Mat Sabu Tak Faham Perjuangan Komunis - Khoo Kay Kim
Prof Emeritus Khoo Kay kim
KENYATAAN kontroversi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu
atau Mat Sabu mengenai kes serangan komunis di Bukit Kepong pantas mengundang
kritikan dan kecaman majoriti. Gerombolan komunis diangkat sebagai pejuang
sebenar, bukan anggota polis dan ahli keluarga mereka yang terbunuh dalam
insiden 23 Februari 1950 itu.
Ikuti wawancara Wartawan Berita Minggu, SYUHADA CHOO
ABDULLAH mendapatkan ulasan daripada pemerhati politik dan tokoh sejarawan
negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim untuk mengupas polemik berkenaan
APA pendapat Tan Sri mengenai kenyataan kontroversi Mat Sabu
dan boleh Tan Sri huraikan berdasarkan hakikat sejarah, apa matlamat sebenar
komunis, muslihat serta tindakan untuk mencapai matlamat mereka.
Berdasarkan dakwaan itu, saya pasti Mat Sabu tidak faham
apakah perjuangan komunis. Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan atas arahan
Komunis Antarabangsa (Soviet Union). Apa yang diharapkan oleh Komunis
Antarabangsa? Berdasarkan sejarah, pihak komunis waktu itu berpecah dua.
Satu terikat kepada Parti Komunis China dan satu kepada
Komunis Antarabangsa. Komunis Antarabangsa mahu mewujudkan Orde Komunis Dunia,
maka seluruh dunia harus menerima ideologi komunis. Komunis Antarabangsa juga
berpegang kepada slogan ‘Workers of the World Unite’ mahu dunia diperintah oleh
pekerja.
Bagi Komunis Antarabangsa, yang dimaksudkan pekerja ialah
golongan marhain, iaitu pada dasarnya pekerja dalam industri, tidak termasuk
petani. Waktu itu di negara ini, istilah marhain belum digunakan.
Mat Sabu juga mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan
Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana
mereka pegawai British.
Mereka tidak pernah bekerja dengan British. Kerajaan Melayu
tidak pernah menjadi jajahan British.Kerajaan Melayu dulu secara rasmi dikenali
sebagai Negeri Melayu Naungan, iaitu di bawah perlindungan British, tetapi
tetap diperintah oleh Raja. Kehadiran British adalah berasaskan perjanjian
dengan Raja setiap kerajaan.
Pegawai British ditugaskan menjalankan pentadbiran,
kedaulatan tetap pada Raja. Maksudnya dari segi undang-undang, British tidak
pernah menjajah kerajaan Melayu, hanya Negeri-Negeri Selat yang dikenali
sebagai ‘Tanah Jajahan Mahkota British.’ Pegawai British utama di Negeri-Negeri
Selat dikenali sebagai gabenor, padahal kedudukan pegawai yang sama di kerajaan
Melayu dikenali sebagai ‘High Commissioner’ (Pesuruhjaya Tinggi).
Gabenor Hugh Clifford dalam ucapannya kepada Majlis
Persekutuan pada Januari 1949 mengatakan apabila beliau merujuk kepada kerajaan
Melayu: ‘They were, they are and they must remain Malay states. These states
were when our cooperation in government was first invited Mohamedan monarchies.
And such they are today. We have neither the right nor the desire to vary the
system of government”.
Dalam undang-undang memang ada dua keadaan, satu ‘de jure’
(selaras dengan undang-undang) dan satu lagi ‘de facto’ (apa sebenarnya berlaku
atau boleh juga dikatakan melanggar undang-undang). Datuk Onn mula-mula bekerja
dengan kerajaan Johor dan Tunku dengan kerajaan Kedah. Mereka bekerja di negeri
yang dianggap Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Raja masih ada banyak autonomi.
Selepas perang, mula-mula Datuk Onn kemudian Tunku diterima
oleh British sebagai presiden UMNO yang diakui British sebagai parti politik
orang Melayu (iaitu mereka yang dianggap ‘rakyat Raja’). Oleh sebab orang
Melayu menentang Malayan Union, British tidak melaksanakan Malayan Union.
British selanjutnya berunding dengan Raja-Raja juga UMNO untuk menentukan
sistem lebih sesuai.
Akibatnya pada Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu
diwujudkan. Pihak British sejak 1943 sudah membuat keputusan menubuhkan Tanah
Melayu sebagai negara bangsa, tetapi butirannya belum jelas.
Selanjutnya British cuba mencari sistem paling sesuai kerana
ada ramai bukan Melayu yang sudah lama tinggal di Tanah Melayu, mula menganggap
Tanah Melayu negara mereka. Sejak 1949 apabila Jawatankuasa Hubungan Antara
Kaum ditubuhkan, British cuba mencari jalan menyatupadukan penduduk Tanah
Melayu, tapi penduduk negara ini lebih suka duduk secara berasingan. British
tidak mengamalkan dasar ‘pecah perintah’.
