Sepasang bapa dan anak Orang Asli Semenanjung
Malaysia
Sepanjang tahun 1970an hinggalah awal 2000,
Tentera Udara DiRaja Malaysia sentiasa mempunyai beberapa buah helikopter
Sikorsky S-61A Nuri dan Aérospatiale Alouette III yang sentiasa bersedia untuk
memberi perkhidmatan kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia, sama ada untuk
kecemasan perubatan mahupun untuk membawa mereka keluar untuk menyertai
program-program JHEOA (kini JAKOA) di bandar-bandar besar.
Kini, tanggungjawab tersebut juga ditanggung oleh
Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sering kelihatan
menerbangkan helikopter-helikopternya di kawasan pedalaman.
Unit Udara JBPM digerakkan ke Gua Musang untuk
membantu membawa para
pelajar Orang Asli ke sekolah
Baru-baru ini, cuaca buruk telah menyebabkan
jalan-jalan yang menghubungkan Gua Musang dengan empat pos Orang Asli di
pedalaman terputus, menyebabkan seramai 242 orang pelajar Orang Asli terkandas
dan tidak dapat pergi ke sekolah. Para
pelajar tersebut adalah dari Pos Belatim, Pos Balar, Pos Gob dan Pos
Bihai. Dari Pos Bihai melibatkan
mereka-mereka dari Kampung Laklok, Kampung Tendrik, Kampung Bihai dan Kampung
Hak.
JBPM telah menggerakkan dua buah helikopter dari
jenis Agusta Westland A109E dan Agusta Westland 139 untuk membantu menghantar
para pelajar tersebut ke sekolah.
Pesawat-pesawat tersebut dipandu oleh Penguasa Kanan Bomba I Roslan bin
Aziz, Mejar Leong Cheong Meng TUDM, dan dibantu oleh penolong juruterbang
Timbalan Penguasa Bomba Faizal bin Latif dan Timbalan Penguasa Bomba Sharizal
bin Sahari. Turut serta ialah tiga orang
Kuartermaster Udara iaitu Penolong Penguasa Bomba Ubadah bin Suib, Pegawai
Bomba Kanan I Mohd Norhasrul bin Mohd Noordin dan Pegawai Bomba Kanan I Safuan
bin Mohamad.
Pesawat jenis Agusta Westland A109E telah mula
berkhidmat dengan Unit Udara JBPM pada tahun 2003 manakala Agusta Westland A139
pula mula diterima pada tahun 2010. Unit
tersebut mengoperasikan sebanyak lapan buah helikopter pelbagai jenis. Unit ini telah bermula dengan empat buah
helikopter Mil-Mi-17-1 buatan Russia yang mula diterima pada tahun 1998. Ini diikuti oleh dua buah helikopter Agusta
Westland A109E, dan dua buah Agusta Westland A139. Salah sebuah helikopter Agusta Westland A109E
tersebut telah terhempas dalam cuaca berkabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang,
Pahang semasa membuat pengawasan dari udara pada 16 September 2010. JBPM juga telah memesan dua buah helikopter
jenis Agusta Westland A189 pada tahun 2016.
Para pelajar Orang Asli dibawa keluar menaiki
pesawat
Agusta Westland A109 Unit Udara JBPM
Agusta Westland A109 Unit Udara JBPM
Walaupun cuaca tidak menentu, kedua-dua buah
helikopter tersebut telah berjaya membawa keluar seramai 52 orang pelajar dari
Pos Balar dan Pos Belatim ke Padang Sivik Gua Musang, manakala 44 orang pelajar
dibawa keluar dari Pos Cemal ke Pos Balar pada hari pertama Ops Murni. Operasi itu telah bermula pada jam 10.10 pagi
dan berakhir pada jam 5.10 petang akibat cuaca yang bertambah buruk.
Pesakit Orang Asli dikeluarkan untuk dibawa ke
hospital sebaik
pesawat mendarat di Gua Musang
Walaupun Ops Murni bertujuan untuk membolehkan
para pelajar Orang Asli hadir sessi persekolahan, operasi tersebut diselangi
beberapa penerbangan ihsan membawa Orang Asli yang mempunyai sakit kritikal ke
Hospital Gua Musang. Ini menunjukkan
kesediaan Unit Udara JBPM untuk bertukar mod operasi demi nyawa dan
kesejahteraan masyarakat walaupun nyawa sendiri dipertaruhkan demi
menyelamatkan orang lain.
Pesawat Agusta Westland A109E (9M-BOA) milik Unit
Udara JBPM yang terhempas dalam kabus di FELCRA Kuala Kaung, Lanchang, Pahang.
Tiga orang anak kapal cedera dalam insiden ini. PgKB I Roslan bin Aziz adalah
salah seorang mangsa insiden tersebut
Ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu
mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk
masyarakat Orang Asli. Disebabkan
ketidak-pekaan ini, kerajaan sering dicemuh dan dituduh tidak mengambil berat
masalah yang dihadapi oleh masyarakat tersebut.
Hakikatnya, untuk pihak JBPM sahaja, sebanyak 47 penerbangan ihsan telah
dibuat pada tahun 2015 untuk menerbangkan seramai 111 orang pesakit dan
pengiring. Sebahagian besar adalah dari
kalangan masyarakat Orang Asli.
Oleh itu, jangan mudah menuduh bahawa kerajaan
tidak mengambil berat terhadap masyarakat luar bandar terutamanya Orang Asli
kerana juruterbang-juruterbang seperti PgKB I Roslan dan Mejar Leong sentiasa
bersedia memberi keutamaan kepada kesejahteraan masyarakat tersebut.
PgKB I Roslan bin Aziz berbincang mengenai operasi
yang telah mereka jalankan
setelah tamat penerbangan hari pertama Ops Murni
No comments :
Post a Comment