Wawancara
Ahmad Lutfi Othman dengan Ahli Parlimen PAS, Haji Mohamad Sabu, pada 14 Jun
1998, jam 11.15, di pejabat urusan TAMADUN.
ANWAR LEBIH
GANAS DARIPADA MAHATHIR-MOHAMAD SABU
Ramai orang
masih bercakap tentang bahang reformasi di Indonesia. Bagaimana tanggapan awal
saudara terhadap apa yang berlaku di Indonesia?
Sebenarnya
rakyat Indonesia sedang mencari identiti. Kita yakin reformasi yang berlaku di
Indonesia ini akan mengangkat Islam ke tempatnya. Bukanlah ia sampai ke tahap
menegakkan negara Islam di Indonesia tetapi mereka yang bercakap tentang Islam
mula mendapat tempat di hati rakyat. Komunisme memang telah ditolak,
nasionalisme Jawa mula terhakis. Saya yakin reformasi ini memberi peranan yang
utama terhadap gerakan Islam.
Nampaknya
istilah reformasi ini dianggap ”keramat”, ia bukan saja diperkatakan rakyat
biasa malah diulangi Timbalan Perdana Menteri sendiri.
Banyak
golongan oportunis mengambil peluang. Kita tahu bahawa Suharto mengumpulkan
harta-hartanya dan juga ahli-ahli kabinetnya yang membezakan hanya jumlah.
Maknanya nepotisme boleh dikatakan berlaku pada hampir semua anggota Kabinet.
Begitu juga Habibie dan anak-anaknya yang turut berkongsi dengan keluarga Suharto
dalam perniagaan. Tetapi untuk menyelamatkan sesuatu regim selalunya akan
dipersalahkan pada seseorang.
Angin
perubahan itu bertiup ke Malaysia. Khususnya golongan yang menyertai Umno
selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam Umno, bagi mereka kini adalah peluang
untuk mereka menyahkan yang berkuasa sekarang iaitu Mahathir. Sebenarnya gejala
nepotisme yang berlaku dalam pemerintah di Malaysia di antara Mahathir dan
Anwar, saya meletakkan Anwar Ibrahim lebih ganas daripada Mahathir.
Anwar lebih
ganas berbanding Mahathir? Ganas yang bagaimana?
Ya, ini
kerana Anwar masih lagi berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan yang belum berkuasa penuh tetapi suku sakatnya telah mencipta kekayaan
lebih hebat. Kita boleh bertanya, misalnya adakah
Kamaruddin Jaafar atau Kamaruddin Mohd Nor menjadi jutawan segera kerana dia
pandai berniaga atau disebabkan sahabatnya menjadi Menteri Kewangan?
Begitulah juga
dengan Rani Ibrahim, Marzuki Ibrahim dan Rosli Ibrahim yang naik mendadak dalam
perniagaan, adakah kerana mereka pandai berniaga atau kerana saudara mereka
menjadi Menteri Kewangan ? Begitu juga dengan bekas setiausaha sulit Anwar,
Nasarudin Jalil dan beberapa orang lain yang dekat dengan Anwar naik begitu
mendadak. Kita jangan lupa semasa hendak menjatuhkan Ghafar Baba wujud peranan
seperti Quek Leng Chan dan beberapa orang jutawan yang lain dalam membiayai
golongan tertentu untuk menguasai saham NST dan TV3. Ini semua gara-gara
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan demi mengukuhkan posisinya.
Bagi saya,
walaupun Anwar belum mempunyai kuasa penuh, dia sudahpun menunjukkan bakat
”keganasannya” melebihi Perdana Menteri, PM.....kita sudah tahulah yang anak
beranak dan suku sakatnya terlibat dalam nepotisme.
Jadi, kalau
kita hendak membuat reformasi di Malaysia mestilah reformasi secara menyeluruh
iaitu sistem politik, undang-undang dan akar umbinya politik wang perlu
dicantas! Ini mesti dilihat kerana cara TPM naik lebih drastik. Kita ingin
bertanya lebih kurang 300 juta saham Petronas Dagang dilabur ke mana sehingga
perwakilan Sabah boleh berubah daripada menyokong Ghafar kepada Anwar dengan
begitu mengejutkan? Ini bermakna Anwar saling ”mengganas” dalam soal nepotisme!
