Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, March 5, 2015

Wajarkah Pulau Pinang Dikembalikan Kepada Kedah?


Oleh: DR MOHD HAZMI MOHD RUSLI
mhbmr027@uowmail.edu.au



Pengenalan

PADA tahun 1786, Sultan Abdullah Mukarram Shah yang memerintah Kedah pada ketika itu, menyerahkan Pulau Pinang kepada wakil dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), Francis Light melalui satu perjanjian penyewaan.
Light kemudian menamakan semula Pulau Pinang sebagai Prince of Wales, pangkalan British yang pertama pernah ditubuhkan di Tanah Melayu. Adakah penyerahan Pulau Pinang menerusi perjanjian penyewaan ini sah di sisi undang-undang antarabangsa?

Sejarah

Malaysia sebelum menjadi sebuah negara yang kita kenali hari ini, pernah dikuasai oleh beberapa kerajaan Melayu pra-penjajahan seperti Srivijaya, Majapahit, Kedah, Melaka, Brunei, Johor dan Aceh. Kedah adalah kerajaan tertua di kalangan kerajaan-kerajaan Melayu ini. Kedah telah diasaskan pada tahun 630 Masihi, lebih dikenali sebagai Kadaram pada ketika itu.

Kedah pernah menjadi penguasa yang berpengaruh melampaui kawasan-kawasan yang kini menjadi wilayah negeri Kedah sekarang ini. Sewaktu era kegemilangannya, Kedah mempunyai pelabuhan yang kaya-raya dan catatan Tamil lampau memberikan Kedah julukan ‘kota segala kebahagiaan’.

Walaubagaimanapun, Kedah telah dijadikan negeri naungan Srivijaya, sebuah kerajaan Melayu ulung yang berpusat di Palembang pada kurun ke-7 Masihi.

Setelah keruntuhan Empayar Srivijaya pada kurun ke-13 Masihi, Kedah telah menjadi negeri vassal atau negeri bawahan empayar-empayar lain yang lebih berpengaruh di rantau ini seperti Majapahit, Kesultanan Melaka dan Siam. Kedah kemudiannya diletakkan sebagai negeri lindungan Inggeris setelah Perjanjian British-Siam dimeterai pada tahun 1909 di Bangkok.

Penyerahan Pulau Pinang

Menjelang kurun ke-18 Masihi, Kedah muncul sebagai sebuah negeri Timur yang lemah, diapit oleh jiran-jirannya yang lebih berpengaruh iaitu Burma dan Siam. Kedua-dua kuasa serantau ini amat agresif dan sering berperang lalu mengancam kelangsungan Kesultanan Kedah.

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah, Kedah telah mula mengirim bunga mas kepada Siam sebagai tanda mengiktiraf ketuanan Siam ke atas Kedah. Amalan ini telah dimulakan sejak tahun 1781. Namun begitu, terdapat juga pendapat bahawa pengiriman bunga mas oleh Kedah kepada Siam hanyalah sebagai tanda persahabatan di antara kedua-dua kerajaan dan tidak sama sekali menghakis kedaulatan Kesultanan Kedah.



Bunga Mas

Enggan menerima nasib yang sama seperti Kesultanan Pattani yang dihapuskan dan dibumihanguskan oleh Siam pada tahun 1785, Kedah mula berhasrat untuk meminta pertolongan sebuah kuasa baru, perlindungan dari kuasa Eropah yang lebih unggul – iaitu British. Francis Light pada ketika itu telah mengembara ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Melayu mencari tapak yang sesuai untuk dijadikan pangkalan perdagangan.

Pada tahun 1785, Light telah gagal meyakinkan pihak SHTI untuk menduduki Jung Ceylon, atau nama asalnya, Ujung Salang di Pulau Phuket. Beliau kemudiannya memberi fokus kepada Pulau Pinang, sebuah pulau yang berlokasi strategik di pintu masuk utara ke Selat Melaka. Pulau Pinang pada waktu itu adalah sebahagian daripada wilayah Kedah.

