Megat Panjialam

. إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفّاً كَأَنَّهُم بُنيَانٌ مَّرْصُوص 61.4. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh.

Friday, January 19, 2018

PNB, KWSP beli aset
komersial Battersea RM8.8b




KUALA LUMPUR 18 Jan. – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhasrat untuk membeli aset komersial bernilai 1.61 bilion pound sterling (RM8.8 bilion) dalam kawasan Fasa 2 projek pembangunan Battersea Power Station di London.

Kedua-dua organisasi tersebut telah memeterai terma perjanjian dengan Battersea Phase 2 Holding Company iaitu anak syarikat milik penuh Battersea Project Holding Co. Ltd. yang mana dimiliki seimbang oleh SP Setia Berhad dan Sime Darby Property Berhad sebanyak 40 peratus manakala bakinya dimiliki oleh KWSP bagi meneroka potensi penjualan berkenaan.

Menurut SP Setia, aset ko­mersial berkenaan akan dijual kepada syarikat usahasama yang akan ditubuhkan oleh PNB dan KWSP. “Setelah selesai sepenuhnya, urus niaga ini adalah sejajar dengan pelan perniagaan kami kerana ia akan meningkatkan pulangan pelaburan sekali gus membolehkan SP Setia memanfaatkan peluang sebagai pemaju hartanah di samping terus memainkan peranan penting dalam keseluruhan pembangunan projek.

“Urus niaga yang dirancang ini juga menunjukkan komitmen secara langsung oleh pemegang saham institusi utama dalam pembangunan projek Battersea Power Station,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Projek Battersea Power Station di London berkeluasan 17 hektar dan merangkumi 3.5 juta kaki persegi ruang komersial campuran serta sebanyak 4,364 kediaman baharu.

Fasa 1 projek itu atau dikenali sebagai Circus West Village merangkumi 12 blok kediaman dan 100,000 kaki persegi restoran berkualiti tinggi, kedai, pejabat dan kemudahan riadah telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pembeli tahun lalu.

Terma perjanjian yang termeterai itu adalah tidak terikat dan termasuk tempoh eksklusif yang berakhir 30 April 2018 untuk menyelesaikan sepenuhnya cadangan transaksi berkenaan.

Mengulas lanjut, SP Setia berkata, minat yang ditunjukkan oleh PNB dan KWSP untuk menjadi pemegang aset jangka panjang bagi projek Battersea Power Station adalah tepat pada masanya.

Hal ini kerana, sambutan menggalakkan yang diterima termasuk prajualan kediaman yang berada pada kadar 90 peratus dan sebanyak 470,000 kaki persegi ruang pejabat yang disewa oleh Apple bermakna projek tersebut mampu memberi keuntungan tinggi.

“Pembelian aset komersial oleh PNB dan KWSP ini juga membolehkan SP Setia untuk menumpukan kepada meningkatkan keuntungan dan pulangan pelaburan projek daripada fasa-fasa lain projek tersebut dengan keseluruhan projek dijangka siap menjelang tahun 2028.

“Pegangan dalam Battersea Project Holding Co. Ltd. juga kekal tidak berubah antara Sime Darby Property, SP Setia dan KWSP dengan kami terus komited serta positif dengan prospek jangka panjang projek Battersea Power Station,” ujarnya.

Dalam kenyataan berasingan, Sime Darby Property berkata, cadangan urus niaga tersebut adalah untuk menyusun semula pemilikan hartanah komersial Battersea Power Station di bawah PNB dan KWSP yang juga merupakan pelabur jangka panjang manakala Sime Darby Property dan SP Setia merupakan pemaju hartanah utama.


Katanya, cadangan urusniaga itu sememangnya akan melonjakkan pulangan pelaburan kepada Sime Darby Property dan SP Setia sebagai rakan pembangunan projek lebih awal daripada yang dijangkakan.



No comments :

DISCLAIMER

Blog ini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian blog ini. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Penulis tidak memaksa anda memasuki blog ini dan tidak akan bertanggungjawab jika ada yang tercedera atau tersinggung emosi, atau disaman jika melanggar akta mesin cetak dan lain-lain undang-undang yang berkaitan. Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.