Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, December 16, 2016

Skandal Penyelewengan Mega RM46 Billion DAP Pulau Pinang, Ahli Berkelulusan PhD Keluar Parti


SKANDAL PENYELEWENGAN MEGA RM46 BILION DAP-PULAU PINANG, AHLI BERKELULUSAN PHD KELUAR PARTI!!!

Ahli DAP yang bernama ROGER TEOH mengambil tindakan keluar parti kerana dikatakan tidak tahan dengan skandal yang telah dicipta oleh DAP di Pulau Pinang.

ROGER TEOH yang merupakan lepasan kelulusan PHD dari Centre for Transport Studies, Imperial College London, begitu terkejut setelah kajian yang dilakukannya mengenai projek mega yang melibatkan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang mempunyai unjuran yang tidak realistik yang bermaksud daya maju projek itu akan menjadi satu persoalan.

Projek terowong tersebut yang menjangkau kos sebanyak RM46 billion setelah tersasar dari jangkaan kos asal iaitu sebanyak RM27 billion didapati menggunakan kontraktor yang sama dengan kontraktor yang membuat kajian kebolehlaksanaan projek PTMP. Baca Sumber The Saviour.

Maklumat yang diperoleh ROGER TEOH dari Ketua Pegawai Eksekutif kontraktor utama, beliau memaklumkan bahawa pihak kontraktor berkenaan tidak pernah mendengar tentang kenaikan kos pembiayaan dari RM27 billion kepada RM46 Billion.

Namun Kerajaan DAP memaklumkan kos projek berkenaan telah meningkat daripada RM27 bilion kepada RM46 bilion selepas pihak kontraktor selesai membuat kajian awal.

Di sini kita dapat melihat bahawa kerajaan DAP dengan sengaja mengambil kesempatan dengan meningkatkan jumlah kos berkenaan agar wang tambahan tersebut dapat masuk terus ke poket individu yang berkepentingan serta dapat disumbangkan ke dalam tabung DAP.

Apa yang lebih mengejutkan Kerajaan DAP juga akan meminjam dari bank-bank untuk membiayai peningkatan kos ini. Pada masa yang sama ianya akan menambahkan beban hutang kerajaan Pulau Pinang seterusnya akan menyusahkan serta membebankan rakyat.

Apabila ROGER TEOH dan beberapa orang yang lain sedar akan hal ini, mereka cuba untuk membangkitkan kepincangan dan mempersoalkan projek tersebut.

Namun parti DAP dan Kerajaan Pulau Pinang akan menyerang mereka tanpa belas kasihan walaupun mereka mempunyai niat yang murni kerana tidak mahu DAP terpalit dengan unsur-unsur rasuah, salahgunakuasa dan sebagainya walaupun mereka ini adalah ahli DAP.

Tindakan ROGER TEOH harus dipuji kerana berani mempersoalkan kepincangan perjalanan pentadbiran partinya sendiri iaitu DAP. Sebagai graduan yang terpelajar ROGER TEOH memang patut bertindak sedemikian dan bukan "Yes Man" sebagaimana sesetengah pemimpin pembangkang. Kelulusan PHD yang diperolehinya betepatan dengan kajian yang dijalankannya.

Manakala kerajaan Pulau Pinang yang begitu komited dan tegas melaksanakan dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) nampaknya telah mengingkari serta membelakangi dasar berkenaan.

Semoga segala kepincangan pentadbiran yang dilakukan DAP selama ini membuatkan rakyat celik dan dapat melihat siapa pemimpin DAP yang sebenarnya. Mereka hanya bercita-cita tinggi namun perlaksanaannya gagal dan hanya sia-sia.

Wednesday, December 7, 2016

Ringgit, Siam Dan Kertas Tandas!


Hasil carian imej untuk kejatuhan ringgit berbanding thai bath


Setiap hari kita pastinya akan menggunakan wang sebagai instrumen pembayaran, dan wang boleh berada pada nilai yang paling rendah sehingga paling tinggi. Namun, apabila kita melawat atau melancong ke luar negara, nilainya berubah-rubah. Hari ini nilainya mungkin mahal berbanding wang negara yang kita kunjungi. Esok, nilai mata wang RM mungkin sahaja lebih murah. Ini berasaskan tukaran mata wang asing. Tukaran mata wang asing ini bukanlah baharu berlaku. Bagi mereka yang tidak pernah pergi ke luar negara, mungkin tidak begitu terasa perubahan kadar mata wang RM berbanding mata wang asing yang lain.

Manakala kejatuhan nilai mata wang ringgit bukanlah suatu keadaan yang unik dan terpencil, sebaliknya ia adalah fenomena global. Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, pengukuhan ketara dolar Amerika Syarikat telah menyebabkan seluruh matawang negara serantau dan global turut mengalami tekanan kemerosotan.

Justeru mari kita lihat kupasan pakar ekonomi yang juga seorang penggiat media sosial, Syahir521 berkaitan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia dan Bath Thailand. Beliau yang tidak kedekut ilmu banyak berkongsi ilmu-ilmu ekonomi baik di dalam blog beliau maupun dalam facebooknya.


Penyusutan Ringgit merupakan isu hangat yang menjadi bualan banyak orang baik di kedai kopi mahupun dalam media sosial.

Ringgit jatuh menyebabkan banyak yang risau dan panik kerana bagi mereka, naik turunnya tukaran matawang adalah melambangkan keadaan ekonomi semasa negara.

Tanggapan popularnya adalah bila Ringgit mengukuh, ekonomi Malaysia berkembang dan kuat, bila Ringgit melemah, ekonomi Malaysia merosot, gawat dan merudum.

