SEORANG
rakan wartawan sekadar menggelengkan kepala apabila kami bercakap mengenai
hasrat pembangkang mengajak Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir
untuk berdebat - suatu yang dianggapnya melucukan.
Melucukan
kerana pemimpin yang diangkat untuk berdebat adalah Timbalan Pesuruhjaya Pas,
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin - pemimpin yang acapkali dimalukan oleh
Zambry dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Rakan-rakan
pemberita sudah biasa melihat bagaimana Mohammad Nizar umpama mengesat ludah di
muka sendiri apabila satu persatu dakwaan atau tohmahannya dibongkar dalam
sidang DUN Perak.
Misalnya,
tindakan Mohammad Nizar bermati-matian membantah projek hab bijih besi Vale di
Lumut memakan diri apabila Zambry terpaksa mendedahkan dokumen yang menunjukkan
pemimpin Pas itu menandatangani surat menyokong projek tersebut ketika menjadi
Menteri Besar.
Lebih
memalukan apabila di dewan mulia tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Pasir Panjang itu mengaku menandatangani surat tersebut - tindakan yang memalit
malu bukan kepalang di muka barisan pemimpin pembangkang.
Tidak
lupa juga peristiwa ketika Mohammad Nizar menuduh Zambry melakukan syirik dalam
isu ancak sekitar tahun 2010 apabila beliau dikecam bertalu-talu selepas
dikatakan berbohong apabila mendakwa kononnya Jawatankuasa Fatwa memutuskan
Zambry melakukan perbuatan khurafat.
Semuanya
terbongkar apabila jawatankuasa itu yang bermesyuarat pada Januari 2011
memutuskan apa yang dilakukan oleh Zambry bukan khurafat.
Penulis
sendiri masih ingat dalam sidang DUN bulan lalu bagaimana Mohammad Nizar
terkedu ketika Zambry menasihatkannya supaya berhenti berbohong apabila
pemimpin itu mendakwa Zambry menawarkannya jawatan Menteri Besar jika menyertai
UMNO selepas pembangkang menang PRU-12.
''Mengucap
panjang-panjang. Didiklah hati, orang tua-tua kata jagalah hati budi. Apa sudah
jadi dengan Pasir Panjang? Tidak rasa berdosakah? Betapa besarnya dosa orang
memfitnah," kata Zambry yang ketika itu membuat Mohammad Nizar terdiam.
Realitinya,
pemimpin Pas itu tidak pernah 'diam' dalam menyerang kepimpinan kerajaan dengan
tohmahan. Peristiwa-peristiwa di atas hanya secebis misalan yang menggambarkan
sikap Mohammad Nizar sebagai seorang politikus.
Rakyat
tidak mungkin lupa bagaimana Mohammad Nizar pernah menyatakan kononnya beliau
mendengar khabar kononnya Perdana Menteri ada memanggil semua kepimpinan
angkatan tentera dan bertanya adakah mereka akan berbuat sesuatu jika BN
tumbang.
Tidak
cukup dengan itu, pemimpin Pas itu mendakwa kononnya ketua-ketua pasukan
tentera berkata akan bersama-sama dengan rakyat sekiranya BN tumbang sehingga
menyebabkan muka Perdana Menteri menjadi pucat lesi.
Namun,
apabila dakwaan itu dinafikan dengan keras pemimpin-pemimpin tentera yang turut
mendesaknya menampilkan bukti, Mohammad Nizar hanya selamba berkata ia hanya
khabar yang didengarnya, terserah kepada kerajaan untuk memberi penjelasan.
Wah,
mudahnya pembangkang berpolitik. Mereka boleh bercakap apa sahaja, fakta bukan
menjadi soal kerana lebih penting bagi mereka rakyat mesti berdendam, marah dan
benci kepada kerajaan. Itu sahaja.
Begitu
juga apabila Mohammad Nizar mengemukakan satu memo yang kononnya bukti bahawa
kerajaan menerima RM207 bilion daripada kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada
rakyat Malaysia yang menjadi buruh paksa dalam pembinaan kereta api Siam-Burma
semasa Perang Dunia Kedua.
Cacai-cacai jika nak
menipu biarlah pro sikit.
Apabila
pihak kedutaan Jepun menafikan pernah memberi pampasan sebanyak itu, Mohammad
Nizar pula mahu meminta penjelasan daripada Kementerian Kewangan yang awal-awal
lagi sudah menegaskan bahawa memorandum itu adalah palsu. Jadi, penjelasan
bagaimana yang beliau mahukan?
Menyelak
semua peristiwa di atas, rakyat Perak khususnya tentu tertanya-tanya, apa
perlunya pembangkang mengajak Zambry berdebat jika pemimpin mereka sendiri
tidak pernah cuba untuk bercakap sesuatu yang berpaut kepada fakta?
Jangan
pula marah jika rakyat berasa sangsi dan bertanya sama ada pentas itu mahu
dijadikan wadah berdebat atau berbohong?
Difahamkan,
debat tersebut akan diadakan hari ini. Mungkin lebih elok jika pembangkang
memanfaatkan pentas debat itu untuk menjernihkan segala keraguan tentang
isu-isu yang membayangi kepimpinan pembangkang di Perak.
Pengerusi
DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham misalnya mungkin boleh menjadikan pentas itu
untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau boleh terlibat dalam sebuah
syarikat yang mendapat projek pembalakan berjuta ringgit di Kelantan.
Rakyat
tentu mahukan penjelasan kerana maklum sahajalah, pembangkang selalu
berdegar-degar mengatakan mereka berjuang atas penderitaan rakyat sehingga
terpaksa memerah duit rakyat di pentas-pentas ceramah.
Lagi
pula, tentunya pelik apabila pembangkang memaksa Zambry untuk mengupas isu-isu
tersebut di pentas debat sedangkan orang yang memikul beban menjawab segala
keraguan itu sepatutnya ialah Koo Ham dan Kor Ming sendiri.
Artikel
Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130123/re_06/Mahu-berdebat-atau-berbohong#ixzz2IuECd0ZZ
©
Utusan Melayu (M) Bhd
No comments :
Post a Comment