Menyembunyikan fakta dari SHTI bahawa Kedah adalah dibawah Siam, Light telah menghadap Sultan Abdullah Mukarram Shah pada tahun 1786 untuk memujuk Sultan menandatangani Perjanjian Inggeris-Kedah. Menerusi perjanjian ini, Sultan Kedah membenarkan Light menduduki Pulau Pinang dengan syarat SHTI memberikan perlindungan ketenteraan kepada Kedah beserta bayaran sewa sebanyak 30,000 Dolar Sepanyol setahun. Perjanjian ini, walaubagaimanapun tidak ditepati oleh Light dan enggan melindungi Kedah dari musuh-musuhnya terutama sekali pihak Siam.

Murka akan keadaan ini, Sultan Kedah cuba untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang pada tahun 1790. Akan tetapi, belum sempat baginda berbuat sedemikian, Light telah lebih awal melancarkan serangan awal yang mengejut ke atas Prai dan ini memaksa Sultan untuk berundur.


Tugu Francis Light di hadapan Muzium Pulau Pinang

Dalam keadaan keterpaksaan, baginda tiada pilihan lain tapi untuk secara tanpa rela menyewakan Pulau Pinang kepada Inggeris dan seterusnya Prai juga, yang telah dinamakan semula sebagai ‘Province Wellesley’ pada tahun 1800 dengan bayaran nominal setahun sebanyak 16,000 Dolar Sepanyol, bukannya 30,000 Dolar Sepanyol menurut Perjanjian Inggeris-Kedah 1786.

Sehingga kini, kerajaan negeri Pulau Pinang masih membayar honorarium tahunan sebanyak RM18,800 kepada Sultan Kedah. Episod sejarah ini dengan jelas menerangkan kenapa Pulau Pinang bukan lagi milik Kedah dan telah dijadikan negeri-negeri Selat, seangkatan dengan Melaka dan Singapura.

Adakah Penyerahan Pulau Pinang Sah?

Sejarah mencatatkan bahawasanya terdapat banyak empayar di seluruh dunia yang telah menjadikan negeri-negeri lain sebagai negeri lindungan atau vassal bagi memperluaskan kuasa mereka tanpa perlu penjajahan berbentuk ketenteraan dilakukan.

Dalam erti kata lain, konsep ‘vassal’ ini merujuk kepada negeri-negeri lindungan menyerahkan hal-ehwal urusan luar negeri kepada negara pelindung dan sebagai ganti, negeri pelindung akan memberikan jaminan autonomi menerusi pengiriman tanda-tanda penghormatan secara formal.

Amalan ini dilakukan oleh banyak negara di seluruh dunia termasuklah kerajaan-kerajaan awal Melayu sendiri.

Sebelum era penjajahan Barat, kerajaan Melayu Srivijaya berjaya menjadikan banyak negeri kecil yang wujud di Pulau Sumatera, Jawa Barat dan Tanah Melayu sebagai negeri bawahannya di antara kurun ke-7 Masihi hingga kurun ke-13 Masihi.

Negeri-negeri Melayu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pernah menjadi negeri naungan Siam sehingga tahun 1909, sebelum British mengambil alih sehingga kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Negeri naungan tidak mempunyai status yang sama dengan negeri jajahan, kerana negeri naungan mempunyai kuasa autonomi dalam menguruskan hal ehwal dalamannya.

Negeri jajahan seperti Portugis-Melaka dan Pattani ditadbir secara langsung oleh penjajahnya.

Konvensyen Montevideo Tentang Hak dan Tanggungjawab Negara 1933, yang digubal berdasarkan undang-undang adat antarabangsa menyatakan bahawa hanya negara berdaulat memiliki kapasiti untuk membuat perjanjian dengan negara berdaulat yang lain, dan ini tidak termasuk negara vassal.

Dalam kes seperti penyerahan Pulau Singapura oleh Johor kepada British pada tahun 1819, ia adalah sah kerana Johor diiktiraf sebagai negara berdaulat sehingga 1914. Hal yang sama berlaku dalam kes penyerahan Sabah oleh Kesultanan Sulu kepada British pada tahun 1878 kerana Sultan Sulu adalah raja berdaulat yang memerintah Sabah pada ketika itu.