Maksudnya
Anwar tidak layak untuk menerajui gerakan reformasi?
Anwar
langsung tidak layak bercakap soal memerangi gejala buruk nepostisme ini,
begitu juga dengan penyokong-penyokongnya.
Bagaimana
dengan Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO?
Zahid juga
tidak layak kerana perbelanjaan wang semasa berkempen untuk menang menjadi
Ketua Pemuda begitu dahsyat. Kritikannya baru-baru ini memang ditujukan kepada
PM tetapi tidak disebut nama PM. Seolah-olah katanya: ”Mengapa beri pada
orang-orang tertentu sahaja? Kalau beri kepada kami pun kami boleh bayar cukai
dan mungkin bayar zakat.”
Ertinya dia
mengkritik kerana orang-orangnya tidak dapat habuan, bukan kerana keadilan.
Apabila kita
mengkritik nepotisme, kita sewajibnya jangan amalkan perbuatan itu dan kalau
diberi kesempatan duduk di tempat tertinggi itu pun kita tidak akan buat. Itu
barulah kritikan yang ikhlas.
Semalam PM
sudah memberi respons apabila disebut kroni, semuanya adalah kroni, terutama
apabila wartawan turut mempersoalkan perlantikan Zahid sebagai Pengerusi BSN,
apakah itu juga ada kaitan dengan nepotisme.
Betul tu.
Nampaknya orang nombor dua lebih mengganas daripada orang nombor satu dan dalam
keadaan lain yang nombor satu juga lebih mengganas daripada orang nombor dua
dalam soal nepotisme. Sama saja.
Tetapi yang
kita nampak daripada imej umum Anwar tetap bersih?
Imej umum
dikuasai oleh media yang juga dikuasai oleh orang nombor dua (Anwar Ibrahim).
Pernah satu ketika, kalau menonton TV3, Kadang-kadang berita PM duduk ditempat
keempat. Berita TPM diutamakan, barulah diikuti berita lain, yang keempat baru
berita PM. Tetapi apabila kita menghentam dalam ceramah—ceramah barulah kita
nampak berita PM sudah di tempat pertama. Ertinya media dikuasai oleh orang
nombor dua. Jadi, gambaran nepotisme itu hanya dilonggokkan kepada PM.
Kalau media
tempatan, memang ia di bawah kawalan Anwar tetapi bagaimana pula dengan laporan
media antarabangsa yang juga nampaknya menyalahkan Mahathir dan cuba hendak
menaikkan Anwar.
Satu, media
antarabangsa mempunyai dua tugas. Apabila sesuatu negeri itu berlaku perubahan,
mereka mahu kepimpinan itu bertukar. Bagi Barat ia telah menerima Anwar sebagai
pemimpin yang sesuai untuk menghadapi senario kebangkitan Islam di sebelah
sini. Barat mahukan dua corak Islam.
Pertama,
Islam Amerika iaitu Islam yang berbentuk ilmiah tetapi tidak sampai ke
pelaksanaan hukum. Ini yang dipelopori oleh IIIT, ICMI, ABIM. Dalam hal ini
Barat tidak ada masalah.
Kedua, Barat
mahukan Islam bercorak ala Afghanistan dan bercorak Taleban. Kalau golongan ini
muncul, Barat tidak ada masalah kerana ia adalah peluang bagi Barat untuk
menggambarkan betapa buruknya Islam.
Cuma Barat
tidak mahukan Islam bercorak ala Iran atau Sudan. Ini kerana mereka terlepas
daripada cengkaman kekuasaan Barat. Untuk menghadapi 250 juta umat Islam di
sebelah sini memang Anwar orang yang paling layak untuk mengekalkan pengaruh
Barat dan sesuai dengan kehendak Barat.
Ertinya
saudara tidak meletakkan apa-apa harapan kepada Anwar?
