Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, January 12, 2018

Tanam fakta palsu cubaan 'halal' darah korban Memali



BALU kepada arwah Ibrahim Libya, Solehah Husain.


BALING: Dipaksa mengaku suami sendiri sebagai 'rasul', selain mengakui status dirinya sebagai pengikut ajaran sesat Ibrahim Libya.

Itu antara fakta palsu yang didakwa cuba ditanamkan dalam minda Solehah Husain, 65, yang juga balu kepada arwah Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim Mahmud, sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dua bulan tujuh hari tempoh Solehah ditahan selepas tragedi berdarah pada 19 November 1985 di Kampung Memali, di sini, yang mengorbankan nyawa 14 penduduk kampung termasuk suaminya dan empat anggota polis.

"Walaupun sudah lebih tiga dekad tragedi Memali, tuduhan menyertai ajaran sesat dan mengadakan revolusi untuk menjatuhkan kerajaan masih terngiang-ngiang di telinga saya.

"Sepanjang dua bulan tujuh hari ditahan secara salah melalui ISA pelbagai fakta palsu cuba disumbat ke dalam mulut saya...apa yang dibuat ke atas diri saya, sudah pasti dilalui rakan sekampung yang turut ditahan dan dipaksa mengaku sesuatu yang sebenarnya palsu bagi menghalalkan tragedi berdarah Memali," katanya.

Solehah adalah antara saksi tragedi Memali yang bukan sahaja menyaksikan sendiri 14 penduduk kampung maut ditembak, manakala berpuluh lagi cedera ketika melindungi Ibrahim, seorang guru agama yang juga pemimpin PAS, yang turut terkorban.

Justeru, Solehah bersama ramai lagi saksi tragedi Memali menunggu-nunggu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tragedi Memali ditubuhkan, demi merungkai kejadian di sebalik tragedi itu.

Ditanya mengenai pengalaman dalam tahanan, Solehah berkata bukan sahaja dipaksa mengaku suaminya sebagai rasul, pihak berkuasa turut mereka kalimah syahadah dengan meletakkan nama Ibrahim Libya menggantikan tempat Nabi Muhammad SAW sebagai rasul.

"Biarpun cuba diseksa mental, saya hanya berkata yang benar...saya tak salahkan polis yang berada dalam penjara terbabit, kerana mungkin mereka terpaksa melakukannya sebab arahan pihak atasan," katanya.

Solehah pada masa sama menafikan dakwaan penduduk mempunyai senjata api ketika tragedi itu kerana semua senapang patah yang dimiliki penduduk untuk menjaga kebun dari binatang seperti tupai, sudah pun diserahkan kepada pihak berkuasa lima bulan sebelum kejadian.

"Penduduk yang mempunyai senapang patah diminta menyerahkan senjata masing-masing kerana lesen dibatalkan, maka semuanya akur tanpa ada rasa syak.

"Selepas diserahkan kepada polis, penduduk kampung buat kerja seperti biasa dan pada hari kejadian, penduduk hanya menggunakan parang, buluh yang dijadikan pagar dan kayu sebagai senjata pertahanan kerana pihak berkuasa cuba merampas hak kami," katanya.

Solehah berkata, ia sesuatu yang memeritkan apabila lebih 30 tahun terpaksa memendam kenangan pahit menyaksikan suami dan rakan sekampung maut dalam kejadian itu, selain ramai lagi ditahan seperti pengganas.

"Kami keluarga mangsa tragedi Memali hidup atas keperitan dan dipalit tuduhan ajaran sesat...penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja suatu langkah yang perlu dilakukan sesiapa sahaja yang memimpin kerajaan.


"Kami mahu mereka yang bersalah merasai apa yang kami rasa apabila diperlakukan seperti penjenayah sehingga mencemar maruah kami sekeluarga dan penduduk kampung," katanya.


No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.