Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, March 5, 2016

PERLEMBAGAAN DAN SISTEM PEMERINTAHAN NEGARA MALAYSIA



PERLEMBAGAAN

Perlembagaan Malaysia juga dikenali dengan nama Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang dibentuk berasaskan kepada dua dokumen sebelumnya iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957. Perlembagaan Malaysia telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuat kuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Konsep ketinggian Perlembagaan adalah seperti berikut :-
• Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi;
• Menjadi punca kepada semua undang-undang;
• Tidak ada sebarang institusi di Malaysia yang boleh mengatasi kuasa dan kedudukan Perlembagaan;
• Semua undang-undang tidak boleh berlawanan dengan Perlembagaan;
• Mahkamah mempunyai kuasa membatalkan sesuatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen jika bertentangan dengan Perlembagaan; dan
• Walaupun Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara tetapi Baginda juga tertakluk kepada Perlembagaan.

Perlembagaan dibentuk dengan tujuan berikut iaitu:-
• Mewujudkan satu bentuk pemerintahan yang adil;
• Mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah;
• Mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat;
• Alat untuk menyelesaikan masalah;
• Menjamin riwayat negara bangsa; dan
• Menjamin keamanan dan kestabilan negara.

Perlembagaan Malaysia mengandungi 131 Perkara yang menyentuh pelbagai aspek pemerintahan. Perlembagaan juga mengandungi 16 Bahagian. Bahagian-bahagian tersebut ialah :-

Bahagian 1 : Negeri-Negeri, Agama Dan Undang-Undang Bagi Persekutuan
Negara kita adalah sebuah persekutuan yang dianggotai tiga belas negeri dan tiga Wilayah Persekutuan. Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni. Perlembagaan adalah undang-undang utama persekutuan. Mana-mana undang-undang yang tidak mengikut Perlembagaan adalah tidak sah.

Bahagian II : Kebebasan Asasi
Bahagian ini menyatakan kebebasan-kebebasan asasi yang kita miliki; hak untuk hidup dan kebebasan; kebebasan daripada perhambaan dan menjadi buruh paksaan; kesamarataan di sisi undang-undang; kebebasan bergerak; kebebasan bercakap, berhimpun dan bersekutu; kebebasan agama; hak untuk berpendidikan; dan hak untuk memiliki harta.

Bahagian III : Kewarganegaraan

Seseorang itu menjadi warganegara Malaysia dengan cara; dilahirkan di sini; berkahwin dengan seorang lelaki warganegara Malaysia atau mempunyai seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia; tinggal secara sah di dalam negara ini untuk suatu masa yang ditetapkan. Bahagian III juga menyatakan bagaimana kita boleh menamatkan dan dilucutkan kewarganegaraan.

Bahagian IV : Persekutuan
Bahagian ini mewujudkan sistem kerajaan kita. Ketua utama persekutuan adalah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja untuk lima tahun. Majlis Raja-Raja dianggotai oleh kesemua Raja-Raja negeri-negeri dan juga Yang Di-Pertua bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja. Bahagian IV juga mewujudkan Kabinet dan pejabat Perdana Menteri. Bahagian ini juga mewujudkan Parlimen yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bahagian V : Negeri-Negeri
Setiap negeri mempunyai perlembagaannya sendiri dan badan perundangan yang dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri. Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu. Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri mempunyai hak dan keistimewaan mereka.

Bahagian VI : Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri
Bahagian ini menyatakan pembahagian kuasa di antara persekutuan dan negeri-negeri. Terdapat perkara yang membolehkan Parlimen menggubal undang-undang dan terdapat pula perkara yang membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang. Terdapat juga perkara tertentu di mana kedua-duanya boleh menggubal undang-undang.

Bahagian VII : Peruntukan Kewangan
Bahagian VII menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh mengenakan cukai atau membelanjakan wang kecuali melalui kuasa undang-undang.

Bahagian VIII : Pilihan Raya

Bahagian VIII menyatakan hak-hak kita sebagai warganegara untuk mengundi pemimpin-pemimpin kita. Badan yang ditugaskan untuk menjalankan kesemua pilihan raya dan menyediakan daftar pemilih dikenali sebagai “Suruhanjaya Pilihanraya”. Suruhanjaya Pilihanraya ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bahagian IX : Badan Kehakiman
Bahagian IX mewujudkan sistem kehakiman di Malaysia dan menyatakan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh ditentukan oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia. Bahagian IX juga menyatakan bagaimana hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dilantik.

Bahagian X : Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam

Bahagian ini mengenal pasti perkhidmatan awam di Malaysia, termasuklah pasukan polis, angkatan tentera dan perkhidmatan pelajaran. Ia juga merangkumi anggota perkhidmatan awam seperti yang berkhidmat untuk kementerian serta kerajaan-kerajaan persekutuan dan negeri-negeri. Pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan khidmat anggota perkhidmatan awam ditentukan oleh “Suruhanjaya–suruhanjaya” dan anggota Suruhanjaya-suruhanjaya ini secara umumnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bahagian X juga mewujudkan Pejabat Peguam Negara.