Saya rasa banyak yang sudah maklum bahawa penyusutan Ringgit sejak akhir tahun 2014 adalah disumbang oleh pelbagai faktor.

Faktor-faktor yang paling utama adalah faktor penurunan harga minyak dunia, spekulasi bahawa bank pusat Amerika Syarikat, Federal Reserve akan menaikkan kadar faedah dan juga keadaan ekonomi dan pasaran kewangan China.

1. Harga minyak mentah jatuh, Ringgit pun ikut jatuh

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa secara umumnya pergerakan Ringgit sangat berkait rapat dengan harga minyak mentah global contohnya apabila harga minyak mentah jatuh, Ringgit juga akan jatuh dan apabila harga minyak mentah naik Ringgit juga akan naik berbanding US Dollar.


 
Harga Minyak Mentah vs USD/MYR


Di atas adalah carta harga minyak mentah Brent (penanda aras harga minyak dunia) berbanding kadar tukaran matawang USD/MYR.

Pada tahun 2007 harga minyak meningkat mendadak daripada USD60/tong sehingga mencecah hampir USD140/tong yang mana Ringgit juga mengukuh daripada kadar 3.8 sehingga 3.1 pada masa yang sama.

Kemudiannya pada tahun 2008 semasa dunia dilanda krisis kewangan global akibat daripada krisis perumahan di Amerika Syarikat, harga minyak mentah jatuh dengan sangat mendadak daripada sekitar USD130 kepada USD40 dan Ringgit juga menyusut daripada 3.1 kepada 3.7.

Apabila harga minyak mentah mula meningkat semula dan kekal stabil di atas paras USD100, Ringgit juga meningkat dan kekal stabil pada kadar 3.0 ke 3.1 sepanjang 2010 - 2013 sehinggalah harga minyak mentah mula menjunam pada pertengahan 2014 sehingga USD29 setong pada awal tahun ini iaitu kejatuhan lebih 70% yang menyaksikan Ringgit menyusut dengan sangat mendadak daripada 3.0 - 3.1 sehingga 4.3 - 4.4 tahun lepas.


Ringgit menyusut berbanding US Dollar kerana Malaysia adalah negara pengeluar dan pengeksport bersih petroleum.

Apabila harga minyak mentah jatuh, hasil eksport petroleum Malaysia akan berkurangan.

Pada tahun lepas (2015) eksport minyak mentah jatuh RM6 billion, eksport cecair gas asli (LNG) jatuh RM9 billion dan eksport produk petroleum sudah diproses jatuh RM15 billion menyebabkan imbangan dagangan (jumlah nilai eksport tolak jumlah nilai import) mengecil.

Bukan Ringgit sahaja yang menyusut berbanding US Dollar selepas harga minyak mentah global jatuh, matawang negara pengeluar minyak yang lain seperti Australian Dollar, Mexican Peso, Norweign Kroner, Canadian Dollar, Colombian Peso juga jatuh serupa seperti Ringgit Malaysia:


 
Pergerakan Matawang Negara Pengeluar Minyak Berbanding USD

Saya tahu ada yang akan tanya kalau betul semua matawang negara pengeluar minyak jatuh selepas harga minyak mentah jatuh sejak 2014, kenapa Ringgit jatuh lebih teruk daripada Bruneian Dollar (BND) yang mana kita tahu kebergantungan Brunei terhadap minyak adalah lebih tinggi daripada Malaysia?

Logiknya memang sepatutnya matawang Brunei, BND jatuh lebih teruk daripada Ringgit kerana 95% hasil eksport Brunei datangnya daripada hasil eksport petroleum dan 90% hasil kerajaan Brunei adalah daripada hasil petroleum berbanding Malaysia yang mana sektor minyak dan gas hanya menyumbang tidak lebih daripada 20% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara dan juga kurang 20% hasil kerajaan datang daripada hasil petroleum.

Tambahan itu, ekonomi Brunei tidak berkembang sejak 2013, di mana mereka mengalami pertumbuhan ekonomi negatif atau dengan erti kata yang lain, Brunei mengalami kemerosotan atau kegawatan ekonomi tiga tahun berturut-turut sejak 2013:


 
Pertumbuhan KDNK Brunei: IMF World Economic Outlook 2016

Apa rahsia Brunei mengekalkan "kekuatan" matawang mereka walaupun sudah 3 tahun ekonomi mereka tidak berkembang sedangkan ekonomi Malaysia yang tetap berkembang setiap tahun di kala harga minyak menjunam pun mengalami kejatuhan matawang yang boleh dikatakan agak teruk berbanding matawang negara pengeluar minyak yang lain?

Jawapannya adalah kerana, Brunei mempunyai kerjasama monetari yang ditandatangani antara kedua-dua kerajaan di mana 1 Bruneian Dollar akan bersamaan 1 Singapore Dollar di bawah CurrencyInterchangeability Agreement yang ditandatangani sejak 1967.

Matawang Brunei boleh digunakan di Singapura begitu juga sebaliknya matawang Singapura boleh digunapakai di Brunei.

Sebenarnya Malaysia juga menandatangani perjanjian di atas di mana pada suatu masa dahulu selepas 1967 seringgit kita bersamaan dengan 1 SGD dan 1 BND tetapi selepas sepuluh tahun pembentukan Malaysia, pada tahun 1973, kerajaan Malaysia keluar daripada perjanjian ini seperti mana diceritakan di pautan di atas.

Itulah sebabnya matawang Brunei tidak susut seteruk Ringgit.

Tambahan itu, Singapura tidak mengapungkan matawangnya iaitu SGD sepertimana Ringgit diapungkan dan didagangkan secara bebas mengikut kuasa pasaran.

