Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, September 23, 2017

Harga Minyak Dunia Turun Harga Minyak Malaysia Naik


Oleh Syahir

Selepas harga RON95 meningkat sejumlah 4 sen daripada RM2.16 kepada RM2.20 liter bermula tengah malam semalam saya ada terbaca status dan tweet di Facebook dan Twitter seperti di bawah.


 


Di pasaran minyak antarabangsa, harga minyak mentah Brent "merosot" 19 cent kepada AS$53.19 setong, tapi di Malaysia?

Status seperti ini menunjukkan betapa rendahnya pemahaman rakyat Malaysia tentang kaedah pengiraan harga minyak runcit di sini.

Mereka membaca berita tentang harga minyak antarabangsa yang jatuh sedikit untuk satu hari kemudian membuat kesimpulan harga minyak minggu ini perlu turun.

 
Berita Harian - 6 September 2017


Sudah 5 bulan harga runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan. Sepatutnya semua sudah tahu bagaimana harga runcit ini ditetapkan setiap minggu. Saya pernah tulis bagaimana harga minyak Malaysia ditetapkan di bawah AutomaticPricing Mechanism semasa harga ditetapkan secara bulanan.

Mungkin sudah tiba masanya saya terangkan bagaimana harga minyak ditetapkan secara mingguan walaupun formulanya tetap sama, untuk mengelakkan kekeliruan saya tunjuk cara pengiraannya.

Harga runcit petrol dan diesel di Malaysia ditetapkan melalui ditetapkan secara apungan terkawal mingguan sejak 30 Mac 2017.




Harga runcit petrol ditetapkan berdasarkan komponen-komponen iaitu:

1. Produk Petroleum

Untuk RON95, MOPS95 digunakan sebagai penanda aras harga produk minyak yang telah diproses. Ianya berbeza dengan harga minyak mentah yang belum diproses. Produk petroleum seperti MOPS95 adalah lebih mahal daripada harga minyak mentah seperti minyak mentah Brent.

Data harga MOPS95 adalah data yang hanya tersedia untuk mereka yang melanggan data tersebut, bermakna orang awam tiada akses kepada data tersebut. Walaubagaimanapun laman web seperti Australian Institute of Petroleum ada menunjukkan secara kasar pergerakan harga MOPS95. Dengan itu anggaran sama ada harga MOPS95 naik atau turun boleh dibuat dengan melihat carta yang disediakan:


 


2. Tukaran Matawang


Harga MOPS95 adalah dalam US Dollar. Untuk mendapatkan harga runcit dalam Ringgit, ianya perlu ditukarkan kepada Ringgit. Saya gunakan tukaran USD/MYR yang diambil di laman web Bank Negara Malaysia setiap hari pukul 5 petang.


3. Kos dan Margin


Kerajaan menetapkan kos tetap seperti kos operasi yang terdiri daripada kos pengangkutan (hantar minyak ke stesen) dan kos pemasaran sejumlah 9.54 sen seliter. Kerajaan juga menetapkan margin kepada stesen minyak sejumlah 5 sen seliter dan kepada pengusaha stesen minyak sejumlah 12.19 sen seliter. Terdapat juga kos Alpha sejumlah 5 sen iaitu kos perbezaan di antara harga sebenar produk petroleum dan harga MOPS95 yang diterbitkan.

Jumlah kos tetap = Alpha (5 sen) + Kos Operasi (9.54 sen) + Margin Keuntungan Syarikat Minyak (5 sen) + Margin Keuntungan Pengusaha Stesen Minyak (12.19 sen) = 31.73 sen setiap liter = 32 sen (selepas dibundarkan).


Contoh Pengiraan Harga Runcit

Saya ambil contoh harga semalam 6 September 2017. Harga MOPS95 adalah AS$71.070, tukaran USD/MYR = 4.2415.

Pertama untuk menukar harga setong kepada seliter, 71.070 perlu dibahagi dengan 158.99 (1 tong minyak = 158.99 liter minyak).

