Seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan akibat
terkena bahan letupan ketika majlis ceramah perdana anjuran Barisan Nasional
(BN) berlangsung di pekarangan Bilik Gerakan BN Nibong Tebal di sini malam
tadi.
Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata
mangsa berusia 30-an itu dikejar ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan lanjut
dan keadaannya dilapor stabil.
Beliau berkata polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian
yang berlaku pada 10.15 malam itu, dan tidak menolak kemungkinan ia perbuatan
khianat.
"Kita telah arahkan Unit Bom dan Forensik untuk
menyiasat jenis letupan yang digunakan," katanya kepada pemberita di
lokasi kejadian.
Abdul Rahim berkata hasil siasatan akan dimaklum secara terperinci
pada satu sidang akhbar secepat mungkin.
Terdahulu, majlis yang dihadiri 3,000 orang itu menjadi
kecoh apabila orang ramai bertempiaran lari selepas terkejut mendengar satu
letupan kuat pada jarak kira-kira 10 meter dari bahagian belakang pentas ucapan.
Ketika kejadian, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr
Teng Hock Nan sedang menyampaikan ceramah.
Bagaimanapun, majlis yang bermula pada 8.30 malam itu
diteruskan seperti biasa dengan kawalan ketat anggota polis dan berakhir pukul
12.30 malam.
Sementara itu, beberapa saksi kejadian yang berada
berhampiran pentas ketika ditemui berkata mereka terkejut mendengar letupan
kuat berkenaan dan masing-masing berlari menyelamatkan diri.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Micheal, 39,
berkata sewaktu kejadian, beliau baru tiba di lokasi kejadian dan hanya sempat
mendengar ceramah kira-kira 10 minit sebelum terkejut dengan letupan itu dan
menyelamatkan diri bersama isterinya.
Katanya, letupan itu sangat kuat seperti bom menyebabkan
semua orang terkejut dan suasana menjadi riuh rendah sebelum beliau ternampak
seorang lelaki cedera dan dibawa ke hospital.
Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad,
58, berkata letupan itu dari longgokan sampah di belakang pentas.
"Letupan itu menyebabkan sampah berterbangan sehingga
terpercik dan mengotori beberapa buah kenderaan, mujurlah serpihan bahan
letupan itu tidak mengenai saya," katanya.
Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow pula menyifatkan insiden
itu mencemar nama baik demokrasi dan mahu segala bentuk amalan politik yang
menjurus ke arah keganasan dihentikan serta-merta.
"Kita tidak mahu semasa tempoh berkempen ini ada rakyat
atau pengundi yang cedera, dan saya nasihatkan semua parti bertanding dapat
mengawal emosi penyokong kerana kita tidak mahu peristiwa sebegini berulang
lagi," katanya.
Antara barisan penceramah pada majlis itu ialah Pengerusi
Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman, Ketua Wanita MCA Tan
Cheng Liang dan Pengerusi Perhubungan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Dr
Loga Bala Mohan. - Bernama
Baca seterusnya : di sini
No comments :
Post a Comment