Saya tidak
meletakkannya.
Mungkin
kerana saudara daripada parti pembangkang dan Anwar adalah seteru politik
terbesar PAS?
Oh, tidak!
Saya tidak nampak begitu. Kita boleh lihat daripada rekod. Sejak dia menjadi
Menteri Kewangan, bagaimana peruntukan saham diagihkan, bagaimana projek yang
di bawah kawalannya diberikan, tidak nampak ia berlainan dengan orang nombor
satu.
Mungkin
realiti untuk merebut tampuk kepimpinan dalam UMNO memaksa Anwar berbuat
demikian.
Serupalah.
Sekarang ”terpaksa” kerana hendak merebut kuasa dan selepas ini ”terpaksa”
kerana mempertahankan kuasa. Dia hendak mempertahankan kuasa, jadi dia akan
teruskan agenda yang dibuatnya sekarang.
Anwar pernah
diserang hebat atas dakwaan terbabit dengan skandal seks. Bagi pandangan
Saudara, adakah tuduhan itu memberi kesan buruk kepadanya?
Ya, skandal
seks itu kita lihat macam boleh menjatuhkannya..tetapi kita sendiri tidak tahu
sejauh mana benarnya tuduhan itu. Tetapi dengar khabar baru-baru ini ada
percubaan untuk membunuh orang yang menulis surat sumpah yang mengaku melakukan
homoseks dengannya tetapi katanya yang menjadi mangsa ialah isteri penulis
berkenaan. Cerita seperti ini mudah tersebar. Saudara harus menyiasatnya. Media
di negara ini, berbeza dengan suratkhabar di luar.
Di luar
negara mereka mendedahkan skandal, tetapi di sini mereka menutupnya. Jadi ini
seperti skandal dalam filem Hindustan. Jadi kalau kita menonton filem-filem
Hindustan, pegawai polis dan gengster membuat pakatan jahat. Katanya, Anwar
sendiri peminat filem Hindustan, mungkin beliau lebih maklum.
Saya pernah
berjumpa dengan beberapa orang ulamak yang di luar PAS, apabila ditimbulkan
dakwaan skandal seks Anwar, mereka menyifatkannya tidak lebih daripada fitnah
semata-mata.
Apabila
orang itu mempunyai watak seperti itu, yang selama ini nampak bersih, kita
menganggapnya sebagai fitnah. Apa yang kita mahu di sini adalah Anwar mestilah
membersihkan dirinya. Membersihkan diri bukannya dengan berdiam begitu sahaja
atau menafikannya kepada pihak akhbar.
Anwar harus
mengambil tindakan undang-undang dan membawa mereka menuduhnya ke pengadilan.
Jika tidak, saya rasa ia akan timbul lagi dalam perhimpunan Agung UMNO. Kita
dengar khabar ada buku akan keluar tentang skandal ini. Selagi ia tidak
membersihkan tuduhan skandal seks ini akan terus berputar. Kita pun tidak mahu
TPM kita teraniaya.
Anwar
sendiri selepas tercetusnya peristiwa ini, lebih kurang enam bulan dia tidak
bercakap soal-soal agama, hanya kebelakangan ini dia kembali berkhutbah. Jadi
kita nampak berlaku perubahan ketara lima enam bulan dia mengambil cuti untuk
tidak bercakap soal-soal agama dan khutbah.
Hanya
sekarang dia baru hendak berkhutbah. Barangkali baginya masyarakat sudah lupa.
Kita tidak menuduh Anwar tetapi yang kita pelik, mengapa dia tidak membersihkan
dirinya setakat ini?
Maknanya
masih banyak lagi tanda soal di sekitar pertuduhan?
Ya, orang
yang menulis surat itu pun berada dalam ketakutan. Ertinya mereka masih diugut,
diancam oleh pihak-pihak tertentu.
Khabarnya
Saudara pernah berjumpa dengan orang yang menulis surat terbuka itu? Adakah
sebarang maklumat yang boleh dikongsi bersama dengan kami?