Apabila Datuk Onn berundur daripada UMNO, British tidak lagi
menganggap beliau wakil orang Melayu. Tunku mengambil tempat Datuk Onn,
kemudian Tunku dan Parti Perikatan dianggap wakil rakyat Tanah Melayu kerana
menang (51-1 undi) pada pilihan raya persekutuan 1955.
Bagaimana pula dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man seperti dilaporkan sebuah portal berita online
(www.malaysiakini.com.my) bahawa sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur
tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu peristiwa adalah berlainan dari
satu era ke satu era.
Dalam sejarah, yang terpenting ialah menentukan apakah
hakikatnya. Siapa wira siapa pengkhianat kadang-kadang susah ditentukan kerana
banyak bergantung kepada siapa yang menulis sejarah. Bagi ahli sejarah profesional,
yang penting ialah menjawab soalan ‘apa sudah terjadi?’ Ini hanya dapat dijawab
kalau dia dapat maklumat yang boleh dipertanggungjawabkan.
Dalam kes Mat Indera, yang penting ialah apakah niat
komunis? Kalau British dianggap penjajah, selepas British diusir apa akan
terjadi kepada Tanah Melayu? Apakah perjuangan Komunis Antarabangsa? Mat Sabu
perlu menjawab soalan-soalan seperti yang saya sebutkan. Bukan semua tulisan
sejarah diputarbelitkan.
Mereka yang menulis berasaskan penyelidikan dan sesudah
mendapat latihan akademik biasanya tidak berbuat demikian. Mereka yang
terpengaruh oleh ideologi, sudah tentu tidak dapat menulis dengan tidak berat
sebelah kerana bagi mereka, hanya ideologi mereka yang dapat dianggap betul.
Maka apabila ada tulisan sejarah, pembaca harus juga mengetahui latar belakang
ahli sejarah untuk menentukan dia memang seorang yang tidak berat sebelah.
Semakin ramai pemimpin dan penyokong pembangkang mendesak
tafsiran baru dibuat terhadap sejarah negara. Adakah Tan Sri melihat timbul
sebarang keperluan untuk menilai, menyusun dan menulis semula sejarah.
Ramai yang minta supaya sejarah Malaysia ditulis kembali pun
sebenarnya kurang faham mengenai sejarah Malaysia kerana mereka kurang membuat
penyelidikan. Kritikan saya sendiri mengenai buku Sejarah sekolah yang ada
sekarang ialah konsep sejarah hanya tertumpu kepada politik, padahal sejarah
meliputi segala yang pernah wujud atau berlaku sebelum sekarang. Misalnya dalam
sejarah Malaysia di sekolah, perkara seperti ketibaan percetakan, ketibaan
teknologi, pembinaan infrastruktur, proses pembandaran, hubungan dengan negara
luar, kegawatan ekonomi dan langkah diambil untuk mengatasinya dan sebagainya
tidak dibincangkan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga
memaklumkan beliau difahamkan kini ada anasir mengajar kanak-kanak di sekolah
bahawa Allahyarham Tunku Abdul Rahman ialah pengkhianat bangsa. Bagaimana Tan
Sri melihat perkara ini, terutama dari segi kesan atau risiko jangka panjang
sekiranya perkara itu tidak dibendung.
Saya tidak pernah membaca buku sekolah yang mengatakan Tunku
adalah pengkhianat bangsa. Kalau ada, bagaimanakah kenyataan itu dapat
dipertanggungjawabkan? Sejarah yang berasaskan fakta memang dapat disampaikan
kalau dikehendaki oleh rakyat yang sepatutnya memahami bahawa mulai 31 Ogos
1957, Raja sudah pindahkan kedaulatan (sovereignity) kepada rakyat. Kini
Malaysia (dulu Tanah Melayu) memang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Demokrasi ialah ‘government of the people, by the people, for the people’.
Pihak pemerintah mesti sentiasa patuh kepada rakyat.
Apa penilaian dan perasaan Tan Sri sebagai ilmuwan dan
sejarawan terhadap tindakan pemimpin pembangkang mengheret fakta sejarah dalam
permainan atau provokasi politik sehingga boleh mengelirukan generasi muda. Apa
tindakan perlu diambil terhadap pihak yang cuba memesongkan pemahaman dan
penghayatan rakyat terhadap sejarah.
Dalam politik, bukan saja di negara ini, memang selalu ada
ahli politik yang cuba mendapat sokongan pengundi dengan jalan yang
berbagai-bagai. Kalau pengundi kurang berpengetahuan, mereka akan berjaya.
Hanya ada satu cara untuk menjamin agar ini tidak berlaku. Golongan muda mesti
diberi pendidikan yang boleh menjamin mereka dapat menerima sesuatu dengan
sikap kritis. Nasihat saya kepada rakyat, setiap kali ada orang membuat
kenyataan mengenai sejarah, tanya dia dari mana dia dapat maklumat.
No comments :
Post a Comment