Maksudnya, pergerakan SGD dikawal oleh bank pusat mereka iaitu Monetary Authority of Singapore (MAS) mengikut julat (band) yang telah ditetapkan.

Pergerakan SGD berbanding matawang-matawang rakan dagangan utama Singapura dikawal oleh MAS setiap hari dan tidak akan didagangkan lebih daripada julat yang ditetapkan.

Ini bermakna, Ringgit yang susut berbanding SGD sekarang ini adalah kerana MAS membenarkan SGD untuk menokok atau meningkat berbanding dengan Ringgit.

Berbeza dengan dasar monetari Malaysia yang ditentukan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan mengawal kadar faedah (OPR), dasar monetari Singapura yang ditentukan MAS adalah berasaskan tukaran matawang asing kerana MAS mementingkan kestabilan harga (inflasi terkawal) sebagai objektif utama dasar monetari mereka manakala Malaysia mementingkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan persekitaran kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Ini adalah kerana Singapura mengimport hampir kesemua barangan untuk keperluan penduduknya kerana keupayaan untuk menghasilkan contohnya makanan, barangan penggunaan sendiri adalah terhad kerana saiz negaranya yang kecil.

Jika SGD susut secara berlebihan berbanding Ringgit, import barangan seperti makanan dan minuman akan menjadi mahal oleh sebab demikianlah MAS mengawal SGD agar sentiasa meningkat secara konsisten berbanding Ringgit.

Untuk bacaan lanjut berkenaan dengan dasar monetari Singapura yang dikawal MAS, bolehlah anda semua membacanya di sini.

Pasti ada yang akan tanya kenapa Malaysia atau BNM tidak mengawal pergerakan matawang Ringgit sepertimana yang dilakukan MAS? Saya akan ulas kenapa BNM tidak mengawal pergerakan Ringgit di dalam perenggan yang lain.

Disebabkan perjanjian 1 BND = 1 SGD antara Brunei dan Singapura, matawang Brunei tidak susut terlalu teruk berbanding US Dollar dan meningkat berbanding Ringgit walaupun kebergantungan Brunei terhadap petroleum lebih tinggi berbanding Malaysia.

Saya tahu ada juga yang akan cakap, walaupun pertumbuhan KDNK atau ekonomi Brunei negatif, rakyat mereka masih senang, kerajaan Brunei masih membelanjakan subsidi untuk rakyat Brunei, tiada cukai seperti GST dikenakan ke atas rakyat dan sebagainya.

Bak kata pepatah, "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri."

Segala-galanya nampak indah dari kacamata rakyat Malaysia, tetapi banyak di kalangan kita tidak sedar bahawa kerajaan Brunei sudah pun memotong bajet negara mereka, memotong subsidi, membekukan pengambilan pekerja, menaikkan tarif elektrik kerana kejatuhan harga minyak menyebabkan defisit (perbelanjaan melebihi hasil kerajaan) melepasi 10% daripada KDNK atau saiz ekonomi negara mereka.

Baiklah, matawang Brunei tak jatuh teruk sebab pergerakannya dikawal Singapura, tapi kenapa Ringgit jatuh teruk juga berbanding matawang negara-negara Arab atau timur tengah pengeluar minyak seperti Saudi Riyal, UAE Dirham dan lain-lain?

Ini adalah kerana matawang negara Gulf CooperationCouncil (GCC) seperti Saudi Riyal (SAR), UAE Dirham (AED), Qatari Riyal (QAR) dan lain-lain (kecuali Kuwaiti Dinar) ditambat (pegged) kepada matawang US Dollar seperti mana Malaysia pernah menambat Ringgit kepada US Dollar selepas krisis kewangan Asia 1998 sehingga 2005 pada kadar RM3.80 = US$1.


 
Kadar Tukaran Matawang USD/SAR: Bloomberg

 
Kadar Tukaran Matawang USD/AED: Bloomberg

 
Kadar Tukaran Matawang USD/QAR: Bloomberg

Saudi Riyal (SAR) ditambat pada 3.75 untuk, UAE Dirham (AED) ditambat pada 3.6725 dan Qatari Riyal (QAR) ditambat pada 3.64 bagi setiap 1 US Dollar masing-masing.

Jadi apabila US Dollar meningkat berbanding Ringgit, matawang-matawang negara teluk pengeluar minyak di atas juga akan meningkat berbanding Ringgit contohnya Ringgit yang susut berbanding Saudi Riyal sejak beberapa tahun yang lepas:


 
Kadar Tukaran Matawang MYR/SAR: Yahoo Finance

Sebab tambatan inilah kenapa matawang pengeluar minyak di timur tengah tidak susut langsung seperti negara-negara pengeluar minyak lain yang mengapungkan matawang mereka seperti Canada, Australia, Mexico, Brazil, Norway, Russia dan juga termasuklah Malaysia.

Saya pasti akan ada yang tanya kenapa Malaysia tidak mengambil pendekatan sama seperti negara pengeluar minyak GCC di atas seperti mana Malaysia menambat Ringgit kepada US Dollar selama 7 tahun 18 tahun yang lalu (1998 - 2005)?

Seperti juga kenapa Malaysia tidak mengawal pergerakan matawang seperti Singapura mengawal SGD saya akan menjawab persoalan kenapa Malaysia tidak menambat Ringgit di perenggan lain di bawah.

Saya harap sekarang anda lebih jelas kenapa Ringgit susut dengan teruk sejak tahun lepas dan peranan harga minyak mentah dunia yang mempengaruhi pergerakan matawang bukan sahaja Ringgit, tetapi matawang-matawang negara pengeluar minyak yang lain yang diapungkan mengikut kuasa pasaran dan tidak ditambat atau dikawal.