Bahagian XI: Kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversif, Keganasan Terancang Dan Perbuatan Dan Jenayah Yang Memudaratkan Orang Awam Dan Kuasa Darurat.
Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang boleh membelakangi hak-hak lain dalam Perlembagaan semasa darurat atau atas sebab-sebab keselamatan awam.

Bahagian XIII : Am Dan Pelbagai
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak dan memelihara kepentingan sah komuniti-komuniti lain. Bahagian ini juga menyatakan bagaimana pindaan boleh dilakukan ke atas Perlembagaan.

Bahagian XIIA: Perlindungan Tambahan Bagi Negeri Sabah Dan Sarawak.
Terdapat peruntukan khas untuk Sabah dan Sarawak, contohnya perizaban tanah peribumi bagi masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak.


Bahagian XIII: Peruntukan Sementara Dan Peralihan

Bahagian ini menerangkan bagaimana undang-undang yang digubal sebelum merdeka masih berkuat kuasa sehinggalah Parlimen menggubal undang-undang baru untuk menggantikan mereka.

Bahagian XIV: Kecualian Bagi Kedaulatan, dsb., & Raja-Raja
Kedaulatan, kuasa, perogratif dan bidang kuasa Raja-Raja dipelihara dalam Bahagian XIV.

Bahagian XV: Prosiding Terhadap Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja.
Di bawah Bahagian XV, prosiding oleh atau terhadap Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja harus dibawa di hadapan “Mahkamah Khas ”.

SISTEM PEMERINTAHAN NEGERA MALAYSIA

Dalam sistem pemerintahan Malaysia, terdapat tiga buah badan utama iaitu :-
• Badan Perundangan (Legislative). Badan ini hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada mana-mana pihak dan tidak boleh mempunyai kuasa lain;
• Badan Pemerintah (Executive). Badan ini hanya menjalankan kuasa eksekutif dan tidak boleh membuat undang-undang dan penghakiman; dan
• Badan Kehakiman (Judicial). Badan ini hanya menjalankan penghakiman dan tidak boleh membuat undang-undang atau menjalankan kuasa eksekutif.

Ketiga-tiga badan ini mempunyai kuasa, bidang tugas dan peranan masing-masing. Namun begitu, Badan Perundangan dan Badan Pemerintah saling berkait antara satu sama lain kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan di mana ahli-ahli Badan Perundangan adalah juga Badan Pemerintah. Contohnya Jemaah menteri adalah bertanggungjawab kepada Badan Perundangan (Parlimen Malaysia). Badan kehakiman sahaja merupakan sebuah badan berasingan dan bebas dari politik, bagi menjamin keadilan di negara ini.

Badan Perundangan (Legislative)
Badan Perundangan (Parlimen Malaysia) memiliki kuasa menggubal undang-undang persekutuan dan juga negeri-negeri di dalamnya. Parlimen terdiri daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dua Dewan, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Parlimen adalah badan kuasa perundangan untuk persekutuan yang membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh persekutuan. Parlimen juga mengawal kewangan kerajaan. Cukai-cukai dan kadar-kadar persekutuan boleh dinaikkan hanya dengan kuat kuasa Parlimen seperti yang dinyatakan dalam undang-undang persekutuan. Semua hasil yang diperoleh hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Persekutuan Yang Disatukan dan semua wang hanya dapat dibelanjakan dengan kuat kuasa Parlimen. Parti yang memenangi kerusi majoriti di dalam pilihan raya umum dan dapat menguasai penyokong majoriti di Dewan Rakyat akan membentuk kerajaan. Pemimpin parti majoriti yang mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara yang mengambil keutamaan mengatasi semua orang dalam persekutuan dan tidak boleh dikenakan dakwaan dalam apa-apa juga perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut peraturan yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. Yang di-Pertuan Agong akan memegang jawatannya selama lima tahun kecuali baginda meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatannya oleh Raja-Raja Melayu.

Sebagai ketua utama negara, baginda mempunyai kuasa eksekutif. Baginda berkuasa memanggil, membatalkan dan membubarkan Parlimen. Dalam melaksanakan kuasanya, baginda mendapat nasihat daripada Jemaah Menteri. Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan tiga perkara mengikut budi bicaranya sendiri iaitu melantik Perdana Menteri, tidak mempersetujui pembubaran Parlimen dan meminta supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja. Baginda juga mempunyai kuasa pengampunan semua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan dan juga kesalahan-kesalahan tertentu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Baginda merupakan Ketua Agama bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak. Selain daripada memegang tampuk tertinggi dalam Angkatan Tentera Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong juga berperanan menentukan rizab orang Melayu dan bumiputera, jawatan perkhidmatan, biasiswa, bantuan keistimewaan pendidikan atau latihan, kadar permit atau lesen dan juga mengisytiharkan darurat.

Dewan Negara
Dewan Negara adalah Majlis Tertinggi atau Senat yang berperanan membahaskan sesuatu rang undang-undang dengan lebih halus dan terperinci. Ia juga bertanggungjawab membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Mengikut Perkara 68, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan. Walau bagaimanapun, Dewan Negara boleh menangguhkan sesuatu rang undang-undang itu.

