Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Saturday, August 22, 2015

6 Negara Di Dunia Terima Dana Politik


21 Aug 2015

NAMPAKNYA isu membabitkan dana dan derma politik yang diterima Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak berjumlah RM2.6 bilion baru-baru ini masih lagi hangat diperkatakan sehingga menimbulkan banyak pertanyaan dalam kalangan orang ramai.

Malah, ia terus dipersoalkan meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa dana yang dimasukkan dalam akaun Najib merupakan sumbangan dari penderma Timur Tengah.

Di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), derma dari pihak korporat adalah tidak dibenarkan tetapi di Australia dan Malaysia ia boleh diterima.

Realitinya, sumbangan politik di Malaysia adalah sah disisi undang-undang.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (1954), calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibenarkan mengawal selia perbelanjaan maksimum dalam tempoh berkempen.

Dengan pengumuman dana politik berjumlah RM2.6 bilion yang diterima oleh Najib sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 itu, mari kita lihat bagaimana negara-negara lain di seluruh dunia memperoleh dana sebagai sumbangan politik.

Memetik artikel dari portal iMoney.my, berikut beberapa senarai negara yang turut menerima dana politik;

1. AS: Pilihan Raya 2014
Jumlah: AS$1 bilion (RM4.2 bilion)

Di AS, pembiayaan politik atau lebih dikenali sebagai kewangan kempen. Pada peringkat persekutuan ia dikawal oleh undang-undang yang digubal oleh Kongres dan dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) iaitu sebuah agensi persekutuan bebas.

Individu yang menerima pembiayaan kerajaan biasanya tertakluk kepada had perbelanjaan ke atas wang tersebut.

Kewangan kempen dikategorikan mengikut beberapa kriteria seperti individu yang menyumbang dalam jumlah yang kecil iaitu kurang AS$200; individu yang menyumbang dalam jumlah yang banyak melebihi AS$200; Jawatankuasa Tindakan Politik (PAC); dan pembelanjaan sendiri (wang calon).

Ia dianggap menyalahi undang-undang sekiranya menerima derma daripada pihak asing yang berkepentingan.

Tambahan, derma dari syarikat korporat disifatkan haram, melainkan sekiranya PAC yang dibentuk dimana mereka boleh menerima sumbangan secara sukarela daripada pihak yang dilarang.

Dana tersebut mestilah digunakan untuk menyokong calon persekutuan dan jawatankuasa politik.

2. UK: Pilihan Raya 2015
Jumlah: AS$168 juta (RM692 juta)

Di UK, sumber pembiayaan politik menjadi isu kontroversi selama bertahun-tahun. Terdapat tiga cara utama pembiayaan parti poltik iaitu yuran keahlian, derma dan dana negeri (walaupun hanya untuk kos pentadbiran).

Pada masa ini, perisytiharan hendaklah dibuat untuk derma melebihi £5,000 (RM30,107) bagi parti negara dan £1,000 (RM6,021) atau lebih untuk persatuan tempatan.

Walaupun sumbangan tanpa nama dibenarkan, namun sebarang jumlah melebihi £50 (RM301) adalah dilarang.

Di Britain pula, derma dan pinjaman perlu dilaporkan secara atas talian kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan ketelusan dalam pembiayaan parti.

3. Australia: Pilihan Raya 2013
Jumlah: AS$42,8 juta (RM175 juta)

Kebanyakkan negara mengamalkan sistem demokrasi mengharamkan sumbangan daripada syarikat-syarikat, pihak asing yang berkepentingan, atau mereka mungkin memerlukan kelulusan pemegang saham untuk derma syarikat.

Malah sama dengan Malaysia, Australia juga tidak mempunyai larangan tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (AEC) akan mengemukakan nilai sumbangan setiap tahun dengan menyenaraikan setiap derma sebagai 'kadar pendedahan'.

Jumlah 'kadar pendedahan' semasa dari 1 Julai 2015 sehingga 30 Jun 2016 adalah lebih daripada A$13,000 (RM37,703).

4. India: Pilihan Raya 2014
Jumlah derma: AS$55.5 juta (RM240 juta)

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Persatuan Reformasi Demokratik (ADR) pada tahun 2014, sebanyak 29 daripada 45 parti yang diiktiraf di India tidak mengemukakan laporan sumbangan mereka kepada Suruhanjaya Pilihan Raya India (ECI) pada September 2014, dan tarikh akhir penyerahan adalah pada 30 November 2014.

ECI dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 29 Ogos 2014 menyatakan kebimbangan terhadap kuasa wang yang boleh mempengaruhi pelbagai pihak, sekaligus menganggu persaingan sihat dan kesucian pilihan raya.

5. Singapura: Pilihan Raya 2011
Jumlah derma: Tidak diketahui

Walaupun jumlah keseluruhan dan pecahan sumbangan politik untuk Pilihan Raya lepas di Singapura tidak didedahkan kepada umum, namun Akta Derma Politik di negara ini adalah lebih ketat berbanding India.

Akta ini pada dasarnya berfungsi untuk menghalang derma parti-parti politik daripada individu yang tidak ditakrif sebagai penderma yang dibenarkan seperti pihak asing.

Penderma tanpa nama juga dilarang. Derma tanpa nama hanya akan dipertimbangkan sekiranya penerima tidak dapat mengenal pasti identiti penderma.

Walau bagaimanapun, ia tidak terpakai jika penderma meminta untuk tidak mendedahkan identiti mereka.

Tambahan pula, parti tidak dibenarkan untuk menerima derma lebih daripada S$5,000 (RM14,141) tanpa nama dalam jumlah kewangan lebih satu tahun.

Ini bermakna, jika pihak yang menerima pelbagai sumbangan tanpa nama dan jumlah itu melebihi S$5,000, lebihan itu hendaklah dikembalikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan.

Persatuan politik boleh mengembalikan keseluruhan sumbangan kepada orang yang menyampaikannya (selain daripada penderma) atau institusi kewangan atau jika ia tidak boleh dilakukan, lebihan tersebut akan diserah kepada Pendaftar Derma Politik.

6. Malaysia: Pilihan Raya 2013
Jumlah derma: Sekurang-kurangnya AS$700 juta (RM2.6 bilion)

Isu membabitkan sejumlah wang bernilai RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri baru-baru ini telah menimbulkan banyak persoalan mengenai undang-undang membabitkan pembiayaan politik untuk memastikan ketelusan dalam kalangan setiap ahli politik negara ini.

Tidak ada laporan rasmi mengenai jumlah sumbangan yang dikutip oleh semua parti politik di Malaysia.

Tambahan pula, tidak ada had kepada sumbangan tanpa nama, dan tidak ada larangan ke atas sumbangan korporat dan pihak asing.

Daripada enam contoh di atas, ia adalah agak jelas bahawa negara-negara di Asia, dan bukan hanya Malaysia, setiap negara perlu menekankan aspek ketelusan apabila menerima pembiayaan politik untuk mengelakkan rasuah.

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.