Mengharamkan sesuatu itu memang mudah. Lebih-lebih
lagi bila ianya popular di kalangan orang ramai.
GST atau VAT dilaksanakan di 160 buah negara
termasuk banyak negara Islam yang lain. Negara teluk (Gulf Cooperation Council
GCC) yang terdiri daripada Saudi, UAE, Qatar, Kuwait, Oman, Bahrain akan
melaksanakan GST dalam tempoh dua tahun yang akan datang. Kalau negara dua buah
masjid suci pun bakal laksana GST, kenapa pula GST ini haram?
Saya tahu justifikasi mengharamkan GST oleh mereka
ini adalah GST dikenakan kepada semua orang termasuk orang miskin. Betul GST
dikenakan kepada semua pengguna yang membeli barangan dan perkhidmatan. Tetapi
mereka ini terlupa kerajaan mengenakan GST berkadar sifar ke atas lebih 200 barangan asas
seperti makanan ruji, perkhidmatan awam asas yang kebanyakannya digunakan oleh
golongan berpendapatan rendah.
Ini tidak termasuk BR1M dan macam macam lagi
bantuan kerajaan secara terus kepada golongan tersebut. RM1,200 sudah cukup
untuk menampung perbezaan kenaikan harga selepas GST dilaksanakan. Untuk
seseorang itu membayar GST sebanyak RM1,200 setahun, dia kena belanja RM20,000
setahun atau RM1,666 sebulan. Golongan berpendapatan rendah tidak belanja
barangan sampai RM20,000 setahun.
Baca Juga: GST Halang Peniaga Tipu Pelanggan
Juga yang anehnya sebelum GST dilaksanakan,
kerajaan mengenakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan pada kadar 10% dan 6%
masing masing. Tidak pernah mereka yang mengharamkan GST ini mengharamkan SST
sebelum ini walaupun kadar sales tax/cukai jualan lebih tinggi.
Dulu beli kereta & motor kena sales tax 10%,
sekarang beli kereta & motor kena GST 6%, kenapa yang dulu tak haramkan?
Mungkin Dewan Ulamak & Tok Mufti nak jawab.
Saya tak banyak ilmu agama macam mereka. Tapi saya tetap dengan pandangan saya
GST tidak haram.
Nota: Pada April 2015, Mufti Kelantan Datuk
Mohamad Shukri Mohamad berkata GST yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan
adalah satu bentuk keadilan sosial. Beliau berkata masyarakat membuat kesilapan
apabila mengatakan cukai baru itu tidak dibenarkan di dalam Islam dan hanya
zakat yang boleh dikenakan. Mufti Kelantan itu berkata lagi, kedua-dua zakat
dan cukai menyumbang kepada sistem kewangan negara dan mampu mempertahankan
keadilan sosial dalam pengagihan kekayaan kepada masyarakat. Oleh kerana itu
pada Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali ke-106 merumuskan undang-undang
pelaksanaan cukai itu adalah harus.
Oleh Syahir
No comments :
Post a Comment