Dewan Negara mempunyai 70 orang ahli yang mana 44 orang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada warganegara yang pada pendapat baginda “telah berbakti dengan cemerlangnya atau telah mencapai taraf gemilang dalam perkhidmatan awam, perdagangan, perusahaan, pertanian, kegiatan kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil-wakil kaum yang terkecil bilangannya atau yang boleh mewakili kepentingan Orang Asli”. Wilayah Persekutuan dianggotai oleh empat orang ahli iaitu dua orang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Labuan dan seorang ahli mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya juga dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 26 orang lagi dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dari 13 buah negeri di Malaysia, iaitu tiap-tiap sebuah negeri mengemukakan dua orang Senator.

Seorang Yang di-Pertua Dewan dan Timbalannya dipilih terlebih dahulu bagi mengendalikan Persidangan Dewan dari kalangan ahli-ahli sendiri. Keanggotaan Dewan ini dihadkan kepada warganegara yang telah berumur 30 tahun ke atas. Tempoh jawatan seseorang Ahli Dewan Negara ialah 3 tahun dan Ahli Dewan Negara boleh dilantik untuk kali kedua dan memegang jawatan Senator bagi tempoh 3 tahun lagi. Hanya dua penggal sahaja dibenarkan bagi setiap Senator memegang jawatannya. Tempoh Dewan Negara ini tidaklah terjejas dengan pembubaran Parlimen. Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mengubah kedudukan ahli Dewan Negara, seperti menambah bilangan ahli-ahli dewan yang dipilih oleh Dewan Negeri menjadi tiga orang, memperuntukkan supaya ahli-ahli Dewan Negara itu dipilih oleh pengundi-pengundi, atau mengurangkan jumlah ahli-ahli Dewan Negara yang dilantik.

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat merupakan majlis khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat serta mendapatkan pembelaan menerusi wakil-wakil mereka. Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah dipilih secara langsung oleh rakyat keseluruhannya dalam pilihan raya umum. Yang di-Pertua dan Timbalannya dipilih oleh Dewan Rakyat. Namun demikian, terdapat pula satu syarat dalam perlembagaan yang membolehkan Yang di-Pertua dipilih dari luar Dewan Rakyat. Orang yang dipilih seperti ini dianggap sebagai ahli tambahan Dewan dan satu tambahan kepada ahli yang dipilih. Keanggotaan Dewan Rakyat dihadkan kepada warganegara yang berumur 21 tahun ke atas dan ia tidak boleh menjadi ahli Dewan Negara. Tempoh Dewan ini ialah lima tahun. Walau bagaimanapun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa, menurut kebijaksanaannya, untuk membubarkan Parlimen sebelum tempoh tersebut iaitu setelah memperoleh nasihat dari Perdana Menteri.

Ahli Dewan Rakyat pada masa ini ialah 222 orang yang mewakili semua kawasan Pilihan Raya di seluruh Malaysia. Pecahan kerusi Dewan Rakyat adalah sebanyak 153 kerusi untuk Negeri-negeri Semenanjung, 25 kerusi untuk Sabah dan 31 kerusi untuk Sarawak, Sementara Wilayah Persekutuan pula memperoleh sebanyak 13 kerusi iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kerusi), Wilayah Persekutuan Labuan (1 kerusi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 kerusi).

Badan Pemerintah / Kuasa Eksekutif

Badan pemerintah atau eksekutif merupakan badan yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa-kuasa eksekutif mengikut Perlembagaan dan undang-undang. Mengikut Perkara 39, Perlembagaan Persekutuan, kuasa memerintah Persekutuan Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, kuasa ini boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri. Tetapi Parlimen boleh dengan undang-undang memberi tugas-tugas pemerintah kepada orang lain.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Ketua Utama Negara. Apabila berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong disebabkan tidak berupaya menjalankan tugas kerana sakit, tidak berada dalam Persekutuan Malaysia lebih daripada 15 hari atau kerana sebab-sebab lain maka Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja
Majlis Raja-Raja mengandungi semua Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong. Tugas majlis ini seperti yang tercatat dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan ialah:-

• Memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh persekutuan;
• Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa pelantikan yang menurut Perlembagaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Jemaah Menteri
Jemaah Menteri merupakan badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik barisan Jemaah Menteri untuk menasihatkannya dalam hal ehwal menjalankan tugas-tugasnya. Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti berikut:
a) Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik seorang daripada ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya mendapat kepercayaan sebilangan besar daripada ahli-ahli Dewan itu sebagai Perdana Menteri untuk mengetahui Jemaah Menteri; dan
b) Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain di antara ahli-ahli mana-mana Majlis Parlimen.

Badan Kehakiman / Judicial
Badan Kehakiman merupakan badan ketiga dalam sistem kerajaan Malaysia. Kuasa kehakiman ini terletak pada Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Kuasa Kehakiman juga terletak pada Mahkamah Agung yang mempunyai kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam Perkara 126, 128 dan 130 Perlembagaan Persekutuan.


