Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, March 23, 2013

GTP Catat Pencapaian Dan Kejayaan Nyata, Pembangkang Panas Hati



KUALA LUMPUR: Fasa pertama Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang melabuhkan tirainya tahun lalu mencatat pencapaian dan kejayaan nyata bagi kesemua tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilaksanakan demi kesejahteraaan rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri dalam prakatanya Maju Ke Hadapan Menuju GTP 2.0 untuk Laporan Tahunan GTP 2012, menyifatkan GTP 1.0 yang dilancarkan pada 2010 sebagai wadah yang menghamparkan persediaan asas bagi transformasi dan inovasi yang lebih besar sepanjang satu dekad setengah akan datang.


“Dengan fasa pertama GTP, saya berbesar hati melaporkan bahawa usaha besar-besaran oleh kerajaan ini telah menjana keberhasilan yang ketara,” katanya dalam laporan tahunan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, sejak pelaksanaan GTP, kerajaan memastikan rakyat Malaysia memperoleh akses kepada barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan pada nilai terbaik; menjadikan Malaysia negara lebih selamat bagi setiap rakyat dengan membanteras sebahagian besar jenayah; membasmi kemiskinan tegar dan memberikan bantuan yang signifikan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, ia juga mengambil langkah membanteras rasuah dan mendapatkan kerjasama rakan daripada sektor swasta mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan; mempertingkat kualiti pendidikan bagi semua pelajar di Malaysia bertujuan memberi kemahiran yang bersesuaian kepada mereka untuk bersaing dalam pasaran global serta mempertingkat dengan ketara akses kepada infrastruktur dan menambahbaik sistem pengangkutan awam terutama di kawasan kritikal seperti Lembah Klang, untuk mempertingkat taraf kehidupan rakyat.

Tujuh NKRA itu yang menjadi tonggak GTP ialah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar, mempertingkat pengangkutan awam bandar dan menangani kos sara hidup rakyat.

Najib berkata, perubahan itu ialah yang dituntut oleh rakyat dan yang mendorong kerajaan untuk menggembleng usaha yang besar untuk mencipta kejayaan.
Beliau turut menjelaskan pelbagai rintangan dan kesukaran yang dihadapi untuk melaksanakan program perubahan itu namun cabaran yang dilalui memberikan dorongan kepada kerajaan untuk melipatgandakan usaha bagi fasa seterusnya.

“GTP yang menyasarkan Perkhidmatan Awam terutamanya, lebih sukar daripada apa yang dijangkakan. Menerusi fasa pertama ini, terdapat keluk pembelajaran penting yang telah dapat kami timba manakala sebahagian inisiatif pula tidak berjaya mencapai sasaran tinggi yang ditetapkan pada peringkat awal.

“Hal yang sedemikian sememangnya dijangkakan berlaku terhadap program perubahan sebesar ini,” katanya.

Najib berkata, kerajaan sedar bahawa GTP tidak lari daripada berhadapan dengan kesangsian dan keraguan apabila ia mula diperkenalkan, dan juga keputusan daripada pelaksanaan GTP.

“Kami sangat mengalu-alukan penelitian yang sedemikian. Bagaimanapun, ingin saya memberikan jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan terus bersikap terbuka dan telus sepenuhnya berkaitan dengan matlamat GTP dan pencapaiannya yang diraih.

“Malah, setiap satu daripada NKRA akan terus melalui proses pengauditan dan pengesahan yang ketat oleh penilai tempatan dan antarabangsa demi menghapuskan sebarang keraguan terhadap keabsahan penilaian keputusan,” katanya.

Walaupun berharap keputusan penilaian berupaya meyakinkan para pengkritik terhadap merit rancangan kerajaan, Najib mahu lebih ramai rakyat Malaysia tampil ke hadapan dan memberitahu bagaimana kerajaan dapat mengubah negara yang dicintai ke arah yang lebih baik.

Katanya, terdapat lebih banyak cabaran menanti di hadapan dan lebih banyak yang perlu dilakukan sebelum dapat menyatakan misi telah tercapai.

Katanya, iktibar utama yang diperoleh daripada GTP 1.0 ialah kerajaan tidak berupaya mencetuskan perubahan secara bersendirian dan GTP memberikan impaknya kepada setiap rakyat mencakupi keluarga, perniagaan kecil hinggalah syarikat multinasional.

“Ia tidak berupaya menggapai matlamatnya yang bercita-cita tinggi tanpa penyertaan anda semua. Seperti yang kerap kali saya tekankan, masa bahawa ‘kerajaan mengetahui segala-galanya’ telah berakhir dan dalam semangat 1Malaysia, kita kini memerlukan rakyat untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu kami terus memajukan negara.

“Nyatakan kepada kami bagaimana kami boleh memberikan khidmat yang lebih baik kepada anda, juga nyatakan kepada kami bagaimana kerajaan dapat memberikan lebih makna kepada kehidupan anda,” katanya.

Najib berkata, kerajaan tidak boleh lagi membiarkan walau seorang pun rakyat keciciran dalam menuju masa hadapan yang lebih cerah dan yakin matlamat GTP mampu direalisasikan sepenuhnya dengan sokongan kukuh daripada rakyat.




No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.