Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, February 7, 2013

ROKOK OH ROKOK


Rokok elektronik berbahaya?


Rokok elektronik sering menjadi pilihan perokok tegar yang beranggapan ia adalah satu alternatif mengikis tabiat merokok. - Agensi 



VIENNA 4 Sept. - Rokok elektronik sebelum ini dianggap sebagai alternatif yang selamat kepada tabiat merokok.

Bagaimanapun, satu penyelidikan terbaru menunjukkan ia juga mampu merosakkan paru-paru bagi mereka yang menggunakannya.

Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.

Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit, kata sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna.

Sama seperti rokok biasa, rokok elektronik turut membebaskan nikotin melalui wap berbanding asap dan ia mencetuskan banyak perdebatan tentang keselamatan untuk menggunakannya.

Kira-kira 650,000 perokok dipercayai menggunakan rokok elektronik yang menyerupai rokok sebenar dalam usaha membuang tabiat buruk itu.

Bagaimanapun buat masa ini, kebanyakan alat itu diimport dari China dan dipercayai tidak menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum ia dijual.

Profesor Christina Gratziou yang mempengerusikan Jawatankuasa Kawalan Tembakau ERS berkata, mereka belum pasti sama ada produk yang mengandungi nikotin tidak diluluskan itu lebih selamat berbanding rokok sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.

"Penyelidikan ini membantu kita memahami bagaimana rokok elektronik boleh mendatangkan bahaya.

"Justeru, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami sama ada kemudaratan itu boleh memberi kesan dalam jangka panjang,'' katanya. - AGENSI



E-rokok tidak buang Ketagihan
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto Aizzul A. Majid
Pengguna e-rokok harus ingat mereka berisiko terdedah dengan penyakit lain yang disebabkan oleh nikotin. - Gambar hiasan


KEBANYAKAN kita hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan perokok. Sama ada saudara terdekat, rakan sebaya, majikan, rakan sekerja mahupun orang asing yang tidak dikenali.

Biarpun risiko penggunaan tembakau ke atas kesihatan sudah diketahui umum, usaha mempromosikan hidup bebas rokok masih tidak begitu berkesan.

Kajian pernah menunjukkan 90 peratus tabiat merokok olrh perokok dewasa bermula sejak muda lagi. Hampir setiap hari, dianggarkan sekurang-kurangnya 4,400 kanak-kanak menjadi perokok tegar apabila mereka dewasa.

Jadi pelbagai cara atau kaedah dicipta untuk membantu perokok tegar termasuk rokok elektronik (e-rokok) atau e-Cigarette.

Pada awal kemunculan e-rokok, ramai beranggapan kaedah ini membantu mengikis tabiat merokok.

Sejak akhir-akhir ini, e-rokok yang menggunakan cecair bagi menghasilkan wap dijual secara berleluasa dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan perokok.

Pelbagai spekulasi timbul apabila rokok versi digital ini semakin mendapat sambutan.

Jika dahulu perokok seolah-olah berbangga ketika menghisap sebatang rokok, kini ramai yang merasakan mereka berada di kelas tersendiri apabila menghisap e-rokok.

Tahukah anda, e-rokok juga mengandungi cecair nikotin yang membawa padah kepada pengguna kerana bahan itu meningkatkan ketagihan merokok.

Dalam pada itu, sebuah laporan yang dibentangkan pada Kongres Tahunan Persatuan Pernafasan Eropah (ERS) di Vienna menunjukkan e-rokok juga mampu merosakkan paru-paru mereka yang menggunakannya.

Alat itu didapati mengakibatkan kekurangan oksigen yang diserap oleh darah hingga mengakibatkan peningkatan segera dalam rintangan udara paru-paru.

Secara purata, kesan itu akan berlarutan selama 10 minit.

Sehingga kini, e-rokok yang mengandungi nikotin tidak diluluskan itu masih belum disahkan lebih selamat berbanding rokok sebenar walaupun ia didakwa kurang berbahaya.