Fungsi Badan Kehakiman

Fungsi Badan Kehakiman bergantung pada taraf mahkamah-mahkamah seperti Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah. Mahkamah Tinggi terdiri daripada dua buah, iaitu Mahkamah Tinggi Malaya – sebuah bagi Semenanjung Malaysia dan sebuah lagi bagi Sabah dan Sarawak (yang dahulunya dinamakan Borneo). Mahkamah Rendah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak terdiri daripada Mahkamah Seksyen, Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu di (Semenanjung) manakala, Mahkamah Adat/Negeri di (Sabah dan Sarawak). Di samping itu, terdapat juga Mahkamah Juvana bagi membicarakan kanak-kanak dan mereka yang di bawah umur 18 tahun. Fungsi-fungsi ini dijalankan mengikut kuasa-kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada mahkamah-mahkamah tersebut.

Pelantikan Hakim

Ketua Hakim Negara, Kedua-dua Hakim Besar Malaya dan Sabah dan Sarawak serta Hakim-hakim Besar Mahkamah Persekutuan dan Hakim-hakim lain Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bilangan hakim di negara ini ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan meskipun keanggotaan mereka boleh diubah atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Komponen-komponen utama dalam jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah seperti berikut :
A) Badan-badan kerajaan
Badan-badan kerajaan ini terdiri daripada :
i) Badan-badan yang ditubuhkan di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri. Komponen-komponen yang terdapat di bawahnya ialah Majlis-Majlis, Suruhanjaya-Suruhanjaya dan Jabatan Audit.
ii) Badan-badan yang ditubuhkan di bawah kuasa kerajaan dan pihak pentadbir. Komponen-komponen yang terdapat di bawahnya ialah Kementerian-kementerian, Jabatan-jabatan, Perbadanan Awam, Majlis-Majlis dan Jawatankuasa-Jawatankuasa Kabinet.

B) Ahli-ahli politik yang memegang jawatan awam dan perjawatan dalam sektor awam.

Kabinet
Kabinet adalah sebuah badan yang melaksanakan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang di-Pertuan Agong. Dasar atau polisi Kabinet adalah tugas yang dilaksanakan oleh jentera pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan atau kerajaan pusat. Kabinet diketuai oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh Menteri-menteri yang memegang portfolio-portfolio tertentu.

Majlis-Majlis
Terdapat dua bentuk Majlis dalam sistem Kerajaan persekutuan iaitu Majlis Perundangan dan Majlis yang ditubuhkan oleh Kerajaan yang bertujuan untuk menyelaras urusan pentadbiran negara. Majlis Perundangan terdiri daripada Majlis Tanah Negara, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan, Majlis Kewangan Negara dan Majlis Angkatan Tentera. Majlis yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi melicinkan perjalanan jentera pentadbiran ialah Majlis Tindakan Negara, Majlis Ekonomi Negara, dan Majlis Keselamatan Negara.

Kementerian
Kementerian merupakan sebuah badan kerajaan yang tertinggi di dalam sistem jentera pentadbiran kerajaan persekutuan. Kementerian bertanggungjawab bagi membentuk dasar, merancang, mengawal dan menyelaras perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang tugas sesebuah kementerian. Sesebuah kementerian itu dipertanggungjawabkan kepada seorang Menteri yang memegang sesuatu portfolio, dan beliau dibantu oleh Timbalan Menteri.

Setiap kementerian berfungsi membentuk dasar, merancang, mengawal dan menyelaraskan pelaksanaan perkara-perkara berkaitan kementerian tersebut. Kementerian juga berfungsi mengawal jabatan-jabatan atau badan-badan berkanun di bawah tanggungjawab kementerian tersebut. Pegawai Tadbir Utama sesebuah kementerian ialah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU). Tugas dan tanggungjawab KSU menyentuh perkara-perkara pembentukan dasar, merancang aktiviti, mengawal pelaksanaan aktiviti, menyelaras aktiviti kementerian dan menyelaras kegiatan jabatan atau badan-badanb di bawah kementerian berkenaan. KSU juga berperanan sebagai penasihat kepada Menteri mengenai pentadbiran dan bertanggungjawab penuh kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang merupakan Ketua Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pada 3 April 2009, Dato’ Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Selaras dengan peralihan kuasa tersebut, pada 9 April 2009, barisan Kabinet yang baru dibentuk. Beberapa rombakan dalam portfolio dibuat dengan tujuan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan Malaysia. Kabinet 2009 menyaksikan 25 kementerian diberi tanggungjawab melaksanakan misi negara yang bertemakan 1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 25 kementerian yang dibentuk itu ialah :-

1. Jabatan Perdana Menteri
2. Kementerian Kewangan
3. Kementerian Pelajaran
4. Kementerian Pengangkutan
5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
6. Kementerian Dalam Negeri
7. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
8. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air
9. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
10. Kementerian Pengajian Tinggi
11. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
12. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
13. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
14. Kementerian Pelancongan
15. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
16. Kementerian Pertahanan
17. Kementerian Kerja Raya
18. Kementerian Kesihatan
19. Kementerian Belia dan Sukan
20. Kementerian Sumber Manusia
21. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
22. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
23. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
24. Kementerian Luar Negeri
25. Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar

