Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Sunday, November 27, 2016

FELDA Rugi Berjuta Akibat Perancangan Dan Pelaksanaan Lemah

Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 tahun 2015 mendapati Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan beberapa projek.

KUALA LUMPUR: : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kerugian jutaan ringgit disebabkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan projek pemerolehan perkhidmatan pengumpulan data LiDAR atau Light Detection and Ranging, projek jalur lebar serta tiga projek lain.

Laporan Ketua Audit Negara bagi siri 2 tahun 2015 menyatakan audit yang dijalankan antara Januari dan Jun tahun ini, mendapati perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengurusan projek oleh FELDA dan subsidiarinya tidak memuaskan serta tidak mencapai objektif yang ditetapkan.

Antaranya, 65 kontrak bagi pemerolehan perkhidmatan LiDAR bernilai RM148.42 juta ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah yang tidak mempunyai kuasa, katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, syarat semua kontrak yang ditandatangani oleh FELDA dengan Bumitouch Sdn Bhd dan Skyline Access Sdn Bhd bagi perkhidmatan LiDAR tidak lengkap kerana tidak memasukkan perkara penting yang menjamin kepentingan FELDA.

Laporan itu yang disiarkan astroawani menyatakan semakan audit mendapati pembayaran sepenuhnya berjumlah RM40.57 juta telah dibuat terhadap 53 daripada 64 kontrak dengan Bumitouch Sdn Bhd walaupun serahan LiDAR masih belum diterima sepenuhnya.

Menurutnya pengumpulan data LiDAR oleh Bumitouch mulai 2013 hingga 2015 telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, penggunaan teknologi LiDAR bagi tujuan penanaman semula tidak boleh dimulakan setelah serahan bagi tempoh Oktober 2013 hingga Mei 2015 bagi kawasan berkenaan tidak diterima sepenuhnya.

LiDAR merupakan teknologi remote sensing yang mampu mengukur jarak antara dua objek atau sifat sesuatu sasaran dengan cara memancarkan cahaya pada sasaran tertentu dengan menggunakan laser. LiDAR dapat memberi maklumat yang tepat dan cepat antaranya bagi aplikasi topografi dan peta 3 dimensi bentuk muka bumi.

Bagi pelaksanaan Projek Inisiatif Jalur Lebar pula, yang melibatkan kos RM566 juta, laporan itu menyebut ia hanya selesai di peringkat penyediaan pelan tindakan pada kos RM40 juta.

"Projek rintis dan pelancaran penuh telah ditangguhkan oleh Lembaga Pengarah FELDA pada 29 Jan, 2015," katanya.

Kajian kemungkinan dan daya maju juga tidak dilaksanakan oleh FELDA sebelum projek ternakan ikan Sturgeon, restoran Savaro dan projek pastri Schneeballen, bagi menentukan keperluan dan lokasi, keupayaan teknologi, yang menyebabkan agensi mengalami kerugian RM73.63 juta.

"Tiada kelulusan daripada menteri berkaitan dan menteri kewangan bagi penubuhan empat subsidiari dan syarikat-syarikat sub-subsidiari bagi pelaksanaan projek penternakan ikan Sturgeon, restoran Savaro dan pastri Schneeballen," katanya.

FELDA Caviartive Sdn Bhd membelanjakan RM47.62 juta, tetapi pulangan termasuk penternakan ikan sturgeon dan pemindahan teknologi masih belum dicapai, disebabkan oleh penggantungan projek.

"Global Settlers Sdn Bhd membelanjakan RM8.4 juta bagi pembukaan lima Restoran Savaro tetapi semuanya ditutup setelah operasi antara dua hingga tiga tahun," katanya.

Menurut laporan itu, projek pastri Schneeballen ditamatkan pada Oktober 2015 dan RM6.39 juta dibelanjakan bagi pembayaran kontrak dan mesin pastri.

Audit Negara mencadangkan agar FELDA merancang perolehan dan pengurusan projek secara menyeluruh untuk memastikan pelaksanaan yang betul dan mengelakkan pembaziran.

Agensi itu juga telah diminta supaya menjalankan kajian kemungkinan dan daya maju sebelum membuat apa-apa pelaburan dan melaksanakan projek.

FELDA juga diminta mengambil tindakan disiplin atau surcaj terhadap pegawai yang bertanggungjawab bagi apa-apa tindakan yang melanggar peraturan dan undang-undang.

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.