2. Jangkaan bahawa Federal Reserve akan meningkatkan kadar faedah (Federal Funds Rate)

Federal Funds Rate adalah kadar faedah yang disasarkan Federal Reserve sama seperti Overnight Policy Rate (OPR) yang disasarkan BNM untuk memastikan kecairan di dalam operasi monetari BNM dan sistem perbankan.

Federal Reserve melalui Federal Open MarketCommittee (FOMC) menetapkan kadar faedah yang disasarkan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa dan ramalan jangka pendek ekonomi masa hadapan.

Seperti di Malaysia, apabila ekonomi agak perlahan dan dijangka semakin perlahan, BNM akan menurunkan atau memotong kadar faedah/OPR untuk merancakkan semula ekonomi dan sekiranya ekonomi berkembang dengan konsisten dan agak cepat, BNM akan meningkatkan kadar faedah/OPR untuk memperlahankan kadar pertumbuhan ekonomi kerana kadar pertumbuhan yang terlalu cepat akan menyebabkan inflasi atau kenaikan harga yang tidak terkawal.

Apabila bank pusat sesebuah negara menurunkan kadar faedah, ini bermakna mereka melonggarkan dasar monetari dan sebaliknya apabila bank pusat tersebut menaikkan kadar faedah, mereka mengetatkan dasar monetari.

Setiap kali ekonomi Amerika Syarikat mengalami kelembapan atau terjerumus di dalam kegawatan, FOMC akan menurunkan kadar faedah/FFR untuk merancakkan semula ekonomi:


 
Effective Federal Funds Rate: St Louis FRED

Selepas krisis ekonomi global pada tahun 2008, FOMC menurunkan kadar faedah/FFR daripada 5% sehingga 0 - 0.25%.

Selepas menurunkan kadar faedah sehingga serendah 0%, Federal Reserve merasakan bahawa ekonomi US masih tidak berkembang pada kadar sepatutnya, tetapi kadar faedah sudah pun mencapai paras terendah iaitu 0%, jadi pada akhir 2008 FOMC mengumumkan bahawa Federal Reserve akan membeli lebih USD600 billion sekuriti seperti hutang kerajaan (US Treasury) dan hutang rumah (mortgage backed securities) daripada pasaran terbuka untuk merancakkan aktiviti pinjaman oleh bank-bank kepada sistem ekonomi.

Pembelian beratus billion aset kewangan oleh FOMC ini dipanggil Quantitative Easing (QE) yang menjadi salah satu dasar monetari yang penting diamalkan oleh bank-bank pusat utama seluruh dunia seperti European Central Bank (ECB), Bank of Japan (BOJ), Bank of England (BOE) dan bank-bank pusat negara maju yang lain.

QE juga adalah salah satu langkah pelonggaran dasar monetari apabila penurunan kadar faedah tidak lagi berkesan untuk merancakkan aktiviti pinjaman dan ekonomi sesebuah negara.

Apabila FOMC membuat keputusan melonggarkan dasar monetari dengan menurunkan kadar faedah dan melaksanakan QE, kadar faedah bon kerajaan Amerika Syarikat (US treasury) akan turun, pelabur-pelabur akan menjual pegangan bon kerajaan US untuk mencari bon-bon kerajaan negara lain yang boleh memberikan pulangan kadar faedah yang lebih tinggi seperti di negara ekonomi membangun termasuklah Malaysia.

Tindakan pelabur menjual bon kerajaan Amerika Syarikat dan membeli bon kerajaan negara ekonomi membangun menyebabkan berlakunya aliran modal keluar daripada Amerika Syarikat ke negara-negara ekonomi membangun dan hasilnya US Dollar menurun dan matawang negara ekonomi membangun meningkat termasuklah Ringgit sepanjang 2010 sehingga 2014.

Pada hujung tahun 2013, FOMC bercadang mengurangkan saiz pembelian aset sekuriti kerajaan melalui QE secara berperingkat sehingga seterusnya menamatkan terus program QE, iaitu langkah pertama Federal Reserve untuk memulakan normalisasi dasar monetari setelah hampir lima tahun mengamalkan dasar monetari yang sangat longgar.

Sepanjang tahun 2014, FOMC mengurangkan QE secara berperingkat dalam setiap mesyuarat dasar monetari sehinggalah QE ditamatkan sepenuhnya pada Oktober 2014.

Pelabur-pelabur mengambil pendapat bahawa pemberhentian QE oleh FOMC adalah isyarat pertama bahawa Federal Reserve akan mula mengetatkan dasar monetari dengan menaikkan kadar faedah dalam jangka masa terdekat dan menyebabkan pelabur-pelabur mula menjual pegangan saham, bon dan aset kewangan di negara-negara membangun untuk membeli semula bon kerajaan Amerika Syarikat.

Ini menyebabkan berlaku aliran semula modal dari negara-negara ekonomi membangun ke Amerika Syarikat dan hasilnya adalah pengukuhan matawang US Dollar dan penyusutan matawang negara-negara ekonomi membangun termasuklah Malaysia.

Pengukuhan US Dollar ini berlaku secara luas dengan hampir semua matawang negara lain susut berbanding US Dollar bermula pada tahun 2014:


 
Trade-Weighted US Dollar Index: Broad: St Louis FRED

Carta di atas menunjukkan kenaikan mendadak US Dollar bermula pertengahan 2014 berbanding matawang negara-negara rakan dagangan Amerika Syarikat termasuk Malaysia.