Suruhanjaya-Suruhanjaya
Perlembagaan Persekutuan membenarkan dua jenis suruhanjaya tetap iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan. Kerajaan juga memberi kebenaran untuk menubuhkan Suruhanjaya Khas yang bersifat sementara bagi mengkaji perkara-perkara atau masalah tertentu. Dalam struktur pentadbiran kerajaan, suruhanjaya berbeza dari komponen yang lain dari segi kebebasan untuk menjalankan tugas. Pelantikan ahli-ahlinya adalah pelantikan khas yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas pertimbangan dan nasihat Perdana Menteri dan juga setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Bagi Suruhanjaya Tetap, tempoh lantikan adalah lima tahun atau mengikut budi bicara Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat persekutuan, terdapat empat buah suruhanjaya yang ditubuhkan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Dan Undang-Undang.

Jabatan
Jabatan kerajaan adalah agensi peringkat perlaksanaan yang kedua tertinggi selepas kementerian. Pembentukannya telah wujud ketika zaman penjajahan British. Semasa British memerintah negeri-negeri di Tanah Melayu, jabatan-jabatan kerajaan ditubuhkan bertujuan melaksanakan aktiviti-aktiviti bawah sesebuah kementerian. Fungsi jabatan adalah berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Aktiviti harian jabatan kerajaan melibatkan pemberian khidmat kepada masyarakat secara langsung dalam pelbagai bidang. Setiap jabatan kerajaan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ibu pejabat, jabatan berfungsi menggubal dasar-dasar, merancang, mengawas dan menyelaras aktiviti-aktiviti jabatan di peringkat negeri dan daerah juga bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan kemajuan kerjaya pegawai dan kakitangan jabatan masing-masing.

Sesebuah jabatan kerajaan diketuai oleh seorang pegawai tadbir utama iaitu Ketua Pengarah Jabatan dan nama jawatan ini disesuaikan mengikut nama jabatan-jabatan yang berkenaan. Berdasarkan kepada fungsi jabatan sebagai agen pelaksana dasar kerajaan, pegawai dan kakitangan kerajaan terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan dan kriteria tertentu. Di peringkat pengurusan jawatan-jawatan diisi oleh pegawai dari perkhidmatan kumpulan iktisad, manakala jawatan-jawatan lain diisi oleh mereka yang mempunyai pengkhususan tersendiri.

Perbadanan Awam
Selain dari jabatan, kerajaan juga menubuhkan perbadanan-perbadanan awam. Perbadanan-perbadanan ini ditubuhkan dengan tujuan mengambil alih beberapa bidang tugas dan tanggungjawab yang pernah dilaksanakan oleh jabatan-jabatan kerajaan. Penubuhan perbadanan ini memberi kesan yang baik dengan mencantumkan faedah-faedah yang terdapat daripada kerajaan dengan faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada syarikat swasta. Setiap perbadanan awam mempunyai pegawai-pegawainya sendiri. Pegawai Tadbir Utama dalam perbadanan awam dipanggil “Pengurus Besar”. Pengurus Besar bertanggungjawab mengurus dan mentadbirkan perbadanan awam mengikut objektif-objektif korporatnya. Untuk melicinkan sistem pentadbiran, sesebuah perbadanan mempunyai bahagian-bahagian tertentu berdasarkan kepada bidang tugas masing-masing. Setiap perbadanan mempunyai Lembaga Pengarah masing-masing. Bagi badan-badan berkanun, Ahli Lembaga Pengarah dilantik oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap badan tersebut. Perbadanan awam terbahagi kepada dua iaitu badan-badan berkanun dan badan-badan bukan berkanun.

• Badan Berkanun
Badan-badan berkanun merupakan agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan oleh kerajaan mengikut akta-akta tertentu seperti Akta Parlimen atau Enakmen Negeri bagi tujuan melaksanakan tugas-tugas khusus sejajar dengan objektif dan matlamat negara.

• Badan-Badan Bukan Berkanun
Badan-badan bukan berkanun adalah badan-badan yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Badan-badan bukan berkanun mempunyai kebebasan yang lebih luas sebab badan ini tidak tertakluk kepada langkah-langkah pengawalan kerajaan seperti yang dikenakan ke atas badan-badan berkanun. Tambahan lagi badan-badan bukan berkanun bebas mengadakan skim perjawatan masing-masing. Walau bagaimanapun, suatu aktiviti perbadanan hendaklah selaras dengan peruntukan undang-undang atau akta-akta penubuhannya.

PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI
Setiap negeri dalam Malaysia mempunyai jentera pentadbiran sendiri. Sistem dan struktur pentadbiran adalah sama di seluruh Semenanjung kecuali Sabah dan Sarawak. Di bawah kuasa kerajaan negeri, terdapat kerajaan tempatan atau daerah.

