Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Tuesday, January 15, 2013


Majlis Syura PAS Tolak Kalimah Allah Dalam Bible Melayu

                                                                                              
Mesyuarat Majlis Syura PAS malam tadi memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu kerana berpendapat menterjemah kalimah ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna dan salah guna serta tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata, sekali gus perlu dicegah.

Ketetapan itu yang turut melarang kalimah Allah diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia, diputuskan pada mesyuarat di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur yang dipengerusikan Mursyidul Amnya, Datuk Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Dalam kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat hampir dua jam berakhir 11 malam itu, Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berkata kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah.

“Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani umat Islam iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan,” kata kenyataan berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan berikutan perbezaan pendapat antara pemimpin PAS dalam isu berkenaan.

Pada 2010, PAS bersetuju bahawa Islam tidak melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dengan syarat ia tidak disalah guna.

Berikut disertakan lampiran lengkap kenyataan media itu :

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Sumber : AIDC on January 14, 2013 
Video : Minaq Jinggo-TvPas

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.