Penyanyi kumpulan Orkes Nirwana, Datin Azizah Mohamad,
66, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat sini kira-kira pukul
11.26 malam, Jumaat.
Allahyarham meninggal dunia akibat kanser pangkal
rahim tahap akhir yang dihidapinya sejak setahun lalu selain beberapa penyakit
lain seperti darah tinggi dan kencing manis.
Beliau meninggal dunia di sisi suaminya, penyanyi
irama pop yeh yeh, Datuk A. Rahman Hasaan dan ahli keluarga lain.
Anak kepada Allahyarham, pelakon dan pengarah, Khir
Rahman yang dihubungi mStar Online berkata, semua ahli keluarga redha dengan
kehilangan itu kerana pihak hospital telah memaklumkan keadaan ibunya yang
tidak dapat diselamatkan lagi.
Jelas Khir, tiga hari sebelum Allahyarham
menghembuskan nafas terakhir, ibunya sudah tidak sedarkan diri.
"Selepas doktor memberitahu kami perlu bersedia
dengan sebarang kemungkinan semua ahli keluarga sentiasa bersamanya.
"Ibu seorang yang kuat dalam melawan penyakitnya
sehingga ke saat yang terakhir dan Allahyarham pergi dengan tenang. Kami
sekeluarga redha dengan pemergiannya," kata Khir.
Dalam pada itu, jenazah akan dimandikan dan dikafankan
di HKL sebelum dibawa pulang ke rumah di Keramat dekat sini untuk memberi
peluang kepada kaum keluarga memberikan penghormatan terakhir.
Khir memberitahu jenazah akan disembahyangkan di
Masjid Al Ansar Taman Keramat di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Masjid Al Ansar selepas solat Zohor pada Sabtu.
Sebelum ini, mStar Online pernah melaporkan Azizah
menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas
mengalami komplikasi beberapa penyakit dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
Allahyarham yang aktif menyanyi sekitar tahun 60-an
dan 70-an pernah popular dengan lagu seperti Syurga Idaman, Pergilah Kandaku
dan Dikaulah Harapanku.
Sumber : KL POS
No comments :
Post a Comment