Raja/Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri
Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah institusi penting dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Raja-raja yang memerintah Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu dikenali sebagai Sultan manakala Perlis dikenali sebagai Raja dan di Negeri Sembilan sebagai Yang Di-Pertuan Besar. Seseorang raja diwarisi secara turun-temurun dan ditentukan oleh adat yang berbeza bagi setiap negeri. Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak diperintah oleh Yang Di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Seseorang Raja menjalankan tugas berikut :
• Melantik seorang Menteri Besar.
• Tidak mempersetujui permintaan membubarkan Dewan Undangan Negeri.
• Meminta mengadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja tentang keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja atau hal ehwal Islam.
• Melaksanakan tugas sebagai Ketua Agama Islam atau tugas yang berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu.
• Melantik waris Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja.
• Melantik penerima pingat, gelaran, kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan tugas-tugas yang berkenaan dengannya.
• Membuat peraturan mengenai balai-balai diraja atau istana.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Di Semenanjung Malaysia, kuasa eksekutif dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) atau EXCO atas nama Raja atau Yang Di-Pertua Negeri. Di Sarawak badan ini dikenali sebagai Majlis Tertinggi dan di Sabah dikenali sebagai Kabinet. MMK diketuai oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri yang dilantik oleh Sultan atau Raja atau Yang Di-Pertua Negeri dalam kalangan Ahli Dewan Negeri yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan tersebut. MMK dianggotai oleh ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dipilih dan tiga orang Pegawai Kerajaan, Pegawai Kewangan Negeri, dan Penasihat Undang-Undang Negeri. Bilangan DUN yang menganggotai EXCO berbeza antara negeri mengikut Perlembagaan Negeri masing-masing.

Dewan Undangan Negeri
Kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah meluluskan undang-undang dan dipersetujui oleh Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri. Seksyen 4, Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan Dewan Undangan Negeri mesti mengandungi sebilangan ahli yang dipilih melalui pilihan raya. Peranan Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri adalah sebagai pihak berkuasa perundangan hanya akan hadir pada masa-masa khas seperti pembukaan Dewan Undangan Negeri. Tugas utama Raja/Sultan/Yang Di-Pertua Negeri adalah untuk memanggil DUN bermesyuarat, memberhentikan dan membubarkan DUN. Seseorang itu tidak boleh menjadi ahli DUN bagi lebih daripada satu bahagian pilihan raya pada satu masa. DUN akan berjalan selama lima tahun dari mesyuarat pertamanya. Apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya peringkat negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari di Semenanjung dan 90 hari di Sabah dan Sarawak.

Jentera Pentadbiran Kerajaan Negeri
Bagi melancarkan pentadbiran, sesebuah negeri dibahagi kepada beberapa buah daerah. Daerah-daerah ini pula dibahagi kepada mukim-mukim. Di Sarawak, sebelum dibahagi kepada daerah, Sarawak dibahagi dahulu mengikut bahagian. Ketua Bahagian dipanggil Residen dan Ketua Daerah dipanggil Pegawai Daerah. Di Sabah pula, negeri dibahagi kepada beberapa residensi dan setiap residensi dibahagi pula kepada daerah. Bagi Negeri-Negeri Tidak Bersekutu, jawatan Pegawai Daerah dan penolongnya dipenuhi oleh pegawai-pegawai negeri manakala bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, jawatan tersebut dipenuhi oleh pegawai-pegawai Persekutuan.

Jabatan
Jabatan-jabatan yang terdapat di peringkat negeri dibahagikan kepada dua jenis, iaitu jabatan negeri dan cawangan jabatan persekutuan. Jabatan-jabatan negeri pula dibahagikan kepada dua jenis iaitu, jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kedua-dua kerajaan negeri dan persekutuan.

• Jabatan Negeri Di Semenanjung Malaysia
Jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kerajaan negeri merupakan jabatan yang menjalankan pentadbiran negeri. Jabatan-jabatan penting yang termasuk dalam golongan ini termasuklah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.

• Jabatan Negeri Di Sabah dan Sarawak
Sabah dan Sarawak mempunyai bilangan jabatan yang lebih banyak kerana Perjanjian Malaysia 1963 telah memberi kuasa yang lebih kepada kedua-dua negeri itu berbanding dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Namun, menerusi proses penyatuan, kebanyakan jabatan-jabatan itu telah beransur-ansur diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Jabatan-jabatan utama negeri yang kekal di bawah tanggungjawab kerajaan negeri adalah sama seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Perbezaan yang ada ialah jabatan utama negeri Sabah dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Sarawak tidak bertanggungjawab secara langsung terhadap hal-hal perkhidmatan awam negeri seperti yang terdapat pada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Semenanjung. Di Sarawak pula tugas itu dijalankan oleh Pejabat Perjawatan Negeri.

• Cawangan Jabatan Persekutuan
Cawangan-cawangan jabatan persekutuan seperti Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Imigresen Negeri bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan, tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan yang dilakukan oleh pentadbiran negeri. Untuk memenuhi keperluan negeri, ketua-ketua cawangan itu boleh dipanggil untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa-jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Negeri di samping menjadi ahli dalam Jawatankuasa Pembangunan Negeri dan jawatankuasa negeri yang lain. Kedudukan cawangan jabatan persekutuan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah sama dengan kedudukan di Sabah dan Sarawak.

