Penasihat DAP, Lim Kit Siang sudah disahkan akan
bertanding di Parlimen Gelang Patah, Johor sekaligus memadamkan hasrat
Pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng yang sebelum ini berangan-angan untuk
menjadi calon PKR di kawasan tersebut.
Kejayaan DAP mempengaruhi Ketua Umum PKR, Anwar
Ibrahim supaya memberi laluan kepada Kit Siang bertanding di Gelang Patah agak
mengecewakan ramai penyokong PKR sementelah lagi sudah berbulan-bulan Pengerusi
PKR Johor itu melakukan gerak kerja kempennya di sana.
Baru-baru ini sumber yang rapat dengan Jui Meng
memberitahu akhbar Nanyang Siang Pau yang bekas pemimpin MCA itu berura-ura
untuk meletakkan semua jawatannya dalam PKR sebagai tanda protes berikutan
tindakan Anwar yang dianggap sebagai satu pengkhianatan.
DAP memang lama mahu masuk Johor. Dengar komen Tunku
Aziz berikut:
Sama ada ura-ura itu menjadi kenyataan atau tidak,
yang pastinya Gelang Patah tidak menjanjikan laluan mudah untuk Kit Siang yang
dijangkakan akan berdepan dengan protes secara besar-besaran dari penyokong
PKR.
Kit Siang yang sudah acap kali berpindah randah dari
satu negeri ke negeri lain untuk melebarkan pengaruh DAP tidak hanya akan
menghadapi protes penyokong PKR pro Jui Meng tetapi juga bakal berdepan dengan
masalah penerimaan pengundi selain cabaran sengit dari BN.
Majoriti pengundi keturunan Cina di negeri yang
terkenal dengan jolokan kubu kuat UMNO sejak berdekad lamanya terbukti
mempunyai sikap unik dan penerimaan mereka juga jauh berbeza dari pengundi Cina
di negeri lain. Cabaran ini tentunya sukar di mengertikan oleh Kit Siang.
Apatah lagi Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason
Teoh yang hampir pasti mewakili BN bukannya kecil anak untuk diperlekehkan oleh
Kit Siang.
Gambaran awal kegusaran DAP dengan keterampilan Teoh
dapat dilihat dari serangan awal jentera propaganda DAP yang mula melakukan
sabotaj terhadap pemimpin MCA itu melalui sebuah fan page tiruan.
Teoh yang sudah sekian lama dikenali kerana rekod
khidmatnya yang cemerlang dan rapat dengan ramai pengundi di sini, sudah tentu
merupakan sandaran kukuh untuk BN mengekalkan penguasaan di Gelang Patah.
Tindakan Kit Siang beralih kawasan sempena PRU 13
dengan bertanding di Gelang Patah sebenarnya boleh diibaratkan seperti menggali
kuburnya sendiri. Kekuatan DAP di kawasan Parlimen itu ditambah dengan pengaruh
peribadinya sukar untuk meruntuhkan kubu BN di sana.
Malah kekuatan DAP yang kian suram di kawasan ini
khususnya di DUN N48 Skudai yang dimenanginya dengan majoriti besar 12,854 undi
pada PRU 12 tahun 2008 dulu, meletakkan DAP bukan dalam keadaan selesa untuk
merampas Parlimen Gelang Patah dari BN.
Berdasarkan trend terkini menunjukkan pengaruh DAP di
DUN Skudai sudah semakin suram dan ada kemungkinan parti itu bakal kehilangan
kerusi tersebut. Paling tidak pun DAP cuma berupaya mempertahankannya dengan
majoriti kurang dari 2,000 undi, mana-mana satu yang berlaku ia tetap berita
buruk untuk DAP.
Sementara satu lagi DUN dalam Parlimen gelang patah
iaitu N49 Nusajaya yang dimenangi BN melalui calon UMNO dengan majoriti 7,384
undi pada PRU yang lepas, hampir pasti akan kekal di tangan BN dengan undi
majoriti yang lebih tinggi.
Berdasarkan senario ini, sudah pasti PRU 13 bakal
menjadi igauan buruk untuk DAP dan nyawa politik Kit Siang akan tamat di Gelang
Patah dek kerana terbunuh di tangan Teoh.
Rakyat Johor tidak sabar menantikan saat itu bagi
memberi pengajaran supaya politikus kaki panjang seperti Kit Siang yang gemar
berpindah randah sana sini untuk kepentingan kerjaya politik sendiri tidak
terus dijadikan ikutan.
Pengundi-pengundi Cina tidak mengalu-alukan kepulangan
Kit Siang di penghujung hayat politiknya. Mungkin Kit Siang sudah mula rasa
kerana pekedai-pekedai Cina tidak mahu bersalaman dengan beliau ketika dia
melawat kawasan.
Kenapa dia tidak berada di Johor selama ini? Baru
sekarang nak balik ke negeri asalnya.
No comments :
Post a Comment