Pengukuhan US Dollar yang bermula pada pertengahan 2014 juga menyebabkan kejatuhan harga komoditi seluruh dunia termasuk minyak, emas, gas asli dan lain-lain.

Oleh sebab itulah Ringgit susut dengan teruk sejak 2014 akibat daripada pengukuhan US Dollar kerana dasar monetari Amerika Syarikat yang semakin ketat dan kerana kejatuhan harga minyak global seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

3. Ekonomi dan Pasaran Kewangan China

Chinese Yuan (CNY) iaitu matawang negara China merupakan matawang ke-5 tertinggi di dunia dari segi penggunaan dalam transaksi pembayaran di seluruh dunia.

Jumlah dagangan luar (eksport - import) China mencecah USD3.956 trillion pada tahun lepas iaitu jumlah dagangan luar terbesar dalam dunia yang direkodkan bagi sesebuah negara.

Malaysia merupakan antara rakan dagang terbesar China.


 

Jumlah Eksport Malaysia 2015: MATRADE

 
Jumlah Import Malaysia 2015: MATRADE

Tahun lepas sahaja Malaysia mengeksport barangan berjumlah RM101.53 billion ke China iaitu destinasi eksport Malaysia kedua terbesar selepas Singapura.

Dalam masa yang sama Malaysia mengimport RM129.36 billion dari China iaitu negara sumber import terbesar Malaysia.

Jadi hubungan antara kedua-dua ekonomi ini sangat rapat dan berkait antara satu sama lain.

Sekiranya ekonomi China perlahan, Malaysia akan mengalami kesannya daripada permintaan import yang lemah di mana eksport Malaysia ke China akan berkurangan.

Tahun lepas China mengumumkan bahawa matawang Chinese Yuan (CNY) akan diapungkan secara terkawal berbanding matawang-matawang rakan dagangan mereka sama seperti dasar monetari Singapura yang saya terangkan di atas.

Pada 11 Ogos 2015, People's Bank of China (PBOC) bank pusat China melemahkan matawang Yuan sebanyak 1.9% yang menyebabkan hampir seluruh pasaran kewangan dunia bergolak dan jatuh akibat terkejut daripada keputusan PBOC melalukan devaluation yang tinggi dalam masa yang singkat di mana pelemahan Yuan ini adalah terbesar pernah dilakukan oleh China sejak dua dekad yang lalu.


 
PBOC Melemahkan Yuan: Bloomberg

Pasaran kewangan tempatan di Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias perubahan dasar monetari China yang mendadak ini apabila Ringgit buat kali pertamanya sejak 1998 jatuh melebihi paras 4.00 berbanding US Dollar.


 
USD/MYR Melepasi Paras 4.00 Pada 12 Ogos 2015: Bank Negara Malaysia

PBOC terus melemahkan Yuan sepanjang 2015 dan Ringgit juga ikut melemah sehingga mencecah paras 4.4455 pada September 2015 iaitu paras tertinggi sejak 1998.

Walaubagaimanapun, bukan Ringgit sahaja yang menerima kejutan daripada pelemahan Yuan oleh PBOC tetapi hampir semua matawang negara ekonomi membangun jatuh dalam tempoh yang sama:

 

Reaksi Matawang-Matawang Terhadap Pelemahan Yuan: Bloomberg

Tiga faktor utama di atas lah yang menyebabkan Ringgit mengalami kejatuhan yang agak teruk berbanding negara lain iaitu kerana harga minyak, jangkaan pengetatan dasar monetari Amerika Syarikat oleh Federal Reserve dan ketidaktentuan di dalam pasaran kewangan dan ekonomi China.

Apakah Ringgit tidak terkesan dengan faktor 1MDB? Faktor ketidakstabilan politik dalam negara? Skandal-skandal rasuah dalam negara yang "berleluasa"?

1MDB ada menyumbang kepada kejatuhan Ringgit tetapi hanyalah faktor kecil dan untuk tempoh yang pendek sahaja iaitu semasa Deutsche Bank memohon 1MDB supaya membayar pinjaman sindiket bernilai USD975juta empat bulan lebih awal daripada tempoh asal kerana Deutsche Bank beranggapan bahawa jaminan (collateral) yang dipajakkan 1MDB adalah bermasalah.

Selain daripada itu kesan 1MDB terhadap Ringgit adalah minimal atau tiada langsung.

Jika 1MDB merupakan faktor yang besar ke atas penyusutan Ringgit, sudah pasti Ringgit akan menjadi matawang yang susut paling teruk dalam dunia, tetapi ada matawang yang jatuh lebih teruk daripada Ringgit seperti Philippines Peso, Swedish Krona, Chinese Yuan, British Pound, Turkish Lira dan Mexican Peso.

Bagi menjawab persoalan kenapa BNM tidak menambat Ringgit kepada US Dollar seperti mana Ringgit ditambat pada 3.80 bagi setiap Dollar bermula tahun 1998 dulu, elok kiranya saya kongsi sedikit ilmu tentang tambatan matawang.

Di dalam ekonomi antarabangsa terutamanya untuk negara yang mempunyai ekonomi terbuka seperti Malaysia, adalah mustahil bagi sesebuah negara itu untuk melaksanakan 3 dasar ekonomi dalam suatu masa yang sama.

Ini bermaksud daripada 3 dasar ekonomi, hanya 2 sahaja yang boleh dilaksanakan dan 1 lagi dasar terpaksa dibiarkan atau tidak dilaksanakan.


3 dasar tersebut adalah:


11.    Tukaran matawang yang stabil (tetap/tambat - fixed exchange rate)

22.  Pergerakan modal keluar masuk negara secara bebas (tidak terhad/dikawal - free capital movement)

3.3.    Dasar monetari bank pusat yang bebas (independent monetary policy)

.          
Tukaran matawang yang stabil adalah dasar yang menambat matawang pada suatu matawang yang lain atau pada suatu bakul matawang (basket of currencies) untuk mengelakkan matawang sesebuah negara itu naik atau turun.