1 liter MOPS95 = 71.070/158.99 = AS$0.447

Kemudian untuk menentukan 1 liter MOPS95 dalam Ringgit perlulah didarabkan dengan tukaran matawang semalam 4.2415

1 liter MOPS95 (dalam RM) = AS$0.447 x 4.2415 = RM1.90

Untuk mendapatkan harga runcit RON95, kita tambah dengan kos tetap yang saya sebut di atas berjumlah 32 sen.

Harga Runcit RON95 pada 7 September 2017 = RM1.90 + RM0.32 = RM2.22 seliter.

RM2.22 adalah harga untuk semalam atau sehari sahaja. Di dalam penetapan harga minyak secara mingguan harga RON95 perlu dikira untuk tempoh 5 hari daripada hari Khamis sehingga hari Rabu minggu depannya (hari bekerja sahaja) kemudian dikira secara purata untuk 5 hari tersebut.

Dibawah adalah pengiraan harga minyak 2 minggu lepas dan minggu lepas:


 


Minggu sebelum Merdeka iaitu 24 Ogos sehingga 30 Ogos, purata harga RON95 adalah RM2.16 berbanding harga yang ditetapkan pada minggu sebelumnya iaitu RM2.15. Maka harga RON95 pun dinaikkan 1 sen. Minggu lepas (31 Ogos - 6 September) purata harga RON95 adalah RM2.22 dan harga yang ditetapkan adalah RM2.20.

Sebagai rumusan, harga runcit petrol ditetapkan dengan harga purata 5 hari sebelumnya bukan ditetapkan mengikut pergerakan harga minyak harian atau satu hari sahaja. Katakan harga minyak pada hari Rabu turun, belum tentu purata harga 5 hari lebih rendah daripada minggu sebelumnya. Kata kuncinya, harga purata.


 


Dan sememangnya harga runcit petrol di Malaysia mengikut trend pergerakan harga minyak antarabangsa seperti carta di atas.

Berbalik kepada isu harga minyak antarabangsa turun, harga minyak Malaysia naik. Sekali lagi kita kena ambil harga purata minggu sebelumnya (5 hari sebelumnya). Yang dilaporkan Berita Harian sebagai merosot adalah harga satu hari bukannya harga purata 5 hari.

Benar harga minyak mentah Brent "merosot" 19 sen kepada AS$53.19 setong tetapi banyak yang tak sedar harga minyak mentah Brent pada awal minggu adalah sekitar AS$52.38 bermakna hari sebelum Brent merosot 19 sen, ianya meningkat hampir 1 dollar.


 
Harga Minyak Mentah Brent

Kalau harga minyak mentah turun 1 sen pun, berita akan melaporkan ia sebagai "merosot" tanpa mengambil kira harga yang meningkat lebih banyak pada hari hari sebelumnya. Ambil contoh di atas, harga Brent "merosot" 0.78% pada 4 September, tetapi hari-hari sebelumnya iaitu 31 Ogos dan 1 September ianya telah pun meningkat 2.99% dan 0.71%.

Janganlah berita melaporkan harga minyak mentah turun sehari, kita terus anggap harga runcit petrol yang ditetapkan secara mingguan kena turun. Mesti ambil kira harga purata minggu tersebut. Ini perkara asas.

Saya harap sedikit sebanyak boleh fahamkan kekeliruan harga minyak dunia turun, harga minyak Malaysia naik. Kepada yang malas membaca tulisan panjang, boleh tonton video dibawah tentang cara pengiraan harga runcit minyak di Malaysia mengikut mekanisme APM
  
Kita kena banyak membaca supaya tidak mudah tertipu, terpedaya dan terikut-ikut dengan apa yang orang lain cakap. Tidak salah jadi skeptik sebelum hadam berita atau post yang kita baca. Biar otak lebih laju daripada jari jangan jari lebih laju daripada otak.

Selamat membaca. 

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.