Ya, penulis
juga bukanlah pada peringkat menuduh Anwar melakukan apa-apa, tetapi mereka
empat keluarga mengakui sungguh-sungguh melihat Anwar masuk ke dalam apartment
bersama dengan pasangan yang tertuduh itu.
Jadi,
pendirian penulis surat itu tidak berubah. Dan dia kelihatan takut untuk
bertembung dengan orang. Kalau dia bertembung dengan seseorang dikhuatiri dia
akan disiasat oleh polis Cawangan Khas.
Sekiranya
berlaku peralihan kuasa iaitu Anwar menggantikan Mahathir, agaknya bagaimana
nasib PAS?
Saya lebih
bimbang dan berdoa secara peribadi biarlah Mahathir mengepalai pilihan raya
akan datang kerana kalau Anwar naik menjadi PM, dia cukup pandai menggunakan
agama.
Minggu
pertama dia menjadi PM, misalnya Anwar berkhutbah di Masjid Negara akan
disiarkan di seluruh negara. Lelaki pergi ke masjid sembahyang Jumaat dan
wanitanya yang berada di rumah akan melihat bagaimana selepas merdeka, inilah
Perdana Menteri yang pertama membaca khutbah tanpa teks pada minggu pertamanya
menjadi PM.
Sesungguhnya
orang seperti Anwar begitu pandai dan licik menggunakan saluran agama dan
pandai mengambil sentimen orang Melayu berbanding Mahathir. Kita bukanlah takut
tetapi kita tahu tahap pemikiran Melayu setakat mana. Jadi secara peribadi saya
berdoa agar Mahathir kekal mengepalai pilihan raya yang akan datang.
Mungkin di
zaman Anwar masalah kekangan demokrasi, kebebasan, ISA dan akta-akta tertentu
akan berubah?
Saya tidak
nampak ia boleh berubah. Contoh paling nyata ialah tempat yang Anwar berkuasa
penuh, iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Di situlah Anwar menjadi
Presiden, tempat berkumpulnya orang-orang Anwar sehingga menjadi universiti
paling tercorot dalam Asia.
Universiti
yang hanya untuk meluluskan puak-puak penyokong Anwar supaya ada ijazah. Di
situ juga berlaku kongkongan malahan lebih dahsyat berbanding
universiti-universiti lain.
Jadi saya
tidak nampak ada lebih kebebasan di situ. Anwar lebih pandai dari sudut
menguasai budaya Melayu, manakala Mahathir kurang pandai dalam soal itu.
Saudara
tentu lebih mengenali Anwar semenjak sebelum menyertai UMNO? Agaknya apa
keistimewaan Anwar..
Ya, pada
diri Anwar ada satu perkara yang tidak berubah iaitu perhubungan awamnya, PR,
cukup baik. Walaupun berdepan dengan lawan atau kawan, PR-nya cukup bagus. Dia
pandai membina pengikut-pengikut yang setia kepadanya dan kepada musuhnya, dia
boleh bersikap negotiate.
Semasa dia
di dalam ABIM dahulu dia adalah hard working man tidak kira pagi atau malam.
Balik ceramah pukul dua atau tiga malam, esoknya pukul tujuh pagi sudah berada
di pejabat. Anwar cukup disiplin.
Khabarnya
Anwar sentiasa menjalin hubungan secara peribadi dengan ahli-ahli UMNO di
setiap peringkat.
Ya. PR-nya
sangat bagus.
Dari segi
lain ada pihak melihat kerjasama PAS-UMNO akan berlaku apabila Anwar jadi PM.
Cakap-cakap
sekarang memang begitu terutama sekali hubungan peribadi Anwar dengan pemimpin
PAS termasuk pimpinan PAS sekarang amat erat. Hampir semua pimpinan PAS mempunyai
hubungan peribadi yang baik dengan Anwar tetapi kita tidak tahu sejauh mana
soal penegasan dasarnya.
Kita
nampak...kalau dengan Semangat 46, yang berlainan dasar pun boleh ada gabungan
yang ini juga membimbangkan kita.
