Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, June 9, 2017

Hukum Sebar Gambar Mayat Dalam Media Sosial




Apabila kita berurusan dengan orang ramai, ada etikanya. Dalam erti kata lain apabila kita menjadi wartawan atau admin dalam mana-mana media sosial perlu mempunyai etika biarpun tidak sama dengan 'etika kewartawanan' yang sebenarnya.

Begitu juga apabila kita berurusan dengan kematian. Ada adabnya, ada santunnya.

Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, yang tinggal hanyalah jasadnya yang kaku di tempat dia meninggal, tanpa boleh bergerak untuk menutup segala keaiban dirinya yang tersingkap.

Namun, masayarakat kita hari ini ramai sangat yang pelik.

Suka benar mengambil gambar mayat orang yang sudah meninggal dunia ataumati, lalu menyebarkannya di media sosial. Niatnya untuk memberitahu orang lain ada berlaku kematian, ada berlaku kemalangan maut, dan sebagainya. 

Namun, perlukah mengambil gambar mereka dalam keadaan tidak sepatutnya lalu letakkan di Facebook?

Kenapa? Untuk apa?

Masalah masyarakat kita sekarang, suka sangat sebar sesuatu berita yang mereka rasa hangat. Biar dapat Like dan share yang banyak, tanpa menghiraukan perasaan keluarga orang lain, perasaan keluarga simati yang sedang bersedih.

Sebab itu, saya cukup terkilan setiap kali melihat masyarakat menyebar luas gambar-gambar kemalangan yang mengakibatkan kematian contohnya, atau gambar pembunuhan, mangsa lemas, mangsa rogol, dan sebagainya di media sosial terutama dalam aplikasi Whatsapp. 

Kematian bukanlah satu perkara yang boleh dipertontonkan kepada umum!

Jika rasa nak bagitahu juga ada berlaku kemalangan, cukup sekadar kongsikan gambar kenderaan yang terlibat dengan kemalangan atau 'censored' gambar dan situasi mangsa yang mengaibkan.

Saya masih ingat satu insiden di rumah saudara sesampainya van jenazah di perkarangan rumah, saya melihat orang ramai berkerumun dan berpusu-pusu mengambil gambar saudara terdekat saya yang meninggal dunia akibat kemalanagan. 

Sehingga kami ahli keluarga simati sendiri terpaksa duduk di luar rumah kerana rumah kami sudah sedia dipenuhi sesampainya kami dari hospital. 

Selepas itu, saya melihat masing-masing manusia di tempat itu, berkongsi gambar dengan orang lain dengan menggunakan aplikasi 'Bluetooth' dan 'Infrared' tanpa memikirkan perasaan kami sekeluarga. Pada waktu itu belum ada aplikasi 'Whatsapp'.

Hal ini terjadi juga sama ada di tempat kemalangan, hospital, hatta di dalam bilik mayat sewaktu proses 'post-mortem' sedang dijalankan juga masih berdegil mahu mengambil gambar!

Kita sebagai masyarakat Muslim, usahlah memuat naik sebarang gambar atau video, dan jangan Share video atau gambar-gambar ngeri yang sedia ada di laman sosial.

Bayangkan, jika di dalam gambar itu, adalah ibu bapa kita, kakak kita, ahli keluarga kita, apa kita rasa? Bila kita lihat orang ramai berpusu-pusu ambil gambar emak bapa kita tanpa sedikit pun perasaan bersalah, kemudian muatnaik di Facebook untuk meraih 'Like' dan 'Share' yang banyak? Dan tiba-tiba gambar yang dimuatnaik pula ditularkan di internet dengan tajuk-tajuk yang sensasi, apa perasaan kita? Apa perasaan ahli keluarga kita yang lain?

Tentu tidak suka kan?

Justeru hentikanlah budaya menularkan gambar mayat!

Mungkin sekarang kita tidak faham perasan itu kerana tidak berada dalam situasi tersebut atau tidak  pernah mengalaminya. Hanya orang yang pernah alami situasi seperti ini sahaja yang akan faham.

Itu belum lagi disentuh apabila jiran-jiran dan sedara-mara yang menokok tambah cerita.

"We, aku dengar kapala dia putus eh?"

"Teruk we mayat yang eksiden semalam. Mesti banyak dosa mati macam tu.."

"Takut aku tengok gambar dia, teruk mayat dia.."

Rasulullah SAW bersabda :
1- " Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya.."
(HR Al-Bukhari no 2442 dan Muslim no 2580 dari hadis Ibn Umar rdh serta Muslim no 2699 dari hadis Abu Hurairah rdh)

2- " Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya akan tetapi iman belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian menggibahi kaum muslimin, dan janganlah pula mencari-cari aib mereka, sesunggunhnya barangsiapa yang mencari-cari aib saudaranya, sesama Muslim, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya, dan barangsiapa yang Allah mencari-cari kesalahannya, maka Allah akan mempermalukannya meskipun ia berada di dalam rumahnya.."
(HR Abu Dawud no 4880)

Penjelasan sudah diberikan, dalil pun sudah nyatakan. Selepas ni kalau masih juga ditahap yang sama tak tahulah nak kata apa. Selepas ni, jika kita terlihat ada lagi pihak yang memuatnaik atau menularkan gambar mayat di Facebook atau ada orang hantar gambar mayat terutama mangsa kemalangan jalan raya, mangsa rogol, mangsa bunuh, mangsa lemas dan sebagainya yang begitu jelas di Whatsapp, mohon tegur atau maki terus andai tak makan saman.

Wallahu A'lam..


DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.