Pergerakan modal yang bebas masuk dan keluar negara bermaksud modal daripada pelabur luar negara (pelaburan langsung  atau portfolio) bebas masuk ke dalam negara dan keluar tanpa halangan daripada pihak kerajaan dan pelabur dalam negara juga bebas membuat pelaburan di luar negara seperti membeli saham, bon, hartanah luar negara.

Rakyat Malaysia yang mahu melancong ke luar negara juga bebas membawa keluar wang yang mereka mahu tanpa halangan (*perlu diisytihar).

Dasar monetari yang bebas adalah kebolehan bank pusat sesebuah negara menetapkan kadar faedah sendiri tanpa perlu terikat dengan penetapan kadar faedah negara lain.

Bank pusat yang bebas menetapkan dasar monetari sendiri adalah ditakrifkan sebagai negara yang mempunyai kedaulatan monetari (monetary sovereignty).

Jadi setiap negara hanya ada 3 pilihan dasar ekonomi iaitu:

1. Tukaran matawang yang stabil dan pergerakan modal yang bebas contoh:Singapura, Hong Kong, Saudi, UAE)2.   
2  Dasar monetari bank pusat yang bebas dan pergerakan modal yang bebas (USA, UK dan negara lain termasuk Malaysia)

Dasar monetari bank pusat yang bebas dan tukaran matawang yang stabil (China)

Sekiranya sesebuah negara cuba mengamalkan ketiga-tiga dasar ekonomi di atas secara serentak, negara itu akan gagal dan akhirnya terpaksa melepaskan satu dasar di antara ketiga-tiga dasar di atas.

Malaysia sekarang memilih pilihan ke-2 iaitu membenarkan pergerakan modal bebas masuk dan keluar ke dalam dan luar negara tanpa apa-apa halangan dan memiliki dasar monetari bebas iaitu BNM bebas menetapkan kadar faedah mengikut kesesuaian tanpa terikat dengan dasar monetari negara luar.

Oleh sebab Malaysia memilih dasar 2 dan 3, Malaysia terpaksa melepaskan dasar yang pertama iaitu tukaran matawang asing tetap atau stabil.

Pada tahun 1998 semasa Ringgit ditambat pada 3.80, kerajaan pada masa itu memilih dasar 1 dan 3, iaitu tukaran matawang yang stabil dan kebebasan dasar monetari di mana Malaysia terpaksa melepaskan dasar 2 iaitu pergerakan bebas modal dari dalam dan ke luar negara.

Sekiranya anda masih ingat, selepas kerajaan Malaysia menambat Ringgit kepada US Dollar pada 1998, kerajaan juga mula mengenakan kawalan modal (capital controls) di mana pelabur asing tidak dibenarkan membawa keluar pelaburan mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Selain daripada itu, rakyat Malaysia juga tidak dibenarkan membawa keluar Ringgit daripada Malaysia dalam kuantiti yang banyak tanpa kebenaran BNM dan ini menyukarkan mereka yang ingin melancong ke luar negara:


 
Sekatan Membawa Keluar Ringgit Lebih Daripada RM1,000 Untuk Pelancong
 Malaysia Ke Luar Negara: BNM


Ironinya adalah mereka yang merungut Ringgit jatuh  dan mahu kerajaan menambat Ringgit adalah mereka yang melancong ke luar negara tanpa mengetahui bahawa jika Ringgit ditambat, ia akan lebih menyukarkan mereka untuk menukar Ringgit kepada matawang destinasi pelancongan mereka.

Sekiranya anda faham kesan tambatan Ringgit kepada ekonomi Malaysia, saya pasti ramai yang tidak akan menggesa kerajaan menambat Ringgit sepertimana yang dilaksanakan kerajaan melalui BNM pada 18 tahun yang lepas.

Jika Ringgit ditambat, kerajaan Malaysia mesti memilih sama ada untuk melaksanakan kawalan modal atau menyerahkan kedaulatan/kebebasan dasar monetari negara kepada negara yang Ringgit ditambat iaitu Amerika Syarikat.

Kedua-duanya bukanlah sesuatu yang bagus kerana kawalan modal akan menyebabkan pelabur asing dan domestik mengalami kesukaran untuk melabur di dalam dan luar negara seterusnya menghakis kepercayaan pelabur-pelabur ke atas Malaysia dan menyerahkan kedaulatan/kebebasan dasar monetari negara juga adalah suatu yang tidak patut didambakan kerana kadar faedah Malaysia akan mengikut kadar faedah Amerika Syarikat yang ditetapkan Federal Reserve seperti bagaimana Singapura, Hong Kong, Saudi di mana kadar faedah di negara mereka terpaksa mengikut kadar faedah yang ditetapkan Federal Reserve.

Ingat, kesan tambatan Ringgit memberi implikasi yang lebih besar dari segi ekonomi negara.

Janganlah hanya kerana perancangan pelancongan anda terganggu akibat penyusutan Ringgit anda terus mahu kerajaan melakukan sesuatu seperti menambat Ringgit tanpa mengambil kira kesan yang lebih besar kepada ekonomi negara.

RINGGIT JATUH, HARGA BARANG NAIK

Secara teori dan realitinya benar, apabila matawang sesebuah negara itu menyusut, harga barangan import dari luar negara akan meningkat.

Apabila Ringgit jatuh daripada 3.00 ke 4.00 berbanding US Dollar, barangan yang diimport dari US, akan menjadi lebih mahal berbanding sebelum Ringgit susut.