Kata orang,
berbanding Mahathir Anwar dilihat jarang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang
memperlekehkan Islam?
Anwar memang
lebih bijak berbanding Mahathir. Mahathir tidak reti menerangkan Islam tetapi
Anwar lebih pandai. Misalnya, apabila menerangkan hukum Hudud, Mahathir akan menolaknya
secara total tetapi Anwar akan memberi alasan daripada Yusof al-Qardhawi,
pandangan ulamak itu ini, soal awlawiyyat atau prioriti. Jadi penolakan Anwar
lebih lunak! Memang kedua-duanya nyata menolak hudud tetapi Mahathir tidak
bijak menyusun hujah.
Katanya imej
Anwar di peringkat antarabangsa diakui masih hebat?
Masih hebat!
Sehingga apabila saya pergi ke Pakistan, pemimpin-pemimpin Jamaat Islami di
peringkat atasan begitu menghormati Anwar. Tetapi apabila saya menceritakan
kepada mereka yang saya menjadi Ahli Parlimen sudah lapan tahun..
Pada mula
saya masuk dahulu saya dapati daripada empat jenis judi dikeluarkan tetapi
apabila Anwar menjadi Menteri Kewangan, judi yang telah dihalalkannya telah
bertambah menjadi sembilan jenis termasuk judi lumba kuda. Dahulu ada tiga
tempat judi lumba kuda iaitu Ipoh, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Apabila dia
menjadi Menteri Kewangan, ia telah bertambah di Sabah sehingga menimbulkan
kemarahan ahli-ahli Parlimen di sana dan juga menimbul bantahan di Sarawak apabila
judi lumba kuda juga hendak diwujudkan di sana.
Begitu juga
Genting Highlands menjadi pusat judi ketiga besar di dunia sekarang di bawah
Menteri Kewangan yang berkuasa sekarang ini. Jadi, apabila saya ceritakan
perkara ini kepada Jemaat Islami itu, mereka terkejut.
Katanya: ”We
have a different view!” ”Kami tidak pernah mendengar cerita-cerita seperti
ini!”
Kata saya,
sama ada orang beri fakta salah kepada kamu atau kamu naif dalam memahami
keadaan itu. Sambung saya lagi Timbalan Perdana Menteri kami mempunyai hubungan
yang baik dengan taukeh judi, Lim Goh Tong.
Pada masa
dia menjadi Ketua Pemuda, Anwar mudah mendapat bantuan Yayasan Gerak Bakti
daripada taukeh judi.
Akhirnya
kata ketua Jamaat Islami, ”kita ada gambaran yang lain selama ini.”
Begitu juga
mereka mendapat gambaran yang salah tentang Malaysia terkenal sebagai negara
Islam dan ekonomi yang hebat. Saya akui ia memang betul di luar negara tetapi
mereka tidak bertanya pun orang Islam memiliki ekonomi sebanyak mana? 18
peratus ekonomi itu adalah hasil gabungan MARA, agensi kerajaan dan pemilik
Bumiputera Islam. Kalau ditolak itu semua ternyata pemilik ekonomi Islam
tinggal di bawah paras 18 peratus. Jadi dari segi kek ekonomi orang Islam di
Malaysia kurang 18 peratus!
Saya pernah
membentangkan kertas kerja di Afrika Selatan menceritakan hal murtad dan dadah
di Malaysia. Semasa saya bercakap itu ada di antara mereka yang mencebik mulut.
Mereka tidak percaya jika murtad berlaku di negara yang dianggap negara Islam
seperti Malaysia.
Selepas
beberapa lama saya bercakap itu, mereka berjumpa saya dan ucap tahniah. Mereka
mengakui apa yang saya katakan itu benar. Begitulah imej Mahathir dan Anwar di
negara-negara luar. Begitu hebat sekali. Sehingga saya beritahu beribu-ribu
orang Islam Malaysia sudah murtad, mereka tidak percaya kerana di tempat mereka
(Afrika Selatan) orang kulit hitam berlumba-lumba masuk Islam.