Suruhanjaya Negeri
Sama seperti kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga boleh menubuhkan suruhanjaya-suruhanjaya yang berbentuk tetap atau khas. Pelantikan ahli-ahli suruhanjaya dilakukan oleh Raja atau Yang Di-Pertua Negeri atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri. Semua negeri kecuali Negeri Sembilan, Perlis, Melaka dan Pulau Pinang mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang bertanggungjawab tentang pelantikan jawatan-jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri. Bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, pelantikan ke jawatan-jawatan negeri dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Perkhidmatan Awam Negeri
Setiap negeri mempunyai perkhidmatan awamnya sendiri. Bagi negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, perkhidmatan awam negeri meliputi semua jawatan. Bagi negeri-negeri selainnya, jawatan-jawatan tadbir diisi oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Perkhidmatan Tadbir Am (PTA). Pegawai-pegawai ini dipinjamkan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Pejabat Setiausaha Persekutuan Dan Pejabat Kewangan Persekutuan
Khusus bagi negeri Sarawak dan Sabah, kerajaan telah mewujudkan semula jawatan Setiausaha Persekutuan di samping jawatan Pegawai Kewangan Persekutuan yang sedia ada. Tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan ialah untuk menyelaras dan menjalankan pentadbiran aktiviti jabatan-jabatan dan perbadanan awam persekutuan di negeri berkenaan. Pejabat ini juga bertanggungjawab untuk mengeratkan perhubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri. Pejabat Kewangan Persekutuan bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dalam menjalankan tugas-tugas kewangan seperti memeriksa anggaran belanjawan agensi-agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah untuk mempercepatkan proses membuat keputusan.

Perbadanan Awam Negeri
Kerajaan-kerajaan negeri mempunyai perbadanan-perbadanan awam yang merangkumi badan-badan berkanun dan badan tidak berkanun yang merupakan syarikat kepunyaan kerajaan negeri. Perhubungan badan-badan ini dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi utama negeri adalah lebih kurang sama dengan perhubungan di antara perbadanan-perbadanan awam persekutuan dengan kerajaan persekutuan dan agensi-agensi pusat. Perbadanan-perbadanan awam yang lain yang terdapat di peringkat negeri merupakan cawangan-cawangan perbadanan awam persekutuan. Sama seperti cawangan jabatan persekutuan, perbadanan ini bertanggungjawab kepada kerajaan persekutuan tetapi tertakluk kepada usaha penyelarasan pentadbiran negeri.

Peringkat Pentadbiran Negeri
Pentadbiran setiap negeri di Semenanjung Malaysia dijalankan menerusi pelbagai peringkat. Peringkat-peringkat tersebut ialah :-

Daerah
Pembahagian negeri mengikut daerah atau jajahan yang dimulakan oleh pihak Inggeris terdapat hingga sekarang. Kebanyakan projek-projek yang dirancang di peringkat persekutuan dan negeri dilaksanakan di peringkat daerah. Pejabat daerah dan tanah yang diketuai oleh Pegawai Daerah merupakan pejabat utama di peringkat ini. Bidang tanggungjawabnya adalah berkaitan dengan pentadbiran tanah, pentadbiran Majlis Daerah dan pengurusan aktiviti-aktiviti pembangunan di samping menyelaraskan kegiatan semua cawangan agensi kerajaan negeri dan persekutuan di peringkat daerah. Kebanyakan agensi negeri dan persekutuan mempunyai cawangan mereka di peringkat ini.

Mukim
Sesebuah daerah dipecahkan kepada beberapa mukim dan terdapat sebuah pejabat kerajaan yang diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali sebagai “Penghulu” (Penggawa di Kelantan). Di peringkat ini hanya beberapa jabatan dan perbadanan awam sahaja yang mempunyai cawangan masing-masing. Peranan utama seorang Penghulu ialah untuk membantu Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi-agensi kerajaan lain menjalankan program dan projek pembangunan serta menyelaraskan kegiatan-kegiatan di kampung-kampung di bawah jagaannya. Pada satu masa dahulu, jawatan Penghulu diwarisi mengikut keturunan atau dilantik dari kalangan penduduk tempatan yang mempunyai pengaruh yang luas. Pada masa sekarang penghulu dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri berasaskan kepada kebolehan dan kelulusan akademik. Oleh itu, mereka juga merupakan sebahagian dari pegawai awam.

Kampung

Peringkat pentadbiran yang paling rendah sekali ialah peringkat kampung yang diketuai oleh seorang “Ketua Kampung” (Penghulu di Kelantan) yang dilantik oleh kerajaan negeri. Ketua Kampung hanya diberi elaun dan mereka bukanlah sebahagian daripada pegawai awam. Ketua Kampung juga merupakan wakil kerajaan negeri dan penduduk kampungnya. Ketua Kampung berperanan membantu melaksanakan projek pembangunan Kerajaan. Peringkat kampung dapat dianggap sebagai satu peringkat pentadbiran sebab Ketua Kampung membantu agensi-agensi Kerajaan mengenal pasti tapak yang sesuai bagi sesuatu projek di dalam kampungnya.