Mereka yang biasa membeli barangan dari luar negara sama ada melalui online shopping atau mempunyai perniagaan yang memerlukan mereka mengimport barangan dari luar negara pasti tahu kesan kejatuhan Ringgit.

Malaysia adalah pengimport bersih makanan iaitu kita lebih banyak mengimport makanan dari luar negara dari kita mengeksport makanan ke luar negara.

Apabila Ringgit jatuh, secara teorinya bil import makanan Malaysia akan meningkat.

Tetapi realitinya, harga import makanan dari luar negara ke dalam Malaysia tidak mempunyai perbezaaan ketara sebelum dan selepas kejatuhan Ringgit.


 
Nilai Unit Import Bagi Makanan: Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri,
 Jabatan Perangkaan Negara


Bagaimana harga unit import bagi makanan boleh stabil sepanjang dua tahun lepas sedangkan Ringgit menyusut dengan teruk?

Ini adalah apabila Ringgit susut, harga-harga makanan yang diimport juga jatuh.

Pengeksport luar negara yang mengeksport makanan ke Malaysia menurunkan harga untuk mengelakkan kehilangan pelanggan dan market share.

Oleh sebab yang demikian harga import bagi makanan tidak banyak berubah atau terkesan dengan kejatuhan Ringgit sepanjang setahun dua yang lepas.

Kebanyakan kenaikan harga makanan di dalam Malaysia adalah disebabkan faktor-faktor dalaman seperti permintaan daripada pengguna, faktor cuaca seperti hujan atau kemarau dan faktor-faktor seperti yang diterangkan dalam artikel ini.

Saya gunakan contoh makanan kerana makanan adalah barangan yang digunakan setiap hari oleh rakyat Malaysia.

Jelaslah bahawa kejatuhan Ringgit tidak menjadi faktor utama penyumbang kenaikan harga makanan berbanding faktor-faktor domestik terutamanya permintaan oleh rakyat Malaysia itu sendiri.


RINGGIT TAK LAKU DI THAILAND


Baru-baru ini tersebar di dalam media sosial bahawa peniaga-peniaga di Thailand tidak lagi menerima Ringgit sebagai bayaran:


 



Saya tidak dapat memastikan kesahihan gambar yang tersebar luas di atas dan saya juga sebenarnya tidak kisah sama ada gambar-gambar di atas dalah tulen ataupun palsu.

Ringgit sememangnya susut dengan agak teruk berbanding Thai Baht (THB) sejak hujung 2014:


 
Kadar Tukaran MYR/THB: Bloomberg

Sepanjang dua tahun yang lepas Ringgit jatuh lebih 20% berbanding Baht yang mana dua tahun lepas RM1 boleh membeli 100 Baht dan sekarang RM1 hanya boleh membeli kurang 80 Baht.

Itu faktanya, tidak ada yang hendak disorok, semua orang tahu Ringgit jatuh teruk berbanding Baht tetapi apakah yang menyebabkan Ringgit jatuh sebegitu teruk berbanding Baht? Adakah kerana 1MDB? Adakah kerana di Thailand tiada 1 Thailand Development Berhad? Adakah kerana ekonomi Thailand lebih baik berbanding Malaysia? Tidak.

Thailand adalah pengimport bersih terbesar petroleum di Asia Tenggara.


Thailand Pengimport Terbesar Minyak dan Gas di Asia Tenggara:
 World Energy Outlook, 2015: IEA


Manakala Malaysia adalah pengeksport bersih petroleum (minyak dan gas) selain daripada Brunei.

Apabila harga minyak jatuh, negara pengeksport bersih petroleum akan terkesan secara negatif kerana hasil eksport petroleum negara tersebut akan berkurang dan seterusnya menyebabkan lebihan akaun semasa mengecil seperti Malaysia.

Sebaliknya, negara pengimport bersih petroleum seperti Thailand akan terkesan secara positif kerana perbelanjaan untuk mengimport petroleum untuk kegunaan rakyat akan berkurang seperti Thailand seterusnya menambah lebihan akaun semasa Thailand.


 
Thailand Antara Negara Yang Untung Daripada Kejatuhan Harga Minyak: Bloomberg


Inilah yang menyebabkan Ringgit jatuh teruk berbanding Baht sejak hujung 2014 iaitu sama pada masa harga minyak global mula jatuh mendadak.

Ia tidak ada kena mengena dengan 1MDB, Najib atau rasuah seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

Kejatuhan Ringgit berbanding Baht juga memberikan keuntungan kepada Malaysia kerana Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan Thailand atau dalam bahasa mudahnya, jumlah eksport Malaysia ke Thailand lebih tinggi berbanding jumlah import Malaysia dari Thailand.


 
Dagangan Luar (Eksport - Import) Malaysia Dengan Thailand:
 BNM Monthly Statistical Bulletin


Kejatuhan Ringgit berbanding Baht menyebabkan jumlah hasil eksport Malaysia ke Thailand meningkat ke paras tertinggi tahun lepas iaitu RM44.38 billion dan lebihan dagangan (Trade Surplus) Malaysia dengan Thailand meningkat kepada RM2.7 billion pada tahun 2015 berbanding hanya RM593 juta tahun lepas.

Sudah tentulah ada yang akan terkesan secara negatif bila Ringgit susut berbanding Baht.

Backpackers yang mahu ke destinasi pelancongan terkenal di Thailand seperti Krabi, mereka yang mahu membeli belah di Golok, mereka yang ingin bernikah di Siam akan terasa dengan kenaikan kos untuk menukar Ringgit kepada Baht.