Di India
sendiri,orang Hindu ramai masuk Islam dan adalah pelik jika ada orang Islam
masuk agama Hindu. Begitulah anggapan awal mereka. Sehingga mereka bertanya apa
sebenarnya yang Anwar telah buat untuk membantu Islam?
Jadi,
gambaran media asing terhadap Islam di Malaysia berjaya digembar-gemburkan.
Jadi kalau Anwar menjadi PM, media berjaya meyakinkan negara Islam lain bahawa
Anwar adalah pemimpin Islam yang unggul dan dia boleh muncul sebagai pemimpin
terhebat di OIC selain Iran.
Dari segi
ekonomi, ada pihak menyatakan cara pendekatan Anwar agak berbeza daripada
Mahathir. Cara Anwar lebih merakyat sifatnya sedangkan Mahathir terlalu menumpu
kepada membina jutawan segera Melayu dan melonggokkan projek untuk dua tiga
kerat tokoh korporat tertentu.
Itu memang
ada sedikit sebanyak. Tetapi habuan untuk rakan-rakan dan penyokong-penyokong
Anwar, serupa saja! Contohnya kita terlupa Muhammad Taib itu adalah ahli Team
Wawasan yang diterajui Anwar an orang-orang ini terkenal dengan masalah skandal
penggadaian tanah.
Jadi, dari
segi kawan-kawannya dalam penimbunan kekayaan tidak nampak penegahan daripada
Anwar. Dan sekarang kes Menteri Belia dan Sukan masih lagi tidak selesai yang
membabitkan RM200 juta hasil penjualan tanah di Johor. Itu semua adalah
orang-orang team Anwar, yang tidak banyak beza dengan kroni Mahathir.
Begitu juga
dengan gosip tentang Timbalan Menteri Besar Pahang yang dikatakan memiliki wang
yang banyak. Jadi, dari situ tak banyak bezanya Cuma. Cara Anwar bercakap
ternyata tertumpu kepada rakyat, tindakannya belum tentu.
Bercakap
soal kroni dan nepotisme dan segala macam kebobrokan yang berlaku, malangnya
bagi rakyat Malaysia kerana tidak diberi pilihan untuk mengangkat kerajaan
alternatif. Daripada 22 juta rakyat, hanya 2,000 perwakilan UMNO yang
menentukannya.
Kita tidak
nampak senario ini boleh diubah dalam masa yang singkat sebab reformasi politik
di Malaysia masih tidak berlaku walaupun telah lama diperjuangkan pembangkang
sama ada PAS dan DAP kerana kita masih dalam frame work yang sama. Kita tidak
nampak buat masa sekarang pembangkang boleh menang pilihanraya. Kalau berlaku
reformasi pun, ia berlaku dalam sistem ortodok.
Ia mungkin
tidak berlaku seperti di Indonesia disebabkan perbezaan sejarah. Indonesia
merdeka menerusi revolusi, kejatuhan Soekarno pun ala revolusi dan Suharto pun
ala revolusi. Tetapi politik kita sejak berzaman dipupuk politik ala British.
Jadi
berlainan skop dan budaya walaupun kita berada di sempadan tetapi apa yang
berlaku di England, sebahagiannya lebih mempengaruhi Malaysia berbanding
Indonesia. Begitu juga ulamak-ulamak kita di sini dari segi hendak mencuba
sesuatu yang baru dalam politik rasanya amat sukar. Kalau hendak dikatakan
takut tidaklah kerana mereka terlalu berwaspada.
Menurut
pengalaman pemimpin Jamaat Islami Pakistan, untuk mengubah sistem feudal dan
land lord di negara itu, ia harus menjurus ke arah revolusi rakyat. Ini yang
sedang diteroka oleh Amir Jamaat dan mereka nampak ada perubahan dalam gerakan.
Nota :
Rencana ini ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman dalam buku Layakkah Anwar Ketuai
Reformasi?, Penerbitan Pemuda, 1998. Sekarang beliau merupakan ketua pengarang
Harakah.
No comments :
Post a Comment