Oleh kerana Sultan Kedah pada ketika itu bukanlah raja berdaulat yang memerintah Kedah yang merupakan negeri naungan Siam, baginda tiada hak untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada British. Bagaimana mungkin Sultan memberikan sesuatu yang tidak dimiliki oleh baginda? Konsep ini selari dengan maxim undang-undang nemo dat quod non habet (tiada siapa berhak memberi apa yang dia tidak miliki).

Berdasarkan fakta ini, adakah penyerahan Pulau Pinang (menerusi penyewaan) adalah sah?

Walaubagaimanapun, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa Sultan Kedah adalah penguasa berdaulat ke atas takhta Kedah dan oleh itu baginda berhak untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada British.

Selain itu, tindakan British yang menjalinkan hubungan antarabangsa dengan Kedah secara langsung menunjukkan Sultan Abdullah Mukarram Shah  adalah pemerintah Kedah yang berdaulat. Artikel 26 Konvensyen Vienna Tentang Undang-undang Triti yang digubal berasaskan undang-undang adat antarabangsa yang terpakai kepada semua negara menyebut ‘Triti haruslah dikuatkuasakan dengan sesuci hati’.

Francis Light tidak pernah memenuhi syarat-syarat Perjanjian Inggeris-Kedah yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada tahun 1876. Setelah tidak berhasil mendapatkan Pulau Pinang, Sultan Kedah telah dipaksa untuk menandatangani satu lagi perjanjian pada tahun 1791 yang telah menyaksikan pengambilan secara rasmi Pulau Pinang oleh British.

Bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh, pihak British telah mengamalkan paksaan untuk mempergunakan Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang. Oleh itu, dalam situasi ini, perjanjian tersebut boleh dibatalkan. Maka, sekali lagi, adakah penyerahan Pulau Pinang oleh Kedah kepada British sah?

Kesimpulan

Sama ada penyerahan itu sah atau tidak, pihak British telah pun memerintah Pulau Pinang selama 171 tahun, mempamerkan wujudnya kependudukan efektif ke atas wilayah tersebut. Pulau Pinang telah secara meluas diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa pada ketika itu sebagai sebahagian dari koloni British.

Namun begitu, dengan meletakkan elemen kependudukan efektif ini ke tepi, adalah munasabah untuk menyatakan bahawa kesahihan penyerahan Pulau Pinang kepada Kedah boleh dipersoalkan, dari sudut perspektif sejarah dan undang-undang.

Sekiranya Sultan Kedah tidak dianggap penguasa Kedah yang berdaulat, bagaimana mungkin baginda mempunyai hak untuk menyerahkan Pulau Pinang yang tidak dimiliki olehnya kepada British? Walaubagaimanapun, sekiranya Sultan Kedah dianggap sebagai raja Kedah yang berdaulat pada waktu itu dan mempunyai hak ke atas Pulau Pinang, perjanjian yang ditandatangani di antara baginda dan pihak British pada tahun 1791 itu dilakukan tanpa kerelaan, mengakibatkannya boleh dibatalkan.

Kini, Kedah bukanlah lagi negeri bawahan Siam ataupun negeri lindungan British tetapi sebuah negeri yang merdeka di dalam Malaysia. Sultan Kedah sekarang ini, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah adalah Yang DiPertuan Agong, raja berdaulat yang memerintah Malaysia. Tidak seperti Johor dan Singapura ataupun Sabah dan Kesultanan Sulu yang bukan sebahagian dari negara yang sama, Pulau Pinang dan Kedah kedua-duanya adalah negeri di dalam Malaysia. Menurut sejarah, Pulau Pinang memang dianggap sebagai sebahagian dari Kedah.

Inilah masanya untuk memperbetulkan kesilapan yang dicipta oleh sang licik Francis Light lebih dari 2 abad yang lalu. Pemulangan Pulau Pinang kepada Kedah adalah wajar dan tidak akan menggugat kedaulatan negara Malaysia. Pulau Pinang sebetulnya tidak pernah secara sah diserahkan dan harus kekal bersama Kedah.


> Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia dan pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Ini adalah pandangan peribadi beliau sebagai seorang pengkaji dan penyelidik undang-undang maritim antarabangsa.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.