Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Tuesday, August 19, 2014

Kesungguhan, sikap profesional Malaysia urus jenazah dipuji Belanda

Duta Besar Malaysia di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad memaklumkan urusan membawa pulang jenazah warga Malaysia berjalan lancar. – Gambar wikipedia.org, 18 Ogos, 2014.
Duta Besar Malaysia di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad memaklumkan urusan membawa pulang jenazah warga ×Malaysiaberjalan lancar. – Gambar wikipedia.org, 18 Ogos, 2014.


Pihak berkuasa Belanda memuji kesungguhan dan sikap profesional anggota dan pegawai Malaysia yang terlibat sepanjang proses pengurusan jenazah rakyat Malaysia mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.


Duta Besar Malaysia di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib berkata penghargaan itu dizahirkan hasil kerjasama kedua-dua negara dalam mempercepat dan melicinkan setiap proses pengurusan tersebut.
"Mereka puji dan kagum semangat serta kecekapan kerja berpasukan kita, contohnya anggota dan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysa dalam menguruskan jenazah dengan teliti termasuk dalam memandikan jenazah.
"Tidak semua (orang) mampu buat tugas itu dengan betul kecuali yang benar-benar pakar dan ada kemahiran tinggi," katanya kepada wartawan Malaysia pada Isnin.
Dr Fauziah menarik perhatian bahawa kepakaran anggota dan pegawai terbabit selain kerjasama berterusan pihak berkuasa Belanda membantu mempercepat proses menguruskan jenazah.

Jelasnya, urusan membawa pulang jenazah warga Malaysia berjalan lancar dan pihaknya masih menunggu perkembangan terbaharu dalam tempoh berbaki tiga hari lagi sebelum jenazah dibawa pulang ke tanah air.

Menurut Dr Fauziah, tiada sebarang upacara rasmi bagi penyerahan jenazah kepada kerajaan Malaysia dijadualkan pada Khamis ini.

Katanya, apa yang akan berlaku nanti hanyalah proses biasa mengeluarkan jenazah dari rumah mayat untuk diserahkan kepada kerajaan Malaysia selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Belanda, sebelum dibawa ke lapangan terbang untuk dihantar pulang ke tanah air.

Dalam pada itu, Dr Fauziah berkata pihaknya sentiasa diberikan maklumat terkini hampir dua hingga tiga kali setiap hari berhubung jenazah rakyat Malaysia.
"Boleh dikatakan hampir 60% jenazah rakyat negara kita sudah ditemui. Sejak tragedi itu, kita sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu menerusi panggilan telefon pada kadar segera.

"Ada kalanya kita tidak tidur menunggu perkembangan setiap hari. Selepas mendapat hitam putih, kita terus memaklumkan kepada anggota keluarga mangsa di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Dr Fauziah berkata beliau akan pulang ke Malaysia dan akan turut serta menyambut jenazah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Sebanyak 22 jenazah termasuk seorang bukan warga Malaysia akan dihantar pulang merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat dengan pesawat khas dari Amsterdam yang dijangka tiba di KLIA pada 10 pagi, Jumaat ini.
Tarikh itu juga diumum sebagai hari berkabung negara dan satu istiadat penghormatan untuk jenazah mangsa tragedi itu akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada hari berkenaan.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai. – Bernama, 18 Ogos, 2014 




No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.