Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, May 19, 2014

Gurauan Rasulullah SAW contoh tauladan terbaik

SENIMAN negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam lakonanya ada menyebut tentang keindahan bergurau dalam filemnya, Masam-Masam Manis “…kalau hidup tak bergurau senda, hilang nikmat cinta, bila rindu mendebarkan dada, tahan nafas sahaja”.

Gurauan merupakan suatu perkara lumrah dalam kehidupan manusia. Ia boleh membuatkan suasana yang muram menjadi ceria, yang sepi bertukar riuh-rendah dan sesuatu yang menyeronokkan serta menyenangkan hati dan perasaan manusia.

Setiap manusia pasti pernah merasai nikmat suka dan duka.Manusia diciptakan ALLAH SWT sebagai makhluk yang istimewa. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya KAMI menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Tin, ayat 4).

Menjadi naluri manusia inginkan kegembiraan. Dengan bergurau senda boleh menghilangkan tekanan hidup dan kesibukan menunaikan tanggungjawab dalam kehidupan seharian, jesteru membantu menguatkan kasih sayang dangurauan menjadi penambah perisa dalam tautan ukhuwah yang terbina serta mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Akan tetapi sekiranya gurauan dilakukan dengan cara melampau dan berlebihan, maka bukan keceriaan yang diperolehi, sebaliknya mendatangkan impak negatif seperti kekusutan, dendam,hura-hara dan sebagainya. Adapun, setiap perkara tentulah ada batasnya. Tidak kiralah kegembiraan, kesedihan, lawak jenaka, gurau senda atau apa sahaja.

Sesungguhnya, perlu diingatkan  Islam amat melarang perbuatan melampaui batas kerana ia boleh melalaikan dan memusnahkan keharmonian dalam kehidupan. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “…dan janganlah kamu melampaui batas kerana sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, ayat 190).

Dalam hal ini mari kita sama-sama merujuk 5 syarat yang telah diletakkan oleh Dr. Yusuf Qardawi dalam bergurau senda. Antara perkara yang perlu diambil perhatian bagi mereka yang gemar bergurau adalah :

    Perkara yang hendak diungkapkan itu bukanlah suatu yang bohong hanya semata-mata manusiaketawa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.”(HR Ahmad dan ad-Darimi)

Tidak mengandungi penghinaan terhadap seseorang melainkan orang tersebut mengizinkannya.

Firman ALLAH: “Hai orang-orang yang beriman. Janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain. Boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka.

Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.

Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Melawak yang tidak menakutkan orang lain.

Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasullulah s.a.w di dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat.Rasulullah s.a.w bersabda:”Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” (HR Thabrani – sahih).

Jangan bergurau pada perkara yang perlu serius.

Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiga perkara yang mana diambil hukumnya samada dalam keadaan melawak ataupun serius: nikah, cerai, membebaskan hamba.” (HR Abu Daud, at-Tarmizi dan Ibnu Majah – sanadnyaHasan).

Sesungguhnya ALLAH telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar al-Quran. Firman ALLAH SWT :”Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat-ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.”(59 – 61 : an-Najm)

Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.

Nabi S.A.W bersabda:”Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.”(Hr Ahmad dan Ibnu Majah – Sanad Hasan).

Daripada syarat tersebut, kita hendaklah menjaga batasan dalam bergurau senda agar hidup dipenuhi dengan ketenangan dan keamanan. Garis panduan yang dijelaskan Islam turut memberi penjelasan berkaitan tabiat bergurau.

Meskipun tujuan asal bergurau adalah untuk mencetuskan suasana gembira dan ketawa, namun apabila ia dilakukan secara berlebihan dan dalam keadaan tidak sesuai, tidak mustahil perbuatan ia akan menyebabkan pelaku mendapat dosa.Sesungguhnya,Islam yang syumul ini cukup indah.

Oleh sebab itu,berwaspadalah kita dalam bergurau senda supaya tidak berlebihan dan melampaui batas. Bersederhana dalam setiap hal itu ialah lebih baik. Orang yang inginkan kebahagian dan keharmonian ialah orang yang mampu mengawal diri mereka daripada gurauan yang tidak sepatutnya.

Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama muhasabah diri agar kita menjadi umat islam yang sentiasa di rahmati oleh ALLAH SWT dan menjadikan akhlak Rasulullah sebagai panduan hidup kita. 

Seterusnya di PPPB

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.