
agak membanggakan, rangkaian pemasaran yang luas dan berpotensi besar untuk
berkembang maju di dalam industri fidlot tanahair.
Selesai
melawat di Pusat Penyembelihan itu, kami di bawa melawat ke kandang-kandang
lembu yang ditempatkan sekitar 800 meter dari ibu pejabat operasi NFC.
Memang
benar kata Rafizi, hanya dua hingga tiga ekor lembu saja yang kelihatan di
kandang pertama yang kami lalui ketika menuju ke ‘kandang lembu yang sebenar’
itu.
Mengejutkan,
rupa-rupanya beribu ekor lembu sedang ‘menunggu’ kedatangan kami dan Wan
Shahinur Izmir menjelaskan bahawa jumlah lembu yang ada di ladang NFC pada
ketika itu adalah lebih dari 1,300 ekor.
Bagaimanapun,
beliau memberitahu bahawa secara idealnya kandang itu mampu memuatkan sekitar
4,000 ekor dalam tempoh yang sama dan NFC bakal membina sejumlah empat lagi
kandang seumpamnya di sekitar kawasan tersebut sehingga tahun 2014.
Beliau
yang lebih mesra dipanggil Izmir berkata, beliau ‘hairan’ dengan kenyataan
beberapa pihak yang menyatakan bahawa ‘hampir tidak ada lembu di ladang fidlot
NFC’ kendaliannya itu.
Tidak
jauh dari kandang-kandang lembu fasa pertama itu, penulis dapat melihat premis
pusat penyediaan makanan lembu NFC yang diproses sendiri berasaskan jerami
padi, vitamin-vitamin dan mineral yang diperlukan oleh lembu-lembu tersebut.
Menurutnya,
memang benar dakwaan tentang perancangan awal NFC mensasarkan pemasaran sekitar
60,000 ekor lembu setahun pada tahun 2006, namun memandangkan sasaran tersebut
tidak realistik pada awal permulaan projek itu, sasarannya dikurangkan kepada
8,000 ekor sahaja setahun kemudiannya dan dipersetujui oleh pihak kementerian
terbabit.
Beliau
berkata, sasaran tersebut telah berjaya dicapai pada tahun lalu dengan 8,016
ekor lembu berjaya dipasarkan dan ini menafikan dakwaan pihak yang mengatakan
bahawa NFC mengalami kerugian jutaan ringgit sebelum ini.
Izmir
juga mengeluh apabila ada pihak yang mendakwa bahawa NFC kononnya tidak
membayar pinjaman yang dibuat dari kerajaan dan menjelaskan bahawa syarikat itu
sebenarnya diberi pelepasan dari pembayaran tahunan tersebut dalam tempoh tiga
tahun pertama.
Beliau
menjelaskan bahawa menurut perjanjian yang dipersetujui kedua pihak, NFC akan
membayar sejumlah RM14.7 juta setahun kepada kerajaan untuk melunaskan
hutangnya, bermula tahun hadapan.
Menurutnya
lagi, tiada keistimewaan yang diberikan kepada NFC berbanding projek-projek
sosio-ekonomi kerajaan lain yang dianugerahkan geran pembiayaan penuh,
sebaliknya syarikat itu ‘terpaksa’ meminjam wang meskipun projek berkenaan
sememangnya layak untuk mendapat geran yang sama tarafnya dari kerajaan.
Izmir
turut menjelaskan tentang realistik perniagaan dan mempersoalkan kembali
tentang apakah perlu pinjaman yang diterima sebanyak RM181 juta itu
dibelanjakan sepenuhnya dan memenuhkan ladang tersebut dengan 60,000 ekor lembu
sedangkan syarikat itu baru saja setahun jagung beroperasi.
Menjelaskan
perkara berkenaan, NFC mempunyai perancangan jangka panjang yang lebih teratur
dan tidak perlu ‘boros’ dengan terus berbelanja besar setelah mendapat pinjaman
tersebut dari kerajaan.
No comments :
Post a Comment