Ketua Kampung menjalankan tugasnya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan beliau sendiri. Dalam mesyuarat jawatankuasa itu, Ketua Jabatan Daerah dijemput hadir. Pembentukan JKKK bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mengambil bahagian yang aktif dalam proses perancangan dan pelaksanaan program dan projek pembangunan di kampung mereka. Badan ini juga menyatukan kampung dengan pentadbiran mukim, daerah dan negeri untuk mempercepatkan proses pembangunan dan penyelesaian masalah.

Pentadbiran Negeri Sabah
Pentadbiran Negeri Sabah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu daerah dan kampung. Peringkat daerah diketuai oleh Pegawai Daerah. Selain daripada Penolong Pegawai Daerah, seseorang Pegawai Daerah dibantu oleh seorang Ketua Daerah yang bertanggungjawab terhadap segala aspek pentadbiran yang berkaitan dengan hal-ehwal suku-suku kaum di daerah berkenaan. Setiap suku kaum di sesebuah daerah diketuai oleh Ketua Anak Negeri (Native Chief). Ketua Anak Negeri bertanggungjawab kepada Ketua Daerah. Kesemua mereka ini merupakan sebahagian dari pegawai awam. Sama seperti keadaan di Semenanjung Malaysia, setiap Kampung diketuai oleh Ketua Kampung yang bukan merupakan pegawai awam.

Pentadbiran Negeri Sarawak
Pentadbiran Negeri Sarawak pula dibahagikan kepada empat peringkat, iaitu: bahagian, daerah, daerah kecil dan kampung.

Bahagian
Negeri Sarawak dibahagikan kepada tujuh bahagian yang setiap satunya diketuai oleh seorang ‘Residen’ sebagai Ketua Pentadbir Bahagian. Pembahagian negeri mengikut bahagian hanya diadakan di Negeri Sarawak disebabkan kawasan negerinya yang luas. Setiap bahagian mempunyai beberapa orang ‘Temenggung” yang merupakan ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan berasaskan golongan kaum.

Daerah
Setiap bahagian dibahagikan pula kepada beberapa daerah yang setiap satunya diketuai oleh Pegawai Daerah. Ketua masyarakat digelar ‘Pemanca’ yang bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah dan Temenggung.

Daerah Kecil
Di dalam sesebuah daerah terdapat pula daerah kecil yang diketuai oleh pegawai-pegawai Perkhidmatan Tadbir Negeri Sarawak.

Kampung
Setiap kampung di Sarawak diketuai oleh seorang ‘Penghulu’ yang dilantik oleh kerajaan. Sebelum gelaran ‘Penghulu’ digunakan, Ketua Rumah Panjang digelar ‘Tuai Rumah’.

Sistem Perancangan dan Pelaksanaan Di Peringkat Negeri
Sistem perancangan dan pelaksanaan di peringkat negeri juga serupa dengan sistem yang terdapat di peringkat persekutuan serta melibatkan dasar, perancangan, pelaksanaan, penyelarasan dan penilaian. Adalah menjadi kebiasaan bahawa pihak negeri mengambil kira dasar-dasar yang wujud di peringkat persekutuan sebelum sesuatu dasar negeri dibentuk. Pembentukan dasar-dasar awam negeri dilakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang para anggotanya terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta dibantu oleh beberapa orang pegawai kanan kerajaan, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri. Namun begitu sebelum sesuatu dasar itu dibentuk, kerajaan negeri juga menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu untuk mengkaji sesuatu dasar sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Jentera Pentadbiran di Peringkat Kerajaan Tempatan

Sebelum penyusunan semula kerajaan tempatan, wujud enam jenis penguasa tempatan di negara ini iaitu:-
1) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
2) Majlis Perbandaran
3) Majlis Bandaran
4) Lembaga Bandaran
5) Majlis Tempatan
6) Majlis Luar Bandar

Selepas penyusunan semula wujud empat jenis pihak berkuasa tempatan iaitu :-
1) Dewan Bandaraya bagi bandar-bandar besar
2) Majlis Perbandaran bagi bandar-bandar sederhana
3) Majlis Tempatan bagi pekan-pekan dan kampung-kampung baru
4) Majlis Daerah bagi kawasan luar bandar

Kerajaan tempatan dibentuk untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan-kawasan yang didiami mereka. Peranannya melibatkan perancangan bandar, kerja raya, kemudahan-kemudahan awam, kesihatan awam dan perumahan awam. Kuasa utama yang terpenting bagi kerajaan tempatan ialah :-
1) Kuasa untuk mengadakan undang-undang kecil
2) Mengutip cukai, kadar sewa dan lain-lain
3) Kuasa untuk mengadakan Kumpulan Wang Pihak Berkuasa Tempatan yang terletak dalam kawalannya sendiri.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.