Sudah tentu juga mereka-mereka ini tidak akan kisah tentang kesan positif kejatuhan Ringgit kepada negara kerana kebanyakan daripada mereka in hanya mementingkan diri sendiri.

Asalkan rancangan pelancongan mereka tidak terganggu, kerajaan mesti pastikan Ringgit tidak jatuh berbanding Baht.

Yang banyak diluar sana panik dan risau tentang kedai-kedai di Thailand yang tidak lagi menerima Ringgit ni mungkin kerana mereka setiap hari membeli-belah di Thailand.

Ada pula yang kata Ringgit Malaysia sudah jatuh taraf kertas tisu tandas apabila melihat gambar-gambar Ringgit tidak diterima di kedai tersebar di dalam media sosial.

Setahu saya, kedai-kedai di Malaysia masih menerima Ringgit Malaysia sebagai tender sah untuk berurusniaga dan melakukan transaksi jual beli.

Kedai di Thailand tak nak terima Ringgit Malaysia apa saya peduli?

Belanja seharian saya seumur hidup saya hampir semuanya di Malaysia dan belum pernah saya jumpa kedai di Malaysia yang kata mereka tak mahu terima Ringgit Malaysia sebab Ringgit sudah tidak laku.

Jika saya hendak ke Thailand saya tukar wang Ringgit kepada Baht di dalam Malaysia dahulu sebelum saya ke Thailand. Apa masalahnya?

Hanya kerana Baht lebih kukuh berbanding Ringgit bukanlah bermakna ekonomi Thailand lebih baik berbanding Malaysia.

Jika anda ingin membaca tentang ekonomi Thailand, saya ada menulis tentang perkara tersebut beberapa bulan yang lepas menjawab post Facebook Aliff Syukri yang merungut kononnya ekonomi Malaysia semakin teruk berbanding Thailand di sini.

Banyak juga daripada kalangan rakyat Malaysia yang tidak sedar bahawa sejak 1998 iaitu selepas kerajaan Malaysia mengamalkan polisi kawalan modal (capital controls) Ringgit bukan lagi menjadi matawang antarabangsa (internationalized) di mana Ringgit tidak lagi dibenarkan didagang di luar negara (offshore trading).

Oleh sebab yang demikian Ringgit tidak lagi laku di peringkat antarabangsa bukan sahaja baru-baru ini tapi sejak 1998 kerana tender matawang Ringgit di luar dianggap tidak sah dan susah untuk ditukarkan di luar Malaysia.

Hanya bank-bank dan syarikat kewangan tertentu yang mempunyai fasiliti perdagangan atau currencies swap sahaja yang tiada masalah untuk menukar Ringgit kepada matawang asing di luar negara.

Contohnya antara Malaysia dan China iaitu Bank Negara dan People's Bank of China yang mempunyai perjanjian dua hala currency swap antara Ringgit dan Yuan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan antara dua negara.

Bagaimana pula untuk mereka yang tidak dapat menukar Ringgit Malaysia di luar negara?

Jika anda sudah biasa ke luar negara, anda sendiri patut tahu anda sepatutnya menukar Ringgit kepada matawang asing di dalam Malaysia sebelum anda berlepas ke luar negara.

Saya faham ada pihak-pihak tertentu mahu menyebarkan apa sahaja berita negatif tentang keadaan ekonomi Malaysia tanpa mengira kesahihan atau sebab-sebab perkara itu terjadi.

Penyebaran bahawa Ringgit sudah tidak laku di Thailand ini bertujuan menakut-nakutkan rakyat Malaysia supaya menganggap kejatuhan Ringgit adalah disebabkan kerajaan yang tidak pandai menguruskan ekonomi negara.

Selagi mana harga minyak global kekal rendah, Ringgit akan lemah berbanding Baht dan bila harga minyak global meningkat semula, Ringgit akan mengukuh semula berbanding Baht.

Perkara ini adalah kitaran ekonomi di mana pada 2008 semasa harga minyak jatuh mendadak, Ringgit juga jatuh berbanding Baht dan kemudiannya mengukuh semula selepas harga minyak meningkat:


 
Ringgit Jatuh Berbanding Baht Pada Tahun 2008


Saya tidak ingin menambah lagi tulisan saya yang sudah sedia panjang ini.

Kejatuhan Ringgit sepatutnya dilihat sebagai rahmat berbanding sumpah kepada negara kita.

Sudah tentulah ada yang akan terkesan dengan kejatuhan Ringgit tetapi setakat ini kejatuhan Ringgit memberi lebih banyak keuntungan kepada negara kita daripada kerugian.

Jika ada masa saya akan tulis kesan-kesan positif penyusutan Ringgit di dalam blog supaya lebih mudah untuk ramai membacanya.

Suka saya nak ulang, eloklah kita menyemak sebaran berita seperti ini sebelum menyebarkannya dan juga sebelum menambah-nambah komen seperti Ringgit dah tak laku, ekonomi dah jahanam dan sebagainya.

Jika anda merungut kerana percutian anda ke Thailand semakin mahal, tidak mungkinlah ekonomi negara ini dah nak jahanam seperti yang anda gambarkan.

Jika kejatuhan Ringgit ini betul-betul membebankan anda dari segi kos percutian, ubahsuai bajet anda dan bercuti di dalam negara buat sementara waktu.

Malaysia juga tidak kurang banyak tempat percutian yang menarik dan cantik seperti pulau-pulau,gunun-ganang, pantai-pantai, taman-taman negara yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Bezanya anda mungkin tidak boleh bermegah-megah dengan percutian dalam negara melalui Instagram sebab tak glemer di mata followers anda kan?


DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.