Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Thursday, November 19, 2015

Perkahwinan Tidak Sah - JAWI Buru 'Ustaz Kasanova' Perdaya 13 Wanita

KUALA LUMPUR: Dengan menyamar seorang ustaz berkelulusan tahfiz al-Quran, Mohd Razis Ismail atau lebih dikenali 'Ustaz Kasanova' dipercayai menipu lebih 13 wanita menerusi pernikahan sindiket dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, kini diburu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pengarah JAWI Paimuzi Yahya berkata Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 25 Oktober lepas mengeluarkan waran tangkap ke atas lelaki itu yang gagal hadir bagi menyambung proses jaminannya di Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu.

"Kesalahan yang dilakukannya ialah berkahwin tanpa prosedur yang ditetapkan sama ada dari segi undang-undang dan juga hukum syarak.

"Kebanyakan perkahwinan dan perceraian lelaki ini adalah tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia sehingga berlaku penganiayaan dan pengabaian terhadap isteri-isteri dan anak-anak suspek," katanya pada sidang berita di sini pada Selasa.

Beliau berkata modus operandi yang dilakukannya ialah membuat penampilan dan perwatakan sebagai seorang ustaz yang mahir ilmu al-Quran bagi mengaburi mangsa dan anggota keluarga mangsa.

"Suspek juga mendakwa masih bujang dan menggunakan gelaran Ustaz Arrozi Abdul Rahman dan Ibnu Ar Razi," katanya.

Paimuzi berkata pihaknya menyeru orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan perwatakan ustaz yang ditonjolkan suspek yang mangsanya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi yang mempunyai ciri-ciri wanita solehah dan wanita berstatus janda yang mempunyai pendapatan tinggi.

Katanya seorang daripada isteri suspek dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan lima kali sebatan oleh Mahkamah Syariah di sini pada 8 September lalu selepas mengaku bersalah melakukan persetubuhan luar nikah daripada tahun 2012 hingga 2015 dan mempunyai dua orang anak hasil hubungan tidak sah bersama suspek.

Suspek sepatutnya hadir di mahkamah sama pada tarikh itu, tetapi gagal menghadirkan diri.

Beliau berkata daripada 13 orang isteri tertuduh yang dikesan oleh pihak JAWI hanya lima yang memberi kerjasama dengan pihak Jawi bagi membantu siasatan.

Paimuzi berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tertuduh boleh menghubungi pegawai penyiasat JAWI, Farah Wahida Zulkiflee di talian 011-3296 1821 atau talian bebas tol Penguatkuasaan JAWI 1-800-88-1771.

No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.