Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Monday, November 24, 2014

Hasil utama pendapatan kerajaan Pulau Pinang adalah penjualan tanah



Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa bergantung kepada penjualan tanah kepada pemaju untuk menjana pendapatannya dedah Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid.

Menurut beliau, bermula dari tahun 2011, kerajaan negeri telah dengan nyata menjual tanah kepada beberapa pemaju besar.

"Bermula dengan penjualan Bayan Mutiara kepada Tropicana Ivory SB berjumlah RM1.07 billion dengan tempoh bayaran selama 5 tahun akan memastikan kerajaan negeri memperoleh pendapatan untuk tahun-tahun berikutnya.

"Pada 12 Oktober 2013, kerajaan negeri menjual tanah seluas 39.54 ekar pada harga jualan RM65.34 juta kepada PE Land Sdn Bhd. untuk pembinaan "premium retail outlet", hotel mewah dan lain-lain.

"Pada 10 Januari 2014, Kerajaan Negeri menjual tanah seluas 245 ekar kepada Aspen Land Sdn Bhd dengan harga RM484 juta bagi pembinaan pusat membeli belah dan pembangunan bercampur. Aspen Land juga diberikan tempoh 60 bulan untuk menjelaskan harga pembelian tanah tersebut.

"Pada 25 Mac 2014, kerajaan negeri menjual tanah seluas 30 ekar kepada Paramount Corp Berhad dengan harga RM65.56 juta.

"Pada 15 September 2014 Eco World Development Group Berhad dilaporkan bersetuju menerima tawaran membeli tanah seluas 470 ekar di Batu Kawan pada harga RM1.02 billion untuk pembinaan padang golf dan pembangunan bercampur,"kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini dikritik hebat kerana projek pembangunan sehingga melenyapkan kampung-kampung tradisi di negeri tersebut.

Jahara yang juga ADUN Telok Ayer Tawar berkata, daripada Bajet 2015, Kerajaan Negeri menganggar akan memperoleh hasil sebanyak RM656,931,750.

Dari jumlah ini sebanyak RM441,978,850 adalah dari Hasil Bukan Cukai. Ia menyumbang 67.28% kepada jumlah keseluruhan Hasil kerajaan Negeri pada tahun hadapan, selebihnya dari Hasil Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

Manakala pendapatan dari Penjualan Barang-barang berjumlah RM308,496,500  menyumbang sebanyak 69.80% kepada Hasil Bukan Cukai bagi 2015.

"Dari jumlah itu, Premium Tanah menyumbang RM 307,000,000 atau 99.51%. Ini adalah hasil dari Pemberian Milik Bayaran Khas - RM235,000,000;  Pemberian Hak Milik - RM 50,000,000; dan Tukar Syarat - RM 22,000,000.

"Bagi 2015, Premium Tanah turut menyumbang 46.73% kepada keseluruhan Hasil yang akan diperoleh oleh kerajaan negeri pada 2015. Amat jelas hasil Premium Tanah merupakan penyumbang terbesar bagi hasil kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Penyata Kewangan 2013 menunjukkan Hasil Bukan Cukai sebanyak  RM511.71juta diperoleh kerajaan negeri. Perolehan daripada Jualan Barang-barang (termasuk Premium Tanah) menyumbang RM366.18juta (71.56%) kepada Hasil Bukan Cukai atau 43.92% kepada jumlah keseluruhan Hasil bagi tahun berkenaan,"ujarnya.

Jelasnya, daripada anggaran tersebut adalah menasabah untuk merumuskan bahawa kerajaan negeri banyak bergantung kepada pemberian Hak Milik Tanah dan/atau penjualan tanah milik negeri sebagai sumber kewangan negeri.

"Berdasarkan fakta-fakta tersebut kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng yang menyangkal bahawa Pulau Pinang di bawah pimpinan beliau bergantung besar kepada hasil jualan tanah adalah tidak masuk akal sama sekali," tambah Jahara.

10 November lalu Guan Eng menyangkal dakwaan pemimpin BN Pulau Pinang bahawa kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada hasil berkaitan tanah dan penjualan tanah.

Katanya kerajaan negeri hanya menjual 105 ekar tanah yang diperolehi RM1.1 bilion.

Bagaimanapun Ketua Audit Negara menyatakan bahawa “Premium Tanah – Pemberian Hak Milik” Pulau Pinang telah meningkat 10 kali ganda iaitu RM19 juta pada tahun 2008 kepada RM206 juta pada tahun 2012.

Malah, laporan Ketua Audit Negara 2012 Jadual 4.14 menjelaskan berlakunya peningkatan pendapatan kerajaan negeri antara tahun 2011 dan 2012 melalui Premium Tanah iaitu penjualan tanah di Bayan Mutiara melibatkan RM110 juta yang merupakan sebahagian daripadanya ialah pembayaran jualan tanah bernilai RM1.07 bilion yang dilakukan pada awal tahun 2012.

Yang menyimpulkan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat masa kini adalah bergantung secara langsung dengan aktiviti penjualan tanah secara drastik dan menyokong fakta bahawa stok tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang hanya tinggal 6% sahaja berbanding 18% pada tahun 2008.

Laporan Ketua Audit Negara turut menyatakan bahawa Perbelanjaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat hampir dua kali ganda daripada RM283 juta pada tahun 2008 kepada RM540 juta pada tahun 2012.

Hasil tahunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meningkat daripada RM371 juta pada tahun 2008 kepada RM654 juta pada tahun 2012.

Sedangkan hakikatnya, hasil cukai hanya meningkat sedikit sahaja daripada RM110 juta pada tahun 2008 kepada RM116 juta pada tahun 2012. 




No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.