Tinjauan ke bazar larut malam sekitar Lembah Klang mendapati penjualan e-rokok kini semakin berleluasa.

Kebanyakan alat itu diimport dari China dan dipercayai tidak menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum dijual.

Kesan nikotin

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan Pusat Perubatan Price Court, Dr. Daniel Lee Keat Chye, kebanyakan pengguna menganggap e-rokok selamat dan merupakan alternatif bagi mereka yang ingin mengurangkan ketagihan merokok.

“Sebenarnya belum ada kajian e-rokok yang ada di pasaran ini selamat atau tidak. Wujudnya salah faham apabila mereka menganggap asap e-rokok terhasil daripada cecair biasa dan tidak mengandungi nikotin.

“Hakikatnya, kesihatan anda tetap terjejas dan berisiko sekiranya anda masih menghisap e-rokok yang mengandungi nikotin. Lebih membimbangkan, sukatan nikotin yang terdapat di dalam e-rokok tidak diketahui," ujarnya.

Tambah Dr. Daniel, nikotin meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf.

“Nikotin boleh bertindak terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan. Rangsangan ini diperkukuhkan pula oleh pelbagai faktor pendorong yang boleh bersifat positif dan negatif," ujarnya.

Contohnya, perokok akan merokok dengan lebih kerap apabila berada di tempat-tempat hiburan di mana keseronokan berada di situ bertindak sebagai faktor pendorong positif. Perokok juga akan merokok dengan lebih kerap apabila berasa bosan atau mengalami perasaan tertekan - faktor pendorong yang negatif.

Selain penggantungan psikologi dan fizikal akibat nikotin, perokok juga terperangkap dengan kongkongan tabiat yang cukup payah untuk dilepaskan.

Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.

Tidak menyebabkan kanser

“Secara keseluruhannya, anda akan mengalami kesan kesihatan sama seperti rokok biasa.

“Bezanya, e-rokok tidak mengandungi bahan-bahan kimia lain seperti tar, karbon monoksida dan irritants sehingga menyebabkan kanser paru-paru.

“Pun begitu, pengguna e-rokok harus ingat mereka berisiko terdedah dengan penyakit lain yang disebabkan oleh nikotin," ujarnya.

Selain risiko kesihatan, Dr. Daniel memberitahu, trend e-rokok akan membawa satu budaya negatif kerana orang ramai beranggapan mereka masih boleh merokok dengan kaedah selamat.

Golongan remaja pula akan menganggap e-rokok satu gaya baru dan mereka akan meniru tanpa mengetahui risiko yang sebenar.

Rawatan berhenti merokok

Dr. Daniel memberitahu, cara terbaik untuk mengurangkan ketagihan merokok adalah berhenti merokok melalui putaran tingkah laku merokok.

Ketagihan masih berlaku walaupun orang ramai menggantikan rokok biasa dengan e-rokok kerana nikotin boleh menyebabkan mereka ketagihan.

Dengan menggunakan teknik yang betul, kita boleh membantu perokok berhenti. Untuk memberikan motivasi kepada mereka, penekanan haruslah diberikan kepada perbincangan tentang faedah-faedah yang bakal dinikmati apabila berhenti merokok.

Fakta tentang risiko penyakit dibincangkan juga secara terperinci terutamanya kepada perokok yang sudah pun mengalami kesan - kesan penyakit berkaitan merokok

“Perokok boleh memilih untuk berhenti merokok dengan menggunakan kekuatan azam semata-mata atau dengan bantuan rawatan gantian nikotin (RGN)," ujarnya.

RGN dapat membantu perokok mengharungi proses berhenti merokok. Produk yang terdapat di pasaran antaranya gam nikotin, penampal nikotin dan alat penyedut (inhaler) nikotin .

Produk RGN berfungsi dengan menghasilkan jumlah nikotin secara terkawal untuk membantu mengatasi ketagihan dan gejala tarikan nikotin.

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.